Menghadapi kepimpinan
manusia yang diberi sedikit kuasa di dunia ini, berbagai gaya ditonjolkan
manusia itu sendiri sehingga kadang-kadang mendatangkan berbagai kecelaruan
rasa sesama manusia. Dikesempatan ini, diutuskan lembaran kata untuk tatapan
dan iktibar agar mendapat manfaat darinya.
Kepimpinan merupakan suatu perkara yang
sangat penting dalam kehidupan manusia apatah lagi melibatkan urusan yang besar
seperti menguruskan pentadbiran negara maupun organisasi.
Ketua merupakan suatu kemestian yang
ada dalam sebuah organisasi atau jemaah. Rasulullah SAW pernah menegaskan
mengenai perkara ini dalam satu hadis.
“Jika kamu bertiga, hendaklah kamu melantik seseorang mengetuai kamu.”
Ketua memainkan peranan bagi mengepalai
dalam setiap tindakan dan membuat keputusan serta sedia bertanggungjawab dengan
keputusan yang diambil olehnya. Ketua yang amanah akan bersikap jujur dan adil
demi kebaikan majoriti orang di sekelilingnya serta tidak mementingkan diri
sendiri.
Oleh kerana tugas sebagai pemimpin
merupakan suatu amanah yang besar serta sangat besar tanggungjawabnya, maka
pemimpin perlu dipilih daripada mereka yang layak dan memenuhi kriteria yang
diperlukan. Bukan hanya dilantik kerana ia dekat atau rapat dengan kita, walhal
ilmu kepimpinannya lemah dan hanya menurut hati dan nafsu semata-mata.
Islam menggariskan beberapa sikap yang
perlu diamalkan oleh seorang pemimpin antaranya bersikap lemah lembut, pemaaf,
teguh pendirian dan bertawakkal kepada Allah SWT.
“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai
Muhammad) engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan
pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah
mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan
yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga
bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan)
itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat
sesuatu) maka bertawakal kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengasihi
orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Ali Imran, 3: 159)
Kita melihat sendiri bagaimana
Rasulullah SAW menolak permintaan Abu Zar yang menginginkan jawatan ketua atau
pemimpin di kalangan orang Islam dengan alasan bahawa beliau (Abu Zar) adalah
seorang lemah, tidak mampu memikul tanggungjawab seorang pemimpin yang
berkaliber.
Peranan utama pemimpin ialah bersikap
amanah dan bertanggungjawab dengan adil dalam semua perkara yang melibatkan
amanah yang diberikan kepadanya. Manakala peranan umum bagi pengikut ialah
memberikan petaatan kepada pemimpin selagi tidak bercanggah dengan suruhan dan
larangan Allah swt serta menegur sekiranya terdapat kesilapan dalam tindakan
pemimpin.
“Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan ulul
amri (pemegang kuasa) di kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat
tentang sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul
(Sunnahnya) jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu
lebih baik (bagi kamu) dan lebih baik akibatnya.” (an-Nisa’, 5: 59)
Ayat di atas dengan jelas menyuruh agar
manusia memberikan ketaatan yang mutlak tanpa ragu-ragu kepada Allah dan Rasul.
Ayat di atas menggunakan ‘feel amar’ yang membawa maksud wajib taat kepada
Allah dan Rasul. Di samping itu, kita juga diminta agar taat kepada ulul amri
iaitu pemimpin di kalangan kita. Walaubagaimanapun ketaatan kepada pemimpin tidak
mutlak seperti ketaatan kepada Allah dan Rasul.
Dari Ibn `Umar r.a.: “Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan
setiap individu muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak
diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara
maksiat maka tiada lagi dengar dan taat.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Maka tidak ada ketaatan dalam perkara
maksiat dan setiap perkara yang bertentangan dengan suruhan Allah.
Kita wajar mencontohi sikap
kepemimpinan yang pernah ditonjolkan oleh baginda Rasulullah dan para sahabat.
Mereka berjaya menonjolan keindahan Islam dengan berlaku adil kepada semua
pihak termasuk kaum bukan Islam yang mendiami kota Madinah.
Abu Bakar dalam ucapan dasarnya selepas
dilantik menjadi khalifah menggantikan Rasulullah dengan rendah diri menyeru
agar umat Islam mengikutinya jika benar dan menegurnya jika salah.
“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah memerintah kalian dan aku bukanlah
yang terbaik diantara kalian, seandainya aku berbuat kebaikan, ikutilah, dan
bila aku berbuat keburukan, luruskanlah. Sedekah merupakan amanah, sedangkan
dusta adalah khianat. Orang yang lemah diantara kalian menjadi orang kuat di
sisiku sampai kuberikan hak darinya, Insya Allah tidak satupun kawan yang meninggalkan
jihad di jalan Allah, kecuali dia bakal menimpakan kehinaan kepada mereka dan
tidaklah menyebar kekejian pada suatu kaum melainkan dia akan menyelimutinya
dengan malapetaka. Patuhilah aku selama aku patuh kepada Allah swt. dan
rasul-Nya. Seandainya aku berbuat durhaka, tentu kalian tidak wajib mematuhiku.
Lakukanlah shalat semoga Allah mengasihi kalian semua.”
Dan beliau menegaskan bahawa tidak ada
ketaatan lagi kepadanya jika beliau durhaka terhadap suruhan Allah. Ucapan
ringkas yang padat ini wajar dijadikan panduan bagi kita terutamanya pemimpin
sebuah organisasi apatah lagi pemimpin Negara.
Ketaatan kepada pemimpin adalah perlu
berterusan dalam setiap perkara yang disukai atau dibenci dan dalam senang atau
susah. Perihal ketaatan kepada pemimpin juga dapat difahami dengan meniliti
hadis di bawah;
Imam al-Bukhari meriwayatkan dari Junaidah bin Abi Umayyah dari ‘Ubaidah
bin Al-Samit yang menyatakan:”Rasulullah S.A.W. telah memanggil kami, lalu kami
pun memberi baiah kepada baginda… kemudian `Ubaidah berkata:”Di antara perkara
yang diminta kami berjanji ialah; Kami berjanji mendengar dan mentaati
(Rasulullah) dalam perkara yang kami sukai atau benci, dalam keadaan kami susah
dan senang, tidak mementingkan diri sendiri, tidak membantah terhadap amir (ketua)
dalam urusan-urusan kecuali kami melihat kekufuran terhadap Allah secara nyata
dengan bukti yang terang dan jelas.”
Pemimpin perlu menyedari akan amanah
dan tanggungjawab yang besar tersebut dengan berlaku adil berpandukan al-Quran
dan Sunnah. Dalam masa yang sama, pengikut juga perlu memahami dan memainkan
peranan dalam mentaati pemimpin serta membantu dalam menegakkan kebenaran.
Subhanallah.
0 comments:
Post a Comment