Selepas satu minggu tamat dari Projek
Penandaarasan barulah saya berkesempatan menulis pengalaman di SK Sultan
Sulaiman II. Projek Penandaarasan adalah sebahagian keperluan bagi memenuhi
keperluan Kursus Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan
(NPQEL).
Program Penandaarasan ini bertujuan
mengenal pasti amalan-amalan pengurusan dan kepimpinan di SK Sultan Sulaiman
II, Kuala Terengganu. Projek ini dijalankan dengan menggunakan kaedah
pemerhatian, perbincangan dan temubual bagi mendapat maklumat berkaitan projek
yang dipilih iaitu Program Pembelajaran Interaktif Melalui Internet Zoom-A.
Populasi projek terdiri daripada seluruh warga sekolah. Sampel pula terdiri
daripada Guru Besar yang merupakan peneraju utama Sekolah Penandaarasan.
Sepanjang projek ini berlangsung catatan mengenai aktiviti Log Harian selama sepuluh hari
persekolahan dilakukan dan mendapat pengesahan pemimpin sekolah. Manakala dalam
Log Kepimpinan memperlihatkan perjalanan pemimpin sekolah yang melibatkan
amalan dan gaya kepimpinan telah dibuat catatan.
Menceritakan tentang pemilihan Sekolah
Penandaarasan, pada peringkat permulaannya saya telah memilih SK Sultan
Sulaiman I tapi oleh kerana terdapat peserta NPQEL perempuan yang berkehendakkan sekolah tersebut (katanya terdapat ramai
kawannya di situ) walaupun saya terlebih dahulu memilihnya, saya terpaksa
mengalah! Bila difikir pula, saya boleh memilih SK Pasir Panjang Kuala
Terengganu (sekolah yang dirasakan baik dari segi pengurusan dan pencapaian) iaitu
merupakan sekolah lama saya (2002 - 2010) tapi merasakan saya pernah mendapat pengalaman di sekolah
tersebut, dirasakan baik kiranya saya ke sekolah lain, sekurang-kurangnya saya
dapat menambah pengetahuan dari pelbagai sekolah.
Di SK Sultan Sulaiman II yang menjadi
Sekolah Penandaarasan ini pula adalah antara sekolah yang popular di Kuala
Terengganu. Jarak sekolah ini dari tempat tinggal saya ialah lebih kurang 25
kilometer. Walaupun saya boleh memilih sekolah yang berhampiran dengan tempat
tinggal tetapi niat utama saya adalah untuk menambah ilmu, lagi pun saya hanya
perlu ke sekolah tersebut selama 2 minggu sahaja. Alhamdulillah, walaupun
sekolah pertama yang dipilih tidak kesampaian tapi di SK Sultan Sulaiman II ini
ada rahmat disebaliknya. Guru Besar di SK Sultan Sulaiman II ini merupakan
Pengerusi MGB Daerah Kuala Terengganu. Melalui pemerhatian saya, beliau seorang
yang “participative dan achievement”, baik dan komited dengan tugasannya. Seorang
lulusan UUM dalam bidang pengurusan, beliau banyak memberi bimbingan dan
berkongsi pengalaman. Di sekolah ini juga saya diberi ruang oleh beliau untuk
berkongsi pengetahuan dalam membantu murid Tahun 6, dengan memberi pendedahan
dan berkongsi pengetahuan berkaitan penambahbaikan yang terdapat dalam pembelajaran
interaktif.
Semasa dua minggu berada di SK Sultan
Sulaiman II ini juga, saya membuat pemerhatian dan temubual terhadap guru-guru.
Terdapat luahan dan pengucapan yang berbau positif mahupun negatif mengenai
pendidikan khususnya mengenai sekolah mereka sendiri. Seterusnya banyak input
yang boleh saya kutip sekadar panduan atau muhasabah diri sendiri sekiranya
diizinkan Allah memegang jawatan sebagai pemimpin sekolah nanti. Saya juga
berkesempatan berbual dengan salah seorang Nazir Persekutuan yang datang
membuat penilaian dan pemantaun di sekolah tersebut. Terdapat beberapa dapatan
yang boleh dikutip bagi memantapkan pengetahuan saya mengenai pengurusan
sekolah. Sepanjang di SK Sultan Sulaiman II ini juga, saya beruntung kerana
banyak aktiviti yang dijalankan dan saya juga berkesempatan menghadiri
Mesyuarat Jawatankuasa UPSR Kali Ke-2 yang dipengerusikan Guru Besar.
Terima kasih kepada En. Mohd Kaman bin
Awang selaku Guru Besar SK Sultan Sulaiman II di atas kerjasama dan sikap
positif yang ditunjukkan. Semoga matlamat membangun dan mengemblengkan warga SK
Sultan Sulaiman II menuju kluster tercapai. Seterusnya dirakamkan penghargaan
juga kepada seluruh warga SK Sultan Sulaiman II. Selamat berjaya dengan motto “Bersama Menggenggam Impian Kluster”.
Gambar-gambar yang dirakam
sepanjang Program Penandaarasan
di SK Sultan Sulaiman II,
Kuala Terengganu
(Klik pada gambar untuk kelihatan lebih besar)
0 comments:
Post a Comment