KUALA
KANGSAR 16 Mei - Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru
sedang melaksanakan 28 perakuan bagi menangani 14 isu yang memberi kesan
terhadap beban tugas guru, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin.
Beliau
berkata, antara langkah yang dilaksanakan Jawatankuasa Kerja itu adalah
memperkenalkan Sistem Pengurusan Sekolah yang merupakan satu sistem tunggal
kemasukan data untuk mengurangkan beban tugas guru yang menggunakan pelbagai
sistem kemasukan data pada masa ini.
"Sistem
ini telah dilaksanakan secara rintis di 88 buah sekolah dan dijadualkan semua
sekolah di bawah Kementerian Pelajaran akan menggunakan sistem baru ini
menjelang 2013," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Guru 2012
peringkat kebangsaan ke-41 di sini, hari ini.
Beliau
berkata, kementerian turut menjalankan kajian rintis bagi penempatan Pembantu
Tadbir N17 hingga Jun 2012 untuk melihat impak penempatan kakitangan itu bagi
mengurangkan beban tugas perkeranian guru.
"Seterusnya
satu cadangan akan dikemukakan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam bagi
peluasan penempatan Pembantu Tadbir N17 di sekolah-sekolah di bawah
kementerian," katanya.
Muhyiddin
yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagi menangani isu beban tugas guru itu
juga, semua Jabatan Pelajaran Negeri telah melaksanakan pemansuhan ujian dan
peperiksaan setara serta menambah baik pengendalian ujian dan peperiksaan di
peringkat sekolah.
Oleh
itu, katanya, pada tahun ini hanya satu peperiksaan setara sahaja dibenarkan.
"Pemansuhan
sepenuhnya ujian dan peperiksaan setara akan dikuatkuasa mulai 2013, di mana
semua ujian akan dijalankan di waktu pengajaran dan pembelajaran,"
katanya.
Katanya,
kerajaan tetap mengambil perhatian serius terhadap keluhan guru yang terbeban
dengan pelbagai tugasan dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan organisasi
sekolah.
Beliau
berkata, kualiti guru perlu dimantapkan, mutu kepimpinan sekolah perlu ditingkatkan,
kurikulum dan sistem pentaksiran perlu diperkemaskan, prasarana sekolah perlu
ditambahbaik serta sumber dan sistem penyampaian pendidikan perlu diurus dengan
cekap.
"Pendek
kata, keseluruhan sistem pendidikan kita perlu disemak dan dimantapkan
kualitinya secara bersepadu," katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment