Jasa bimbing pelajar jadi insan berguna
tidak ternilai
KECEMERLANGAN hidup seseorang di dunia
ini tidak dapat lari daripada sumbangan dan pengorbanan ibu bapa, keluarga,
rakan dan guru. Sumbangan dan pengorbanan itu tidak mampu dibalas, lebih-lebih
lagi sumbangan guru membimbing ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan
akhirat.
Tarikh 16 Mei setiap tahun amat
bermakna bagi warga guru yang pasti diingati, dihargai dan diraikan. Tidak
kiralah siapapun yang pernah mengajar kita, banyak atau sedikit ilmu
dicurahkan, bangsa atau agamanya, mereka tetap guru kita.
Merekalah yang mengajar membaca,
menulis dan mengira supaya kita menjadi insan berilmu. Oleh itu, adalah wajar
kita mengiktiraf sumbangan dan jasa guru terhadap pembangunan masyarakat serta
negara.
Berdasarkan sumbangan guru, maka tema
sambutan Hari Guru tahun ini ialah ‘Guru Inovatif Melonjakkan TransformasiPendidikan Negara’.
Guru Inovatif mampu membuat
transformasi (perubahan) atau mencipta sesuatu yang baru dalam bentuk sumber
atau kaedah sesuai dengan perkembangan semasa ke arah penjanaan dan
perkembangan minda lebih dinamik.
Atas dasar itu, guru harus menggarap
elemen inovasi dalam melonjak transformasi pendidikan negara, dengan menerapkan
idea serta kepakaran sebagai proses pengajaran dan pembelajaran supaya sumber
ilmu disebarkan secara paling kreatif.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan
siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah)
bagi orang-orang Yang berakal.” (Surah Ali-Imran, ayat 190)
Menurut Imam al-Qurtubi, ayat ini
mengandungi perintah Allah supaya manusia menggunakan akal dan fikiran untuk
melakukan penelitian serta penyelidikan terhadap dalil kekuasaan Allah. Budaya
mengkaji dan bermuhasabah ini diharapkan mampu menjana guru berinovasi.
Usaha melahirkan modal insan beriman
dan bertakwa bukanlah suatu usaha mudah yang boleh dipandang remeh. Usaha itu
memerlukan ilmu dan kemahiran tinggi. Guru berkorban masa, tenaga dan wang
ringgit tanpa mengenal erti penat serta perasaan jemu memastikan anak didiknya
menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Guru berperanan sebagai ejen perubahan
berganding dengan ulama dan umara menggerakkan usaha membangun modal insan
terbilang. Berkat kesabaran, kesungguhan dan pengorbanan guru, lahirlah mereka yang
berjaya dan tersohor.
Guru membangun minda anak dengan ilmu
fardu ain, fardu kifayah, ilmu kehidupan termasuklah sains dan teknologi. Guru
bukan hanya sekadar mengajar, malah membentuk akhlak terpuji supaya pelajar
bukan saja hebat intelek malah beradab dan berintegriti.
Itulah matlamat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan yang bertepatan dengan maksud hadis Nabi SAW: “Apabila seorang anak
Nabi Adam meninggal dunia maka terputuslah (pahala) amalannya kecuali tiga
perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang
mendoakan (rahmat dan keampunan) untuknya.” (Hadis riwayat Muslim)
Suasana harmoni dan hubungan mesra
antara guru, ibu bapa dan masyarakat perlu diperkukuhkan demi melicinkan proses
pendidikan. Janganlah diperbesar atau disensasikan isu remeh-temeh, sebaliknya
setiap isu diselesaikan secara bijaksana.
Budayakan amalan perundingan seperti
tuntutan Islam bagi mengelak timbulnya pelbagai kesan tidak diingini kepada
semua pihak.
Jasa guru perlu dihargai dengan cara
mendoakan kebahagiaan mereka sama ada yang masih hidup atau sudah meninggal
dunia, menziarahi guru-guru untuk mengeratkan silaturahim, menghulurkan
sumbangan mengikut kemampuan kepada institusi pendidikan.
Berkatalah dengan lemah-lembut dan
jangan sekali-kali menyakiti hati guru. Ucapkan terima kasih kepada guru dan
semua insan yang pernah menabur bakti kepada kita.
- KHUTBAH JUMAAT
0 comments:
Post a Comment