Seorang pemuda yang beriman telah pergi
melancong ke Russia. Di sana ramai penduduknya terdiri daripada orang yang
tidak beragama. Mereka dikenali sebagai Athies dan Free Thinkers.
Pemuda tersebut tertarik dengan
fesyen-fesyen rambut beberapa pemuda lelaki di bandar tersebut. Dia ingin
mengikut fesyen rambut mereka. Maka diapun, masuk ke salah satu kedai gunting
yang berdekatan.
Kebetulan, tukang gunting tersebut
seorang yang sangat fasih berbahasa Inggeris dan amat peramah. Sambil
menggunting rambut mereka berdua pun berbual-bual. Banyak perkara yang
dibualkan termasuk tukang gunting bertanya apa agama pemuda tersebut.
Setelah mengetahui pemuda itu beragama
islam, tukang gunting tersebut telah mengambil kesempatan untuk bertanya
tentang Islam, tujuannya bukan untuk mengetahui lebih lanjut tentang Islam,
tetapi lebih untuk menimbulkan rasa sangsi pemuda tersebut terhadap Islam.
Tukang gunting berkata :
"Sebenarnya TUHAN tidak ada. Kalau
TUHAN ada tidak mungkin dunia ini tidak aman. Banyak sekali jenayah, gempa
bumi, banjir, peperangan, kebuluran dan sebagainya. Walhal, umat Islamlah yang
paling banyak mendapat bencana seperti peperangan, kebuluran, kemunduran dan
sebagainya".
Pemuda itu hanya diam. Pening juga
bagaimana hendak memberikan penjelasan kembali.
Tambah tukang gunting itu lagi:
"Sebab itulah kami di sini tidak
menganut sebarang agama. Kami beranggapan bahawa TUHAN itu TIADA". Kamu
lihat negara kami lebih aman dan makmur berbanding dengan sesetengah negara
Islam".
Pemuda tadi terus membisu, jam
ditangannya dirasakan teramat lambat berputar. Namun di dalam hatinya berdoa
semoga Allah membantunya agar diberikan hikmat ilmu untuk menjawab tuduhan
tukang gunting tersebut.
Tukang gunting dengan senyum sinis
semakin galak menerangkan tentang kehebatan dan kemakmuran negaranya yang tidak
percayakan wujudnya TUHAN. Selesai saja menggunting rambut, pemuda tadi terus
membayar upahnya. Dia bergegas keluar.
Baru saja dia hendak membuka pintu
kedai gunting tersebut, tiba-tiba dia melihat seorang lelaki peminta sedekah yang
berpakain lusuh, kotor dan rambutnya panjang tidak terurus sedang berjalan di
hadapan kedai tersebut.
Maka pemuda tadi mendapat idea; dia
tidak jadi keluar dari kedai dan terus menoleh kepada tukang gunting sambil
berkata;
"Sebenarnya, di dunia ini semuanya
ada, termasuklah adanya ALLAH Tuhan sekelian alam. Kecuali satu perkara sahaja
yang tidak ada di dunia ini"
Terkejut tukang gunting tadi.. lalu
bertanya;
"Apakah satu perkara yang tidak
terdapat di dunia ini?"
Dengan tenang dan selamba pemuda tadi
menjawab : "TUKANG GUNTING"
Kata tukang gunting dengan penuh
emosinal: "Bukankah kamu yang bergunting dengan saya tadi"
Pemuda itu membalas:
"Kalau ada tukang gunting di dunia
ini, tidak mungkin peminta sedekah itu berambut panjang"
Jawab tukang gunting tersebut:
"Itu salah dia. Kalau dia datang
mendapatkan saya, tentu saya guntingkan rambutnya."
Kemudian pemuda itu berkata:
"Begitulah juga dengan masalah
dunia sekarang. Allah sebagai TUHAN itu ada, bukannya TIADA. Itu semua salah
manusia. Kalau mereka mengadu atau meminta pertolongan kepada Allah, tentu
semua masalah itu akan selesai".
Pemuda itu menambah:
"Ini tidak, lari dari Allah
sebagai TUHAN, malah sesetengahnya menganggap TIADA TUHAN"
Tukang gunting itu terlopong dan tunduk
malu. Niatnya untuk mengenakan pemuda tadi nampaknya tidak berjaya, sebaliknya
dia yang terpukul oleh perbandingan yang dikemukakan pemuda tadi.
Kemudian pemuda tadi terus keluar.
KESIMPULAN:
Kenapakah Allah memberi (orang Islam
yang beriman) dengan pelbagai ujian seperti gempa bumi, banjir, peperangan,
kebuluran dan sebagainya?.
Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah
ayat 214;
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum
sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada
orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan
(kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman
bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada
bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah
sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang
teguh kepada ugama Allah).
Wallahua'lam.
0 comments:
Post a Comment