1. Apa itu PBS?
PBS merupakan satu bentuk pentaksiran
yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi
dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). PBS mentaksir bidang akademik dan
bukan akademik.
PBS merupakan satu bentuk pentaksiran
yang dilaksanakan di sekolah secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan
oleh Lembaga Peperiksaan.
PBS dikendalikan oleh pihak sekolah dan
pentaksirannya dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan
dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Komponen PBS terdiri daripada
Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan
Kokurikulum, dan Pentaksiran Psikometrik.
2. Adakah konsep PBS ini sesuatu yang baru?
Konsep PBS bukanlah sesuatu yang baru,
kerana pentaksiran inilah yang selama ini dilaksanakan oleh guru di sekolah
(kerja rumah, projek, kuiz, soal-jawab dan lain-lain). PBS yang dicadangkan ini
merupakan penambahbaikan kepada PBS yang telah sedia dilaksana dengan
memperkenalkan pentaksiran merujuk standard dan aplikasi Sistem Pengurusan PBS
(SPPBS) untuk membantu guru merekod pencapaian murid secara berterusan.
3. Kenapa PBS perlu dilaksana sekarang?
Pelaksanaan PBS adalah seiring dengan
program transformasi negara untuk menghasilkan modal insan yang bertaraf dunia.
4. Bila PBS mula dilaksanakan?
PBS dilaksanakan mulai Tahun 1 pada
2011 dan penambahbaikan UPSR pada 2016, mulai Tingkatan 1 pada 2012 dan
penambahbaikan PMR pada 2014.
5. Apakah perbezaan antara PBS dengan pentaksiran sedia ada?
• PBS adalah lebih holistik dan memberi
penekanan kepada kesemua aspek JERI iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek
berbanding kepada pentaksiran sedia ada yang lebih memberi penumpuan kepada
pencapaian akademik melalui peperiksaan. PBS akan mentaksir proses dan produk
secara formatif dan sumatif iaitu mengamalkan konsep assessment for learning
dan assessment of learning manakala fokus utama pentaksiran sedia ada lebih
kepada pencapaian akademik murid di akhir pembelajaran yang merupakan
assessment of learning.
• Dalam usaha penambahbaikan kepada
pentaksiran sekolah sedia ada, Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan,
iaitu menggunakan Standard Prestasi untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan
(growth) pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang murid. Ia merupakan
proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu, faham dan boleh
buat atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan standard
prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang
dihasratkan dalam dokumen kurikulum.
Pentaksiran Rujukan Standard tidak
membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi melapor
prestasi murid dalam pembelajaran dengan menerangkan tentang kemajuan dan
pertumbuhan (growth) murid dalam pembelajaran merujuk kepada pernyataan
standard.
• PBS juga memberi pengiktirafan dan
autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang
berasaskan sekolah. Ini akan dapat meningkatkan integriti dan kredibiliti
profesion perguruan kerana guru merupakan orang yang paling sesuai untuk
mentaksir murid masing-masing kerana mereka:
- boleh memantau perkembangan murid
secara berterusan
- boleh memberi maklum balas yang
membina untuk penambahbaikan pembelajaran murid
- lebih memahami konteks yang sesuai
dengan persekitaran dan perkembangan murid
- mentaksir dan memberi maklum balas
berpandukan standard prestasi.
6. Apakah standard prestasi?
Standard Prestasi merupakan satu
pernyataan yang menerangkan tentang pencapaian atau penguasaan seseorang
individu dalam sesuatu bidang yang telah dilalui dalam satu tempoh pembelajaran
berdasarkan satu penanda aras (benchmark) yang telah dikenal pasti. Standard
Prestasi memandu pentaksir bagaimana aktiviti pentaksiran boleh dan dapat
dilaksanakan secara adil dan berfokus merujuk kepada standard yang ditetapkan.
7. Bagaimana penjaminan kualiti PBS dapat dilaksanakan?
Penjaminan kualiti bagi pelaksanaan PBS
dapat dicapai melalui:
• Pementoran - Pementoran PBS adalah
proses membantu, memudah cara dan membimbing guru untuk melaksanakan PBS
mengikut prinsip dan prosedur pelaksanaan yang ditetapkan.
• Penyelarasan - Penyelarasan PBS
adalah proses penyeragaman skor merujuk kepada Standard Prestasi yang
disediakan atau berdasarkan rubrik sesuatu tugasan.
• Pemantauan - Pemantauan ialah satu
proses untuk mendapatkan maklumat dan memastikan pentaksiran dilaksanakan mengikut
prosedur dan garis panduan yang ditetapkan agar mempunyai kesahan dan
kebolehpercayaan.
• Pengesanan - Pengesanan PBS adalah
proses memastikan kekuatan dan keberkesanan instrumen pentaksiran dalam
pelaksanaan PBS.
8. Bagaimana ibu bapa mendapat maklum balas mengenai perkembangan
pembelajaran anak-anak mereka?
Laporan deskriptif dan formatif dapat
dibuat melalui SPPBS pada bila-bila masa sekiranya diperlukan. Sistem ini juga
menyimpan maklumat perkembangan murid daripada Tahun 1 hinggalah ke Tingkatan 5
(life-time data base).
9. Bagaimana hasil pentaksiran berguna untuk murid?
Maklum balas yang diberi berdasarkan
standard prestasi boleh membantu murid mengenalpasti kekuatan, kelemahan,
kesilapan dan apa yang perlu dibaiki, bagaimana perlu diperbaiki untuk memberi
hasil yang lebih baik.
Maklum balas yang memberi makna boleh
membantu murid tentang tujuan dan perkembangan pembelajaran mereka. Keadaan
inilah yang memberi motivasi untuk mencuba lagi bagi meningkatkan prestasi
mereka di masa hadapan.
10. Apakah nilai UPSR dan PMR dalam PBS?
PBS untuk penambahbaikan UPSR dan PMR
masih tetap bernilai dari segi pembentukan modal insan yang holistik tetapi
tidak lagi high stake kerana pentaksiran dijalankan secara berterusan dan
menyeluruh.
11. Bolehkah pentaksiran yang dibuat guru dipercayai?
Guru merupakan orang yang paling sesuai
untuk mentaksir murid masing-masing kerana mereka:
- boleh memantau perkembangan murid
secara berterusan
- boleh memberi maklum balas yang
membina untuk penambahbaikan pembelajaran murid
- lebih memahami konteks yang sesuai
dengan persekitaran dan perkembangan murid
- mentaksir dan memberi maklum balas
berpandukan standard prestasi
12. Apakah guru sudah bersedia untuk melaksanakan PBS?
Setiap guru merupakan guru terlatih
yang mempunyai asas pengajaran dan pembelajaran tetapi akan diberi pendedahan
semula tentang Pentaksiran Berasaskan Sekolah.
0 comments:
Post a Comment