Ilmu itu merupakan cahaya, dan ianya
tidak akan memasuki hati-hati yang gelap tetapi kita lihat, orang yang berjudi,
minum arak, menipu dan sebagainya boleh pula berjaya, sedangkan kita
terkial-kial walaupun sudah berusaha. Kita tahu bahawa, siapa yang berbuat
baik, taat kepada ALLAH akan dipermudahkan jalan kehidupannya, tetapi kita
lihat, orang yang tidak solat tetapi berjaya, kita pula hidup dengan penuh
cabaran dan dugaan.
Kenapa begitu? Apakah kita berada
dijalan yang benar? Adakah kita faham selama ini tidak benar?
Maka saya hendak bertanya kepada anda.
Adakah anda tahu apa itu istidraj?
Istidraj ini adalah satu kalimah, yang
sering menunjuk kepada keadaan seseorang itu yang terus dilimpahkan rezeki dan
kejayaan yang melimpah ruah dalam kehidupannya, walaupun dia bukan hamba ALLAH
yang taat! Malah seorang pembuat maksiat yang tegar. Kenapa mereka ini
dinamakan manusia yang mendapat istidraj?
Istidraj adalah, apabila ALLAH
memberikan kejayaan, harta kekayaan, rezeki yang melimpah ruah untuk manusia
itu menjadi lebih jauh dariNya!.
Biasanya, manusia yang mendapat
istidraj ini adalah mereka yang tidak berusaha menjalankan ISLAM dalam
kehidupan, juga tidak berusaha mengenali ALLAH SWT.
Contoh manusia yang mendapat istidraj
ini banyak. Saya bagi contoh yang paling mudah. Salah seorang darinya adalah
Qarun. Apakah anda kenal kepada Qarun? Dia ini adalah seorang manusia yang
teramat kaya.
Kisah Qarun terdapat di dalam Al-Quran.
Hartanya melimpah ruah. Segala perniagaannya menjadi. Segala pelaburannya
mengembang. Hartanya makin hari makin bertambah, sedang yang bertambah semalam
tidak pula luak digunakan. Tetapi bila Nabi Musa cuba mengingatkannya berkenaan
semua kekayaannya itu datang daripada ALLAH, maka Qarun dengan angkuh menjawab;
“ Tidak, semua ini adalah hasil dari
ilmuku”
Lihat apa kata Qarun, “Tidak, semua ini
adalah hasil dari…ILMUKU”. Dia nyata semakin jauh dari ALLAH. Saban waktu pula memperlekehkan
pengikut-pengikut nabi Musa yang terdiri dari orang miskin dan hamba.
Apakah pengakhiran Qarun? Dia akhirnya
ditenggelamkan ALLAH ke dalam bumi dengan seluruh hartanya. Kisah ini terdapat
di dalam Al-Quran.
Apakah itu yang kita mahu?
Marilah kita sama-sama berfikir, apakah
yang akan timbul di dalam hati kalian apabila kalian ini jenis yang melazimi
dosa-dosa, melakukan maksiat, kemudian kalian berjaya di dalam peperiksaan atau
pekerjaan. Apakah yang agaknya akan timbul dalam jiwa kalian?
Apakah yang akan terjadi kepada anda
ketika itu? Anda berjaya, tetapi anda langsung lupa bahawa yang memberi
kejayaan adalah Allah SWT, dan ini buktinya anda semakin jauh dari ALLAH.
Itulah istidraj.
Maka jangan gusar bila tidak berjaya.
Cuba lagi! Hubungan keimanan anda dengan ALLAH itulah yang pertama sekali perlu
anda perhatikan. Jika anda berjaya membina hubungan keimanan yang baik,
insyaALLAH, datanglah badai apa sekalipun, anda akan mampu melaluinya.
Sebenarnya ALLAH suka menguji
hamba-hambaNya yang beriman. Terdapat satu kisah yang saya suka baca ketika
saya masih kecil.
Terdapat dua orang nelayan. Seorang
penyembah berhala, dan seorang lagi muslim yang taat kepada ALLAH. Ketika
menebar jala, yang menyembah berhala menyebut nama berhalanya, manakala yang
muslim pula membaca bismillah. Bila jala diangkat, yang menyembah berhala
mendapat banyak ikan, manakala yang muslim, hampir sahaja tiada ikan untuknya
pada hari itu.
Malaikat yang melihat keadaan itu
bertanya kepada ALLAH.
“Ya ALLAH, apakah yang telah berlaku?
HambaMu yang menyekutukanMu, KAU berikan dia rezeki yang banyak, sedangkan
hambaMu yang menyebut namaMu, KAU tidak memberikan apa-apa”
ALLAH menjawab, “Yang menyekutukanKu,
tempatnya memang sudah pasti NERAKA. Maka apalah sangat rezeki yang pasti akan
hancur itu jika Kuberikan kepadaNya? Tetapi HambaKu yang beriman itu, AKU
hendak ganjarkanNya syurga, maka AKU suka mengujinya untuk melihat kebenaran
imannya”
Nah, jangan anda kecewa bila diuji,
tidak berjaya di dalam peperiksaan walau sudah berusaha! Gagal dalam perniagaan
walau hebat menyusun strategi. Itu semua adalah sebahagian dari ujian ALLAH.
ALLAH menguji hanya untuk mereka yang dikasihi.
Bukankah ALLAH SWT ada berfirman;
“Apakah kamu mengira KAMI akan
membiarkan kamu berkata kami beriman sedangkan kamu belum diuji?…”
Jika gagal terhadap satu-satu perkara
itu, anda masih belum gagal dalam kehidupan. Teruskan usaha, selagi nyawa masih
ada. Insyaallah, ALLAH akan memberikan sesuatu yang bermakna kepada anda.
Bersangka baiklah kita kepada PENCIPTA kita.
Maka sebenarnya, bila hidup kita
digegarkan dengan masalah, hendaklah kita rasa bersyukur. Tandanya, ALLAH masih
lagi dekat dengan kita. Ujian adalah tanda kasih sayang dan perhatianNya kepada
kita.
Mustahil anda suka senang sebentar di
dunia, di akhirat yang kekal abadi nanti anda merana. Anda mahukan istidraj
Saya yakin tidak!
Anda wajib untuk tidak berasa tenang
jika anda berbuat dosa, dan anda berjaya. Sebab itulah, muhasabah diri itu
penting. Untuk kita sentiasa periksa bagaimanakah hubungan kita dengan ALLAH
SWT.
Wassalam.
0 comments:
Post a Comment