Al-Quran dan Hadis banyak menyebut tentang orang-orang Islam yang zalim, fasik,
soleh dan bertaqwa. Kalau kita teliti, kita akan dapati bahawa
orang-orang yang dimaksudkan itu boleh dibahagikan ke dalam beberapa
kategori. Kalau kita kaji orang-orang yang dalam berbagai kategori ini, mungkin
kita akan dapat faham kedudukan orang bertaqwa berbanding dengan orang-orang di
kategori-kategori yang lain. Kita pun dapat mengukur di tahap mana diri kita,
sama ada kita sudah selamat atau belum. Kategori-kategori tersebut ialah:
1. Orang
yang abai
2. Orang
yang cuai
3. Orang
yang lalai
4. Orang
yang bertaqwa
ORANG YANG ABAI
Ertinya
orang yang mengabaikan Tuhan dan syariat Tuhan. Dia itu Islam mungkin kerana
datuk neneknya Islam dan emak ayahnya Islam. Maka secara automatik, dia pun
Islam. Namun dia tidak fikir tentang Tuhan dan tidak fikir tentang syariat
Tuhan. Dia tidak fikir tentang ibadah dan dia tidak fikir tentang halal dan
haram. Tuhan ada atau tidak, tidak penting baginya. Tuhan ada atau tidak ada,
sama sahaja baginya. Begitulah rasa hati orang yang mengabaikan Tuhan.
Dia
hidup mengikut gaya dan corak yang disukainya. Tidak mengikut syariat yang
ditetapkan oleh Islam. Lebih tepat lagi, dia mengikut hawa nafsunya. Kalau kita
tanya apa agamanya, dia kata dia Islam. Tetapi Islam itu tidak nampak pada
dirinya, peribadi dan tingkah lakunya. Islamnya hanya berdasarkan keturunan dan
warisan.
ORANG YANG CUAI
Ini
baik sedikit dari orang yang abai. Orang cuai ini, dia rasa bertuhan tetapi di
waktu-waktu yang tertentu sahaja terutama di waktu dia susah, di waktu dia
sakit dan di waktu dia diuji. Di waktu-waktu itu dia mengeluh, “Wahai Tuhan!”
Waktu senang, dia langsung tidak ingat Tuhan.
Ibadahnya
mengikut keadaan. Apabila dia tidak sibuk dia beribadah ala kadar. Apabila dia
sibuk atau dia tidak ada mood, dia tidak sembahyang dan tidak puasa. Begitu
juga dengan perkara halal haram. Ada masa dan dalam sesetengah hal, dia tidak
buat yang haram. Pada masa dan dalam sesetengah hal yang lain pula, dia selamba
sahaja buat yang haram. Dengan kata-kata yang lain, orang yang cuai ini, dia
buat sedikit tetapi banyak yang dia tidak buat. Sebahagian kecil dia buat,
sebahagian besar dia tinggalkan. Atau dia buat suruhan agama bermusim-musim.
Dia tidak rasa menyesal dan tidak rasa bersalah atau berdosa di atas semua itu.
ORANG YANG LALAI
Orang
ini, soal lahiriahnya termasuk ibadahnya sangat baik dan tidak boleh
dipertikaikan. Semuanya selesai, semuanya beres. Kalau dipandang secara lahir,
orang akan kata dia orang agama, orang baik, ahli ibadah. Segala rukun Islam
dibuatnya, ditambah pula dengan yang sunat-sunat. Dia buat umrah, baca Quran, wirid
dan zikir. Tasbih sentiasa di tangan. Orang ramai sekampung memujinya. Mereka
kata, “Baik orang itu.”
Amalan
agamanya yang lahir beres. Syariat lahirnya selesai. Yang tidak selesai dan
yang tidak beres ialah hatinya. Semakin banyak beribadah, dia semakin tamak,
semakin bakhil, semakin hilang rasa takut dengan Tuhan, semakin tidak ada rasa
hamba dan dia rasa selamat dengan ibadahnya yang banyak itu. Dia tertipu dengan
sembahyang dan ibadah-ibadahnya yang lain. Orang melihat dia seperti beragama
tetapi hakikatnya dia adalah orang yang lalai. Manusia kata dia baik tetapi
Tuhan kata dia tidak baik sebab hatinya tidak takut dan tidak cinta dengan
Tuhan. Dia masih megah, angkuh, cinta dunia dan gila puji walaupun
sembahyangnya banyak, puasanya banyak, baca Quran, wirid dan zikirnya banyak.
Tuhan kata dia orang yang lalai. Walaupun dia tidak lalai dengan ibadah
lahiriah tetapi hatinya lalai dengan Tuhan.
Hakikat
ini membuatkan kita cemas. Orang yang dianggap beragama pun tidak selamat
kerana faktor lalai. Dan lalai itu bukan perkara lahir tetapi perkara hati.
Tidak takut Tuhan, tidak takut dengan dosa, itu termasuk lalai walaupun
sembahyang banyak, puasa banyak, wirid, zikir dan baca Quran banyak.
ORANG YANG BERTAQWA
Orang
yang bertaqwa pula dia sempat buat ibadah yang wajib sahaja. Ibadah-ibadah
sunat kurang. Itupun ibadah sunat yang dibuat hanya yang besar-besar sahaja.
Yang kecil-kecil tidak dibuat. Kalau dibandingkan ibadahnya dengan ibadah orang
yang lalai atau ahli abid, sangat jauh bezanya. Banyak kurangnya. Tetapi dia
takut dan cinta dengan Tuhan. Rasa bertuhannya tebal. Hatinya sentiasa rasa
tidak selesai dengan Tuhan. Dia tidak rasa dirinya baik malahan dia rasa
dirinya orang yang paling jahat, hina dan tidak berguna. Inilah orang yang
bertaqwa.
Walaupun
dia buat ibadah yang wajib sahaja dan yang sunat kurang, namun dengan Tuhan
hatinya sentiasa bergelombang dan bergelora macam air laut yang tidak pernah
tenang. Dia kurang buat ibadah-ibadah sunat yang kecil-kecil sebab terlalu
sibuk, terlalu letih dan tidak ada masa kerana terlalu banyak membantu dan
menolong manusia serta membuat kerja-kerja masyarakat. Masanya banyak
dimanfaatkan untuk orang ramai. Ibadah hablumminallahnya kurang tetapi yang
hablumminannasnya banyak. Ibadah ini lebih besar pahalanya dari ibadahibadah
sunat. Rasulullah SAW ada bersabda: Maksudnya: “Sebaik-baik manusia ialah yang
paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain.”
Memberi
manfaat kepada manusia lain dengan tenaga, ilmu, minda, kuasa, wang ringgit dan
lain-lain itu adalah lebih besar. Buktinya orang yang banyak ibadah pun tidak
sanggup hendak berbakti, berkhidmat atau berkorban apa yang ada padanya untuk
manfaat orang lain. Orang bertaqwa tidak membuat dosa. Kalau dia sedar dia
terbuat dosa, sehari suntuk jiwanya akan terseksa. Dia rasa menyesal, menderita
dan dukacita. Dia akan buat ibadahibadah tambahan yang lain untuk menutup dan
menebus dosanya itu.
Begitulah
kategori orang-orang Islam berdasarkan apa yang disebut dalam Quran dan Hadis
sebagai zalim, fasik, soleh dan bertaqwa. Mengikut kategori-kategori ini,
barulah kita tahu dan sedar tentang letak duduk orang bertaqwa berbanding orang
yang abai, cuai dan lalai. Umat Islam sekarang ini hina-dina di mana-mana,
tidak dibantu, tidak dilindung dan tidak dibela oleh Tuhan kerana orang Islam
yang bertaqwa terlalu sedikit jumlahnya. Ia masih kumpulan minoriti. Yang
terbanyak ialah orang Islam yang abai, diikuti orang Islam yang cuai dan lalai.
Tuhan tidak membantu dan tidak membela orang Islam yang abai, cuai dan lalai ini.
Tuhan hanya akan membantu orang Islam yang bertaqwa sahaja. Di Akhirat nanti,
hanya orang yang bertaqwa sahaja yang akan selamat.
Waallahu
a`lam.
0 comments:
Post a Comment