Friday, October 3, 2014

Negara Ketinggalan Jika Tidak Kembalikan PPSMI, Kata Dr. Mahathir

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak kerajaan mengembalikan semula Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) atau negara akan tertinggal di belakang, lapor Bernama.

Bercakap di Kelantan, antara negeri yang paling kuat menentang PPSMI, Dr Mahathir berkata, pengetahuan Sains dan Matematik berkembang dengan pesat dan semuanya hanya boleh didapati melalui Bahasa Inggeris.

Katanya, jika pelajar tidak diajar kedua-dua mata pelajaran tersebut dalam Bahasa Inggeris, negara akan tertinggal di belakang.

"Jika kita mahukan ilmu pengetahuan, khasnya Sains dan Matematik, kita mesti gunakan Bahasa Inggeris kerana hampir semua pengetahuan dalam bahasa ini," katanya kepada pemberita selepas memberikan ucaptama kepentingan Bahasa Inggeris pada abad ke-21 di Kolej Wadi Sofea di Kelantan, semalam.

"Kita akan menjadi bangsa yang tidak akan mencipta apa-apa jika kita tidak mahir dalam Sains dan Matematik, yang kebanyakannya dalam Bahasa Inggeris," katanya.

PPSMI ialah nama rasmi bagi dasar pendidikan Malaysia yang menetapkan Bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan.

Dasar PPSMI sering menjadi isu perdebatan yang hangat sejak dilaksanakan pentadbiran Dr Mahathir pada 2003.

Dasar ini diputuskan untuk dimansuhkan pada 8 Julai, 2009 dan dimansuhkan sepenuhnya pada 2012 seperti diumumkan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah kajian mendalam dilakukan.

Ia menimbulkan kemarahan Dr Mahathir sejak awal lagi apabila pemimpin kerajaan yang menggantikan beliau tunduk kepada tekanan pelbagai pihak terhadapnya.

Sejak pelaksanaannya lagi, PPSMI banyak menghadapi pembidasan dan tentangan berkenaan idea dan pelaksanaannya dari pelbagai pihak termasuk ahli politik, akademik, ibu bapa dan pelajar sendiri.

Antara isu yang diketengahkan pihak tersebut termasuklah kesukaran murid mengikuti pelajaran dan guru menyesuaikan diri kepada perubahan bahasa perantara, serta kesannya terhadap penguasaan bahasa ibunda murid, terutama di peringkat sekolah rendah.



0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi