Selepas seminggu beraya di kampung,
saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri
laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa
mengantuk, saya singgah sebentar di sebuah restoran di pinggir pekan itu.
Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12
tahun muncul dihadapan.
"Abang nak beli kuih?"
katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi
penutup bakul kuih jajaanya.
“Tak apalah dik... Abang dah pesan
makanan," jawap saya ringkas.
Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya
terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi
menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak,
dia berlalu begitu saja.
"Abang dah makan, tak nak beli
kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.
"Abang baru lepas makan dik. Masih
kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.
Dia beredar, tapi cuma setakat di kaki
lima. Sampai di situ, di meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu
ditanya, "Tak nak beli kuih saya bang, pak cik, kakak atau makcik?"
Molek budi bahasanya! Mamak restoran
itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan.
Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati saya melihatkan
betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam
dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.
Selepas membayar harga makanan dan
minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak
jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk dan menutup
pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi
kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas
senyumannya.
"Abang dah kenyang, tapi mungkin
abang perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang."
katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam
bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.
Saya tenung wajahnya, bersih dan
bersahaja. Terpantul perasaan kesian di hati. Lantas saya buka dompet, dan
menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.
"Ambil ni dik! Abang sedekah. Tak
payah abang beli kuih tu," Saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan
meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan
terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira
dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah
terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian
saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya.
Saya terkejut, lantas memberhentikan
semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.
"Kenapa bang nak beli kuih
ke?" tanyanya.
"Kenapa adik berikan duit abang
tadi pada pengemis tu? Duit tu abang bagi adik!" Kata saya tanpa menjawap
pertanyaannya.
"Bang saya tak boleh ambil duit
tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja
mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia
tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak
pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat
bang!" katanya begitu lancar.
Saya sebak, sekaligus kagum dengan
pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa
semua harga kuih dalam bakul itu.
"Abang nak beli semua ke?"
Dia betanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.
"RM25 saja bang."
Selepas dia memasukkan satu persatu
kuihnya kedalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan
terus berlalu.
Saya perhatikan dia sehingga hilang
daripada pandangan. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk
bertanya statusnya. Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang
melahirknya? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar
kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan
kerjayanya satu penghormatan.
Sesungguhnya saya kagum dengan sikap
kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!
"Maka yang mana satu di antara
nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? " - ar-rahman
- Harakahdaily
0 comments:
Post a Comment