Mungkin ramai diantara kita yang merasai menjadi
muslim kerana faktor keturunan. Namun pernahkah kita terfikir adakah kita
mengamalkan cara hidup islam? Adakah kita selalu bermuhasabah dan bertanya pada
diri kita sendiri “Adakah aku seorang individu muslim yang baik?” Tapi pasti
ramai diantara kita lebih memilih untuk terus khayal dengan cinta manusia yang
merosakkan, atau kita lebih memilih untuk berfikir soal hidup daripada mati.
Akhirnya kita menjadi manusia yang jauh dari Ilmu Allah dan tersungkur di
lembah kejahilan yang penuh nista. Persoalannya kini, siapakah yang akan
menyelamatkan mereka yang hidup dalam dunia bergelumang dosa dan jahil tentang
hakikat kehidupan di dunia ini?
Firman Allah:
“Tidak Aku ciptakan jin dan Manusia melainkan
hanya untuk beribadah kepada-Ku.” (Surah Adz -Dzariyat, 56)
Hidup ini sebuah perjuangan, dan perjuangan
untuk membebaskan saudara seislam kita dari kejahilan merupakan satu jihad yang
sangat mulia. Adakah Allah anugerahkan ilmu kepada insan-insan yang fakeh
tentang islam hanya bertujuan untuk mengauli “kaki-kaki masjid dan surau”?
Adakah ilmu Allah ini terpilih kepada mereka yang mahukan islam ? Ilmu Allah
itu tiada batasnya. Menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang muslim yang
Allah kurniakan sedikit ilmu untuk mendekati golongan-golongan jahil ini.
Firman Allah:
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada
orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata :
Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.” (Surah Fussilat :
33)
Wahai para daei, adakah dakwah itu hanya
semata-mata kalian mengajak mereka yang hanya mahukan islam dan tidak
menyantuni mereka yang jauh dari Islam? Adakah ilmu kamu terlalu suci sehingga
kamu merasakan terhina apabila berkongsi ilmu dengan penjahil-penjahil ini ?
Kenapa kalian tinggalkan penjahil-penjahil ini jauh di belakang? Mengapa
apabila kalian melintasi mereka hanya pandangan sinis yang kalian lontarkan?
Adakah penjahil-penjahil ini tiada nilai di sisi Allah? Muhasabah wahai para
daei, mujahid dan mujahiddah. Tegar kamu membiarkan saudaramu sedemikian rupa?
Terlalu hinakah mereka? Adakah uslub dakwah yang kalian gunakan hanya
semata-mata untuk insan yang kalian sangka baik? Jika kamu berfikir sedemikian
rupa, betapa kita kini mempunyai para daei yang tiada jiwa ummah.
Percayalah, setiap insan yang Allah ciptakan itu
punya nilai disisi Allah “Kejahilan Mereka adalah Aset Kita”.
- Ismi Asraf
0 comments:
Post a Comment