Benarkah hari raya itu hari yang besar
dan utama? Kalau benar, di manakah letak kebesaran atau keutamaannya. Apakah
hakikat hari raya yang sebenar sehingga ianya dianggap sebagai hari yang besar?
Kalaulah benar hari raya itu hari yang besar, bagaimana patut kita
menyambutnya. Apakah yang patut kita buat pada hari itu? Bagaimana patut kita
mengisinya? Adakah pada setiap hari raya kita perlu tukar langsir, perabot dan
permaidani? Adakah setiap sempena hari raya, kita perlu beli pakaian dan kasut
baru?
Kita menjamu selera dengan
bermacam-macam kuih-muih dan juadah yang enak dan lazat. Atau adakah di hari
raya patut kita berseronok dan bersuka ria dengan majlis-majlis hiburan lengkap
dengan muzik, nyanyian, joget dan tari-menarinya. Kita adakan atau kita tonton
pertunjukan atau show hiburan hari raya. Atau kita bermain mercun, bunga api
dan meriam buluh. Atau adakah cukup hari raya itu disambut hanya dengan
bersembahyang hari raya, mengirim
kad-kad hari raya, berziarah, menjamu selera dan bermaaf-maafan.
Bagi orang Melayu, eid fitr dinamakan
hari raya puasa. Perkiraan dan kira bicara dalam hal ini sangat mudah. Ia
dinamakan hari puasa kerana ia disambut selepas bulan puasa. Senang dan mudah.
Ini sebenarnya mudah yang sudah terlebih. Sudah over. Cara mudah memberi nama
ini tidak memberi gambaran atau maksud yang sebenar. Maksudnya tersimpang dan
lari dari apa yang dikehendaki oleh agama dan syariat. Ia menimbulkan
kekeliruan dan salah faham.
Lama-kelamaan orang Melayu terutama yang tidak mengaji agama tidak tahu
kenapa dan mengapa mereka menyambut hari raya. Mereka juga tidak tahu bagaimana
hari raya patut disambut. Mereka kira hari raya itu ialah hari untuk
berseronok, berpesta dan bersuka ria. Hari untuk berbelanja, membazir dan
bermewah-mewah. Hari untuk melepaskan geram setelah sekian lama disekat dan dikongkong nafsu mereka.
Mereka sedih kalau tidak dapat baju raya dan kasut raya. Sedih kalau tidak
dapat tukar langsir baru, perabot baru atau permaidani baru.
Bagi yang lebih tua, hari raya jadi
hari nostalgia dan hari melayan perasaan. Ingat anak, ingat cucu yang tidak
balik pada hari raya. Sambutan hari raya sudah tidak lagi menjadi suatu ibadat.
Ia sudah bertukar menjadi adat dan istiadat. Dengan open-housenya, hari raya
get-togethernya dan berbagai-bagai lagi cara sambutan pada masa ini. Para artis
dan penghibur pula sibuk dengan show hari raya dan album hari rayanya.
Hari raya puasa dalam Islam ialah Eid
Fitr. Eid itu maksudnya mengembalikan. Fitr itu fitrah. Jadi Eidil Fitri itu
ialah mengembalikan fitrah manusia kepada keadaan asal semulajadinya yang suci
dan murni. Dalam erti kata yang lain, eidil fitri bermaksud membersih dan
menyucikan fitrah. Selama sebelas bulan dalam setahun, manusia bergelumang
dengan dunia. Selama itu jugalah fitrah manusia dicemari, dikotori dan
dirosakkan. Fitrah manusia kian bertambah lemah dan tidak bermaya. Dengan
rahmat dan kasih sayang Tuhan, dikurniakanNya satu bulan dalam setahun iaitu
bulan Ramadhan untuk kita berpuasa supaya fitrah manusia yang telah lemah itu
dapat dibersihkan, disuci dan dikuatkan semula.
Kerana kalau fitrah sudah rosak dan
kotor, manusia akan lupa Tuhan. Bila Tuhan sudah dilupakan, jiwa manusia akan
mati. Jiwa manusia tidak boleh hidup tanpa Tuhan dan tanpa rasa bertuhan.
Manusia yang telah mati jiwanya tidak boleh lagi berperanan sebagai insan.
Keinsanannya sudah rosak. Nafsunya akan bermaharajalela. Dia akan terangsang
hanya dengan dunia dan akan benci akhirat. Dia akan suka dengan apa yang Tuhan
benci dan akan benci dengan apa yang Tuhan suka. Dia akan mengangkat nafsunya
menjadi Tuhan. Akhirnya hidupnya di dunia menjadi punah ranah dan di akhirat
nanti akan bakal dicampakkan ke dalam neraka.
Puasa itu mampu membersih dan
menguatkan fitrah. Iaitu puasa yang ada lahir dan batinnya. Puasa yang ada
rohnya. Bukan sahaja kita menahan diri dari makan dan minum dan bersedap-sedap
dengan isteri di siang hari; mata kita, telinga kita dan lidah kita pun ditahan
dari melihat, mendengar dan berkata perkara-perkara yang mungkar. Akal kita
ditahan dari memikirkan dan mengkhayalkan perkara-perkara yang haram dan jahat.
Hati kita ditahan dari merasakan perkara-perkara yang ditegah seperti marah,
hasad dengki, buruk sangka, berdendam dan sebagainya. Nafsu kita dikekang dan
ditahan supaya dia tidak jahat, tidak rakus dan tidak terlalu gilakan dunia.
Di samping puasa, ada banyak lagi
amalan-amalan lain di bulan Ramadhan untuk membantu membersihkan lagi fitrah
kita. Ada solat terawihnya, ada membaca atau tadarrus Qurannya, ada zakat
fitrahnya dan berbagai-bagai lagi amalan sunat yang sangat digalakkan di bulan
Ramadhan seperti beriktikaf dan memberi makan orang yang berbuka puasa. Di sini
kita dapat lihat bahawa fokus eidil fitri ialah pada amalan puasanya di bulan
Ramadhan dan bukan kepada hari rayanya yang disambut pada 1 Syawal. Yang
dibesarkan ialah latihan rohaniah secara berpuasa yang dilakukan dan bukan hari
berbukanya, iaitu hari rayanya.
Bulan Ramadhan adalah bulan berkat dan
penuh rahmat. Bulan pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. Bulan syaitan
dibelenggu. Bulan di mana pahala amalan dan ibadah dilipat gandakan dan doa
diterima. Ia adalah bulan maghfirah dan keampunan. Malahan Tuhan memberi pahala
terhadap ibadah puasa tanpa hisab. Kalau dalam ibadah lain, pahala yang Tuhan
beri itu ada sukatan dan skalanya, tetapi bagi ibadah puasa ini, pahalanya ikut
suka Tuhan. Justeru itu, 1 Syawal sebenarnya ialah hari murung dan hari kesedihan.
Hari berakhirnya bulan berkat dan
bulan rahmat. Hari berakhirnya bulan keampunan. Hari terbuka semula pintu
neraka dan bebasnya para syaitan.
Bermula pada 1 Syawal, dunia akan mula
merobek-robek fitrah kita; mengotori, mencemari dan merosakkannya hinggalah
tiba bulan Ramadhan yang berikutnya. Belum tentu kita dapat temuinya kalau ajal
tidak mengizinkan. Kalau begitu, kenapakah kita gembira sangat pada hari raya.
Tidak ada apa-apa sebenarnya yang kita hendak gembirakan. Tidak ada apa-apa
yang kita hendak sambut.
Tidak ada apa-apa keistimewaan di hari
raya kecuali kita disuruh berbuka dan diharamkan berpuasa. Yang ada hanya
berbanyak-banyak syukur, memuji, memuja dan membesarkan Tuhan. Kalau hari raya
disambut dengan penuh pembaziran dan kemewahan, tambahan pula kalau dalam
menyambutnya ada pula kelalaian, maksiat dan kemungkaran, maka pada hakikatnya,
puasa kita selama sebulan itu tidak ada makna apa-apa. Tidak ada apa-apa
kebaikan yang kita dapat.
Jelas bahawa fitrah kita masih kotor dan
rosak. Jiwa kita masih lemah kalaupun tidak mati. Kalau pada 1 Syawal pun,
fitrah kita sudah lemah dan rosak, bagaimanakah mampu kita selamat dalam
mengharung dan menghadapi dunia ini selama sebelas bulan lagi sebelum tiba
Ramadhan akan datang. Kalau hari raya disambut pula dengan bersuka ria,
berpesta, berhibur dan bermewah-mewah, jelas bahawa itu adalah atas tuntutan
nafsu, bukan tuntutan fitrah. Bagaimana pula sebaik selesai kita berusaha
membersihkan fitrah, nafsu kita pula yang mengamuk dan menguasai diri kita.
Sebagai umat Islam yang inginkan kebaikan dunia dan akhirat, kita perlu ubah
fahaman dan pegangan kita tentang hari raya puasa ini.
Kalau boleh kita tukar istilah hari
raya puasa ini kepada istilah yang lebih tepat mengikut kehendak agama. Kita
tukar kepada hari raya fitrah, contohnya; yang selalu juga kita gunakan, yang
bermaksud hari besar fitrah; iaitu hari kita membesar dan mengutamakan fitrah
kita. Setelah kita benar-benar faham apa sebenarnya erti Eidil Fitri, mungkin
kita boleh menyambutnya dengan cara yang lebih tepat dan sesuai.
Ia patut disambut dengan segala
kebaikan yang berpunca dan yang didorong oleh hati atau fitrah yang sudah suci
dan bersih. Pada hari raya fitrah, kita patut membantu dan memberi makan fakir
miskin. Merapatkan silaturrahim. Berziarah dan memberi hadiah. Bermaaf-maafan.
Bertolong bantu. Berkasih sayang dan sebagainya. Hari raya fitrah bukan hari
untuk memuaskan nafsu.
Mata kadang-kadang salah melihat,
Lidah kadang-kadang salah berucap,
Hati kadang-kadang salah menduga,
Maaf andai ada salah dan silap.
SELAMAT MENYAMBUT AIDIL FITRI
0 comments:
Post a Comment