Omar Osman (dua dari kanan) menunjukkan siaran
akhbar mengenai bantahan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam kepada sebahagian
penjawat awam di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Timbalan Presiden
CUEPACS, Azih Muda (kanan). - BERNAMA
KUALA LUMPUR 18 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan
Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru
Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan berkuat kuasa 1 Januari depan.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya mahu CUEPACS diberi hak
untuk turut sama dalam perundingan mengenai pelaksanaan skim tersebut.
"Kami sangat kecewa kerana kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam
(JPA) tidak langsung mengadakan rundingan dengan CUEPACS sebelum menggubal dan
melaksanakan SBPA.
"Tidak seperti sebelum ini, kami sentiasa diberi peluang untuk turut
terlibat dalam rundingan sebelum sesuatu skim untuk kakitangan awam
dilaksanakan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis
Bantahan SPBA di sini, hari ini.
Omar menegaskan kerajaan seharusnya memastikan setiap kakitangan
perkhidmatan awam yang berjumlah 1.4 juta orang menerima maklumat tepat dan
mendalam sebelum menerima opsyen pelaksanaan SBPA.
"Ini kerana, pegawai JPA yang membuat taklimat mengenai SPBA kepada
kakitangan awam memberi maklumat berbeza-berbeza mengenai skim tersebut.
"Oleh itu, CUEPACS akan mengutarakan beberapa perkara mengenai SPBA
yang dilihat mengelirukan kakitangan awam pada pertemuan dengan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 22 Disember ini," katanya.
Jelas Omar, pada pertemuan itu nanti, CUEPACS juga akan membawa isu mengapa
kesatuan itu tidak diberi peluang untuk turut sama dalam perundingan
bersama-sama JPA sebelum skim itu dilaksanakan.
"Selain itu, tempoh opsyen yang singkat dan kenaikan gred gaji yang
berbeza-beza akan dibincangkan pada pertemuan tersebut," katanya.
Omar sekali lagi menasihatkan penjawat awam agar menunggu keputusan
pihaknya pada perbincangan yang akan diadakan bersama Najib sebelum menerima
SBPA.
Sumber: Utusan Online
0 comments:
Post a Comment