NILAI,
19 Mei (Bernama) -- Semua sekolah vokasional di negara ini dijangka dapat
dinaik taraf kepada kolej vokasional menjelang tahun 2015, kata Timbalan Menteri
Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.
Katanya
pada masa ini sebanyak 15 sekolah vokasional yang mewakili setiap negeri telah
dinaik taraf kepada status itu, dan bertindak sebagai program rintis yang
bertujuan mentransformasikan sistem pendidikan.
"Secara
keseluruhannya penaiktarafan ini akan memberi tumpuan kepada kemahiran, pelajar
tidak perlu memakai pakaian sekolah dan kita ubah persekitarannya,"
katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival dan Ekspo Persatuan Ibu
Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Kompleks KLIA, di sini Sabtu.
Kurikulum
vokasional juga akan dirombak secara komprehensif agar mencapai standard yang
memenuhi keperluan pasaran kerja selain pengenalan beberapa kursus baharu
seperti kursus penerbangan bagi menarik minat pelajar, katanya.
Katanya
pelajar akan mengikuti kursus selama lapan semester, meliputi 70 peratus
kemahiran dan 30 peratus akademik serta akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia
(SKM) Tahap Empat setaraf diploma daripada Kementerian Sumber Manusia.
-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment