KELEMAHAN dalam SPPBS memberi tekanan hebat kepada guru,
sekali gus menjejaskan tumpuan golongan itu terhadap tugas hakiki.
- Gambar
hiasan
Sehari
lagi 2013 bakal melabuhkan tirainya, sekali gus meninggalkan dunia pendidikan
negara dengan pelbagai peristiwa untuk dikenang.
Dunia
pendidikan negara juga tidak ketinggalan dihimpit pelbagai isu panas dan kontroversi
walaupun sektor pendidikan dianggap ‘kurang popular’ berbanding ekonomi dan
politik.
Antara
isu hangat dunia pendidikan negara ialah pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran
Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Ia
dilihat satu kerugian kerana boleh merencatkan usaha memperkasakan sains dan
matematik dalam bahasa Inggeris.
Kebimbangan
itu turut disuarakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang
berpendapat bahasa Inggeris paling sesuai untuk mengajar subjek Sains dan
Matematik kerana ia adalah bahasa ilmu yang mampu menjamin Malaysia
disenaraikan sebagai negara maju di dunia.
Selain
itu, Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi Bahasa Inggeris di sekolah
kebangsaan menurun daripada 0.06 mata kepada 2.75 berbanding 2.69 yang
dicatatkan pada 2012.
Matematik
mencatat GPMP 2.27 berbanding 2.24 pada 2012 dan Sains dengan GPMP 2.36
berbanding 2.34 pada 2012.
Ia
dikatakan berpunca daripada pemansuhan PPSMI.
PPSMI terus dihimpit kemelut dan isu berpanjangan, apatah
lagi
menerusi keputusan peperiksaan nasional menunjukkan
penurunan pencapaian
peratusan pelajar.
- Gambar hiasan
Turut
menjadi perbincangan hangat ialah keluhan dan rintihan guru yang terpaksa
berdepan bebanan kerja melalui Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah
(SPPBS).
Walaupun
matlamat asalnya memudahkan tugas guru menghantar skor kepada pihak pusat, ia
menjadi igauan ngeri guru dan membebankan tugas mereka.
Sistem
Pangkalan Data PBS yang lemah membuatkan guru perlu memasukkan data pada waktu
lewat malam dan membuatkan mereka mengantuk pada waktu pagi.
Ini
menjejaskan mutu pengajaran dan pembelajaran sehingga pelajar tidak mendapat
pembelajaran sempurna kerana waktu guru dihabiskan pada tugas perkeranian,
selain sibuk memasukkan data dan mengemaskan rekod.
Walaupun
banyak rungutan dan rintihan, belum ada penambahbaikan dilakukan bagi mengatasi
masalah itu.
Selain
itu, isu pemansuhan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kepada sistem Pentaksiran
Berasaskan Sekolah (PBS) mencetuskan pelbagai reaksi.
PBS akan menjadi
penambah baik kepada PMR, namun
penjelasan mengenai pelaksanaannya yang masih
samar membimbangkan banyak pihak.
- Gambar hiasan
Pensyarah
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris,
Tanjung Malim, Profesor Dr Othman Lebar berkata, penjelasan PBS masih samar,
bahkan kurang menyeluruh.
“Hal
ini menimbulkan kebimbangan banyak pihak, apatah lagi PMR sudahpun berakhir
tahun ini, sedangkan ibu bapa yang mempunyai anak di tingkatan tiga tahun
depan masih tidak mendapat gambaran penuh mengenai PBS.
“Justeru,
pelaksanaan PBS memerlukan penjelasan mendalam dan menyeluruh supaya pihak pelaksana
membabitkan guru dan sekolah dapat mendalami kehendak sebenar sistem baru itu.
“Pihak
bertanggungjawab seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Lembaga
Peperiksaan Malaysia (LPM) perlu menerangkan dengan jelas mengenainya bagi
mengelak sebarang masalah,” katanya.
Turut
menarik perhatian dunia pendidikan tempatan apabila Pilihan Raya Kampus (PRK)
di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada tahun ini berlangsung aman tanpa
sebarang provokasi melampau.
Walaupun
sebelum ini banyak kemelut melanda PRK terutama membabitkan isu nasional, tahun
ini calon yang bertanding lebih menumpukan kepada isu dalaman kampus terutama
kebajikan siswa.
Bagaimanapun,
masih ada segelintir kecil siswa institusi pengajian tinggi (IPT) yang sanggup
memperjudikan masa depan dengan menyertai pelbagai demonstrasi bagi menyuarakan
ketidakpuasan hati.
Meskipun
Akta Universiti dan Kolej (AUKU) sudah dipinda dengan membenarkan golongan
siswa terbabit dalam kancah politik sihat, masih ada yang bertindak di luar
garisan norma dibenarkan.
Isu
transformasi KPM terutama menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)
2013-2025 turut mendapat perhatian.
Antara
misi PPPM ialah meningkatkan lagi taraf profesion keguruan menjadi lebih
berprestij dan elit dengan pengambilan dibuat hanya dalam kalangan graduan 30
peratus terbaik dalam negara dalam usaha mentransformasi profesion itu menjadi
profesion pilihan.
Menerusinya,
guru akan menerima program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) bagi
membantu guru mencapai potensi penuh.
Bagaimanapun,
timbul persoalan, bagaimanakah nasib graduan lain yang tidak mampu mencapai
tahap itu dan ke manakah mereka akan ditempatkan?
Dekan
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris
(UPSI), Prof Madya Dr Noor Shah Saad berkata, kelayakan bukan satu jaminan
kukuh untuk menjadi guru yang baik kerana masih banyak lagi latihan atau rutin
perguruan perlu diikuti sebelum mahir menjalankan tugas.
“Apa
disasarkan KPM (mengenai kelayakan guru) adalah usaha yang baik bagi
mencerminkan wawasan melahirkan guru berkelayakan cemerlang untuk masa depan.
“Namun,
ia perlu memikirkan juga masalah lain yang mungkin timbul akibat pelaksanaan
dasar itu seperti keciciran graduan tidak berkelayakan memenuhi prasyarat
ditetapkan.
“Mereka
yang memenuhi taraf kelayakan pula, adakah boleh menjadi guru yang baik dengan
hanya bersandarkan keputusan pada sehelai kertas semata-mata?” katanya.
KPM
juga berhasrat mengubah Institut Pendidikan Guru (IPG) kepada universiti
latihan guru bertaraf dunia menjelang 2020 dan menilai semula kurikulum latihan
praperkhidmatan semasa bagi memastikan guru bersedia untuk mengajar kemahiran
berfikir aras tinggi yang diperlukan murid.
Turut
menerima suntikan pembaharuan apabila sekolah vokasional dinaik taraf
sepenuhnya kepada kolej vokasional sebagai persediaan melahirkan pelajar
berkemahiran tinggi serta tenaga mahir dalam sektor industri untuk tempoh
jangka panjang.
- HMetro
0 comments:
Post a Comment