Beberapa waktu yang lalu ada teman yang
bertanya, "Mengapa iman manusia (biasa seperti kita) itu kadang naik
kadang turun?" Kemudian ada juga yang bertanya, "Mengapa Allah tidak
mengurniakan pada setiap manusia untuk selalu berbuat baik. Apa susahnya bagi
Allah Yang Maha Berkehendak untuk menjadikan manusia ini untuk bertaqwa
semuanya, sehingga tidak akan ada azab dari-Nya."
Saat itu saya hanya boleh menjawab
bahawa semua itu sudah menjadi fitrah bagi manusia biasa seperti kita ini. Ya,
kerana kita ini manusia biasa, bukan malaikat yang kadar ketaatannya tetap
terjaga, pun bukan nabi yang kadar keimanannya semakin tinggi.
Siang tadi secara tidak sengaja saya
mencari tulisan dari Imam Ja'far Shadiq yang kurang lebih sebagai berikut,
"Bayangkan seseorang yang (mempunyai) tubuh sihat dan aqidah benar serta
berada dalam kehidupan yang selesa, sementara orang lain menyiapkan keperluan
hidupnya tanpa usaha dan amal. Apakah seorang yang berakal dengan nalurinya
akan rela dan mahu menerima keadaan orang di atas yang tanpa usaha apapun
memperoleh ganjaran dan pahala? Meraih pahala dan ganjaran merupakan sebuah
kenikmatan tersendiri bagi orang yang bersalah."
Bertolak dari kalimat mulia tersebut
saya cuba kaitkan dengan realiti di kehidupan kita. Misalnya saja kita kaitkan
dengan para pelajar yang sedang menempuh ujian. Apa susahnya seorang guru atau
penilai untuk memberikan nilai tinggi dan meluluskan semua siswanya. Hanya beri
saja jawapan dan hasilnya pelajar akan lulus semua, walaupun tanpa belajar atau
bahkan tidak perlu susah payah datang tiap hari untuk mengikuti pelajaran.
Bisa juga kita umpamakan dengan sebuah
kejohanan sukan. Dalam pertandingan Piala Dunia misalnya, boleh saja setiap
pasukan yang akan bertanding diberi saja piala. Mereka tidak perlu bersusah
payah berlatih dan bertanding. Mereka hanya perlu membentuk pasukan dan
kemudian pasukan tersebut akan mendapat piala secara percuma tanpa usaha dan
bertanding untuk mendapatkan piala tersebut.
Dari kedua-dua contoh tersebut kita
dapat menilai bahawa hasil ujian bagi pelajar ataupun piala bagi pasukan
tersebut bukan hanya tidak bernilai, akan tetapi tidak akan ada kenikmatan dan
kebanggaan saat menerima hasil ujian atau piala tersebut. Semua itu kerana
dalam mendapatkannya tidak ada usaha yang perlu dilakukan.
Akan tetapi jika hasil kelulusan atau
piala tersebut tidak diberikan kepada semua pelajar atau pasukan, mereka akan
berjuang lebih keras lagi untuk meraih kejayaan. Seorang pelajar akan belajar
lebih giat agar bisa lulus. Sebuah pasukan akan berlatih dan bertanding
sebaik-baiknya untuk mendapatkan piala. Mereka akan terpacu dan percaya bahawa
setiap ganjaran yang akan diterimanya seiring dengan usaha yang dilakukannya.
Mereka akan merasakan kenikmatan,
kebanggaan, dan kebahagiaan saat menerima ganjaran tersebut. Seorang pelajar
akan merasa puas bahawa hasil jerih payahnya dalam menuntut ilmu berbuah hasil
baik dan kelulusan. Begitu juga sebuah pasukan akan merasakan indah yang luar
biasa saat memenangi sebuah perlawanan yang semua itu diraih atas hasil kerja
keras mereka.
Kembali kita kaitkan dengan kadar
ketaatan manusia, Allah sudah berjanji bahawa balasan bagi hamba-Nya yang
bertaqwa adalah syurga yang di dalamnya penuh dengan kenikmatan. Tapi bukan
hanya di situ sahaja yang ingin Allah berikan pada hamba-Nya. Allah
menginginkan hamba-Nya merasakan kenikmatan berlipat ganda pada hamba-Nya yang
bertaqwa.
Syurga itu sendiri sudah nikmat,
seperti kelulusan atau piala tadi. Tapi Allah masih menambah kenikmatan dengan
memberikan kesempatan bagi kita untuk berlumba-lumba menggapai syurga tersebut.
Dengan demikian jika kita menginginkan kenikmatan berlipat ganda di syurga-Nya,
kita harus meraihnya dengan memperbanyakkan amal soleh.
Semoga setiap usaha yang kita lakukan
diredhai Allah dan membawa kita pada kenikmatan yang berlipat-ganda di syurga
nanti.
Amin Ya Robbal'alamin.
0 comments:
Post a Comment