ADA yang bertanya kepada saya jika
kreativiti dan inovasi penting dalam pendidikan, mengapa ia tidak dijadikan
sebagai mata pelajaran dan kurikulumnya diajar dalam bilik darjah.
Jawapannya, kreativiti dan inovasi tidak
boleh diajar tetapi ia boleh diterap secara tidak langsung melalui aktiviti
pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan secara terancang.
Dengan kata lain apa sahaja mata
pelajaran kedua-dua elemen itu boleh diajar oleh guru melalui pendekatan
pengajaran yang berpusat kepada murid atau student centre.
Pengajaran berpusat kepada murid
maksudnya pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan secara dua hala iaitu guru
mengajar dan murid belajar. Guru dikehendaki sentiasa mencabar keupayaan
berfikir muridnya dengan menggunakan pelbagai teknik mengajar dan alat bantu
pengajaran yang menarik minat murid.
Mempelbagaikan aktiviti pembelajaran
seperti kuiz, forum, syarahan, bahas, membuat projek, kerja berkumpulan dan
tugasan luar bilik darjah sangat digalakkan. Aktiviti tersebut akan
menggalakkan murid berfikir, berbincang, membuat rujukan, menyediakan nota dan
menghasilkan tugasan tersebut. Ini akan menggalakkan percambahan idea dan
dapatan baru yang melibatkan unsur-unsur kreativiti dan inovasi di kalangan
murid.
Sesungguhnya murid yang kreatif dan
inovatif akan menjadi seorang yang sentiasa berfikir, ingin mencipta,
bercita-cita besar, berani dan yakin kepada diri sendiri. Inilah ciri-ciri
murid yang perlu kita lahirkan untuk menjadi warganegara bagi menghadapi cabaran
masa depan terutama dalam memasuki era 2020. Bagi menanganinya tidak
menghairankan mengapa kerajaan berbelanja besar dalam Bajet 2013 untuk
pendidikan.
Apakah sebenarnya definisi kreativiti
dan inovasi itu. Kreativiti ialah suatu bentuk proses pemikiran yang mendorong
mengeneralisasi idea baru. Ia melibatkan kombinasi antara idea baru dan idea
lama yang diproses semula, membuat pemilihan dan menukar ganti menjadi suatu
yang baru.
Sementara itu, inovasi pula merupakan
suatu idea, amalan atau objek yang dianggap baru dan yang lebih baik. Inovasi
dihasilkan oleh manusia kreatif yang dapat membina trend baru dan menggunakan
peluang maksimum walaupun dalam ekosistem yang banyak persaingan.
Sebagai contoh jika dulu penggunaan
telefon bimbit hanya sebagai alat perhubungan tetapi kini melalui inovasi ia
digunakan sebagai alat hiburan, internet, kamera, penyampai maklumat, memberi
pandu arah perjalanan dan membuat pelbagai pengiraan.
Guru memainkan peranan penting bagi
menerapkan kedua-dua elemen dalam pengajaran mereka. Sebagai penyampai ilmu
guru perlulah memiliki kemahiran tinggi bagi melakukan transformasi dalam
menjana minda murid agar menjadi lebih dinamik.
Mempunyai kemahiran sedemikian akan
menjadikan guru berada di tahap teratas dan akan disanjung oleh muridnya.
Kualiti guru sedemikian akan membolehkan muridnya menguasai berbagai kemahiran
lain seperti berfikir aras tinggi, penyelesaian masalah, berkomunikasi dan
berkolaborasi dengan baik.
Peranan pengurusan sekolah tidak kurang
pentingnya dalam merealisasikan elemen kreativiti dan inovasi dalam kalangan
warganya. Dengan perkataan lain pengurusan sekolah juga mesti kreatif dan
inovatif agar menjadi organisasi pembelajaran yang bermaklumat, menggalakkan
pengembangan pengetahuan baru, berbudaya saintifik, penggunaan teknologi serta
ICT secara meluas dan penggunaan tenaga sumber secara maksimum.
Pengetua dan Guru Besar bersama
pengurusan tertinggi di sekolah bertanggungjawab bagi mencetuskan budaya
kreativiti dan inovasi sama ada di kalangan guru atau murid. Sekolah mestilah
menjadi institusi yang menggalakkan tercetusnya pendapat dan idea baru. Bagi
mewujudkan suasana tersebut sekolah perlu mengurangkan kerenah birokrasi dalam
pengurusan dan memberi ruang kebebasan berkarya kepada warganya.
Pihak pengurusan juga perlu menjadikan
iklim sekolah yang sentiasa ceria, bersih, kemas dan bermaklumat. Sikap
terbuka, mesra dan berperanan sebagai penyelesai masalah akan menjadikan guru
dan murid merasa gembira dan selamat semasa mengikuti aktiviti pembelajaran.
Bagi mewujudkan suasana sedemikian
pengurusan sekolah perlulah memastikan berlaku sistem komunikasi dua hala,
pengaliran maklumat lebih demokratik, stail kepimpinan yang berhemah dan
pembangunan insan yang harmoni.
Kepimpinan sekolah hendaklah terdiri daripada
mereka yang berkebolehan dalam menguruskan organisasi pembelajaran. Selain
mendapat latihan, berpengalaman dan pengetahuan yang luas dalam bidang
pendidikan mereka perlu mempunyai dorongan dan komitmen yang kuat bagi membawa
perubahan kepada sekolah.
Perlu ada visi dan misi, strategi dan
perancangan yang baik. Bagi memastikan kejayaan perancangan tersebut mereka
perlu mendapat sokongan dan kerjasama yang padu daripada seluruh warga sekolah
termasuk ibu bapa.
Mempunyai ciri budaya sekolah yang
menggalakkan kreativiti dan inovasi akan mendorong semangat belajar yang tinggi
di kalangan murid, mempunyai daya usaha sendiri dan sentiasa berusaha
mengembangkan potensi ke arah yang lebih baik.
Dengan bimbingan dan sokongan guru-guru
yang dedikasi, terlatih dan profesional usaha yang dilakukan oleh murid akan
membuahkan kejayaan nanti.
Keberkesanan sekolah akan terserlah
jika mereka dapat menggunakan teknologi dan ICT dalam pengurusan dan dalam
bilik darjah. Sebenarnya teknologi tidak dilihat sebagai alat semata-mata
tetapi boleh menjadikan sistem pengurusan lebih efisien dan berkesan.
Penggunaan ICT secara meluas dapat
membina imej baru dalam pengurusan organisasi yang berprestasi tinggi. Ia akan
menjadikan sekolah lebih berdaya saing dan menjadi lebih produktif.
''Kreativiti dan inovasi amat dituntut
untuk melahirkan generasi murid berfikiran kelas pertama dalam abad ke-21 ini
untuk bersaing dalam abad penuh cabaran ini kita tiada pilihan kecuali
meningkatkan keupayaan kreativiti dan inovasi. Dalam senario ini tugas guru
semakin mencabar."
- Utusan
0 comments:
Post a Comment