Banyak ayat al-Quran dan hadis yang
membincangkan soal syukur. Ada yang menjelaskan hakikat syukur, perintah
bersyukur, manfaatnya, alasan bersyukur, balasan bagi yang bersyukur dan
ancaman bagi yang tidak bersyukur.
Oleh itu, bersyukur adalah sifat yang
mulia di sisi Islam. Kita sering mendengar keluhan dan rungutan daripada
manusia yang tidak tahu erti syukur serta sering mempersoalkan segala
kekurangan diri mereka.
Sebagai manusia, tentu pernah terdetik
dalam hati mengapa kadangkala seseorang itu sentiasa mendapat kegembiraan
seperti cepat naik pangkat, murah rezekinya serta beroleh kejayaan cemerlang
dalam pelajaran sedangkan dia selalu melakukan kemungkaran?
Harus diingat penganugerahan yang
dikurniakan oleh Allah kepada hamba-Nya adalah satu bentuk ujian untuk menilai
sejauh mana keikhlasan orang berkenaan. Allah mengurniakan rezeki kepada
hamba-Nya tanpa menilai baik buruk seseorang.
Anugerah Dikurniakan Untuk Menilai Keikhlasan Insan
Allah menguji setiap hamba dengan
anugerah yang dikurniakan untuk menilai sejauh mana keikhlasan dan kesedaran
insan berkenaan.
Jika dia hamba Allah yang sedar akan
tanggungjawabnya sebagai manusia, dia akan sentiasa sedar kelemahan dirinya dan
bersyukur dengan kurniaan tersebut serta berubah untuk menjadi insan yang
terbaik, tetapi jika berlaku sebaliknya, maka dia menimbulkan kemurkaan Allah.
Allah berfirman yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, makanlah antara
rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah,
jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah.” (Surah al-Baqarah, ayat 172)
Seterusnya firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya apa yang kamu sembah selain Allah itu adalah berhala, dan
kamu membuat dusta. Sesungguhnya yang kamu sembah selain Allah itu tidak mampu
memberikan rezeki kepadamu; maka mintalah rezeki itu di sisi Allah, dan
sembahlah Dia dan bersyukurlah kepada-Nya. Hanya kepada-Nya kamu akan
dikembalikan.” (Surah al-Ankabut, ayat 17)
Oleh itu, manusia perlu menyemai rasa
syukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah. Sifat syukur selalu datang apabila
kita pernah berasa suatu kehilangan.
Jelaslah bahawa, sifat syukur atau
berterima kasih adalah sifat terpuji yang paling tinggi bagi nilai seorang
Muslim.
Jika sabar membawa erti seseorang itu
berjaya mengawal dan menahan dirinya daripada sesuatu, maka syukur membawa erti
kita melakukan sesuatu itu untuk menunjukkan yang kita gembira dengan pemberian
Allah.
Bersyukur adalah sifat yang kekal
sehingga dimasukkan kita ke dalam Syurga.
Sujud Syukur Amalan Sunah
Di samping itu, melakukan sujud syukur
juga amalan sunah yang harus diamalkan setiap Muslim.
Sujud syukur adalah sunah yang ditinggalkan
kepada kita untuk menunjukkan terima kasih atas nikmat yang dilimpahkan Allah
SWT atau terhindar seseorang daripada bahaya dan malapetaka.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang bersyukur, maka
sesungguhnya faedahnya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, (tetapi)
sesiapa yang kufur (tidak bersyukur) maka tidaklah menjadi hal kepada Allah
kerana sesungguhnya Allah itu Maha Kaya lagi Maha Terpuji. (Surah Luqman ayat
12)
Dalam kita melayari kehidupan ini,
perlu diletakkan kesedaran pada diri, bahawa dunia pasti akan ditinggalkan dan
akhirat tempat yang pasti kita datangi.
Apabila manusia hilang rasa syukur,
mereka berasakan dunia ini lebih besar berbanding akhirat, maka manusia mula
melakukan perkara yang dilarang Allah.
Sebagai hamba di muka bumi ini, kita
mesti sentiasa reda dan bersyukur atas nikmat yang Allah kurniakan kepada kita
walau ia sekecil zarah sekalipun.
- BHarian
0 comments:
Post a Comment