AMALAN SUNNAH SEMPENA AIDIL FITRI
Adalah penting untuk sentiasa
menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk dalam mengendalikan upacara
sambutan Aidilfitri kerana inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita
benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa setelah melalui bulan
Ramadan kerana padanya terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan
muttaqin (orang yang bertakwa). Justeru itu, ada baiknya mengetahui apakah amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena
menyambut ketibaan hari lebaran Aidil Fitri ini.
Bertakbir
Bertakbir pada tarikh 1 Syawal
bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada
hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah
selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman
Allah S.W.T:
Supaya kamu cukupkan
bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan
bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu
bersyukur.
Surah al-Baqarah:185
Adalah juga disunnahkan untuk kita
bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu
menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h:
Mengenai syariat bertakbir
(pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah
bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat
walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini.
Rujuk Kitab Meneladani
Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi
al-Atsari, ms. 32
Bertakbir sejak mula keluar dari rumah
bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika
menuju ke tempat solat.
Lafaz Ucapan Selamat Pada Hari Raya Aidilfitri
Majoriti amalan umat Islam di Malaysia
akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat
Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan
dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah
sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h yang
dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:
“Apabila para sahabat
Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang
lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerimaamalan kami dan
amalanmu).”
Rujuk Fath al-Bari,
al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini
berstatus hasan.
Meneruskan Qiamullail
Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah
bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya
solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada
hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak
bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa
yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat
tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari
berikutnyasesudah bulan Ramadan.
Mandi Pada Pagi Hari Raya
Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi
wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri.
Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi
setiap hari? Beliau menjawab:
Tidak harus melakukannya.
Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari
Aidiladha dan Aidilfitri."
Hadis riwayat Imam Syafie
di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.
Makan Sebelum Solat Aidilfitri
Disunnahkan kaum muslimin menjamah
makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan
menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut
al-Muhallab r.h:
Mengenai hikmah menjamah
makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak
berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri
dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini.
Rujuk Fath al-Bari, jil. 5,
ms. 272
Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan
kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat
Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya
Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih
baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi
(tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata:
“Rasulullah s.a.w tidak
akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji
kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa
Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.”
Hadis riwayat al-Bukhari di
dalam Sahihnya, no: 953.
Namun, jika tidak memiliki kurma maka
dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang
manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai
dengan hanya meminum air.
Memakai Pakaian Yang Indah
Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan
diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata:
Aku lebih menyukai
seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu
pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan
majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan
memakai wangi-wangian.
Rujuk Ringkasan Kitab
Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.
Bagi kaum wanita pula walaupun
disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari
dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan
sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula,
Imam Syafie r.h menambah:
Mengenai golongan
kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya,
baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakaiperhiasan emas atau
apa sahaja perhiasan."
Rujuk Ringkasan Kitab
al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.
Semoga di pagi hari raya kita akan
memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan
masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum
lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda
Rasulullah s.a.w:
Mana-mana wanita yang
memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat
menghidu kewangiannya, dia adalah penzina."
Hadis riwayat al-Nasaai di
dalam Sunannya. no: 5036.
Namun begitu bukanlah bermakna kaum
wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang
menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk
memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk
dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman
yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.
Berjalan Kaki Menuju Tempat Dikerjakan Solat Hari Raya
Umat Islam dianjurkan berjalan kaki
menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:
Termasuk sunnah, iaitu
engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu
sebelum berangkat.
Hadis riwayat al-Tirmizi di
dalam Sunannya, no: 487.
Namun begitu bagi yang sesiapa yang
perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan
dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal
berbanding menaiki kenderaan.
Disunnahkan juga mengikuti jalan yang
berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin
‘Abdullah r.a berkata:
Nabi s.a.w melalui jalan
yang berbeza pada hari raya."
Hadis riwayat al-Bukhari di
dalam Sahihnya, no: 986.
Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:
Baginda s.a.w selalu
melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari
raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan
orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat
untukmemberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan
kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu.Menurut pendapat lain
pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat
adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang
yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan
meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan
kesalahan-kesalahannya.
Rujuk Zaadul Ma'ad, Ibn
al-Qayyim al-Jauziyyah, ms. 49.
Tempat Perlaksanaan Solat Hari Raya
Sunnah mengerjakan solat hari raya di
kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib
dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di
Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang
kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musholla itu berbeza dengan masjid? Abu Said
al-Khudri r.a berkata:
Pada hari Aidilfitri dan
Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara
pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa
ada sebarang solat sunat).
Hadis riwayat al-Bukhari di
dalam Sahihnya, no: 956.
Tentang hikmah mengerjakan solat hari
raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:
Sesungguhnya mengerjakan
kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di
antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul
bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dariseluruh pelusuk
negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau
kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan
dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir
dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan
hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah
yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar
bermakna bagi mereka.
Rujuk Koreksi Total Ritual
Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394.
Mengerjakan Solat Aidilfitri
Di antara syiar yang palin utama dalam
menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat
oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:
Rasulullah s.a.w telah
keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya
sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan
sesudahnya.
Hadis riwayat al-Bukhari di
dalam Sahihnya, no: 989.
Disunnahkan menyampaikan khutbah
sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a
berkata:
Pada hari raya Aidilfitri
dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama
yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami
solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang
sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat,
wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah).
Hadis riwayat al-Bukhari di
dalam Sahihnya, no: 956.
Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri
atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari
raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia
dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:
Aku pernah menghadiri solat
hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda:
Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar
khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar.
Hadis riwayat Abu Daud di
dalam Sunannya, no: 975.
Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri
Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah.
Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada
Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan
dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di
dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian
daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat.
Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari rayaAidilfitri dapat dilihat
dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul,
ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara
Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli
keluargabersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana
kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam
sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan
lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata:
Mengadakan permainan serta
kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk
nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang
disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi
kepuasan serta kegirangan hati."
Rujuk Fiqh al-Sunnah,
Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.
Rasulullah s.a.w sendiri telah
membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari
raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:
Nabi s.a.w pernah datang ke
Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka
bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu
baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari
(raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi:
Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik,
iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.”
Hadis riwayat al-Nasaai di
dalam Sunannya, no: 959.
Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal
Sabda Rasulullah s.a.w:
Sesiapa yang berpuasa pada
bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah
dia telah berpuasa setahun
Hadis riwayat Muslim di
dalam Sahihnya, no: 1164.
Demikianlah keutamaan puasa sunat enam
hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah
memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula
pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan
pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun, seseorang bebas memilih
mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahanmahupun di
akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau
berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat
Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan
bid’ah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit.
Oleh itu, afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih
dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan
dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah
berpuasa setahun.
- IslamGRID
0 comments:
Post a Comment