Sumber Gambar dipetik dari Google
MULANYA
saya cuba bersangka baik dengan apa yang menimpa seorang guru mualaf di SJKC
Nan Ya, Kota Tinggi, Johor, atas nama dakwah. Tetapi setelah lama mengikuti isu
ini, ditambah oleh sebuah syarikat pembinaan yang menghalau artis bertudung
dalam majlisnya, menjadikan saya jadi geram.
Mana
tidaknya, lembaga sekolah tersebut telah memaksa guru mualaf untuk membuka
tudungnya dan diancam keselamatannya jika tidak berbuat demikian.
Sedihnya,
apabila guru tersebut melaporkan kepada pihak berkuasa, beliau ditukarkan
serta-merta ke sekolah lain.
Peliknya,
tiada tindakan tegas dikenakan terhadap kepimpinan SJKC tersebut. Mana
keberanian kita? Mana dia pemimpin yang memperjuangkan Islam dan hak asasi
manusia ini? Kejam sungguh kita semua. Kena pada orang Islam, tak apa. Kena
pada bukan Islam, heboh 1Malaysia.
Saya
ingatkan orang bukan Islam telah insaf dan memahami perkara asas mengenai
Islam. Maklumlah sudah lama tinggal di tanah air tercinta ini. Paling kurang
memahami kedudukan Islam selaku agama negara. Rupa-rupanya tidak.
Apabila
ada desakan mahukan tindakan disiplin diambil terhadap ahli lembaga sekolah
tersebut, maka kita pun berkata ini isu kecil dan hanya permainan politik untuk
mengalihkan pandangan rakyat dari isu ekonomi yang lebih meruncing.
Apa
semua ini? Lebih meloyakan, ketika pengerusi lembaga dan guru besar sekolah
tersebut memohon maaf secara terbuka, maka kita pun beramai-ramai datang
memberikan sokongan dan tepukan.
Sambil
bersalaman dengan guru mualaf tersebut, guru besar itu berkata: “Saya harap isu
ini selesai dan dapatlah kita semua hidup dalam harmoni, sesuai dengan slogan
1Malaysia”. Kita pun tutup fail. Wah… senang sungguh.
Mudah
sangat hidup di Malaysia. Bila bukan Islam buat salah, minta maaf, selesai, atas
alasan 1Malaysia. Bila kita buat silap, maka dikatakan bertentangan dengan
1Malaysia. Maka kita terus salah, mereka terus betul.
Apakah
kita sudah lupa isu pengetua SMK Tunku Abdul Rahman, Kulaijaya yang didakwa
mengeluarkan ‘ucapan rasis’ pada tahun 2010? Seluruh media ultra kiasu
menghentam habis-habisan pengetua tersebut. Langsung tidak diberikan peluang
untuk membela diri. Desakan demi desakan dilakukan agar beliau dipecat dan
ditukar.
Julai
dan Ogos 2013, pengetua SMK Alam Megah, Shah Alam, turut menerima nasib sama
kerana dikatakan memberi ucapan rasis. September 2013, guru penolong kanan SMK
Engku Husin Semenyih, Kajang, pun turut menjadi mangsa.
Pada
Julai 2013 apabila gambar murid bukan Islam SK Sri Pristana “makan di tandas”
semasa bulan Ramadan tersebar, sekali lagi seluruh media ultra kiasu dikerah
untuk melondehkan isu tersebut sehingga habis FB guru besar turut digodam.
Pelbagai
tuduhan dibuat tanpa langsung memberi peluang kepada beliau membela diri.
Beliau dan keluarga dimalukan, dihina dan dikecam sehingga anak beliau sendiri
merayu dan menulis di status FB jangan diganggu ayah beliau lagi.
Namun,
dalam isu guru mualaf dan SJKC ini, semua media ultra kiasu senyap sepi. Kenapa
tidak sensasikan isu ini dan memaksa guru besarnya dipindahkan atau meletakkan
jawatan? Jawapannya mudah, mereka sekapal.
Saya
yakin, penghinaan ke atas guru mualaf tersebut, dan artis bertudung, sengaja
dilakukan. Peliknya, guru mualaf tersebut yang ditukarkan ke sekolah lain,
bukan guru besar itu.
Lebih
menjengkelkan lagi, ketika isu ini dibangkitkan, kita diminta sabar, siasat
dahulu, jangan bertindak terburu-buru, perlu berhikmah dan bermacam-macam
alasan. Inilah sifat orang Melayu, terlalu bertolak ansur, sehingga ditolak
beransur-ansur.
Benar,
memaafkan seseorang itu satu sifat yang baik. Tetapi itu bukan bermakna,
pesalah boleh terlepas begitu sahaja.
Masih
ingatkah kita pada zaman Nabi, apabila seorang Muslimah dipermainkan oleh
Yahudi sehingga terselak kain dan menampakkan auratnya? Apa tindakan selepas
itu? Jawapannya, perang.
Hari
ini kita tidaklah sampai ke peringkat perang. Tetapi menjadi tanggungjawab
seorang pemimpin negara untuk memastikan bahawa tidak ada mana-mana rakyat
Islam di bawah pemerintahannya dianiaya oleh musuh-musuh Islam.
Ingatlah!
maruah dan keadaan umat Islam semakin tercabar. Malangnya, tiada pemimpin yang
berani bangkit dan dengan tegas bersuara mempertahankan maruah umat Islam yang
tercalar. Lebih menyedihkan, penghinaan itu berlaku di bumi kita sendiri yang
berasaskan Melayu dan Islam - Ridhuan Tee Abdullah
0 comments:
Post a Comment