Musibah
seperti banjir memang akan merugikan banyak pihak. Bukan sahaja harta benda boleh rosak, bahkan nyawa juga
turut boleh terancam. Dari segi
harta benda, kenderaan adalah antara yang besar nilainya di sisi kita. Bukan sahaja pada nilai harganya, bahkan
pada nilai jasanya. Tentu banyak
kos perlu dikeluarkan untuk membaikinya semula jika kenderaan ditenggelami
banjir. Bagaimana hendak
menyelamatkannya dan mengurangkan kos pembaikan tersebut?
Sebelum
masuk kepada cadangan jawapan kepada soalan tersebut, saya sekadar hendak
ingatkan kepada tuan/puan mangsa-mangsa banjir agar jangan berkalau-kalau
lagi. Contohnya:
“Kalaulah
aku sempat bawa kereta ni ke tempat lebih tinggi, tentu tak tenggelam.”
“Kalau
aku tak parking kat sini, tentu tak jadi begini.”
“Kalaulah aku tak datang bermalam kat
sini, tentu selamat dari ditimpa musibah ini.”
Sikap
berkalau-kalau begini memang akan menyerbu ke dalam qalbu kita saat musibah
begini. Rasulullah Nabi sallAllahu
`alaihi wa sallam pernah menasihatkan agar jangan bersikap seperti itu kerana
sikap tersebut akan mengundang Syaitan merosakkan iman dan qalbu kita.
“Jika
kamu tertimpa sesuatu, janganlah mengucapkan: “Seandainya/kalaulah saya berbuat begini dan begitu” tetapi
katakanlah, “ALLAH telah mentaqdirkannya, apa yang telah dikehendakiNYA pasti
akan terjadi”, kerana sesungguhnya kata-kata ‘seandainya/kalaulah’ itu membuka
jalan bagi Syaitan.” (HR Muslim)
Semoga
iman kita kukuh dan berjaya berhadapan dengan gangguan Syaitan atas ujian besar
ini. Dan semoga dengan kesabaran
dan sifat redha tuan/puan, ALLAH Ta`ala kurniakan pahala, penebusan dosa dan
kebaikan yang banyak buat tuan/puan mangsa-mangsa banjir, amin…
Baik,
sekarang kita masuk kepada apa yang perlu kita buat jika kenderaan ditenggelami
banjir. Berikut adalah beberapa
nasihat yang saya perolehi semasa tempat saya ditenggelami banjir sehingga
menyebabkan kenderaan saya tenggelam hingga hampir ke paras bumbung.
Sebelum Tenggelam:
1. Jika kenderaan memang tidak boleh
dilarikan ke tempat yang lebih tinggi dan ekzos kenderaan masih belum
ditenggelami banjir, maka sumbatlah lubang ekzos tersebut dengan sesuatu yang
padat dan kalis air. Contohnya
menutupnya dengan plastik.
2. Cabut terminal bateri kerana kita tidak
tahu berapa lama kenderaan kita akan dibiarkan tanpa dihidupkan kerana musibah
banjir bermacam-macam peringkat.
3. Selamatkan barang-barang yang dirasakan
penting terutama yang mudah rosak akibat air. Pendek kata, selamatkan semua yang boleh diselamatkan kerana
banjir bukanlah air biasa, tetapi air berlumpur.
Ketika Tenggelam:
1. Kenderaan yang sedang ditenggelami
banjir jangan dihidupkan enjinnya terutama apabila air banjir mulai menutup ekzos
kenderaan dan bahagian enjin .
Apatah lagi cuba untuk memandunya meredah banjir.
Setelah Banjir Surut:
1. Selepas banjir telah surut, jangan
hidupkan enjin! Jangan hidupkan
enjin! Jangan hidupkan enjin! Inilah pantang besar jika kenderaan
anda ditenggelami banjir besar, iaitu jangan hidupkan enjin!
2. Panggil lori tunda untuk ditunda ke
bengkel yang dipercayai. Komponen utama seperti enjin dan transmission mungkin
akan rosak. Samada rosak banyak
atau rosak sikit. Enjin mungkin
tak perlu overhaul, sekadar flush minyak enjin beberapa kali. In shaa’ ALLAH enjin OK. Kalau enjin dihidupkan semasa atau
selepas banjir surut, maka enjin akan mengalami kerosakan yang lebih parah.
3. Sistem transmisi pula kalau jenis
manual, maka prosesnya sama macam enjin.
Flush minyaknya beberapa kali sampai tiada air di dalamnya. Hal ini mekanik akan nasihat. Mungkin 3 hingga 5 kali flush. Atau mungkin lebih. Tapi kalau sistem transmisi jenis auto,
mungkin ada masalah yang lebih besar.
Kemungkinan kena overhaul atau lebih teruk dari itu iaitu tak dapat
diselamatkan. Terpaksa tukar gear
box baru. Harap-harap tidaklah
sampai macam itu.
4. Sistem elektornik boleh selamat in shaa’
ALLAH. Cuma dalam masa yang
panjang, mungkin baru nampak kesannya.
5. Kusyen pula memang kotor dan berbau
habislah. Kena cuci samada upah
atau sendiri. Kadang-kadang pihak
bengkel ada tawarkan juga khidmat cuci kenderaan dan kusyen khas akibat
banjir. Khidmat cuci kenderaan
akibat banjir ni memang mahal harganya sebab mereka akan buka habis kerusi
dalam kereta dan cuci dengan teliti.
Selepas siap dicuci, bau tidak menyenangkan tetap juga wujud selama
beberapa tempoh. Terpaksa
bersabarlah dengan bau tersebut tu dalam lebih kurang sebulan. Lama-lama OK, in shaa’ ALLAH.
Itulah
setakat yang saya tahu dan mampu berkongsi. Ini pun tahu sebab dulu kereta pernah tenggelam banjir. Kalau tuan/puan ada nasihat-nasihat
lain, silakanlah kongsi. Dan kalau
maklumat di atas tidak tepat, silalah betulkan. In shaa’ ALLAH kita sama-sama berkongsi untuk kebaikan
bersama.
Mengenai
kos pembaikan, ia sangat subjektif.
Bergantung kepada kita samada ada hidupkan enjin atau tidak. Jika hidupkan enjin, maka kos pembaikan
akan menjadi tinggi kerana komponen enjin boleh banyak rosak. Jika tidak hidupkan enjin, maka mungkin
kosnya tidak tinggi sangat. Lagi
satu faktor ialah jenis kenderaan.
Pihak bengkel akan nasihatkan proses semuanya. Jadi pemilihan bengkel yang dipercayai juga merupakan faktor
yang penting.
Semoga
ALLAH Ta`ala mempermudahkan urusan semua saudara-saudara kita yang mengalami
musibah banjir, dikuatkan kesabaran, dikurniakan kebaikan dari sisiNYA,
diberikan keselamatan dan dikeluarkan dari musibah tersebut dengan segera. Amin.
-
Muzir
0 comments:
Post a Comment