KUALA
LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Setakat ini Kementerian Pelajaran (KPM) masih
mengekalkan peraturan larangan membawa dan menggunakan telefon bimbit oleh
pelajar sekolah melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/2009.
Menteri
Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata satu sesi perbincangan meja bulat
telah diadakan pada 25 Ogos lepas melibatkan pihak berkepentingan antaranya
pengetua, guru dan ibu bapa membincangkan keperluan serta cadangan berkaitan
penggunaan peralatan komunikasi oleh pelajar sekolah.
"KPM
sedang meneliti secara menyeluruh pendapat serta pandangan masyarakat termasuk
tokoh akademik, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO), guru, ibu bapa dan
murid-murid sebelum satu keputusan muktamad diumumkan," kata Muhyiddin
yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam jawapan bertulis kepada soalan Liang
Teck Meng (BN-Simpang Renggam) di Parlimen di sini pada Rabu.
Liang
ingin tahu perkembangan terkini mengenai hasrat kementerian itu membenarkan
pelajar sekolah membawa telefon bimbit dan alat-alat elektronik ke sekolah
serta kesan sampingan sekiranya dasar ini dilaksanakan.
Muhyiddin
berkata kementerian telah menjalankan kajian dalam kalangan pelajar serta guru
sekolah bagi mendapatkan pandangan mengenai penggunaan peralatan komunikasi di
sekolah.
Katanya
kajian melibatkan 274 responden itu dijalankan di sembilan sekolah di daerah
Seremban dan Port Dickson.
Pada
Julai lepas, kementerian itu mengusulkan cadangan membenarkan pelajar membawa
peralatan komunikasi seperti telefon bimbit dan iPad ke sekolah bermula tahun
depan.
Bagaimanapun
cadangan itu mendapat bantahan terutama daripada persatuan ibu bapa dan guru
yang rata-rata berpandangan langkah tersebut akan mengundang lebih banyak
masalah selain menjejaskan pembelajaran pelajar.
0 comments:
Post a Comment