KUALA
LUMPUR: Rekod disiplin dan sahsiah pelajar wajar dijadikan kriteria dalam
mempertimbangkan permohonan biasiswa atau kemasukan ke sekolah berasrama penuh
(SBP) dan universiti.
Bagi
tujuan itu, Kementerian Pelajaran dicadang memperkenalkan mekanisme untuk
memantau dan merekod secara berterusan melalui penilaian di sekolah untuk
mengenal pasti perkembangan sahsiah dan disiplin setiap pelajar bermula dari
Tahun Satu.
Cadangan
itu adalah sebahagian daripada kandungan memorandum dikemukakan Majlis Pengetua
Sekolah Malaysia (MPSM) kepada kerajaan sebagai input kepada transformasi
sistem pendidikan negara yang sedang dirangka.
Yang
Dipertua MPSM, Muhamad Khailani Abdul Jalil, berkata kriteria itu dapat
mendidik dan memupuk pelajar supaya sentiasa peka kepada kepentingan sahsiah,
sekali gus membantu mengatasi masalah disiplin di sekolah.
“Antara
komponen penilaian boleh diambil kira dalam pemantauan terhadap sahsiah dan
disiplin pelajar ialah sikap, tingkah laku dan kehadiran ke sekolah. Malah,
boleh diperkenalkan sistem merit dan demerit untuk menilai disiplin pelajar.
“Sudah
sampai masanya aspek sahsiah dan disiplin tidak lagi hanya diajar sebagai mata
pelajaran, tetapi diberi penekanan lebih berat melalui penilaian terhadap
amalan sebenar supaya ia dapat dihayati dengan berkesan oleh pelajar di sekolah
dan ibu bapa.
“Ukuran
kecemerlangan seseorang pelajar tidak harus terbatas kepada pencapaian akademik
semata-mata, tetapi perlu holistik meliputi kokurikulum, kepemimpinan dan
kemasyarakatan, sahsiah serta disiplin yang dilihat penting untuk pembinaan
karakter generasi muda negara.
“Semua
pembaharuan ini mesti berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk masa
depan. Falsafah sedia ada sudah bagus dan tidak perlu digugurkan, cuma
pelaksanaannya boleh ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya kepada
Berita Harian, semalam.
Dalam
pada itu, Muhamad Khailani, berkata dalam memorandumnya, MPSM turut meminta
kerajaan terus mengekalkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar
dalam sistem pendidikan negara.
“Ini
berikutan melalui Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) 2012 yang sedang
berlangsung, dilihat ada kecenderungan sesetengah peserta yang mahu supaya
diwujudkan semula sekolah aliran Inggeris sebagai pilihan dalam sistem
pendidikan negara.
“Kita
tak setuju. MPSM akan bergabung usaha dengan pejuang bahasa untuk memastikan
bahasa Melayu kekal sebagai bahasa pengantar tunggal dalam sistem pen-didikan
negara seperti termaktub dalam Dasar Bahasa Kebangsaan dan Penyata Razak,”
katanya.
Sementara
itu, Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom,
berkata hasil perbincangan siri DNPN 2012 yang kini memasuki fasa pertengahan
akan diserahkan kepada Pengerusi Panel Penilai Bebas Kajian Semula Sistem
Pendidikan Negara, Profesor Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak, Ogos depan.
Panel
itu sudah menjelajahi lima tempat setakat ini, iaitu Putrajaya, Labuan, Miri,
Shah Alam dan Pulau Pinang, manakala yang terakhir di Johor Bharu akan diadakan
bulan depan.
- BERITA HARIAN
0 comments:
Post a Comment