Syeikh Abdul Kadir Abdul Mutalib dalam
buku tasauf Penawar Bagi Hati menjelaskan mengenai sepuluh celaan Allah kepada
manusia akibat dari kelakuan dan tabiat manusia sendiri ketika menempuh
kehidupan seharian. Sepuluh celaan itu berdasarkan sepuluh sikap yang lazim
dilakukan manusia iaitu:
1. Gelojoh Ketika Makan
Dalam erti kata lain, seseorang yang
kuat dan tidak bersopan ketika makan. Sikap ini juga meliputi maksud makan
terlalu kenyang, menyediakan makanan dalam jumlah yang berlebihan, yang
akhirnya membawa kepada pembaziran.
2. Banyak Bercakap
Allah mencela manusia yang suka
bercakap perkara yang sia-sia, fitnah memfitnah, umpat keji dan kata mengata
kerana semua jenis percakapan itu menjurus kepada permusuhan dan perbalahan
sesama manusia.
3. Suka Marah-Marah
Kemarahan boleh membuat seseorang itu
bertindak di luar batas kemanusiaan. Perbuatan marah akan diikuti dengan maki
hamun, mengherdik dan perkelahian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau
pembunuhan.
4. Hasad Dengki
Seseorang yang bersifat dengki sanggup
melakukan apa saja dalam bentuk kejahatan atau jenayah. Perbuatan menipu dan
sanggup memusnah hidup orang lain adalah antara sifat keji yang lahir dari
perasaan hasad dengki. Rasulullah bersabda: `Dengki itu memakan segala
kebaikan’ (riwayat Muslim).
5. Kedekut & Bakhil
Rezeki yang Allah kurniakan lebih suka
disimpan hingga bertimbun banyaknya. Sifat kedekut menghijab (menutup)
seseorang dari membelanjakan sebahagian dari hartanya ke jalan kebaikan termasuk
menderma, membuat kebajikan kejalan Allah dan membantu orang yang memerlukan.
6. Bermegah-Megah
Ia termasuk sikap suka status atau
jawatan, gelaran dan menerima sanjungan.
7. Cintakan Dunia
Terlalu menghambakan diri kepada
perkara duniawi hingga melupakan tuntutan ukhrawi. Rasulullah bersabda:
“Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun, dan
beramallah kamu untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari.” (riwayat
Bukhari dan Muslim).
8. Ego Atau Sombong
Sifat membuat seseorang merasakan
dirinya mempunyai kelebihan dalam banyak perkara dari orang lain hingga mereka
lupa bahawa hanya Allah saja yang bersifat maha besar.
9. Ujub Dan Suka Bangga Diri
Perbuatan ini ada unsur megah dan
sombong dengan kelebihan dan kepandaian yang dikurniakan Allah. Rasa bersyukur
tidak ada lagi dalam diri kerana telah diselaputi perasaan ego.
10. Gemarkan Pujian Atau Riak
Manusia jenis ini suka meminta dipuji
dalam setiap perkara yang dilakukan. Sikap baiknya, jasa dan baktinya mahu
dikenang sampai bila-bila. Ini jelas membayangkan bahawa sikap baiknya selama
ini, tidak diiringi dengan kejujuran dan keikhlasan.
0 comments:
Post a Comment