Friday, May 17, 2013
Renungan: Apakah Hidup Masih Bermatlamatkan Tuhan
Manusia rosak banyak sebabnya. Ada
sebab luaran dan ada sebab dalaman. Ada sebab lahir dan ada sebab batin. Namun
kalau semua sebab-sebab itu dianalisa, puncanya dapat dirangkumkan ke dalam
tiga perkara yang pokok.
Pertama adalah kerana manusia sudah kehilangan Tuhan.
Kedua kerana ketandusan kepimpinan
Ketiga kerana sistem hidup manusia sudah punah ranah.
Manusia Sudah Kehilangan Tuhan
Manusia umumnya sudah kehilangan Tuhan.
Manusia sudah melupakan Tuhan. Tuhan sudah tidak lagi menjadi teras dan
pegangan dalam hidup manusia.Tuhan sudah tidak lagi menjadi matlamat hidup
manusia. Dalam banyak hal, Tuhan diketepikan dan dikesampingkan. Tuhan tidak
diletakkan di hadapan. Manusia sudah tidak merujuk lagi kepada Tuhan.Manusia
sudah tidak patuh lagi kepada hukum-hakam dan peraturan Tuhan. Malahan hidup
manusia bukan lagi untuk Tuhan.
Manusia sudah tidak cinta dan tidak
takut dengan Tuhan.Tempat Tuhan telah digantikan dengan dunia, dengan pangkat
dan kuasa, dengan harta benda dan kekayaan, dengan wang ringgit, dengan nama
dan glamour, dengan populariti, kemasyhuran dan sebagainya. Untuk ini semualah
tujuan manusia hidup, bukan lagi untuk mendapat dan mengenal Tuhan. Tahukah
manusia, amanah yang ditanggung dari apa yang mereka dambakan.
Hatta, orang agama yang lahirnya nampak
macam kuat beragama juga kehilangan Tuhan. Dalam solat mereka, tidak ada Tuhan.
Dalam puasa mereka tidak ada Tuhan. Dalam zakat dan haji mereka tidak ada
Tuhan. Dalam wirid, zikir dan bacaan Quran mereka juga sudah tidak ada Tuhan.
Paling baik, mereka mengejar pahala dan fadilat, bukan Tuhan. Pahala dan
fadhilat jadi matlamat, bukan Tuhan.Mereka hanya membesarkan syariat, bukan
membesarkan Tuhan. Di samping itu,ramai juga orang agama yang mengejar nama dan
jawatan diatas ilmu dan amalan agama mereka. Tidak terfikirkah akan amanah yang
perlu digalas.
Segala apa yang manusia fikirkan,
segala apa yang manusia mahukan dan segala apa yang manusia rasakan, kesemuanya
tertumpu kepada matlamat material dan keperluan hidup di dunia semata-mata.
Bukan untuk mengabdikan diri, berbakti atau untuk mendapat redha, rahmat, kasih
sayang dan keampunan Tuhan.
Manusia sudah tidak yakin lagi dengan
Tuhan. Sudah tidak tawakkal, tidak berserah diri dan tidak bergantung harap
dengan Tuhan. Manusia menyangka seolah-olah Tuhan itu tidak ada peranan dalam
hidup mereka. Mereka menganggap Tuhan tidak relevan dalam hidup mereka.
Kalaupun lidah mereka tidak menyebut tetapi tindak tanduk dan amalan mereka
membuktikannya. Mereka lupa dengan firman Allah SWT:
Maksudnya: Tidak Aku jadikan jin dan
manusia melainkan untuk mengabdi diri kepada-Ku. (Az-Zariat:56)
Ramai manusia percaya kepada Tuhan.
Tetapi mereka hanya setakat percaya sahaja. Orang Yahudi percaya Tuhan.Orang
Nasrani percaya Tuhan. Orang Hindu pun percaya Tuhan. Malahan, kalau ditanya
kepada setiap manusia dimuka bumi, siapakah yang menjadikan alam ini? Mereka
semua akan berkata bahawa Tuhan yang menjadikannya. Tetapi percaya bukan satu
keyakinan. Percaya bukan suatu itiqad. Percaya sahaja tidak cukup sebagai
aqidah dan pegangan. Yang sedihnya, ramai orang Islam sendiri baru setakat
percaya dengan Tuhan. Ia belum menjadi aqidah atau pegangan. Mereka percaya
Tuhan itu ada tetapi wujudnya Tuhan itu tidak memberi apa-apa kesan kepada
matlamat dan cara hidup mereka. Mereka percaya Tuhan itu ada tetapi dalam
kehidupan seharian, mereka bertindak seolah-olah Tuhan itu tidak wujud. Mereka
ini termasuk golongan orang-orang yang kehilangan Tuhan.
Punca Rosaknya Manusia
Hilang perpaduan. Manusia bergaduh dan
berperang. Jenayah berleluasa. Timbul kezaliman, penindasan dan tekan-menekan
sehingga manusia cemas dan ketakutan. Perangai manusia tidak ubah seperti
haiwan. Ini semua adalah akibat manusia meninggalkan Tuhan.
Manusia hilang tempat mengadu. Hilang
tempat merujuk. Hilang tempat berserah dan bergantung harap. Hilang tempat
meminta pertolongan. Alangkah ruginya manusia kalau sudah kehilangan Tuhan.
Ada sebuah kisah yang berlaku kepada
Syeikh Abdul Qadir Jailani. Dia didatangi oleh pemuka-pemuka kota Baghdad untuk
diajak bersama dalam satu majlis ibadah malam secaraberamai-ramai. Dia menolak
tetapi pemuka-pemuka tersebut berkeras juga mengajak beliau hadir. Untuk dapat
berkat, kata mereka. Akhirnya, dengan hati yang berat, Syeikh Abdul Qadir
bersetuju untuk hadir.
Pada malam berkenaan, di satu tempat
yang terbuka,beratus-ratus orang hadir dengan melakukan ibadah
masing-masing.Ada yang bersolat. Ada yang berwirid. Ada yang membaca Quran. Ada
yang bermuzakarah. Ada yang bertafakur dan sebagainya. Syeikh Abdul Qadir duduk
di satu sudut dan hanya memerhatikan gelagat orang-orang yang beribadah itu.
Di pertengahan malam, pihak penganjur
menjemput Syeikh Abdul Qadir untuk memberi tazkirah. Dia cuba mengelak tetapi
didesak berkali-kali oleh pihak penganjur. Untuk dapat berkat, kata mereka
lagi. Akhirnya dengan hati yang sungguh berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju.
Tazkirah Syeikh Abdul Qadir ringkas dan
pendek sahaja.Dia berkata: Tuan-tuan dan para hadirin sekelian. Tuhan tuan-tuan
semua berada di bawah tapak kaki saya.
Dengan itu, majlis terkejut dan menjadi
gempar dan riuh rendah. Para hadirin terasa terhina dan tidak puas
hati.Bagaimanakah seorang Syeikh yang dihormati ramai dan terkenal dengan ilmu
dan kewarakannya boleh berkata begitu terhadap Tuhan mereka. Ini sudah menghina
Tuhan. Mereka tidak sanggup Tuhan mereka dihina sampai begitu rupa.
Mereka sepakat hendak melaporkan
perkara itu kepada pemerintah. Apabila pemerintah dapat tahu, diarahnya kadhi
untuk menyiasat dan mengadili Syeikh Abdul Qadir dan jika diadapati bersalah,
hendaklah dihukum pancung.
Pada hari pengadilan yang dibuat di
khalayak ramai, Syeikh Abdul Qadir dibawa untuk menjawab tuduhan.
Kadhi bertanya, “Benarkah pada sekian
tempat, tarikh dan masa sekian, Tuan Syeikh ada berkata di khalayak ramai
bahawa tuhan mereka ada di bawah tapak kaki Tuan Syeikh?”
Dengan tenang Syeikh Abdul Qadir
menjawab, “Benar, saya ada kata begitu.”
Kadhi bertanya lagi, “Apakah sebab Tuan
Syeikh berkata begitu?”
Jawab Syeikh Abdul Qadir , “Kalau tuan
kadhi mahu tahu, silalah lihat tapak kaki saya.”
Maka kadhi pun mengarahkan pegawainya
mengangkat kaki Syeikh Abdul Qadir untuk dilihat tapak kakinya. Ternyata ada
duit satu dinar yang melekat di tapak kakinya. Kadhi tahu Syeikh Abdul Qadir
seorang yang kasyaf.
Fahamlah kadhi bahawa Syeikh Abdul
Qadir mahu mengajar bahawa semua orang yang beribadah pada malam yang berkenaan
itu sebenarnya tidak beribadah kerana Tuhan. Tuhan tidak ada dalam ibadah
mereka. Hakikatnya, mereka tetap bertuhankan dunia yang duit satu dinar itu
menjadi lambang dan simbolnya.
Kalau di zaman Syeikh Abdul Qadir
Jailani pun manusia sudah hilang Tuhan dalam ibadah mereka, apatah lagi di
zaman ini. Itu dalam ibadah. Kalau dalam hidup seharian, sudah tentu Tuhan tidak
langsung diambil kira.
Manusia Ketandusan Kepimpinan
Manusia sudah tidak terpimpin lagi
kerana manusia sudah ketandusan kepimpinan. Oleh itu, manusia hanyut dan sesat
dalam kehidupan ini tanpa menuju ke sesuatu arah yang tertentu dan tidak dapat
memenuhi tujuan dan maksud mengapa manusia itu dijadikan. Manusia sudah tidak
berfungsi sebagai manusia lagi.
Pemimpin yang ada di dunia sekarang
sebenarnya bukan pemimpin. Obama bukan seorang pemimpin. Putin juga bukan
seorang pemimpin. Begitu juga dengan Hosni Mubarak. Mereka bukan pemimpin.
Paling tinggi mereka itu hanya pentadbir. Mereka mentadbir hal-hal negara, kewangan,
khazanah dan ekonomi negara. Mereka hanya memenuhi keperluan lahir dan tidak
langsung mengambil berat tentang keperluan rohani rakyat.
Pemimpin dalam Islam bukan setakat
menyelesaikan keperluan lahir. Yang lebih penting ialah keperluan rohani. Pemimpin
dalam Islam bertanggungjawab mendidik dan membina keinsanan rakyat. Membawa
rakyat kepada Tuhan. Mengajar mereka supaya cinta, takut, taat dan patuh kepada
Tuhan. Pemimpin dalam Islam berkewajipan menjaga kehidupan beragama rakyat dan
menjadikan rakyat baik, beriman dan bertaqwa.
Soal keperluan lahir juga penting
tetapi ia jatuh nombor dua. Dalam Islam, memimpin itu seperti membuat kerja
Rasul.Rasul itu sebenarnya pemimpin. Siapa yang membuat kerja-kerja rasul juga
dianggap sebagai pemimpin. Pemimpin seperti inilah yang sudah tidak ada lagi.
Selagi pemimpin seperti ini tidak ada dan tidak dicari, maka selagi itulah
hidup manusia akan menjadi rosak dan kucar kacir.
Para pentadbir dan pemimpin dunia
seperti yang ada sekarang tidak mampu memimpin. Mereka tidak mampu membina
keinsanan rakyat, membawa rakyat kepada Tuhan atau menjadikan rakyat
orang-orang yang beriman dan bertaqwa.
Mana mungkin mereka mampu berbuat
demikian dalam keadaan mereka sendiri pun tidak terpimpin. Keluarga mereka
sendiri pun kucar-kacir. Mereka ini hanya akan melalaikan dan merosakkan
keinsanan rakyat. Mereka ini hanya akan membawa manusia kepada dunia dan
menjauhkan mereka dari Tuhan dan dari akhirat.
Paling baik, mereka hanya boleh membawa
pembangunan dan kemajuan lahiriah dan membina ekonomi negara dan rakyat.
Mungkin rakyat boleh hidup dengan selesa. Tetapi kebahagiaan manusia bukan
terletak kepada keselesaan hidup. Ia terletak kepada jiwa yang terisi dan
fitrah yang terlaksana.
Keperluan fitrah manusia yang utama
ialah keinginan berTuhan, keinginan menyembah, taat, patuh dan mengabdi diri
kepada Tuhan. Apabila hati-hati manusia terisi dengan dunia dan hidup mereka
bermatlamatkan dunia, maka nafsu mereka akan bermaharajalela dan dunia akan
menjadi rebutan. Memang dunia itu bahan rebutan dan punca pecah belah dan
pemusnah kasih sayang. Manusia akan berebut-rebut dunia, menekan dan menindas
seperti anjing yang berebut bangkai. Akhirnya manusia akan bergaduh, berkelahi
dan bunuh-membunuh.Tidak ada kasih sayang dan perpaduan.
Sistem Hidup Manusia Sudah Punah
Sistem hidup manusia di muka bumi ini
tidak lagi berteraskan syariat Tuhan. Ia adalah hasil dari ciptaan akal manusia
yang begitu daif dan lemah. Sistem yang kononnya dirancang untuk kebaikan dan
kebahagiaan manusia itu telah makan tuan dan telah merosakkan dan
mengkucar-kacirkan kehidupan manusia itu sendiri.
Di antaranya:
1. Sistem pendidikan sekular yang hanya
bermatlamatkan dunia telah merosakkan akhlak manusia. Manusia hilang akhlak
kepada Tuhan dan hilang akhlak terhadap sesama manusia. Manusia menjadi
pencinta dan pemburu dunia. Manusia menjadi jahat, sombong, bakhil, hidup
nafsu-nafsi, zalim dan pentingkan diri sendiri. Walhal sistem pendidikan Islam
membawa manusia kepada Tuhan dan membina jiwa serta akhlak manusia. Hasilnya,
manusia menjadi baik, berguna, tolong-menolong dan berkasih sayang.
2. Sistem ekonomi ciptaan manusia
terutama sistem kapitalis hanya mementingkan untung tidak kira dengan cara apa.
Tidak kira sama ada hasil atau khidmat ekonomi itu perkara yang sia-sia,
maksiat dan merosakkan orang atau ia menindas pekerja untuk mendapat untung
berlipat ganda atau membazir atau merosakkan moral manusia dalam iklan untuk
menjual barangan. Berlaku monopoli, menetapkan harga yang menekan dan
berlebihan yang menyusahkan manusia serta berbagai-bagai lagi hanya kerana
hendakkan keuntungan yang banyak. Walhal sistem ekonomi Islam menekankan
khidmat kepada masyarakat dan membekalkan keperluan masyarakat sebagai suatu
ibadah dan tanda kasih sayang. Segala kegiatan ekonomi tidak terkeluar dari
syariat dan hukum-hakam Tuhan dan tidak lari dari tujuan untuk mendapat
keredhaan Tuhan.
3. Sistem kebudayaan berteraskan nafsu
telah melalai dan merosakkan akhlak manusia terutama muda-mudi. Walhal sistem
kebudayaan Islam membawa manusia kepada mengenal, mencintai dan takutkan Tuhan
dan merindui hari akhirat. Menginsaf dan menyedarkan manusia tentang
tanggungjawab mereka sebagai hamba dan khalifah Tuhan. Menyegarkan dan
menghidupkan jiwa mereka.
Kalau hidup manusia mahu dibetulkan,
tidak dapat tidak, ketiga-tiga perkara ini perlu ditangani.
Pertama, manusia perlu dibawa kepada
Tuhan. Manusia mesti mula mengenal dan takut pada Tuhan.
Kedua, pemimpin yang sejati yang boleh
mendidik manusia perlu dicari. Ketiga, sistem hidup manusia yang sudah punah
ranah ini perlu dibaiki dan perlu mengikut peraturan hukum-hakam dan mengikut
cara yang Tuhan tentukan.
Namun, di antara ketiga-tiga perkara
ini, pemimpin sejati itulah yang perlu didapatkan dahulu. Kerana pemimpinlah
yang akan dapat membawa kita kepada Tuhan dan pemimpin jugalah yang akan dapat
membuat perubahan dan memperbaiki sistem hidup kita. Kita tidak akan dapat
mengenal Tuhan tanpa ada pemimpin yang memperkenalkan Tuhan kepada kita. Dan
sistem hidup kita tidak akan berubah dengan sendiri tanpa ada pemimpin yang
berusaha mengubahkannya.
Wassalam.
Wednesday, May 15, 2013
KABINET MALAYSIA 2013
PERDANA MENTERI:
Datuk Seri Najib Tun Razak
TIMBALAN PERDANA MENTERI:
Tan Sri Muhyiddin Yassin
JABATAN PERDANA MENTERI:
Menteri:
1. Datuk Seri
Jamil Khir Baharom (UMNO)
2. Datuk Seri
Abdul Wahid Omar (akan dilantik sebagai Senator)
3. Datuk Seri
Idris Jala (SEnator)
4. Tan Sri
Joseph Kurup PBRS)
5. Datuk Seri
Shahidan Kassim (UMNO)
6. Nancy Shukri
(PBB)
7. Datuk Entulu
Belaun (PRS)
8. Datuk Paul
Low Seng Kwan (Senator)
Timbalan
Menteri:
1. Datuk Razali
Ibrahim (UMNO)
2. Waythamoorthy
Ponnusamy (akan dilantik sebagai Senator)
KEMENTERIAN KEWANGAN
Menteri: Datuk
Seri Najib Tun Razak (UMNO)
Menteri II:
Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (UMNO)
Timbalan
Menteri:
1. Datuk Ahmad
Maslan (UMNO)
KEMENTERIAN PELAJARAN (digabung bersama Kementerian Pengajian
Tinggi)
Menteri: Tan Sri
Muhyiddin Yassin (UMNO)
Menteri II :
Datuk Seri Idris Jusoh (UMNO)
Timbalan
Menteri:
1. Mary Yap Kain
Ching (PBS)
2. P.
Kamalanathan (MIC)
KEMENTERIAN PERTAHANAN
Menteri: Datuk
Seri Hishammuddin Tun Hussein (UMNO)
Timbalan
Menteri: Datuk Abdul Rahman Bakri (UMNO)
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
Menteri: Datuk
Seri Ahmad Zahid Hamidi (UMNO)
Timbalan
Menteri: Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (PBB)
KEMENTERIAN PENGANGKUTAN
Menteri: Datuk
Seri Hishammudin Tun Hussein (UMNO) (MEMANGKU)
Timbalan
Menteri: Ab Aziz Kaparawi (UMNO)
KEMENTERIAN
INDUSTRI DAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA
Menteri: Datuk
Seri Mustapa Mohamed (UMNO)
Timbalan
Menteri: Hamim Samuri (UMNO)
KEMENTERIAN LUAR
Menteri: Datuk
Seri Anifah Aman (UMNO)
Timbalan Menteri:
Datuk Seri Hamzah Zainuddin (UMNO)
KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN
HAL EHWAL PENGGUNA
Menteri: Datuk
Hasan Malek (UMNO)
Timbalan
Menteri: Datuk Ahmad Bashar Md. Hanipah (Senator)
KEMENTERIAN KERJA RAYA
Menteri: Datuk
Fadillah Yusof (PBB)
Timbalan
Menteri: Datuk Rosnah Rashid Shirlin (UMNO)
KEMENTERIAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA
Menteri: Datuk
Seri Ahmad Shabery Cheek (UMNO)
Timbalan
Menteri: Jailani Johari (UMNO)
KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA
Menteri: Richard
Riot Jaem (SUPP)
Timbalan
Menteri: Datuk Ismail Abdul Muttalib (UMNO)
KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN
WILAYAH
Menteri: Datuk
Seri Shafie Apdal (UMNO)
Timbalan
Menteri: Alexander Nanta Linggi (PBB)
KEMENTERIAN KESEJAHTERAAN BANDAR DAN
KERAJAAN TEMPATAN
Menteri: Datuk
Abdul Rahman Dahlan (UMNO)
Timbalan
Menteri: Datuk Halimah MOhamad Saddique (UMNO)
KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN
Menteri: KHairy
Jamaluddin (UMNO)
Timbalan
Menteri: M. Saravanan (MIC)
KEMENTERIAN KESIHATAN
Menteri: Datuk
Seri Dr. S Subramaniam (MIC)
Timbalan
Menteri: Datuk Seri Hilmi Yahya (UMNO)
KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN
Menteri: Datuk
Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (UMNO)
Timbalan
Menteri: J. Loga Bala Mohan (Senator)
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Menteri: Datuk
Seri Douglas Uggah Embas (PBB)
Timbalan Menteri:
Datuk Noriah Kasnon (UMNO)
KEMENTERIAN TENAGA, TEKNOLOGI DAN AIR
Menteri: Datuk
Seri Maximus Johnity Ongkili (PBS)
Timbalan
Menteri: Datuk Seri Mahdzir Khalid (UMNO)
KEMENTERIAN ASAS TANI
Menteri: Datuk
Seri Ismail Sabri Yakop (UMNO)
Timbalan Menteri:
Datuk Tajudin Rahman (UMNO)
KEMENTERIAN PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN
Menteri: Datuk
Seri Nazri Aziz (UMNO)
Timbalan
Menteri: Joseph Salang Anak Gandum (PRS)
KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
Menteri: Datuk
Dr.Ewon Ebin (UPKO)
Timbalan
Menteri: Datuk Dr. ABu Bakar Mohamad Diah (UMNO)
KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR
Menteri: Datuk
Seri G.Palanivel (MIC)
Timbalan
Menteri: Janes Dawos Mamit PBB)
- ABN
News
Posted in: UmumKad Kredit 1TeachersCard Kepada Warga Pendidik
SEREMBAN
- Bank Simpanan Nasional (BSN) mensasarkan untuk mengeluarkan 30,000 kad kredit
'1TeachersCard' kepada warga pendidik dan kakitangan Kementerian Pelajaran
dalam tempoh setahun.
Timbalan
Ketua Eksekutif Perbankan Runcit BSN Winston E. Jeyaprakash berkata, sasaran
itu mampu dicapai ekoran ciri istimewa yang ditawarkan pada produk terbaru bank
itu, termasuk kadar caj kewangan yang rendah.
"Kad
kredit 1TeachersCard ini merupakan salah satu inisiatif BSN untuk merakamkan
penghargaan terhadap sumbangan guru yang diberikan kepada rakyat Malaysia.
"Ciri
istimewa 1TeachersCard ini adalah ia menawarkan caj kewangan terendah dalam
industri kad kredit iaitu pada kadar 8.88 peratus setahun dan hanya 0.74
peratus sebulan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kad
berkenaan pada pameran dan fstival Hari Guru 2013 di Kompleks Belia dan Sukan,
Paroi di sini Rabu.
Pelancaran
kad itu adalah sempena sambutan Hari Guru esok, yang mana sambutan peringkat
kebangsaannya akan diadakan di negeri ini dan dijangka dirasmikan Timbalan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Jeyaprakash
berkata, ciri istimewa lain yang bakal dinikmati pengguna kad kredit tersebut
adalah tiada yuran tahunan dan pulangan RM50 kepada setiap pemohonan yang
diluluskan.
"Di
samping itu, kad ini juga turut menawarkan diskaun pembelian, mata ganjaran,
Kad Zing PlusMiles percuma dan pengeluaran wang tunai tanpa caj tambahan,"
katanya.
Katanya,
usaha ini diharap dapat membantu mengurangkan beban pengguna ketika berada
dalam saat kecemasan untuk menggunakan wang dan mengelakkan mereka meminjam
dari sumber yang tidak sah.
Turut
hadir pada majlis itu adalah Pengerusi BSN Tan Sri Abu Bakar Abdullah, Ketua
Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud, Pengerusi Yayasan Guru Malaysia
Berhad Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Ketua Pegawai Ekskutif BSN Datuk Adinan
Maning.
-
BERNAMA
Posted in: Perkhidmatan GuruFriday, May 3, 2013
Anjakan: Buletin Bulanan Transformasi Kementerian Pelajaran Malaysia
Anjakan
- buletin bulanan untuk memastikan semua warga pendidik mendapat maklumat
status terkini pencapaian Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Dalam
buletin ini terdapat tiga isu iaitu:
1.
Sekapur sirih: Tan Sri Abd Ghafar bin Mahmud
2.
Memahami kandungan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia: Aspirasi Sistem
3. 100
Hari Pertama Pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan
Anjakan:
Buletin Bulanan Transformasi Kementerian Pelajaran Malaysia boleh dimuat turun
dengan mengklik tajuk berikut: AnjakanIsu #1 [Muat turun]
-
Kementerian Pelajaran Malaysia
Posted in: Kementerian Pelajaran MalaysiaThursday, April 18, 2013
Pengalaman Projek Penandaarasan Di SK Sultan Sulaiman II Kuala Terengganu
Selepas satu minggu tamat dari Projek
Penandaarasan barulah saya berkesempatan menulis pengalaman di SK Sultan
Sulaiman II. Projek Penandaarasan adalah sebahagian keperluan bagi memenuhi
keperluan Kursus Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan
(NPQEL).
Program Penandaarasan ini bertujuan
mengenal pasti amalan-amalan pengurusan dan kepimpinan di SK Sultan Sulaiman
II, Kuala Terengganu. Projek ini dijalankan dengan menggunakan kaedah
pemerhatian, perbincangan dan temubual bagi mendapat maklumat berkaitan projek
yang dipilih iaitu Program Pembelajaran Interaktif Melalui Internet Zoom-A.
Populasi projek terdiri daripada seluruh warga sekolah. Sampel pula terdiri
daripada Guru Besar yang merupakan peneraju utama Sekolah Penandaarasan.
Sepanjang projek ini berlangsung catatan mengenai aktiviti Log Harian selama sepuluh hari
persekolahan dilakukan dan mendapat pengesahan pemimpin sekolah. Manakala dalam
Log Kepimpinan memperlihatkan perjalanan pemimpin sekolah yang melibatkan
amalan dan gaya kepimpinan telah dibuat catatan.
Menceritakan tentang pemilihan Sekolah
Penandaarasan, pada peringkat permulaannya saya telah memilih SK Sultan
Sulaiman I tapi oleh kerana terdapat peserta NPQEL perempuan yang berkehendakkan sekolah tersebut (katanya terdapat ramai
kawannya di situ) walaupun saya terlebih dahulu memilihnya, saya terpaksa
mengalah! Bila difikir pula, saya boleh memilih SK Pasir Panjang Kuala
Terengganu (sekolah yang dirasakan baik dari segi pengurusan dan pencapaian) iaitu
merupakan sekolah lama saya (2002 - 2010) tapi merasakan saya pernah mendapat pengalaman di sekolah
tersebut, dirasakan baik kiranya saya ke sekolah lain, sekurang-kurangnya saya
dapat menambah pengetahuan dari pelbagai sekolah.
Di SK Sultan Sulaiman II yang menjadi
Sekolah Penandaarasan ini pula adalah antara sekolah yang popular di Kuala
Terengganu. Jarak sekolah ini dari tempat tinggal saya ialah lebih kurang 25
kilometer. Walaupun saya boleh memilih sekolah yang berhampiran dengan tempat
tinggal tetapi niat utama saya adalah untuk menambah ilmu, lagi pun saya hanya
perlu ke sekolah tersebut selama 2 minggu sahaja. Alhamdulillah, walaupun
sekolah pertama yang dipilih tidak kesampaian tapi di SK Sultan Sulaiman II ini
ada rahmat disebaliknya. Guru Besar di SK Sultan Sulaiman II ini merupakan
Pengerusi MGB Daerah Kuala Terengganu. Melalui pemerhatian saya, beliau seorang
yang “participative dan achievement”, baik dan komited dengan tugasannya. Seorang
lulusan UUM dalam bidang pengurusan, beliau banyak memberi bimbingan dan
berkongsi pengalaman. Di sekolah ini juga saya diberi ruang oleh beliau untuk
berkongsi pengetahuan dalam membantu murid Tahun 6, dengan memberi pendedahan
dan berkongsi pengetahuan berkaitan penambahbaikan yang terdapat dalam pembelajaran
interaktif.
Semasa dua minggu berada di SK Sultan
Sulaiman II ini juga, saya membuat pemerhatian dan temubual terhadap guru-guru.
Terdapat luahan dan pengucapan yang berbau positif mahupun negatif mengenai
pendidikan khususnya mengenai sekolah mereka sendiri. Seterusnya banyak input
yang boleh saya kutip sekadar panduan atau muhasabah diri sendiri sekiranya
diizinkan Allah memegang jawatan sebagai pemimpin sekolah nanti. Saya juga
berkesempatan berbual dengan salah seorang Nazir Persekutuan yang datang
membuat penilaian dan pemantaun di sekolah tersebut. Terdapat beberapa dapatan
yang boleh dikutip bagi memantapkan pengetahuan saya mengenai pengurusan
sekolah. Sepanjang di SK Sultan Sulaiman II ini juga, saya beruntung kerana
banyak aktiviti yang dijalankan dan saya juga berkesempatan menghadiri
Mesyuarat Jawatankuasa UPSR Kali Ke-2 yang dipengerusikan Guru Besar.
Terima kasih kepada En. Mohd Kaman bin
Awang selaku Guru Besar SK Sultan Sulaiman II di atas kerjasama dan sikap
positif yang ditunjukkan. Semoga matlamat membangun dan mengemblengkan warga SK
Sultan Sulaiman II menuju kluster tercapai. Seterusnya dirakamkan penghargaan
juga kepada seluruh warga SK Sultan Sulaiman II. Selamat berjaya dengan motto “Bersama Menggenggam Impian Kluster”.
Gambar-gambar yang dirakam
sepanjang Program Penandaarasan
di SK Sultan Sulaiman II,
Kuala Terengganu
(Klik pada gambar untuk kelihatan lebih besar)
Posted in: Institut Aminuddin BakiTuesday, April 16, 2013
Kreativiti, Inovasi Dalam Pendidikan
ADA yang bertanya kepada saya jika
kreativiti dan inovasi penting dalam pendidikan, mengapa ia tidak dijadikan
sebagai mata pelajaran dan kurikulumnya diajar dalam bilik darjah.
Jawapannya, kreativiti dan inovasi tidak
boleh diajar tetapi ia boleh diterap secara tidak langsung melalui aktiviti
pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan secara terancang.
Dengan kata lain apa sahaja mata
pelajaran kedua-dua elemen itu boleh diajar oleh guru melalui pendekatan
pengajaran yang berpusat kepada murid atau student centre.
Pengajaran berpusat kepada murid
maksudnya pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan secara dua hala iaitu guru
mengajar dan murid belajar. Guru dikehendaki sentiasa mencabar keupayaan
berfikir muridnya dengan menggunakan pelbagai teknik mengajar dan alat bantu
pengajaran yang menarik minat murid.
Mempelbagaikan aktiviti pembelajaran
seperti kuiz, forum, syarahan, bahas, membuat projek, kerja berkumpulan dan
tugasan luar bilik darjah sangat digalakkan. Aktiviti tersebut akan
menggalakkan murid berfikir, berbincang, membuat rujukan, menyediakan nota dan
menghasilkan tugasan tersebut. Ini akan menggalakkan percambahan idea dan
dapatan baru yang melibatkan unsur-unsur kreativiti dan inovasi di kalangan
murid.
Sesungguhnya murid yang kreatif dan
inovatif akan menjadi seorang yang sentiasa berfikir, ingin mencipta,
bercita-cita besar, berani dan yakin kepada diri sendiri. Inilah ciri-ciri
murid yang perlu kita lahirkan untuk menjadi warganegara bagi menghadapi cabaran
masa depan terutama dalam memasuki era 2020. Bagi menanganinya tidak
menghairankan mengapa kerajaan berbelanja besar dalam Bajet 2013 untuk
pendidikan.
Apakah sebenarnya definisi kreativiti
dan inovasi itu. Kreativiti ialah suatu bentuk proses pemikiran yang mendorong
mengeneralisasi idea baru. Ia melibatkan kombinasi antara idea baru dan idea
lama yang diproses semula, membuat pemilihan dan menukar ganti menjadi suatu
yang baru.
Sementara itu, inovasi pula merupakan
suatu idea, amalan atau objek yang dianggap baru dan yang lebih baik. Inovasi
dihasilkan oleh manusia kreatif yang dapat membina trend baru dan menggunakan
peluang maksimum walaupun dalam ekosistem yang banyak persaingan.
Sebagai contoh jika dulu penggunaan
telefon bimbit hanya sebagai alat perhubungan tetapi kini melalui inovasi ia
digunakan sebagai alat hiburan, internet, kamera, penyampai maklumat, memberi
pandu arah perjalanan dan membuat pelbagai pengiraan.
Guru memainkan peranan penting bagi
menerapkan kedua-dua elemen dalam pengajaran mereka. Sebagai penyampai ilmu
guru perlulah memiliki kemahiran tinggi bagi melakukan transformasi dalam
menjana minda murid agar menjadi lebih dinamik.
Mempunyai kemahiran sedemikian akan
menjadikan guru berada di tahap teratas dan akan disanjung oleh muridnya.
Kualiti guru sedemikian akan membolehkan muridnya menguasai berbagai kemahiran
lain seperti berfikir aras tinggi, penyelesaian masalah, berkomunikasi dan
berkolaborasi dengan baik.
Peranan pengurusan sekolah tidak kurang
pentingnya dalam merealisasikan elemen kreativiti dan inovasi dalam kalangan
warganya. Dengan perkataan lain pengurusan sekolah juga mesti kreatif dan
inovatif agar menjadi organisasi pembelajaran yang bermaklumat, menggalakkan
pengembangan pengetahuan baru, berbudaya saintifik, penggunaan teknologi serta
ICT secara meluas dan penggunaan tenaga sumber secara maksimum.
Pengetua dan Guru Besar bersama
pengurusan tertinggi di sekolah bertanggungjawab bagi mencetuskan budaya
kreativiti dan inovasi sama ada di kalangan guru atau murid. Sekolah mestilah
menjadi institusi yang menggalakkan tercetusnya pendapat dan idea baru. Bagi
mewujudkan suasana tersebut sekolah perlu mengurangkan kerenah birokrasi dalam
pengurusan dan memberi ruang kebebasan berkarya kepada warganya.
Pihak pengurusan juga perlu menjadikan
iklim sekolah yang sentiasa ceria, bersih, kemas dan bermaklumat. Sikap
terbuka, mesra dan berperanan sebagai penyelesai masalah akan menjadikan guru
dan murid merasa gembira dan selamat semasa mengikuti aktiviti pembelajaran.
Bagi mewujudkan suasana sedemikian
pengurusan sekolah perlulah memastikan berlaku sistem komunikasi dua hala,
pengaliran maklumat lebih demokratik, stail kepimpinan yang berhemah dan
pembangunan insan yang harmoni.
Kepimpinan sekolah hendaklah terdiri daripada
mereka yang berkebolehan dalam menguruskan organisasi pembelajaran. Selain
mendapat latihan, berpengalaman dan pengetahuan yang luas dalam bidang
pendidikan mereka perlu mempunyai dorongan dan komitmen yang kuat bagi membawa
perubahan kepada sekolah.
Perlu ada visi dan misi, strategi dan
perancangan yang baik. Bagi memastikan kejayaan perancangan tersebut mereka
perlu mendapat sokongan dan kerjasama yang padu daripada seluruh warga sekolah
termasuk ibu bapa.
Mempunyai ciri budaya sekolah yang
menggalakkan kreativiti dan inovasi akan mendorong semangat belajar yang tinggi
di kalangan murid, mempunyai daya usaha sendiri dan sentiasa berusaha
mengembangkan potensi ke arah yang lebih baik.
Dengan bimbingan dan sokongan guru-guru
yang dedikasi, terlatih dan profesional usaha yang dilakukan oleh murid akan
membuahkan kejayaan nanti.
Keberkesanan sekolah akan terserlah
jika mereka dapat menggunakan teknologi dan ICT dalam pengurusan dan dalam
bilik darjah. Sebenarnya teknologi tidak dilihat sebagai alat semata-mata
tetapi boleh menjadikan sistem pengurusan lebih efisien dan berkesan.
Penggunaan ICT secara meluas dapat
membina imej baru dalam pengurusan organisasi yang berprestasi tinggi. Ia akan
menjadikan sekolah lebih berdaya saing dan menjadi lebih produktif.
''Kreativiti dan inovasi amat dituntut
untuk melahirkan generasi murid berfikiran kelas pertama dalam abad ke-21 ini
untuk bersaing dalam abad penuh cabaran ini kita tiada pilihan kecuali
meningkatkan keupayaan kreativiti dan inovasi. Dalam senario ini tugas guru
semakin mencabar."
- Utusan
Posted in: PendidikanThursday, April 11, 2013
Enam Inisiatif PPPM Berjaya Dicapai Dalam Tempoh 100 Hari Pelaksanaan
BANGI:
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata enam daripada 25
inisiatif yang disasarkan tahun ini menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013-2025, sudah mencapai kejayaan membanggakan dalam tempoh 100
hari pertama pelaksanaannya.
Inisiatif
tersebut merangkumi pelancaran 1Agenda KPM, penubuhan Unit Prestasi dan
Penyampaian Pendidikan (PADU) dan PADU Corporation, pelancaran dan pengagihan
saranan ibu bapa, pengujian guru bahasa Inggeris dalam Ujian Penempatan
Cambridge (CPT), pelaksanaan Program Rintis Program Transformasi Daerah dan
penyediaan video e-guru.
Selain
enam inisiatif itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata 19 inisiatif
lagi akan diberikan keutamaan dan tumpuan tahun ini dalam menjayakan Pelan
Transformasi Pendidikan Negara.
"Kita
telah menyaksikan 100 hari pertama yang diwarnai pelbagai onak dan duri. Namun,
berbekalan kesedaran akan pentingnya merealisasikan agenda modal insan negara
in, KPM berjaya dan membuahkan hasil yang dibanggakan.
"Namun,
kita tidak seharusnya lalai dan leka memandangkan transformasi ini masih
panjang dan mencabar. Sesungguhnya, laporan pencapaian 100 hari pertama ini
adalah langkah pertama daripada seribu langkah yang bakal dijejak," kata
Muhyiddin ketika berucap pada majlis Pencapaian 100 Hari Pertama PPPM
2013-2025, di Sekolah Menengah Jalan 4, Bandar Baru Bangi, Rabu.
Muhyiddin
berkata inisiatif 1Agenda KPM berjaya menyatupadukan semua bahagian di
kementerian itu di bawah satu matlamat iaitu melaksanakan agenda PPPM secara
efisyen dan telus, manakala unit PADU dan PADU Corporation pula melaporkan
status pelaksanaan PPP kepada beliau selaku menteri.
Menerusi
kefasihan guru Bahasa Inggeris (BI), beliau berkata seramai 61,000 guru
menjalani ujian kefasihan melalui CPT dan mereka akan terus diberikan latihan
dan sokongan ke arah penambahbaikan tahap kompetensi dan profesionalisme
sebagai persediaan ke arah merealisasikan syarat wajib lulus BI di peringkat
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjelang 2016.
Menerusi
inisiatif saranan ibu bapa, katanya sarana pembangunan dibekalkan kepada ibu
bapa supaya menjadi rakan aktif pembelajaran anak masing-masing dalam usaha
membantu meningkatkan prestasi dan pencapaian anak mereka.
Katanya
inisiatif program transformasi daerah pula dirintis di Sabah dan Kedah, dengan
seramai 352 jurulatih mengikuti program Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah
(SISC) serta Rakan Pembimbing Pembangunan (SIPartner+) dalam kalangan pensyarah
Institut Pendidikan Guru, Institut Aminuddin Baki manakala guru cemerlang pula
ditempatkan secara sepenuh masa di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memberi
sokongan kepada pengetua, guru besar dan guru sekolah.
Video
e-guru yang merupakan inisiatif keenam, meliputi himpunan video terbaik dalam
pelbagai aspek pengajaran dan pembelajaran yang boleh diaplikasikan dalam
pengajaran di bilik darjah.
Muhyiddin
berkata kerajaan telah mengorak langkah untuk berada dalam kelompok teratas
negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia.
"Transformasi
pendidikan ini adalah legasi negara yang bukan sahaja melibatkan 5.5 juta
pelajar hari ini, malah seluruh anak bangsa pada masa akan datang,"
katanya.
Dalam
pada itu Muhyiddin juga bangga terhadap peningkatan peratusan bilangan
prasekolah iaitu daripada 67 peratus pada 2009 kepada 80.5 peratus atau 24,737
prasekolah sehingga 2012.
Selain
itu katanya, program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) turut diperkenalkan
kepada semua murid Tahun 1, dengan sasaran 100 peratus murid tiada masalah
pembelajaran boleh membaca, menulis dan mengira apabila melangkah ke Tahap 2.
"Kementerian
juga menyediakan bayaran insentif khas kepada semua pengetua dan guru besar
sebagai menghargai usaha kepimpinan sekolah yang berjaya mencapai kecemerlangan
yang ditetapkan atau menunjukkan lonjakan dalam prestasi sekolah," kata
Muhyiddin.
-
BERNAMA
Posted in: Kementerian Pelajaran MalaysiaTuesday, April 9, 2013
PPD Perlu Main Peranan Lebih Besar Merealisasikan Aspirasi Pendidikan Negara
KUALA
LUMPUR: Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) perlu bersedia memainkan peranan lebih
besar dan secara langsung bagi memastikan pengurusan dan pengoperasian sekolah
dilaksana dengan teratur.
Timbalan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini memandangkan PPD adalah
entiti Kementerian Pelajaran yang paling dekat dengan sekolah dan ia dapat
memastikan aspirasi pendidikan negara dilaksanakan dengan lebih berkesan.
"Hubungan
erat antara PPD dengan pihak pentadbir dan guru-guru di sekolah juga
membolehkan setiap dasar, aspirasi dan inisiatif baharu yang dilaksanakan
kerajaan dapat dihayati dan direalisasikan dengan berjaya," katanya pada
majlis Anugerah Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2012 di sini Selasa.
Penganugerahan
tahun ini menyaksikan buat pertama kalinya beberapa PPD yang mempamerkan
prestasi cemerlang dalam membantu sekolah meningkatkan prestasi masing-masing,
diiktiraf.
Muhyiddin,
yang juga Menteri Pelajaran, berkata pengiktirafan ini amat kena pada masanya
dan selari dengan agenda Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk menyusun
semula dan memperkasa PPD. Muhyiddin berkata bagi merapatkan lagi jurang
pencapaian dan meluaskan akses kepada pendidikan untuk golongan berkeperluan
khas termasuk kaum pribumi dan minoriti, PPD juga akan diberi keluwesan
operasi.
Ini,
katanya, supaya dasar serta program dapat disesuaikan bagi menepati keperluan
mereka.
Bercakap
kepada pemberita selepas itu, Muhyiddin berkata penyusunan semula PPD akan
memastikannya berfungsi dengan lebih berkesan dalam jangka panjang.
Penyusunan
semula PPD antaranya melibatkan perluasan bidang tugas dan kedudukan pegawai
PPD serta penyediaan infrastruktur supaya mereka boleh memantau dan membantu
pengurusan sekolah meningkatkan pencapaian.
Katanya,
setakat ini Kedah dan Sabah telah memulakan usaha penstrukturan semula PPD.
-
BERNAMA
Posted in: Kementerian Pelajaran MalaysiaMonday, April 8, 2013
CUEPACS Cadang Sistem Saraan Transformatif Menyeluruh
KUALA
LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS)
mencadangkan Sistem Saraan Transformatif (SST) yang lebih menyeluruh
dilaksanakan bagi meningkatkan prestasi penjawat awam.
Presidennya
Datuk Omar Osman berkata CUEPACS berharap proses penyediaan SST yang meliputi
81 skim perkhidmatan sahaja setakat ini, akan turut meliputi kesemua 289 skim
perkhidmatan apabila siap kelak.
"Sebelum
ini kita ada cadangan untuk meningkatkan sistem saraan melalui SSBP (Sistem
Saraan Baru Perkhidmatan Awam), namun tak jadi kita balik kepada SSM (Sistem
Saraan Malaysia) yang ditambah baik. Apa yang diperlukan sekarang adalah sistem
pengganti SSM bagi membolehkan penjawat awam berkhidmat dengan baik.
"SST
(Sistem Saraan Transformatif) yang baru diumumkan merupakan langkah pertama
yang baik ke arah ini, namun ia belum merangkumi semua skim perkhidmatan awam.
Kita harap pelaksanaan sebuah skim menyeluruh dapat dimuktamadkan dalam tahun
ini," katanya kepada Bernama.
Beliau
berkata demikian ketika diminta mengulas manifesto BN, antara lain, menyentuh
rancangan kerajaan hendak memperkenalkan Skim Gaji Transformatif (SGT) di bawah
SST.
Di
bawah SGT, ia termasuk menyemak semula elaun dan menyediakan pergerakan gaji
khas sebanyak tiga peratus kepada mereka yang mencapai gaji maksimum jika pada
waktu itu tiada semakan gaji dilakukan.
Ketika
ini, kerajaan BN telah memperkenalkan dan memperkemaskan gred skim penggajian
untuk penjawat awam termasuk kenaikan gaji secara keseluruhan dan beberapa
inisiatif baharu yang berjumlah RM2 bilion.
Selain
itu, kerajaan turut menyediakan tambahan tiga kali kenaikan gaji tahunan
selepas mata gaji mencecah paras maksimum dalam jadual gaji berkuat kuasa 1 Jan
2013.
Omar
berkata semakan terhadap setiap gred, nama jawatan dan tangga gaji dalam
perhidmatan awam merupakan perkara penting yang memerlukan kajian mendalam bagi
membentuk sebuah sistem saraan mampan yang mampu memastikan perkhidmatan awam
berada pada tahap tertinggi selain menjaga kebajikan penjawat awam.
Mengulas
mengenai prospek lebih cerah untuk kenaikan pangkat dan pembangunan bakat
penjawat awam dalam manifesto itu, Omar berkata perkara ini bakal memberi
peluang yang lebih luas kepada penjawat awam yang berbakat untuk naik pangkat.
-
BERNAMA
Posted in: CuepacsSaturday, April 6, 2013
Sasar 500 Sekolah Kluster Menjelang 2015
PUTRAJAYA
5 April - Kementerian Pelajaran akan meningkatkan jumlah Sekolah Kluster
Kecemerlangan (SKK) daripada 300 kepada 500 buah menjelang 2015.
Ketua
Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud berkata, kini terdapat lebih
daripada 500 sekolah yang telah dikenal pasti berpotensi untuk mendapat
pengiktirafan tersebut.
Katanya,
pihak kementerian mempunyai matlamat untuk meningkatkan bilangan SKK supaya
dapat dijadikan penanda aras kepada sekolah lain.
"Sehingga
kini sejumlah 213 sekolah telah dinobatkan sebagai SKK. Daripada jumlah
tersebut, sebanyak 60 SKK telah diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi
(SBT).
"Pada
hari ini, saya bersyukur 50 buah sekolah lagi mendapat pengiktirafan untuk SKK
bagi fasa ketujuh," katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis
Pengiktirafan SKK fasa ketujuh di sini hari ini.
Pada
majlis tersebut seramai 29 guru besar dan 21 pengetua menerima sijil
pengiktirafan SKK serta wang insentif bernilai RM250,000.
Abd.
Ghafar berkata, 50 sekolah yang mendapat pengiktirafan SKK itu terdiri daripada
29 sekolah rendah dan 21 sekolah menengah.
Katanya,
menerusi SKK, setiap sekolah yang mempunyai pencapaian cemerlang dalam akademik
dan kokurikulum akan diberi pengiktirafan, bantuan dan peluang pendidikan
terbaik daripada kerajaan.
"Pengiktirafan
tersebut juga memberikan peluang kepada sekolah yang dipilih untuk meningkatkan
jaringan kerjasama dua hala yang berterusan dengan sekolah lain dari dalam dan
luar negara," katanya.
Antara
sekolah rendah yang mendapat pengiktirafan SKK ialah Sekolah Kebangsaan (SK)
Seri Tebrau, dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Ladang Rem, Johor; SK
Kubang Kerian, Kelantan; SK Subang Jaya, Selangor; serta SK Agama Bintulu,
Sarawak.
Sekolah
menengah pula, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kenangan dan Sekolah
Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat, Johor; SMKA Kedah; Sekolah Menengah
Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling Pulau Pinang dan SMKA Tok Jiring, Terengganu.
-
Utusan
Posted in: Kementerian Pelajaran MalaysiaFriday, April 5, 2013
Renungan: Kategori Manakah Kita Sebenarnya
Al-Quran dan Hadis banyak menyebut tentang orang-orang Islam yang zalim, fasik,
soleh dan bertaqwa. Kalau kita teliti, kita akan dapati bahawa
orang-orang yang dimaksudkan itu boleh dibahagikan ke dalam beberapa
kategori. Kalau kita kaji orang-orang yang dalam berbagai kategori ini, mungkin
kita akan dapat faham kedudukan orang bertaqwa berbanding dengan orang-orang di
kategori-kategori yang lain. Kita pun dapat mengukur di tahap mana diri kita,
sama ada kita sudah selamat atau belum. Kategori-kategori tersebut ialah:
1. Orang
yang abai
2. Orang
yang cuai
3. Orang
yang lalai
4. Orang
yang bertaqwa
ORANG YANG ABAI
Ertinya
orang yang mengabaikan Tuhan dan syariat Tuhan. Dia itu Islam mungkin kerana
datuk neneknya Islam dan emak ayahnya Islam. Maka secara automatik, dia pun
Islam. Namun dia tidak fikir tentang Tuhan dan tidak fikir tentang syariat
Tuhan. Dia tidak fikir tentang ibadah dan dia tidak fikir tentang halal dan
haram. Tuhan ada atau tidak, tidak penting baginya. Tuhan ada atau tidak ada,
sama sahaja baginya. Begitulah rasa hati orang yang mengabaikan Tuhan.
Dia
hidup mengikut gaya dan corak yang disukainya. Tidak mengikut syariat yang
ditetapkan oleh Islam. Lebih tepat lagi, dia mengikut hawa nafsunya. Kalau kita
tanya apa agamanya, dia kata dia Islam. Tetapi Islam itu tidak nampak pada
dirinya, peribadi dan tingkah lakunya. Islamnya hanya berdasarkan keturunan dan
warisan.
ORANG YANG CUAI
Ini
baik sedikit dari orang yang abai. Orang cuai ini, dia rasa bertuhan tetapi di
waktu-waktu yang tertentu sahaja terutama di waktu dia susah, di waktu dia
sakit dan di waktu dia diuji. Di waktu-waktu itu dia mengeluh, “Wahai Tuhan!”
Waktu senang, dia langsung tidak ingat Tuhan.
Ibadahnya
mengikut keadaan. Apabila dia tidak sibuk dia beribadah ala kadar. Apabila dia
sibuk atau dia tidak ada mood, dia tidak sembahyang dan tidak puasa. Begitu
juga dengan perkara halal haram. Ada masa dan dalam sesetengah hal, dia tidak
buat yang haram. Pada masa dan dalam sesetengah hal yang lain pula, dia selamba
sahaja buat yang haram. Dengan kata-kata yang lain, orang yang cuai ini, dia
buat sedikit tetapi banyak yang dia tidak buat. Sebahagian kecil dia buat,
sebahagian besar dia tinggalkan. Atau dia buat suruhan agama bermusim-musim.
Dia tidak rasa menyesal dan tidak rasa bersalah atau berdosa di atas semua itu.
ORANG YANG LALAI
Orang
ini, soal lahiriahnya termasuk ibadahnya sangat baik dan tidak boleh
dipertikaikan. Semuanya selesai, semuanya beres. Kalau dipandang secara lahir,
orang akan kata dia orang agama, orang baik, ahli ibadah. Segala rukun Islam
dibuatnya, ditambah pula dengan yang sunat-sunat. Dia buat umrah, baca Quran, wirid
dan zikir. Tasbih sentiasa di tangan. Orang ramai sekampung memujinya. Mereka
kata, “Baik orang itu.”
Amalan
agamanya yang lahir beres. Syariat lahirnya selesai. Yang tidak selesai dan
yang tidak beres ialah hatinya. Semakin banyak beribadah, dia semakin tamak,
semakin bakhil, semakin hilang rasa takut dengan Tuhan, semakin tidak ada rasa
hamba dan dia rasa selamat dengan ibadahnya yang banyak itu. Dia tertipu dengan
sembahyang dan ibadah-ibadahnya yang lain. Orang melihat dia seperti beragama
tetapi hakikatnya dia adalah orang yang lalai. Manusia kata dia baik tetapi
Tuhan kata dia tidak baik sebab hatinya tidak takut dan tidak cinta dengan
Tuhan. Dia masih megah, angkuh, cinta dunia dan gila puji walaupun
sembahyangnya banyak, puasanya banyak, baca Quran, wirid dan zikirnya banyak.
Tuhan kata dia orang yang lalai. Walaupun dia tidak lalai dengan ibadah
lahiriah tetapi hatinya lalai dengan Tuhan.
Hakikat
ini membuatkan kita cemas. Orang yang dianggap beragama pun tidak selamat
kerana faktor lalai. Dan lalai itu bukan perkara lahir tetapi perkara hati.
Tidak takut Tuhan, tidak takut dengan dosa, itu termasuk lalai walaupun
sembahyang banyak, puasa banyak, wirid, zikir dan baca Quran banyak.
ORANG YANG BERTAQWA
Orang
yang bertaqwa pula dia sempat buat ibadah yang wajib sahaja. Ibadah-ibadah
sunat kurang. Itupun ibadah sunat yang dibuat hanya yang besar-besar sahaja.
Yang kecil-kecil tidak dibuat. Kalau dibandingkan ibadahnya dengan ibadah orang
yang lalai atau ahli abid, sangat jauh bezanya. Banyak kurangnya. Tetapi dia
takut dan cinta dengan Tuhan. Rasa bertuhannya tebal. Hatinya sentiasa rasa
tidak selesai dengan Tuhan. Dia tidak rasa dirinya baik malahan dia rasa
dirinya orang yang paling jahat, hina dan tidak berguna. Inilah orang yang
bertaqwa.
Walaupun
dia buat ibadah yang wajib sahaja dan yang sunat kurang, namun dengan Tuhan
hatinya sentiasa bergelombang dan bergelora macam air laut yang tidak pernah
tenang. Dia kurang buat ibadah-ibadah sunat yang kecil-kecil sebab terlalu
sibuk, terlalu letih dan tidak ada masa kerana terlalu banyak membantu dan
menolong manusia serta membuat kerja-kerja masyarakat. Masanya banyak
dimanfaatkan untuk orang ramai. Ibadah hablumminallahnya kurang tetapi yang
hablumminannasnya banyak. Ibadah ini lebih besar pahalanya dari ibadahibadah
sunat. Rasulullah SAW ada bersabda: Maksudnya: “Sebaik-baik manusia ialah yang
paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain.”
Memberi
manfaat kepada manusia lain dengan tenaga, ilmu, minda, kuasa, wang ringgit dan
lain-lain itu adalah lebih besar. Buktinya orang yang banyak ibadah pun tidak
sanggup hendak berbakti, berkhidmat atau berkorban apa yang ada padanya untuk
manfaat orang lain. Orang bertaqwa tidak membuat dosa. Kalau dia sedar dia
terbuat dosa, sehari suntuk jiwanya akan terseksa. Dia rasa menyesal, menderita
dan dukacita. Dia akan buat ibadahibadah tambahan yang lain untuk menutup dan
menebus dosanya itu.
Begitulah
kategori orang-orang Islam berdasarkan apa yang disebut dalam Quran dan Hadis
sebagai zalim, fasik, soleh dan bertaqwa. Mengikut kategori-kategori ini,
barulah kita tahu dan sedar tentang letak duduk orang bertaqwa berbanding orang
yang abai, cuai dan lalai. Umat Islam sekarang ini hina-dina di mana-mana,
tidak dibantu, tidak dilindung dan tidak dibela oleh Tuhan kerana orang Islam
yang bertaqwa terlalu sedikit jumlahnya. Ia masih kumpulan minoriti. Yang
terbanyak ialah orang Islam yang abai, diikuti orang Islam yang cuai dan lalai.
Tuhan tidak membantu dan tidak membela orang Islam yang abai, cuai dan lalai ini.
Tuhan hanya akan membantu orang Islam yang bertaqwa sahaja. Di Akhirat nanti,
hanya orang yang bertaqwa sahaja yang akan selamat.
Waallahu
a`lam.
Posted in: Renungan
Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.




















