KANGAR, 15 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan
Awam (Cuepacs) akan menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin
ini bagi membincangkan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Presidennya Datuk Omar Osman berkata langkah itu susulan keputusan
mesyuarat khas Cuepacs yang sebulat suara membantah opsyen dalam SBPA, yang
disifatkan tidak begitu adil.
Cuepacs berharap 1.4 juta penjawat awam tidak menandatangani opsyen itu
sebelum beberapa perkara berbangkit dalam pelaksanaan SBPA dapat dibincangkan
dengan Perdana Menteri, katanya kepada pemberita, di sini Khamis.
Omar ditemui selepas berakhirnya mesyuarat khas dua hari Cuepacs yang
disertai 125 perwakilan dari seluruh negara.
Antara perkara yang akan dibangkit ialah pelarasan gaji antara tujuh dan 13
peratus seperti yang diumumkan sebelum ini, memandangkan perkara itu dibuat
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tanpa berbincang dengan Cuepacs, katanya.
Katanya Cuepacs berkeyakinan segala perkara berbangkit dapat diselesaikan
menerusi pertemuan itu memandangkan Perdana Menteri prihatin dengan kebajikan
penjawat awam.
Beliau juga menyifatkan tempoh dua minggu bermula hari ini yang diberi JPA
kepada penjawat awam untuk membuat pilihan sebagai terlalu pendek dan kurang
adil.
-- BERNAMA
Klik untuk baca lain-lain artikel SBPA:
0 comments:
Post a Comment