PASIR
GUDANG: Mulai tahun ini, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya
memerlukan kelulusan minima satu kredit untuk melanjutkan pengajian di kolej
komuniti berbanding kelulusan tiga kredit sebelum ini.
Menteri
Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia merupakan antara
penambahbaikan dan inisiatif baharu kementerian terhadap kolej komuniti dalam
usaha menjayakan dasar Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).
"Selain
itu, golongan yang sudah bekerja boleh menyambung pengajian peringkat sijil dan
diploma di kolej komuniti," katanya.
Beliau
berkata demikian selepas merasmikan Karnival Mesra Komuniti 1Malaysia dan
Pelancaran Usahasama Strategik Kolej Komuniti bersama Pihak Berkuasa Wilayah
Pembangunan Iskandar (IRDA) dan industri peruncitan, di sini Sabtu.
Menurutnya,
mulai tahun ini, tempoh pengajian untuk Sijil Kolej Komuniti (SKK) berterusan
atau jangka panjang juga akan dipendekkan kepada minimum 16 bulan berbanding 24
bulan sebelum ini.
"Pada
tahun lalu sahaja seramai 258,949 orang telah menyertai 11,855 program dan
kursus pembelajaran sepanjang hayat di kolej komuniti dan pada tahun ini pula
sebanyak 221,660 tempat telah disediakan dalam 11,158 buah program dan kursus sepenuh
masa dan jangka pendek di seluruh negara," katanya.
Mohamed
Khaled berkata dalam usaha menjamin pelajar lepasan institusi itu mendapat
tempat dalam pasaran kerja, kerjasama strategik turut dijalinkan dengan pihak
industri untuk menyediakan modal insan berkemahiran tinggi.
Ia
termasuk jalinan kerjasama dengan lima koridor wilayah pembangunan ekonomi
iaitu Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Ekonomi
Wilayah Utara (NCER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Pembaharuan
Tenaga Sarawak (Score).
Mohamed
Khaled berkata kerajaan bercadang untuk membuka empat lagi kolej komuniti tahun
ini iaitu di Kota Marudu, Tambunan, dan Penampang di Sabah, manakala sebuah
lagi di Sarikei, Sarawak.
-
BERNAMA
0 comments:
Post a Comment