Kejayaan sesebuah organisasi bergantung
ke atas prestasi kolektif pentadbirnya, iaitu orang yang mengarah kerja dan
memimpin kakitangan keseluruhannya. Pemimpin atau Ketua Jabatan secara
bersendirian mesti mendapatkan kerjasama secara sukarela daripada rakan
sejawatnya kerana proses kepimpinan memang melibatkan dua orang atau lebih.
Seorang daripadanya cuba membimbing dan mendorong yang lain dalam usaha
mencapai matlamat sistem. Dalam proses perhubungan Ketua Jabatan dan
kakitangan, terdapat banyak aspek yang perlu diberi perhatian.
Misalnya, bagaimanakah seorang Ketua
Jabatan mempengaruhi tingkah laku kakitangan supaya dapat menghasilkan output
yang sempurna. Sebagai contoh dalam situasi sekolah misalnya, pengetua/guru
besar dan guru-guru berusaha melahirkan pelajar yang sempurna dari segi mental,
fizikal, rohani dan jasmani. Seorang pengetua/guru besar mesti mempunyai
ciri-ciri kepimpinan, agar mendapat kerjasama dan diterima oleh semua
kakitangan di sekolah.
Apabila seseorang itu berjaya memimpin,
ini bermakna dia berjaya mempengaruhi anggota-anggota yang lain di dalam
organisasi itu. Kebolehan mempengaruhi bergantung kepada unsur yang penting
iaitu kuasa yang ada pada seseorang itu. Mengikut Dr Robiah Sidin (1988), dalam
bukunya ‘Asas Pentadbiran Pendidikan’, beliau menegaskan bahawa secara umumnya
ada dua jenis kuasa yang boleh dipegang oleh seseorang pemimpin itu. Pertama,
kuasa yang datang dengan jawatannya di dalam organisasi itu dan kedua, kuasa
yang berpunca daripada keadaan dirinya sendiri atau kuasa individu. Kuasa yang
bersangkut paut dengan jawatan adalah penting kerana memberi kepercayaan kepada
anggota-anggotanya. Walaubagaimanapun untuk seseorang itu kekal menjadi
pemimpin dia mesti juga mempunyai kuasa yang berunsurkan kebolehan
tersendirinya. Ini termasuklah:
1. Mentaliti
- Kebijaksanaan atau kebolehan membuat perhitungan yang jauh sebelum bertindak dengan menilai antara yang baik dan buruk berdasarkan pertimbangan ilmu dan pengalaman.
- Keberanian atau kesungguhan serta kesanggupan menghadapi cabaran dan masalah serta risiko, baik yang berpunca dari luar diri atau dalam diri sendiri.
- Mempunyai inisiatif atau tindakan yang dimulakan sendiri tanpa menunggu orang lain datang kepadanya minta bertindak.
- Mempunyai kreativiti sendiri, terutamanya dalam menyelesaikan masalah-masalah yang wujud dalam organisasi.
2. Kemasyarakatan
- Kesediaan memberi dan menerima pendapat.
- Sikap positif dan terbuka.
- Daya penggerak dan semangat juang yang kuat.
- Kebolehan berkomunikasi secara berkesan.
3. Moraliti
- Mempunyai disiplin diri yang unggul.
- Kebersihan jiwa terutamanya dari segi keadilan, amanah, ketenangan, kesabaran, keteguhan pendirian dan ketahanan diri.
- Iman yang teguh, terutama orang yang beragama Islam.
Antara ketiga-tiga ciri yang
dinyatakan, moraliti adalah yang terpenting untuk menilai seseorang pemimpin
sama ada baik atau buruk, berkesan atau tidak, boleh bertahan lama atau tidak.
Pemimpin memerlukan juga sikap tertentu
untuk mempengaruhi orang lain. Perkara yang paling penting ialah pemimpin harus
mempunyai pengertian dan tanggapan yang tajam terhadap individu-individu yang
saling berurusan dengannya. Selain daripada itu seorang pemimpin juga harus
mempunyai:
- Empati: iaitu kebolehan untuk memahami perasaan orang lain dan bersimpati.
- Kesedaran: akan kelemahan dan kekuatan dirinya sendiri. Sedar tentang bagaimanakah dirinya dianggap oleh orang lain. Hanya apabila ini berlaku maka barulah kepercayaan kebolehan dirinya akan timbul.
- Kebolehan: untuk melihat secara objektif akan masalah-masalah dan tingkah laku anggota-anggota lain. Pemimpin harus bersikap adil boleh memberi analisa yang adil dan tidak emosional.
Selain itu, sekiranya seseorang itu
ingin menjadi pemimpin yang baik, dia hendaklah mengamalkan perkara-perkara
yang diketahui, dilihat dan diterima sebagai baik:
- Harus bersedia untuk belajar dari siapa sekalipun apa yang dia tidak tahu kerana kepimpinan itu sesuatu yang boleh terus menerus dipelajari dari latihan dan pengalaman. Jangan berfikir kita sudah hebat apabila berada di atas, mungkin orang bawahan kita lagi hebat, cuma mereka tidak berpeluang diangkat menjadi pemimpin.
- Berani memberi jawapan yang tegas kepada sesuatu yang difikirkan baik atau tidak baik kepada organisasinya. Tapi perlu mahir berkomunikasi dalam mengutarakan jawapan kerana ia melibatkan hati dan perasaan orang.
- Berupaya memudahkan semua kerja, dengan menjadikannya kerja-kerja biasa yang boleh dilakukan oleh kebanyakkan orang bawahannya dan tidak memerlukan pakar khusus. Tidak hanya mendambakan hasil yang baik semata-mata.
- Mempunyai perhubungan baik dengan orang-orang bawahannya. Dia mengenali mereka sebagai individu-individu yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Pemimpin yang baik juga tidak berkasar dengan orang-orang bawahannya. Menerima teguran, pendapat dan bertoleransi. Ingat merendah diri tidak bermakna anda lemah, malah anda akan dihormati dan disukai.
- Pandai membahagikan masa. Dia tahu bila masa bertugas dan bila masa di luar tugas dan bertindak bersesuaian dengan keadaan. Pemimpin yang tidak cekap selalu merasa runsing dan bimbang dengan hal-hal tugas di mana juga dia berada.
- Dalam sesebuah organisasi terdapat pelbagai jenis manusia: ada yang malas, ada yang rajin dan ada yang boleh diharap serta ada yang tidak boleh diharap. Seorang pemimpin yang bijak tidak lemah semangat dengan keadaan ini. Dia menerima hakikat sedemikian dan menggunakan sebaik-baiknya apa yang ada.
- Tahu dan mahu berbincang dengan orang-orang bawahannya mengenai sesuatu hal yang dia sendiri tidak pasti. Dia tidak hanya pandai mengeluarkan arahan saja dan bersikap “akulah ketua”.
- Mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman mengenai tugas dan manusia. Justeru, banyaklah menimba ilmu melalui pembacaan atau pergaulan. Pemimpin yang baik tidak hanya melontarkan idea sahaja tapi sebaiknya cuba mempermudah atau menghasilkan sendiri tugasan sebagai contoh kepimpinan melalui teladan. Segala teguran sebaiknya dilakukan secara personal atau kumpulan, bukannya secara umum yang boleh memberi kesan buruk dan dianggap orang bawahan sebagai leteran atau ingin menunjukkan kuasa.
- Pandai memperkembangkan kebolehan bekerja orang bawahannya. Dia tahu mengagihkan tugas kepada mereka dan adil. Tidak hanya melambakkan tugasan kepada seseorang sahaja.
- Tidak sekali-kali lemah semangat dan cepat mengaku kalah apabila berdepan dengan sesuatu masalah. Kalau masalah tidak dapat diselesaikan dengan satu cara, dia menggunakan cara lain. Dia sentiasa bersikap positif dan tidak mempunyai tanggapan negatif terhadap orang bawahan.
Melalui ciri-ciri pemimpin berkesan di
atas, beberapa kesimpulan dapat dibuat. Diantaranya ialah kepimpinan ialah
perlakuan seseorang yang boleh menggerakkan orang lain untuk berfikir, merasa,
bertindak dengan cara-cara tertentu. Dalam hal ini seorang pemimpin harus mengetahui
keperluan dan motif orang-orang yang berkerja dengannya dan harus
menitikberatkan pencapaian matlamat kumpulan. Dia juga harus berjaya
mengekalkan kekuatan yang ada pada kumpulannya untuk menyelesaikan masalah dan
mencapai matlamat masa depan.
Seseorang pemimpin boleh menonjolkan
kepimpinannya hanya melalui penglibatannya dalam kumpulan. Dalam kumpulan pula
kekerapan interaksi bersama kakitangan membolehkan keberkesanan kepimpinannya.
Kalau seorang pemimpin sentiasa “bersembunyi” dalam biliknya dan tidak
mempunyai masa untuk berinteraksi dengan kakitangannya, maka kepimpinannya
kurang berkesan.
Kepimpinan bukan bergantung sepenuhnya
kepada jawatan. Status jawatan yang disandang hanya satu daripada punca potensi
kepimpinan. Kejayaan kepimpinan adalah fungsi kedua-dua kuasa; secara formal
melalui jawatan dan secara tidak formal yang bukan kerana jawatan, iaitu
penerimaan orang-orang bawahan.
Memimpinlah bukan sekadar mengarah.
Elakkan menimbul stress dalam organisasi yang dipimpin!
0 comments:
Post a Comment