Kerajaan berusaha menyelesaikan masalah
gangguan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah bagi
memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) mencapai objektif
pelaksanaannya.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris
Jusoh berkata, matlamat PPPM adalah menjadikan sekolah di Malaysia satu pertiga
terbaik di dunia menjelang tahun 2025.
Menurutnya, kerajaan akan meminta
kerjasama operator dan pembekal terbabit meningkatkan tahap kelajuan jalur
lebar di sekolah.
“Masalah ICT akan dipertingkatkan
termasuk isu kelajuan dan sambungan jalur lebar selaras dengan hasrat kerajaan
bagi memastikan penggunaan ICT dapat dipertingkatkan kepada murid dan pelajar
di sekolah.
“Masalah yang timbul kebanyakan
berhubung dengan talian jalur lebar mula-mula dipasang mungkin ada masalah
teknikal.
“Saya rasa ini adalah masalah di
peringkat awal pelaksanaan program. Ini kerana jika kita lihat mana-mana pun
apabila sudah wujudkan sistem itu, kadangkala apabila pengguna ramai ia akan
jadi crowded (sesak).
“Namun ini bukan masalah yang besar dan
tidak boleh diatasi, insya-ALLAH kita akan atasi secepat mungkin,” katanya
kepada pemberita selepas hadir pada program Jerayawara PPPM 2013-2025 di Pusat
Islam Iskandar Johor, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan,
Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dan Pengarah Jabatan Pendidikan Johor, Md Noor A
Ghani.
Program berkenaan dihadiri kira-kira
1,000 peserta terdiri daripada guru, guru besar, pengetua, ketua sektor jabatan
pendidikan, pegawai pendidikan negeri Johor serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG).
Idris berkata, program sehari berkenaan
bertujuan memberi penerangan dan penjelasan sebenar mengenai PPPM yang sedang
dilaksanakan kerajaan.
“Saya lihat ramai lagi yang tidak faham
mengenai PPPM. Ada yang mengatakan program ini tidak memberi penekanan kepada
Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik serta peperiksaan.
“Atas sebab itu, kita datang ke
negeri-negeri supaya semua golongan terbabit mendapat pendedahan dan pemahaman
mengenai pelaksanaan PPPM,” katanya.
Selain itu, katanya, sekiranya sistem
dilaksanakan memberi penguasaan kepada guru dan murid di sekolah, ia akan
menjadikan masalah ponteng sekolah dapat diatasi.
“Malah sebenarnya jika sistem ini
memberi penguasaan kepada guru dan murid, murid mahu ke sekolah dan suka
belajar.
“Ini kerana sistem pembelajaran tidak
lama, tetapi memberi penumpuan kepada murid dan pelajar secara tidak langsung
ia dapat mengurangkan masalah kehadiran di sekolah,” katanya.
- sinarharian
2 comments:
Hahaha..lawak betul..minta buat online sarana ibu bapa..bg tempoh sampai hujung bulan 10..tp line mcm tapir..dah email byk kali sbb nak komplen..nak isi satu borang pun kena refresh berjuta kali..taraf afrika je..sembang je lebih..
Post a Comment