Ketibaan tahun baharu pagi ini
dikejutkan dengan insiden serangan ke atas beberapa laman web di negara ini
oleh penggodam.
Sekurang-kurangnya dua laman web milik
kerajaan dipercayai turut menjadi mangsa mereka.
Menurut gambar-gambar yang dimuatnaik
orang ramai, halaman utama portal Kementerian Pendidikan telah digantikan
dengan skrin hitam kosong dengan
perkataan" hacked "(digodam) bersama paparan kumpulan "Team
EvilSha0w " yang mendakwa mereka bertanggungjawab.
Sehingga pukul 2.30 petang tadi, laman
web MOE itu masih tidak boleh diakses.
Tahun lepas, kumpulan yang menamakan
diri mereka “Evil Shadow Team”,
dipercayai dari China , dilaporkan telah berjaya menggodam laman web milik
Microsoft India. Walau bagaimanapun, adalah tidak dapat dipastikan samada
kumpulan yang sama bertanggungjawab dalam serangan terbaharu ini.
Selain itu, terdapat perbezaan antara
penggodaman laman web MOE dengan beberapa laman web lain yang dipercayai turut
diserang semalam.
Pengguna yang melayari laman web rasmi
Program Malaysia Sebagai Rumah Kedua, disambut dengan paparan ‘pop –up’ yang
tertera "Greetz Marhaen".
Laman itu juga memaparkan paparan yang
menyuarakan bantahan kenaikan harga dan peningkatan kos sara hidup, termasuk
mempromosi perhimpunan TURUN di Dataran Merdeka malam tadi.
Penggodaman yang hampir sama juga
berlaku di hampir 30 laman web yang dimiliki oleh syarikat-syarikat tempatan.
Senarai laman web ini, termasuk laman
web Stamford College, dapat dilihat dalam beberapa laman blog tempatan yang
mendakwa mereka telah dimaklumkan mengenai serangan itu.
Laman web yang digodam semua mempunyai
kenyataan yang sama, dengan lagu anti-kerajaan 'Janji Dicapati' digunakan
sebagai latar belakang.
Mesej di bahagian bawah paparan, antara
lain, tertulis mesej-mesej yang berkaitan dengan propaganda, rasuah, isu
perkauman dan agama.
Ketika dihubungi , Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan bahawa mereka telah
menerima laporan mengenainya dan sedang menyiasat serangan tersebut.
"Kami telah dimaklumkan tentang
beberapa aktiviti menggodam kel atas pelbagai portal termasuk beberapa laman
web kerajaan," Pengerusi SKMM Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi
memberitahu Astro Awani .
Beliau berkata pada masa ini, pentadbir
laman web terbabit sedang berusaha mengembalikan laman web masing-masing ke
asalnya.
Tetapi pada masa yang sama, SKMM
berkata pihaknya akan membantu dan memberikan sokongan sekiranya diperlukan.
"Pada masa ini, kami sedang menyiasat
kejadian itu. Nampaknya dalam serangan penggodaman ini ada cubaan mengubah
laman-laman web terbabit. Kami sedang mengenalpasti samada sesuatu yang lebih
memudaratkan telah berlaku, "kata Sharil .
Tambahnya, SKMM akan mengkaji sama ada
sebarang kesalahan telah dilakukan dan wujudnya penyalahgunaan rangkaian
internet atau apa-apa kesalahan yang boleh disiasat di bawah Akta Jenayah
Komputer (1997).
"Kita perlu menilai sejauh manakah
kesannya dan membuat keputusan seterusnya. Jangan membuat spekulasi atau
tanggapan melulu buat masa ini.”
0 comments:
Post a Comment