Warga
pendidik, ibu bapa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyambut baik
pendekatan lebih mesra guru dalam sistem baharu Pentaksiran Berasaskan Sekolah
(PBS) yang akan diumumkan hujung bulan ini.
Mereka
menyifatkan sistem yang akan berfokuskan pengajaran itu sebagai pemangkin
sistem pendidikan negara yang baik selain menjadikan suasana pembelajaran dan
pengajaran lebih sihat.
Setiausaha
Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata,
kesediaan kerajaan menambah baik dasar tersebut meliputi psikometrik pelajar,
perkembangan jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial adalah satu
perkembangan sangat positif.
Kata
beliau, pihaknya gembira kerana Kementerian Pendidikan memberi jaminan bahawa
sistem baharu itu akan memberi lebih banyak masa kepada guru untuk mengajar di
samping mengimbangi elemen peperiksaan serta komponen lain.
Walau
bagaimanapun katanya, pihaknya amat berharap sistem baharu PBS itu tidak
mengulangi masalah sebelum ini terutama melibatkan E-sistem yang jelas
membebankan golongan pendidik.
"Guru
mula mengalami bebanan dan tekanan akibat PBS kerana masalah E-sistem dan tugas
perkeranian dalam kalangan guru.
"NUTP
telah mengumpulkan maklumat mengenai rintihan guru dan menyerahkan memorandum
mengenai Sistem PBS kepada Kementerian Pendidikan berkaitan masalah serius yang
dihadapi oleh mereka untuk memasukkan data ke dalam E-sistem," katanya
ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam,
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kerajaan memberi jaminan
sistem baharu PBS akan lebih mesra guru dan berfokuskan pengajaran berbanding
sebelum ini.
Beliau
berkata, sistem baharu tersebut yang akan diumumkan pada 29 Mac ini selepas
siap dikemaskini turut memberi lebih banyak masa kepada guru untuk mengajar.
Dalam
pada itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional
(PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Ali Hassan berharap penambahbaikan PBS itu
mengambil kira pelbagai faktor yang menguntungkan semua pihak berkepentingan.
Jelasnya,
PIBGN akan terus memantau penerimaan PBS dalam kalangan guru dan perkembangan
akademik para pelajar.
"Saya
juga ingin mencadangkan penubuhan satu pasukan yang membuat pemantauan PBS dari
daerah ke negeri dan seluruh negara supaya mutu pelajaran terjamin. Ahli
pasukan itu perlu terdedah dengan PBS yang diamalkan di luar negara,"
katanya.
Sementara
itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan
mengucapkan penghargaan terhadap keprihatinan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin dalam isu berkenaan.
"PPIM
menyokong penuh usaha mencari jalan penyelesaian terbaik dan mengharap
kementerian dapat menjemput jawatankuasa Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM)
untuk berbincang secara hati ke hati bagi meleraikan sebarang kekusutan yang
ada," katanya.
-
Utusan
0 comments:
Post a Comment