Selepas
diserang berkali-kali oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang ekoran prestasi buruk
Malaysia dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2012, Tan Sri Muhyiddin
Yassin hari ini mengarahkan Kementerian Pendidikan mengkaji mekanisme yang
diguna pakai oleh sekolah Malaysia yang mencapai prestasi setaraf sekolah
terbaik dunia.
Timbalan
Perdana Menteri itu berkata, warga guru dan pegawai Kementerian Pendidikan perlu
memahami konsep Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) supaya gerak kerja yang
diusahakan kerajaan akan dapat melonjakkan kedudukan Malaysia dalam kedudukan
PISA akan datang.
“Pentaksiran
PISA merupakan satu topik pendidikan yang hangat diperkatakan mutakhir ini baik
di Malaysia atau pun forum antarabangsa. Analisis mendalam amat perlu agar
Malaysia dapat memperbaiki kedudukan.
“Saya difahamkan terdapat beberapa
sekolah di Malaysia mencapai skor atau prestasi setaraf sekolah terbaik dunia.
Dengan ini saya mengarahkan Kementerian Pendidikan melihat lebih mendalam
faktor penyumbang kejayaan sekolah tersebut,” katanya di Putrajaya hari ini.
Pisa
menilai pelajar berusia 15 tahun dalam subjek matematik, sains dan bacaan.
Malaysia
didapati jauh ketinggalan berbanding Singapura yang berada di tangga ke-2,
malah negara berpendapatan rendah seperti Vietnam berada di tangga ke-17 yang
lebih baik daripada Malaysia.
Bank
Dunia dalam laporannya tahun lalu mengatakan sistem berpusat yang diguna pakai
sektor pendidikan Malaysia menyumbang kepada prestasi buruk pelajar dalam
pengajian mereka.
Muhyiddin
hari ini turut menyelar pihak yang sering memperlekehkan Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) adalah merupakan golongan yang tidak
membaca dan memahami isi kandungan pelan berkenaan.
“Saya
sedar ada pihak yang inginkan usaha kita gagal dengan menyatakan usaha ini
memerlukan keajaiban dan mendakwa kementerian merendahkan sasarannya kerana
tidak realistik. Ini bukan soal kerajaan terlalu bercita-cita tinggi hendak
mencapai sasaran dengan gopoh.
“PPPM
adalah bukti bahawa kerajaan meletakkan aspirasi tertinggi dan terbaik tanpa
mengira bangsa, agama dan latar belakang. Anak-anak kita berhak menerima
pendidikan terbaik dan ini semua kerajaan telah nyatakan dengan jelas,”
katanya.
Mengenai
sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang sering menerima kritikan
daripada pihak guru dan ibu bapa, beliau telah mengarahkan ketua setiausaha
kementerian dan ketua pengarah pendidikan bagi mengenalpasti masalah di
peringkat pelaksanaan.
Katanya,
salah faham berhubung pelaksanaan PBS tidak akan berlaku sekiranya sekolah,
pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri mempunyai kefahaman
yang jelas berhubung pelaksanaan dasar berkenaan.
“Saya
telah menerima banyak maklumbalas dari pelbagai pihak terutama keluhan guru.
Saya faham masalah yang dihadapi guru dan saya telah mengarahkan ketua
setiausaha kementerian bagi mengenalpasti masalah sebenar.
“Sekiranya
masih terdapat kesamaran mengenai PBS, saya minta supaya ia ditangani segera
bagi mencerahkan pemahaman guru yang akan melaksanakan PBS untuk murid
Tingkatan 3 yang bakal melalui format baru tahun ini,” katanya.
Menyentuh
isu penempatan guru, Muhyiddin berkata sebahagian besar isu penempatan guru
telah diselesaikan dan bakinya dijangka akan dapat diselesaikan menjelang Mac
tahun ini.
Katanya,
isu pertukaran dan penempatan guru tidak akan diselesaikan selagi jumlah yang
memohon lebih besar berbanding ruang kekosongan yang ada.
“Soal
pengisian jawatan telah kita buat, hampir 8,000 guru semuanya. Sebahagian besar
telah diisi. Beberapa ratus berbaki, akan diisi tidak lama lagi.
“Berbaki
itu akan ditempatkan selewat-lewatnya Mac ini. Mereka yang bergraduat selepas
Ogos tahun lalu, akan ditempatkan berdasarkan kekosongan selepas Mac.
“Isu
penempatan dan pertukaran guru memang kita selalu bincang. Yang mana kita boleh
bantu atas dasar mereka memenuhi syarat kekosongan bidang, kita akan lakukan.
“Jumlah
membuat permohonan pertukaran pada satu ketika pernah mencecah 20,000
permohonan setahun sedangkan kekosongan hanya 7,000 sahaja,” katanya.
Beliau
turut mengingatkan guru tidak boleh lari dengan tugas tambahan yang diberikan
pihak sekolah meskipun fokus kepada pengajaran dan pembelajaran perlu diberi
keutamaan.
Katanya,
guru sekolah di luar negara juga turut dibebankan dengan tugas tambahan dan ini
sudah menjadi trend perguruan semasa.
“Saya
nak sebutkan di mana-mana sistem pendidikan, guru tidak tertumpu hanya soal
pengajaran sahaja, ada yang menanggung kerja tambahan seperti menjaga disiplin,
ko-kurikulum dan lain-lain.
“Seboleh
mungkin, kita mahu guru beri tumpuan untuk mengajar. Kalau kerja lain, itu
kesediaan untuk melakukan kerja. Ia biasa berlaku di kebanyakan negara,”
katanya.
September
tahun lalu, Muhyiddin mengumumkan sebanyak 10,000 jawatan pembantu pentadbiran
akan diwujudkan di sekolah seluruh negara bagi membantu meringankan bebanan
guru.
Katanya,
perkara tersebut yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat merupakan
sebahagian daripada dasar dalam PPPM.
“Antara
langkah untuk mengurangkan beban ini adalah setiap sekolah akan dihantar
seorang pembantu pentadbiran dan secara keseluruhannya seramai 10,000
kakitangan akan dihantar berperingkat-peringkat," katanya.
0 comments:
Post a Comment