Allah janjikan ganjaran setimpal kepada setiap tugas dibuat penuh ketulusan
tanpa harap balasan
ADA yang membuat perbandingan bahawa
keikhlasan itu seumpama seekor semut hitam di atas batu yang hitam pada malam
yang amat kelam. Ia wujud tetapi amat sukar dilihat. Bermaksud betapa sukarnya
mengesan keikhlasan yang ada pada diri seseorang walaupun sememangnya ia
begerak dalam naluri manusia. Hanya Allah saja yang mengetahui apa yang
tersirat yang dilakukan oleh seseorang itu walaupun secara bersembunyi.
Dari segi bahasa, istilah ikhlas
merujuk kepada bersih hati atau tulus hati. Sebenarnya istilah ikhlas yang kita
guna pakai hari ini diambil daripada bahasa Arab iaitu khalasa dan yukhlisu
yang bererti bersih, murni dan jernih. Umumnya, ikhlas memberi makna menjadikan
segala sesuatu bersih dan menghilangkan segala kotoran yang bertempelan. Secara
komprehensif ia bermaksud melakukan segala amal perbuatan yang diredai Allah
dengan memurnikan niat secara tulus hati dan bersih hati hanya kerana Allah
semata-mata dengan tidak mengharapkan sedikit pun imbalan daripada pihak lain.
Ibnu Masud RA sahabat yang ternama dan
paling cerdas dalam hafalannya menyatakan bahawa perkataan dan perbuatan
seorang hamba tidak akan bermanfaat kecuali dengan niat ikhlas dan tidaklah
akan bermanfaat pula perkataan, perbuatan dan niat seorang hamba kecuali yang
sesuai dengan sunnah Rasulullah SAW.
Keikhlasan memurnikan niat kerja yang
dilakukan seseorang hanyalah kerana Allah dan bukannya kerana riak. Mereka
tidak menyimpan keinginan untuk dipuji oleh orang lain, apa lagi untuk mengejar
hierarki manusia sama ada dari segi pangkat atau kedudukan.
Abul Qosim Al Qusyairi, seorang ulama
menyatakan bahawa ikhlas menjadikan niat hanya untuk Allah dalam melakukan
amalan ketaatan. Jadi, amalan ketaatan itu dilakukan dalam rangka mendekatkan
diri pada Allah dan bukanlah ingin mendapatkan pujian daripada makhluk atau
yang dilakukan bukanlah di luar mendekatkan diri pada Allah.
Ulama bersepakat bahawa orang yang
ikhlas itu sama sekali tidak mempunyai niat untuk menjadi seorang yang sumah,
mengelakkan diri daripada dipuji, tidak sombong, tidak riak, selalu merendah
dan suka beramal. Kalangan mereka juga banyak bersabar, sentiasa tenang dalam menghadapi
cabaran dan mudah bekerjasama dengan orang lain untuk tujuan kebaikan dan
senang melakukan amal yang bermanfaat. Allah berfirman yang bermaksud: Maka
sembahlah Allah dengan mengikhlaskan agama kepada-Nya. (Surah Az Zumar, ayat 2)
Allah memandang tinggi kepada mereka
yang ikhlas dalam melaksanakan perkara baik, mahupun berjumpa dengan saudara
atau kenalan. Meletakkan niat yang betul bersamanya adalah ganjaran yang
dijanjikan Allah. Rasulullah SAW menceritakan satu kisah mengenai seorang
lelaki yang mengunjungi saudaranya di kota lain, maka Allah mengutus malaikat
di perjalanannya. Ketika malaikat itu bertemu dengannya lalu menyapa: Hendak ke
mana engkau?, maka lelaki itu berkata: Aku ingin mengunjungi saudaraku yang
tinggal di kota ini. Maka malaikat itu bertanya: Apakah engkau memiliki suatu
kepentingan yang akan menguntungkanmu (apabila bertemu) dengannya? Lelaki itu
pun menjawab: Tidak, hanya saja aku mengunjunginya kerana aku mencintainya
kerana Allah. Malaikat itu lalu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah
untuk mengkhabarkan kepadamu bahawa sesungguhnya Allah menyintaimu seperti
engkau mencintai saudaramu itu kerana-Nya. (Riwayat Muslim)
Kadangkala kita tidak sedari sudah
melakukan pekerjaan yang dibuat secara ikhlas semata-mata kerana Allah.
Walaupun sumbangan yang diberikan kecil saja tetapi besar ganjarannya di sisi
Allah.
Kisah seekor anjing sedang kehausan
yang telah diberi pertolongan oleh seorang wanita wajar dijadikan pedoman
walaupun sumbangan wanita itu dianggap kecil kepada manusia tetapi besar
pengertiannya di sisi Allah.
Sebagai makhluk kita mengharapkan
keredaan bersama keampunan Allah. Perkara kebaikan yang dilakukan sekiranya
tiada keikhlasan diyakini tidak akan mendapat ganjaran di sisi Allah sama ada
kita menzahir atau menyembunyikannya.
Firman Allah yang bermaksud:
Katakanlah, jika kamu menyembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu
melahirkannya, pasti Allah mengetahui. ( Surah Ali Imran, ayat 29)
Sebenarnya, keikhlasan bekerja boleh
merangsang peningkatan produktiviti seseorang. Pekerja yang ikhlas akan
melakukan kerjanya secara bersungguh-sungguh dan penuh komitmen. Lazimnya
mereka yang ikhlas dalam bekerja akan memperoleh nikmat berupa ganjaran yang
dijanjikan Allah di dunia dan di akhirat.
- bharian
0 comments:
Post a Comment