MUAR, 4 Mei (Bernama)
-- Sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara berkemungkinan
diberi lebih banyak kuasa autonomi bagi membolehkan usaha meningkatkan akedemik
yang lebih tepat dilakukan bersesuaian mengikut sekolah masing-masing.
Timbalan Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini merupakan antara langkah
kementerian itu untuk menjadikan hala tuju pendidikan di negara ini lebih
mantap setanding dengan negara maju.
Muhyiddin, yang juga
Menteri Pelajaran, berkata autonomi peringkat sekolah dan daerah dinyatakan
buat kali pertama bukanlah kerana Kementerian Pelajaran mahu melepaskan
tanggungjawab, sebaliknya menyedari wujudnya keadaan yang berbeza antara satu
daerah dan daerah lain. Perbezaan itu, katanya bukan sahaja dari segi keluasan
kawasan dan saiz tetapi juga isu serta masalah disebabkan eko-sistem yang tidak
serupa.
"Jadi ia perlukan
satu pendekatan dan cara untuk tangani untuk menentukan sekolah di kawasan itu
dapat mencapai tahap kecemerlangan yang kita hendak miliki," katanya
ketika berucap pada Majlis Jalinan Mesra Warga Pendidik dan Perasmian Bangunan
PPD Muar di sini.
Muhyiddin berkata
dengan langkah itu, PPD boleh bertanggungjawab dan mengambil langkah
penambaikan secepat mungkin sekiranya timbul sebarang masalah di sekolah itu.
Malah, katanya bagi
keadaan di sesetengah negeri seperti Sabah dan Sarawak, PPD akan menjadi
organisasi yang lebih penting untuk menentukan apa sahaja dasar yang hendak
dilaksanakan oleh kerajaan, dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Katanya jika perkara
itu dapat dilaksanakan, maka keadaan di sekolah sama ada dari segi pentadbiran
mahupun akedemik akan bertambah baik.
-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment