KOTA BHARU: Jabatan
Pelajaran Kelantan menjadi perintis mengguna perisian yang dikenali sebagai
'i-Hadir' bagi mengenal pasti kehadiran pelajar ke sekolah dan mengesan pelajar
ponteng.
Inovasi baru yang
diperkenalkan oleh Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran
Kelantan itu boleh diakses bila-bila masa serta memudahkan pihak sekolah dan
ibu bapa mengetahui kedatangan anak mereka ke sekolah.
Pengarah Pelajaran
Kelantan, Hussain Awang, berkata, i-Hadir adalah aplikasi mudah, cepat dan tepat,
dengan pihak sekolah akan memasukkan rekod kedatangan harian murid ke dalam
komputer yang dilengkapi perisian berkenaan.
Pada masa sama,
katanya, data itu boleh dipantau oleh pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan
Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) walaupun berada di tempat lain.
“Sekiranya ada pelajar
yang kerap tidak hadir, pihak JPN akan merujuk semula kepada pihak sekolah
berhubung tindakan yang diambil.
“Secara tak langsung,
aplikasi ini akan menjadi penghubung antara pihak sekolah dan PPD seterusnya
JPN,” katanya pada majlis pelancaran i-Hadir pada perhimpunan ‘Bulanan Jabatan
Pelajaran Kelantan di Dewan Bestari, Sekolah Kebangsaan Padang Garong 1, di
sini, semalam.
Turut hadir, Ketua
Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Kelantan, Rosnah
Wan Ibrahim.
Perisian yang mula
diguna dua bulan lalu itu adalah program perintis, dilihat mampu mengesan
kehadiran pelajar ke sekolah dan pada masa sama dapat mengurangkan masalah
ponteng membabitkan pelajar sekolah bandar dan luar Bandar.
0 comments:
Post a Comment