Sunday, June 8, 2014

Prestasi Pelajar Lemah Sebabkan Jurang Ekonomi Di Malaysia


Pelajar yang menghadapi kesukaran untuk berprestasi baik di sekolah mungkin 
akan menjadi golongan kelas berpendapatan rendah dan akhirnya 
membesarkan lagi jurang sosio-ekonomi negara. 

 
Malaysia berada dalam keadaan bahaya kerana sejumlah besar golongan muda berdepan dengan kesukaran di sekolah dan tampak cenderung untuk menjadi golongan kurang bernasib baik dan kelas berpendapatan rendah sementara para guru terlalu mengejar markah tinggi, kata persatuan ibu bapa dan guru.

Mereka berkata, kumpulan ini akan meninggalkan sistem pendidikan dan hanya akan mempunyai sedikit harapan bagi mobiliti sosial dan menyumbang kepada jurang yang semakin meningkat antara golongan berada dan kurang berada di negara ini.

“Kerajaan mesti membetulkan ketidakseimbangan sosio-ekonomi, kerana itulah yang sedang berlaku,” kata Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Muhammad Ali Hassan kepada The Malaysian Insider.

Muhammad Ali berkata, pelajar lemah kebiasaannya datang daripada keluarga berpendapatan rendah yang tidak mampu menghantar anak mereka ke kelas tuisyen dan menyediakan makanan berkhasiat kepada anak sedang membesar.

“Kita tidak seharusnya hanya melabur kepada yang cemerlang, tetapi juga kepada yang paling lemah. Mereka tidak boleh dipinggirkan kerana turut mempunyai potensi untuk menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Beliau mengulas tentang laporan The Malaysian Insider semalam tentang ramai pelajar sekolah menengah berprestasi rendah di sekolah-sekolah bermasalah di Malaysia yang  berada pada tahap purata dua hingga tiga tahun di belakang rakan sekelas mereka yang lebih baik.

Teach for Malaysia (TFM) yang merekrut golongan profesional muda dan graduan baru, mendapati selepas dua tahun bertugas sepenuh masa di sekolah-sekolah menengah bahawa kebanyakan pelajar yang ketinggalan gred ini datang daripada keluarga berpendapatan rendah.‎

Pada masa yang sama, para guru mereka tidak dapat memberikan mereka perhatian tambahan yang diperlukan disebabkan tekanan di luar bilik darjah seperti kerja-kerja pentadbiran dan arahan untuk melengkapkan sukatan pelajaran kelas.

Disebabkan tekanan untuk melengkapkan silibus pada akhir penggal sekolah, guru-guru kebiasaannya tidak mempunyai masa untuk memberi tumpuan kepada pelajar lemah untuk memahami sukatan pelajaran, kata TFM dan Teach for the Needs (TFTN) yang diwawancara.

Muhammad Ali mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan sekolah berasrama di kawasan bandar dan luar bandar khusus untuk pelajar daripada keluarga miskin, sama seperti sekolah berasrama yang disediakan untuk pelajar berprestasi tinggi.

Dibekalkan dengan guru terlatih dalam bidang kaunseling dan motivasi, sekolah seperti ini dapat menyediakan persekitaran yang membantu pelajar miskin untuk membesar berbanding di rumah mereka, katanya.

Persatuan Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) bagaimanapun berkata, sesetengah sekolah meminggirkan ibu bapa pelajar berkaitan yang boleh membantu meningkatkan prestasi pelajar.

“Di sesetengah sekolah, ibu bapa hanya berpeluang bertemu guru setahun sekali semasa hari kad laporan. Jika ibu bapa menyertai PIBG, kita hanya dapat bertemu guru semasa mesyuarat tahunan.

“Tetapi ini tidak mencukupi. Perlu ada hubungan dua hala,” kata Pengerusi PAGE, Datin Noor Azimah Rahim kepada The Malaysian Insider.

Menurut Noor Zaimah, terdapat salah faham di kalangan pentadbir sekolah yang merasakan lebih banyak penglibatan ibu bapa bermakna mereka akan mempunyai lebih banyak kerja.

“Tetapi jika kita bekerjasama, kita akan dapat tangani jurang (dalam pencapaian pelajar),” katanya.

Pengasas bersama TFM, Dzameer Dzulkifli berkata kebanyakan pentadbir sekolah bergantung kepada pelajar pintar untuk meningkatkan gred keseluruhan sekolah.

“Namun mengikut pengalaman kami, apabila kita bantu meningkatkan kemampuan pelajar yang corot, gred akan meningkat lebih tinggi.

“Apabila pelajar corot lain melihat pelajar corot bertambah baik, mereka juga akan bermotivasi untuk bekerja lebih keras.”


0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi