Pemimpin pendidikan terutama di sekolah
seperti pengetua, guru besar, penolong kanan, ketua panatia dan ketua bidang di
zaman transformasi ini perlu membuat anjakan minda (mindset shift) untuk bukan
sahaja kejayaan transformasi organisasi yang dipimpin, malahan kejayaan
individu dan sistem pendidikan seluruhnya.
Sekurang-kurangnya lapan aspek yang
berkaitan dengan cara berfikir dan bertindak kumpulan pemimpin dan pengurus
pendidikan tersebut perlu diubah selaras dengan perubahan gaya kepimpinan dan
pengurusan global di luar bidang pendidikan. Zaman di mana ketua bersikap
seolah-olah dia sahaja yang tahu dan betul, orang lain tidak tahu, sentiasa
salah dan mesti mengikut kehendaknya telah berlalu dan tidak relevan lagi. Berikut
disarankan lapan perkara atau cara berfikir dan bertindak yang perlu diubah
oleh pemimpin dan pengurus pendidikan abad ke-21.
1. Daripada Berfokus Masalah Kepada Berfokus Penyelesaian - Sebagai pemimpin sememangnya kita
sering menghadapi banyak masalah dan cabaran. Sikap yang diserlahkan seorang
pemimpin melalui cara berfikir dan bertindak apabila menghadapi masalah
berbeza-beza mengikut dan sekaligus menggambarkan kekuatan daya kepimpinannya.
Pemimpin yang lemah apabila menghadapi masalah dan cabaran, fikiran dan
tindakannya berlegar sekitar mencari apa dan siapa yang menjadi punca masalah,
mengapa masalah timbul dan menyesali keadaan atau tindakan orang lain yang
menyebabkan masalah timbul tanpa cuba memahami isu sebenar dan cara mengatasi
atau menyelesaikan masalah.
Pemimpin yang berjaya dan berkesan
seringkali tidak menganggap isu atau masalah yang dihadapi terutama dari
sesuatu perubahan sebagai masalah, sebaliknya sebagai peluang baginya belajar
menyelesaikan masalah itu dengan cara yang berbeza dari kebiasaan. Pemimpin
seperti ini tumpuan pemikiran dan tindakannya adalah mencari jalan penyelesaian
sama ada secara individu atau jemaah bersama rakan dalam organisasi
pimpinannya. Dia akan mencari peluang mempengaruhi sesiapa sahaja yang
dipimpinnya untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Pelbagai cara digunakan
yang matlamatnya ialah menyelesaikan masalah tanpa bising menyalahkan orang
lain yang didakwa menyebabkan masalah tersebut.
2. Daripada Menetapkan Matlamat Kepada Orang Lain Kepada Menjajarkan
Matlamat Bersama - Sememangnya setiap pemimpin perlu ada maltamat (goal)
untuk diri dan organisasinya. Dia perlu tahu ke mana hala tuju kehidupan dan
pekerjaannya dan organisasi yang dipimpinnya. Namun untuk mencapai matlamat
diri dan organisasi, dia tidak sepatutnya menyuruh (dictate) orang lain berbuat
sesuatu mengikut kehendaknya semata-mata tanpa memikirkan kesukaran atau
masalah yang dihadapi orang yang disuruh.
Ada kalanya matlamat organisasi telah
ditetapkan dengan perancangan yang baik oleh pemimpin sebelumnya atau pihak
atasan yang lebih tinggi daripadanya. Tidak perlu sebenarnya untuk dia
menetapkan matlamat organisasi yang baru melainkan dia hanya perlu membuat
penjajaran (alignment) kepada pelaksanaan perancangan untuk mencapai matlamat
yang dikongsi bersama anggota
dalam organisasi.
Dalam merancang matlamat organisasi,
pemimpin abad ke-21 tidak membuatnya secara bersendirian atau sentiasa mengikut
kehendaknya semata-mata. Pandangan dan buah fikiran orang ramai termasuk pakar
dalam bidang berkenaan perlu diambil kira. Apabila percanggahan atau perbezaan
pendapat berlaku, penjajaran dalam bentuk kata sepakat perlu diperoleh.
3. Daripada Memberi Nasihat kepada Menimbulkan Kesedaran - Pemimpin
alaf baru tidak menganggap dirinya serba tahu sehingga dia mendakwa hanya layak
memberi nasihat dan tidak layak untuk menerima nasihat apatah lagi tunjuk ajar.
Sebanyak mana kita belajar, seluas mana pengalaman kita dan sejauh mana kita
telah lalui liku-liku hidup pasti ada lagi perkara yang tidak kita ketahui.
Kadang-kadang kita menyangka kita tahu dan mengambil tindakan yang betul
tentang sesuatu perkara namun kerap kali sangkaan kita meleset kerana apa yang
kita ketahui selalunya terbatas kepada konteks, masa, maklumat dan situasi
tertentu sahaja.
Oleh itu, untuk mengajak dan
mempengaruhi orang lain mencapai matlamat organisasi yang kita pimpin, lebih
baik kita menimbulkan kesedaran mereka tentang pentingnya kita memikir,
merancang dan mengambil tindakan yang strategik secara bersama untuk proses
pembetulan dan penambahbaikan kepada dasar dan strategi sedia ada. Banyak cara
boleh diteroka untuk menimbulkan kesedaran warga organisasi yang bukan dalam
bentuk nasihat. Antaranya, coaching dan mentoring, pembelajaran dan pembangunan
(learning and development) dan pembangunan profesional berterusan
(continuous professional
development atau CPD). Kesemua kaedah tersebut boleh mendatangkan kesedaran
kendiri warga organiisasi tanpa perlu terlalu memberi nasihat berulang-ulang
yang boleh membosankan.
4. Daripada Tahu Semua Hal kepada Rasa Ingin Tahu - Sebagai ketua,
perbanyakkan menyoal daripada menjawab. Soalan atau permintaan juga boleh
dijawab atau direspons dengan soalan. Sebagai contoh, soalan permintaan “Tuan,
bolehkah saya bercuti esok?” boleh
dijawab “Mengapa anda hendak bercuti?”. Banyak lagi contoh soalan yang boleh
dijawab dengan soalan.
Menjawab soalan dengan jawapan atau
memberi jawapan atau penyelesaian kepada permasalahan menggambarkan orang yang
yang disoal atau dikemukakan masalah atau diminta pendapat, tahu semua hal.
Seperti yang saya katakan sebelum ini, zaman seseorang mendakwa serba tahu
telah berakhir. Satu perkara kita tahu, puluhan perkara malahan mungkin ribuan
lagi yang kita tidak tahu walaupun dalam perkara yang sama.
Oleh itu, sebagai pemimpin mahupun
pengikut adalah lebih baik kita timbulkan rasa ingin tahu dengan lebih lanjut
sebelum membuat keputusan tentang sesuatu walaupun mungkin kita telah tahu
konsekuennya.
5. Daripada Mengarah dan Mendesak kepada Mempengaruhi - Pemimpin
yang hanya pandai mengarah, mengerah, memerah dan memarah akan berakhir dengan
pengikut mengatakan porah kepadanya. Gambaran ini sesuai bagi seorang pemimpin
yang mengarah dan mendesak dalam gaya kepimpinannya. Pemimpin sedemikian,
terutama di sekolah dikuatiri boleh menjejaskan keberkesanan sekokah yang
sekaligus kemenjadian murid kerana guru dan staf yang boleh bertindak negatif
ekoran tindakan yang pasti tidak disukai.
Pemimpin sekolah sedemikian seringkali
dikaitkan dengan pemimpin yang lemah, kurang berhemah dan seperti tidak pernah
mengikuti latihan kepimpinan dan pengurusan pendidikan sebelum atau sepanjang
perkhidmatannya. Pemimpin yang pernah mengikuti kursus kepimpinan dan
pengurusan pendidikan seperti National Professional Qualification for Educational
Leadership (NPQEL) atau lain-lain kursus anjuran Institut Aminudin Baki (IAB)
pasti tahu bahawa definisi memimpin ialah usaha mempengaruhi orang lain dalam
lingkungan kepimpinannya untuk mencapai matlamat organisasi.
Maksud mempengaruhi ialah mengajak, memujuk,
memupuk dan menanamkan rasa suka untuk bekerja bersamanya bagi mencapai hasrat
atau visi organisasi dengan bahasa dan kaedah yang baik. Selain mempengaruhi,
memimpin juga membawa konotasi membuat perubahan (change) dari kurang baik
kepada lebih baik. Dalam
pendidikan, Dato’ Dr Amin Senin, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
menyarankan bahawa istilah memimpin itu sendiri bermaksud mendidik atau
sebaliknya mendidik itu adalah memimpin. Hal ini bermaksud mendidik ialah
proses mempengaruhi orang lain iaitu murid dan orang-orang di sekitarnya untuk mencapai objektif
pembelajaran supaya perubahan berlaku kepada diri murid itu, sekolah dan sistem
pendidikan negara.
6. Daripada Mengkritik atau Menghukum kepada Menghargai atau Memuji - Kritikan
dan hukuman oleh pemimpin ke atas pengikut tidak dinafikan boleh membawa
kebaikan kepada organisasi. Namun apabila selalu digunakan oleh pemimpin kepada
pengikutnya boleh menyebabkan pengikut demotivated. Kritikan selalunya
digunakan pemimpin ke atas pengikut yang rendah mutu kerja dan hasilnya.
Hukuman pula ialah natijah yang diterima pengikut apabila kerja dan hasil
kerjanya tidak mencapai jangkaan ketua atau organisasi. Kritikan juga merupakan
hukuman. Malahan kadang-kadang hukuman berbentuk kritikan lebih berat kesannya
daripada bentuk yang lain.
Oleh kerana kritikan dan hukuman selalu
dikaitkan dengan kesan yang negatif, ramai yang tidak suka sama ada orang yang
menerima kritikan dan hukuman atau orang lain di sekelilingnya atau pakar
pengkaji bidang pengurusan dan kepimpinan pendidikan. Mereka lebih cenderung
untuk menerima penghargaan, pengiktirafan atau pujian. Sememangnya, tiada siapa
yang gemar kepada kelemahan, kekurangan dan kesilapan. Namun selain melakukan
ksilapan, seseorang itu pasti banyak juga melakukan kebaikan kepada organisasi.
Adalah lebih baik kita perbanyakkan menghargai, mengiktiraf dan memuji kerja
atau hasil kerja seseorang terutama orang bawahan kita apabila membuat kerja
dengan baik daripada mengkritik atau menghukum kesilapan kecil yang selalunya
tidak disengaja.
Orang yang sering dihargai dan dipuji
akan besar jiwanya. Sebaliknya orang yang sering dikritik dan dihukum kecil
jiwa dan harga dirinya. Orang yang besar jiwa dan harga dirinya juga akan
menghasilkan mutu kerja yang tinggi dan besar keuntungan yang diperoleh
organisasi. Oleh itu sebarkan penghargaan dan pujian. Kesilapan kecil lupakan
dan maafkan sahaja.
7. Daripada Mengurus kepada Mengupaya - Mengurus ialah
proses mengekalkan (maintain) kecekapan dan keberkesanan organisasi. Untuk
mengekal kecekapan dan keberkesanan organisasi ketua perlu aktif merancang, mengorganisasi,
mengawal dan memimpin kumpulannya dengan pelbagai cara dan gaya pengurusan.
Selalunya pihak yang menerima kesan daripada gaya dan cara pengurusan seseorang
ketua ialah pengikut. Ketua yang mengurus selalunya aktif sedangkan pengikut
pasif menerima arahan ketua tanpa atau kurang diberi pengupayaan
(empowerment)..
Kepimpinan abad ke-21 adalah kepimpinan
yang mengutamakan pengupayaan daipada pengurusan. Pemimpin yang mengupayakan
pengikutnya adalah pemimpin yang memberi kepercayaan untuk msmbuat perubahan
tanpa perlu terlalu disuruh dan diawasi. Dia cukup memberi garis panduan dan
motivasi kepada pengikut untuk bekerja bersungguh untuk mencapai matlamat
organisasi. Namun mengikut Ibrahim Bajunid, pengupayaan perlu didahului dengan
pembolehdayaan (enablement) melalui kursus dan latihan.
8. Daripada Menyediakan Penyelesaian kepada Meneroka Kemungkinan - Walaupun
pemimpin abad ke-21 memberi tumpuan atau fokus kepada penyelesaian masalah,
namun dia tidak cenderung untuk menawarkan apatah lagi menyediakan jawapan atau
penyelesaian kepada masalah. Sebaliknya dia lebih cenderung untuk meneroka
kemungkinan untuk mencari jalan bagi bukan sahaja mengatasi atau menyelesaikan masalah
malahan mendapat keuntungan yang lebih besar.
Pemimpin seperti ini selalu dikaitkan
dengan pemimpin yang kreatif dan inovatif serta berani mencuba dan mengambil
risiko. Mereka selalunya berfikiran terbuka dan berlapang dada terhadap sesuatu
yang baharu. Berbekalkan pengetahuan, kemahiran, nilai dan pengalaman serta
bantuan tenaga muda, yang lebih kreatif, kritis dan inovatif, pemimpin seperti
ini mampu msmbawa perubahan besar kepada organisasi.
- drjamiladimin
0 comments:
Post a Comment