Pelajar yang mengamalkan cara belajar
yang betul akan lebih mudah mencapai kejayaan berbanding dengan pelajar yang
belajar tanpa mengikut tatacara yang bersistem. Berikut ini disenaraikan dua
puluh kaedah belajar yang berkesan untuk membantu pelajar berhadapan dunia
peperiksaan.
1 – Tidak mensia-siakan masa
Seorang pelajar yang cemerlang
menggunakan masa yang terluang, masa pertukaran kelas, masa menunggu kereta
sewa, masa sebelum hidangan makanan. Mereka boleh membaca satu atau dua soalan
objektif atau ulangkaji pelajaran yang telah mereka baca.
2 – Membawa buku ke mana sahaja anda pergi
Amalkan sikap membawa buku setiap
ketika. Sikap ini bukan bermaksud kita mesti membaca buku tersebut. Kemungkinan
diri anda tidak membaca apa-apa , tetapi ia memupuk jiwa bersungguh-sungguh
dengan kewajipan terhadap pelajaran. Sikap ini membolehkan anda menyemai budaya
belajar yang positif dan sikap bertanggungjawab terhadap pelajaran.
3 – Gunakan masa awal pagi
Gunakan sepenuhnya masa awal pagi untuk
mengulangkaji pelajaran yang anda lemah. Pupukan semangat belajar pada awal
pagi biar pun anda tidak terasa mahu membaca. Usaha ini akan menyemai semangat
yang kental terhadap pelajaran dan membolehkan anda mulakan hari tersebut
dengan azam untuk berjaya.
4 – Buat nota ringkas
Pelajar yang cemerlang sentiasa membuat
nota ringkas. Nota tersebut adalah untuk membolehkan anda merujuk kembali apa
yang telah anda baca. Ia tidak menjamin ingatan anda tetapi ia meningkatkan kuasa
ingatan anda. Dengan adanya nota ringkas, ulangkaji sehari sebelum peperiksaan
menjadi lebih mudah.
5 – Mengikut jadual sepenuhnya
Aturkan masa untuk setiap aktiviti yang
anda hendak lakukan pada hari tersebut. Patuhi jadual belajar anda tanpa syarat.
Jangan ikut perasaan. Biar pun anda tidak suka belajar pada sesuatu masa, buka
sahaja buku dan membacanya. Jika anda mempunyai disiplin yang kuat terhadap
hidup, anda tidak akan lalai terhadap tanggung-jawab belajar. Pastikan anda
peruntukkan masa untuk setiap mata pelajaran pada setiap hari jika anda mahu
mencapai kegemilangan dalam semua mata pelajaran.
6 – Mencuba soalan tahun lalu
Pelajar cemerlang memperuntukkan masa
untuk menjawab contoh-contoh soalan setiap hari. Ini akan membiasakan dirinya
dengan corak soalan yang sering keluar dalam peperiksaan dan bagaimana menjawabnya.
Pelajar yang hanya tumpu kepada buku teks tidak akan lulus dengan cemerlang
kerana mereka tidak biasa dengan corak soalan peperiksaan.
7 – Ulang sebanyak kali yang boleh
Setiap fakta yang dibaca akan terus
diulang sebanyak yang mampu. Selagi ada masa, anda boleh mengulangi apa yang
telah dibaca/dibuat, biar pun anda sudah faham atau sudah mengingatinya.
Semakin banyak anda membaca atau ulangkaji, semakin tinggi keyakinan diri anda
untuk lulus dengan cemerlang.
8 – Sentiasa bertanya kalau tidak faham
Dekatkan diri dengan guru dan guna
setiap kesempatan yang ada untuk menjawab kemusykilan anda. Biar pun anda sudah
faham, anda masih boleh bertanya. Ini akan menguatkan kefahaman dan ingatan
anda. Anggapkan guru anda, kakak atau abang anda, kawan-kawan anda sebagai
orang yang boleh membantu anda dalam hal ini.
9 – Berikan tumpuan pada pelajaran/tajuk yang lemah
Jika anda lemah dalam bahasa Inggeris
atau matematik, peruntukkan masa yang lebih untuk ulangkaji. Elakkan memilih
mata pelajaran yang disukai dan abaikan mata pelajaran yang anda kurang suka.
Buat tanda pada bahagian yang anda rasa perlu penumpuan lebih. Gunakan simbol
dan lorekkan bahagian yang anda anggap penting. Jangan jadikan tidak faham,
tidak ingat atau tidak pandai sebagai alasan untuk berhenti ulangkaji.
10 – Mengunjungi perpustakaan
Rapatkan dengan kawan yang mahu
belajar. Perhatikan bagaimana mereka belajar dan semarakkan jiwa yang kuat
seperti mereka. Tukar pendapat antara satu sama lain. Berikan penemuan dan
berkongsi soalan yang anda buat dengan mereka. Ini akan mengaktifan suasana
tolong-menolong dalam haluan memajukan pelajaran masing-masing.
11 – Menjadi model dalam rumah
Jadikan diri anda sebagai contoh kepada
adik-adik lain. Beritahu mereka “Jangan membuang masa dengan aktiviti-aktiviti
yang tidak menyumbang kepada masa depan.” Semakin anda memberi galakan untuk
mereka, semakin tinggi semangat anda untuk menjadi contoh kepada mereka. Apa
yang anda serukan akan menjadi panduan dalam hidup anda sendiri.
12 – Imbangkan masa kokorikulum dan akademik
Jika anda berada dalam tahun
peperiksaan , jangan terlalu menumpukan perhatian pada kokorikulum kerana ini
akan melalaikan diri dalam bidang akademik. Jika anda mahu berjaya dalam
akademik, anda perlu mempunyai masa ulangkaji yang cukup di rumah. Banyakkan
masa ulangkaji setiap hari.
13 – Belajar mengikut rentak sendiri
Jangan membandingkan diri dengan
pelajar yang mantap dalam prestasi peperiksaan. Anda perlu mengenal rentak
sendiri dan pastikan anda mematuhi rentak tersebut. Jika anda seorang pelupa,
pastikan anda mengatur masa ulangkaji kedua atau ketiga pada minggu-minggu yang
akan datang. Jika anda perlukan bimbingan tambahan, dapatkan tuisyen atau
bantuan guru.
14 – Persiapan minda sebelum ulangkaji
Lelapkan mata untuk beberapa minit dan bayangkan
apa yang anda hendak capai. Apakah corak hidup yang anda hajatkan. Apakah yang
hendak anda berikan kepada ahli keluarga serta ibu bapa anda sebagai tanda
kasih sayang dan terima kasih. Adakah anda berhajat hendak mengharumkan nama
keluarga? Apakah kejayaan peringkat remaja yang membanggakan diri anda dan
keluarga anda? Bila anda membaca buku, kaitkan dengan hidup anda. Anda bukan
sekadar mahu lulus cemerlang dalam peperiksaan , anda mahukan hidup yang baik
dan berkualiti.
15 – Elakkan gangguan emosi
Semua perkara yang merunsingkan dan
mengganggu tumpuan waktu belajar perlu diketepikan. Beritahu diri anda, “saya
tidak relakan masa depan saya tergadai oleh hal yang remeh-temeh.” Sebaik
pemikiran atau perasaan negatif timbul, tuliskan pada kertas. Layankan semua
gangguan ini selepas peperiksaan. Anda boleh mainkan muzik untuk menjadikan
suasana belajar lebih menyeronokkan (jika sesuai).
16 – Rancangkan jadual ulangkaji
Tetapkan ulangkaji anda sehingga bulan
peperiksaan. Sebulan sebelum peperiksaan, anda perlu siap ulangkaji. Pastikan
setiap tajuk dibaca/diulangkaji, dan setiap soalan dijawab. Ini boleh dilakukan
dengan membahagikan bilangan mukasurat buku dengan bilangan hari yang ada. Jika
anda gagal mengulangkaji mukasurat berkenaan pada hari yang ditetapkan
pangkahkan dengan besar menggunakan pensil. Pastikan anda membaca mukasurat ini
sebelum peperiksaan tiba. Tapi, sebelum anda membaca mukasurat yang terhutang,
pastikan anda telah siap ulangkaji mukasurat yang ditetapkan untuk hari
tersebut.
17 – Belajar menyesuaikan diri dengan semua keadaan
Biar pun rumah anda bising, panas atau
kurang selesa; ia tidak menjadi penghalang untuk anda mengulangkaji.
Kadang-kadang, kita perlu belajar menyesuikan diri dengan kekurangan yang ada.
Semakin mencabar keadaan anda , semakin besar ujian ketahanan diri anda.
Beritahu diri anda, “biar apa yang berlaku, saya tetap dapat menjalankan tugas
saya kerana saya seorang yang tahan lasak dan bersemangat.”
18 – Berhati-hati dengan kawan yang tidak sehaluan dengan anda
Jika anda mahu belajar tetapi rakan-rakan
anda tidak suka belajar, anda perlu berani berkata “tidak” dan menolak mereka
dengan lembut. Jangan sekali-kali menjadi mangsa kepada mereka kononnya anda
tidak mahu melukakan hati mereka. Jika anda mengikut rentak mereka, anda akan
merosakkan masa depan sendiri.
19 – Terus belajar biar pun tidak menampakkan kemajuan
Jangan mengukur prestasi anda kerana
tidak menampakkan kemajuan yang nyata dalam keputusan peperiksaan sekolah.
Setelah berbulan-bulan anda bertungkus-lumus, anda mungkin mahu kemajuan dalam
keputusan sekolah. Sebenarnya, penilaian sekolah tidak menggambarkan anda pasti
akan lulus atau gagal dalam peperiksaan akhir tahun. Teruskan usaha dan jangan
berhenti.
20 – Terokai bakat dan minat
anda
Sambil anda berjuang untuk peperiksaan,
peruntukkan masa juga untuk bidang yang anda hendak ceburi. Mungkin anda minat
dengan bidang kedoktoran, baca majalah dan bahan rujukan am yang berkaitan
dengan cita-cita anda tersebut. Gunakan bakat anda untuk berbakti kepada
keluarga atau sekolah anda. Jika anda minat dalam bidang kejuruteraan,
peruntukkan masa untuk belajar membaiki kereta atau anda juga boleh menolong
kawan anda membaiki kereta mereka. Kegiatan sedemikian menjadikan makna
pembelajaran lebih nyata. Anda tahu mengapa anda belajar kerana anda mempunyai
hala tujuan yang nyata.
Kesimpulan - Belajar adalah suatu seni.
Jika anda tahu menguasai seni tersebut , anda boleh berjaya biar pun diri anda
mempunyai beberapa kekurangan. Semoga catatan ini menguatkan ikhtizam anda
untuk mencapai prestasi yang lebih cemerlang dalam pelajaran. Selamat maju
jaya.
1 comments:
These are nice ideas to practice with number pyramid method. My 8-year nephew use similar worksheets and much more like this. I wanted to share with you this number pyramid worksheet.
https://logicroots.com/math-worksheets/grade-2/number-pyramid/
Post a Comment