Manusia rosak banyak sebabnya. Ada
sebab luaran dan ada sebab dalaman. Ada sebab lahir dan ada sebab batin. Namun
kalau semua sebab-sebab itu dianalisa, puncanya dapat dirangkumkan ke dalam
tiga perkara yang pokok.
Pertama adalah kerana manusia sudah kehilangan Tuhan.
Kedua kerana ketandusan kepimpinan
Ketiga kerana sistem hidup manusia sudah punah ranah.
Manusia Sudah Kehilangan Tuhan
Manusia umumnya sudah kehilangan Tuhan.
Manusia sudah melupakan Tuhan. Tuhan sudah tidak lagi menjadi teras dan
pegangan dalam hidup manusia.Tuhan sudah tidak lagi menjadi matlamat hidup
manusia. Dalam banyak hal, Tuhan diketepikan dan dikesampingkan. Tuhan tidak
diletakkan di hadapan. Manusia sudah tidak merujuk lagi kepada Tuhan.Manusia
sudah tidak patuh lagi kepada hukum-hakam dan peraturan Tuhan. Malahan hidup
manusia bukan lagi untuk Tuhan.
Manusia sudah tidak cinta dan tidak
takut dengan Tuhan.Tempat Tuhan telah digantikan dengan dunia, dengan pangkat
dan kuasa, dengan harta benda dan kekayaan, dengan wang ringgit, dengan nama
dan glamour, dengan populariti, kemasyhuran dan sebagainya. Untuk ini semualah
tujuan manusia hidup, bukan lagi untuk mendapat dan mengenal Tuhan. Tahukah
manusia, amanah yang ditanggung dari apa yang mereka dambakan.
Hatta, orang agama yang lahirnya nampak
macam kuat beragama juga kehilangan Tuhan. Dalam solat mereka, tidak ada Tuhan.
Dalam puasa mereka tidak ada Tuhan. Dalam zakat dan haji mereka tidak ada
Tuhan. Dalam wirid, zikir dan bacaan Quran mereka juga sudah tidak ada Tuhan.
Paling baik, mereka mengejar pahala dan fadilat, bukan Tuhan. Pahala dan
fadhilat jadi matlamat, bukan Tuhan.Mereka hanya membesarkan syariat, bukan
membesarkan Tuhan. Di samping itu,ramai juga orang agama yang mengejar nama dan
jawatan diatas ilmu dan amalan agama mereka. Tidak terfikirkah akan amanah yang
perlu digalas.
Segala apa yang manusia fikirkan,
segala apa yang manusia mahukan dan segala apa yang manusia rasakan, kesemuanya
tertumpu kepada matlamat material dan keperluan hidup di dunia semata-mata.
Bukan untuk mengabdikan diri, berbakti atau untuk mendapat redha, rahmat, kasih
sayang dan keampunan Tuhan.
Manusia sudah tidak yakin lagi dengan
Tuhan. Sudah tidak tawakkal, tidak berserah diri dan tidak bergantung harap
dengan Tuhan. Manusia menyangka seolah-olah Tuhan itu tidak ada peranan dalam
hidup mereka. Mereka menganggap Tuhan tidak relevan dalam hidup mereka.
Kalaupun lidah mereka tidak menyebut tetapi tindak tanduk dan amalan mereka
membuktikannya. Mereka lupa dengan firman Allah SWT:
Maksudnya: Tidak Aku jadikan jin dan
manusia melainkan untuk mengabdi diri kepada-Ku. (Az-Zariat:56)
Ramai manusia percaya kepada Tuhan.
Tetapi mereka hanya setakat percaya sahaja. Orang Yahudi percaya Tuhan.Orang
Nasrani percaya Tuhan. Orang Hindu pun percaya Tuhan. Malahan, kalau ditanya
kepada setiap manusia dimuka bumi, siapakah yang menjadikan alam ini? Mereka
semua akan berkata bahawa Tuhan yang menjadikannya. Tetapi percaya bukan satu
keyakinan. Percaya bukan suatu itiqad. Percaya sahaja tidak cukup sebagai
aqidah dan pegangan. Yang sedihnya, ramai orang Islam sendiri baru setakat
percaya dengan Tuhan. Ia belum menjadi aqidah atau pegangan. Mereka percaya
Tuhan itu ada tetapi wujudnya Tuhan itu tidak memberi apa-apa kesan kepada
matlamat dan cara hidup mereka. Mereka percaya Tuhan itu ada tetapi dalam
kehidupan seharian, mereka bertindak seolah-olah Tuhan itu tidak wujud. Mereka
ini termasuk golongan orang-orang yang kehilangan Tuhan.
Punca Rosaknya Manusia
Hilang perpaduan. Manusia bergaduh dan
berperang. Jenayah berleluasa. Timbul kezaliman, penindasan dan tekan-menekan
sehingga manusia cemas dan ketakutan. Perangai manusia tidak ubah seperti
haiwan. Ini semua adalah akibat manusia meninggalkan Tuhan.
Manusia hilang tempat mengadu. Hilang
tempat merujuk. Hilang tempat berserah dan bergantung harap. Hilang tempat
meminta pertolongan. Alangkah ruginya manusia kalau sudah kehilangan Tuhan.
Ada sebuah kisah yang berlaku kepada
Syeikh Abdul Qadir Jailani. Dia didatangi oleh pemuka-pemuka kota Baghdad untuk
diajak bersama dalam satu majlis ibadah malam secaraberamai-ramai. Dia menolak
tetapi pemuka-pemuka tersebut berkeras juga mengajak beliau hadir. Untuk dapat
berkat, kata mereka. Akhirnya, dengan hati yang berat, Syeikh Abdul Qadir
bersetuju untuk hadir.
Pada malam berkenaan, di satu tempat
yang terbuka,beratus-ratus orang hadir dengan melakukan ibadah
masing-masing.Ada yang bersolat. Ada yang berwirid. Ada yang membaca Quran. Ada
yang bermuzakarah. Ada yang bertafakur dan sebagainya. Syeikh Abdul Qadir duduk
di satu sudut dan hanya memerhatikan gelagat orang-orang yang beribadah itu.
Di pertengahan malam, pihak penganjur
menjemput Syeikh Abdul Qadir untuk memberi tazkirah. Dia cuba mengelak tetapi
didesak berkali-kali oleh pihak penganjur. Untuk dapat berkat, kata mereka
lagi. Akhirnya dengan hati yang sungguh berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju.
Tazkirah Syeikh Abdul Qadir ringkas dan
pendek sahaja.Dia berkata: Tuan-tuan dan para hadirin sekelian. Tuhan tuan-tuan
semua berada di bawah tapak kaki saya.
Dengan itu, majlis terkejut dan menjadi
gempar dan riuh rendah. Para hadirin terasa terhina dan tidak puas
hati.Bagaimanakah seorang Syeikh yang dihormati ramai dan terkenal dengan ilmu
dan kewarakannya boleh berkata begitu terhadap Tuhan mereka. Ini sudah menghina
Tuhan. Mereka tidak sanggup Tuhan mereka dihina sampai begitu rupa.
Mereka sepakat hendak melaporkan
perkara itu kepada pemerintah. Apabila pemerintah dapat tahu, diarahnya kadhi
untuk menyiasat dan mengadili Syeikh Abdul Qadir dan jika diadapati bersalah,
hendaklah dihukum pancung.
Pada hari pengadilan yang dibuat di
khalayak ramai, Syeikh Abdul Qadir dibawa untuk menjawab tuduhan.
Kadhi bertanya, “Benarkah pada sekian
tempat, tarikh dan masa sekian, Tuan Syeikh ada berkata di khalayak ramai
bahawa tuhan mereka ada di bawah tapak kaki Tuan Syeikh?”
Dengan tenang Syeikh Abdul Qadir
menjawab, “Benar, saya ada kata begitu.”
Kadhi bertanya lagi, “Apakah sebab Tuan
Syeikh berkata begitu?”
Jawab Syeikh Abdul Qadir , “Kalau tuan
kadhi mahu tahu, silalah lihat tapak kaki saya.”
Maka kadhi pun mengarahkan pegawainya
mengangkat kaki Syeikh Abdul Qadir untuk dilihat tapak kakinya. Ternyata ada
duit satu dinar yang melekat di tapak kakinya. Kadhi tahu Syeikh Abdul Qadir
seorang yang kasyaf.
Fahamlah kadhi bahawa Syeikh Abdul
Qadir mahu mengajar bahawa semua orang yang beribadah pada malam yang berkenaan
itu sebenarnya tidak beribadah kerana Tuhan. Tuhan tidak ada dalam ibadah
mereka. Hakikatnya, mereka tetap bertuhankan dunia yang duit satu dinar itu
menjadi lambang dan simbolnya.
Kalau di zaman Syeikh Abdul Qadir
Jailani pun manusia sudah hilang Tuhan dalam ibadah mereka, apatah lagi di
zaman ini. Itu dalam ibadah. Kalau dalam hidup seharian, sudah tentu Tuhan tidak
langsung diambil kira.
Manusia Ketandusan Kepimpinan
Manusia sudah tidak terpimpin lagi
kerana manusia sudah ketandusan kepimpinan. Oleh itu, manusia hanyut dan sesat
dalam kehidupan ini tanpa menuju ke sesuatu arah yang tertentu dan tidak dapat
memenuhi tujuan dan maksud mengapa manusia itu dijadikan. Manusia sudah tidak
berfungsi sebagai manusia lagi.
Pemimpin yang ada di dunia sekarang
sebenarnya bukan pemimpin. Obama bukan seorang pemimpin. Putin juga bukan
seorang pemimpin. Begitu juga dengan Hosni Mubarak. Mereka bukan pemimpin.
Paling tinggi mereka itu hanya pentadbir. Mereka mentadbir hal-hal negara, kewangan,
khazanah dan ekonomi negara. Mereka hanya memenuhi keperluan lahir dan tidak
langsung mengambil berat tentang keperluan rohani rakyat.
Pemimpin dalam Islam bukan setakat
menyelesaikan keperluan lahir. Yang lebih penting ialah keperluan rohani. Pemimpin
dalam Islam bertanggungjawab mendidik dan membina keinsanan rakyat. Membawa
rakyat kepada Tuhan. Mengajar mereka supaya cinta, takut, taat dan patuh kepada
Tuhan. Pemimpin dalam Islam berkewajipan menjaga kehidupan beragama rakyat dan
menjadikan rakyat baik, beriman dan bertaqwa.
Soal keperluan lahir juga penting
tetapi ia jatuh nombor dua. Dalam Islam, memimpin itu seperti membuat kerja
Rasul.Rasul itu sebenarnya pemimpin. Siapa yang membuat kerja-kerja rasul juga
dianggap sebagai pemimpin. Pemimpin seperti inilah yang sudah tidak ada lagi.
Selagi pemimpin seperti ini tidak ada dan tidak dicari, maka selagi itulah
hidup manusia akan menjadi rosak dan kucar kacir.
Para pentadbir dan pemimpin dunia
seperti yang ada sekarang tidak mampu memimpin. Mereka tidak mampu membina
keinsanan rakyat, membawa rakyat kepada Tuhan atau menjadikan rakyat
orang-orang yang beriman dan bertaqwa.
Mana mungkin mereka mampu berbuat
demikian dalam keadaan mereka sendiri pun tidak terpimpin. Keluarga mereka
sendiri pun kucar-kacir. Mereka ini hanya akan melalaikan dan merosakkan
keinsanan rakyat. Mereka ini hanya akan membawa manusia kepada dunia dan
menjauhkan mereka dari Tuhan dan dari akhirat.
Paling baik, mereka hanya boleh membawa
pembangunan dan kemajuan lahiriah dan membina ekonomi negara dan rakyat.
Mungkin rakyat boleh hidup dengan selesa. Tetapi kebahagiaan manusia bukan
terletak kepada keselesaan hidup. Ia terletak kepada jiwa yang terisi dan
fitrah yang terlaksana.
Keperluan fitrah manusia yang utama
ialah keinginan berTuhan, keinginan menyembah, taat, patuh dan mengabdi diri
kepada Tuhan. Apabila hati-hati manusia terisi dengan dunia dan hidup mereka
bermatlamatkan dunia, maka nafsu mereka akan bermaharajalela dan dunia akan
menjadi rebutan. Memang dunia itu bahan rebutan dan punca pecah belah dan
pemusnah kasih sayang. Manusia akan berebut-rebut dunia, menekan dan menindas
seperti anjing yang berebut bangkai. Akhirnya manusia akan bergaduh, berkelahi
dan bunuh-membunuh.Tidak ada kasih sayang dan perpaduan.
Sistem Hidup Manusia Sudah Punah
Sistem hidup manusia di muka bumi ini
tidak lagi berteraskan syariat Tuhan. Ia adalah hasil dari ciptaan akal manusia
yang begitu daif dan lemah. Sistem yang kononnya dirancang untuk kebaikan dan
kebahagiaan manusia itu telah makan tuan dan telah merosakkan dan
mengkucar-kacirkan kehidupan manusia itu sendiri.
Di antaranya:
1. Sistem pendidikan sekular yang hanya
bermatlamatkan dunia telah merosakkan akhlak manusia. Manusia hilang akhlak
kepada Tuhan dan hilang akhlak terhadap sesama manusia. Manusia menjadi
pencinta dan pemburu dunia. Manusia menjadi jahat, sombong, bakhil, hidup
nafsu-nafsi, zalim dan pentingkan diri sendiri. Walhal sistem pendidikan Islam
membawa manusia kepada Tuhan dan membina jiwa serta akhlak manusia. Hasilnya,
manusia menjadi baik, berguna, tolong-menolong dan berkasih sayang.
2. Sistem ekonomi ciptaan manusia
terutama sistem kapitalis hanya mementingkan untung tidak kira dengan cara apa.
Tidak kira sama ada hasil atau khidmat ekonomi itu perkara yang sia-sia,
maksiat dan merosakkan orang atau ia menindas pekerja untuk mendapat untung
berlipat ganda atau membazir atau merosakkan moral manusia dalam iklan untuk
menjual barangan. Berlaku monopoli, menetapkan harga yang menekan dan
berlebihan yang menyusahkan manusia serta berbagai-bagai lagi hanya kerana
hendakkan keuntungan yang banyak. Walhal sistem ekonomi Islam menekankan
khidmat kepada masyarakat dan membekalkan keperluan masyarakat sebagai suatu
ibadah dan tanda kasih sayang. Segala kegiatan ekonomi tidak terkeluar dari
syariat dan hukum-hakam Tuhan dan tidak lari dari tujuan untuk mendapat
keredhaan Tuhan.
3. Sistem kebudayaan berteraskan nafsu
telah melalai dan merosakkan akhlak manusia terutama muda-mudi. Walhal sistem
kebudayaan Islam membawa manusia kepada mengenal, mencintai dan takutkan Tuhan
dan merindui hari akhirat. Menginsaf dan menyedarkan manusia tentang
tanggungjawab mereka sebagai hamba dan khalifah Tuhan. Menyegarkan dan
menghidupkan jiwa mereka.
Kalau hidup manusia mahu dibetulkan,
tidak dapat tidak, ketiga-tiga perkara ini perlu ditangani.
Pertama, manusia perlu dibawa kepada
Tuhan. Manusia mesti mula mengenal dan takut pada Tuhan.
Kedua, pemimpin yang sejati yang boleh
mendidik manusia perlu dicari. Ketiga, sistem hidup manusia yang sudah punah
ranah ini perlu dibaiki dan perlu mengikut peraturan hukum-hakam dan mengikut
cara yang Tuhan tentukan.
Namun, di antara ketiga-tiga perkara
ini, pemimpin sejati itulah yang perlu didapatkan dahulu. Kerana pemimpinlah
yang akan dapat membawa kita kepada Tuhan dan pemimpin jugalah yang akan dapat
membuat perubahan dan memperbaiki sistem hidup kita. Kita tidak akan dapat
mengenal Tuhan tanpa ada pemimpin yang memperkenalkan Tuhan kepada kita. Dan
sistem hidup kita tidak akan berubah dengan sendiri tanpa ada pemimpin yang
berusaha mengubahkannya.
Wassalam.
0 comments:
Post a Comment