Sejak
tadika hingga melangkah ke tingkatan lima, kita disogok dengan lambakan buku
ilmiah. Impiannya hanya satu, untuk membentuk individu berjaya dengan memegang
status kerja yang bagus. Tapi pernahkah anda terfikir setiap individu mempunyai
minatnya tersendiri selain daripada menghadap buku hingga suku umur hidupnya?
Yang jelas, sifat ini dimonopoli golongan lelaki.
Mungkin
si gadis lebih beradab. Tidak menolak sekiranya ibu bapa ingin menempatkannya
di IPT tanah air. Namun sebaliknya bagi lelaki, mereka lebih tegas dan
berprinsip dalam menentukan hala tuju hidup. Disebabkan itu, kita boleh lihat
kurangnya golongan lelaki di pusat pengajian seluruh negara.
Statistik
Keseluruhan
laporan banci dan perumahan Malaysia pada 2010 menyatakan bilangan penduduk
negara ini adalah seramai 28.3 juta dengan pecahan 14.56 juta bagi lelaki dan
13.77 juta wanita.
Tidak
dinafikan kewujudan lelaki lebih ramai berbanding wanita, namun keadaan berbeza
jika dilihat di IPT apabila seolah-olah bilangan lelaki terlalu sedikit.
Fenomena
penurunan jumlah pelajar lelaki di universiti tidak pernah selesai untuk
dibincangkan. Statistik kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi
menunjukkan pelajar perempuan terus mendominasi dengan kemasukan 64.5 peratus
bagi sesi pengajian 2008/2009. Persoalannya, kenapa pelajar lelaki semakin
pupus di universiti?
Buku membosankan
Ada
menyoal, benarkah sistem pendidikan negara tidak cukup menarik untuk memupuk
minat lelaki dalam pelajaran atau adakah ia hanya sekadar alasan kepada sikap
malas pelajar lelaki?
Berdasarkan
perbincangan ringkas, kedua-dua faktor itu logik dan ada betulnya tetapi ia
lebih terarah kepada rasa bosan golongan lelaki untuk melanjutkan pengajian.
Dalam
erti kata lain, mereka sudah muak melihat susunan buku di atas meja. Buku harus
digantikan dengan peralatan seperti gajet atau elektronik yang seiring dengan
era teknologi kini.
Ramai
berpendapat, teknik pengajaran lisan dan sistem pendidikan dengan
berpuluh-puluh jenis peperiksaan membantutkan minat lelaki dalam akademik
kerana difahamkan, apabila meningkat dewasa mereka lebih meminati pendidikan
berteraskan kemahiran.
Oleh
itu, jika direnungkan kembali, memang benar peratus pembabitan lelaki di IPT
tidak setanding wanita tetapi kebanyakannya memilih kemahiran seperti di
institut kemahiran dan sebagainya.
Duit dan kerja
Secara
logiknya, apa juga keinginan meletakkan wang sebagai perkara utama untuk
direalisasikan. Jadi tidak hairanlah apabila tamat persekolahan, lelaki lebih
cenderung untuk mendapatkan kerja. Apabila memperoleh sejumlah wang, segala
kemahuan dapat ditunaikan termasuk apa yang diidamkan selama ini.
Perlakuan
ini disokong dengan pendapat ‘tidak semestinya belajar setinggi gunung, mampu
peroleh pekerjaan terbaik’ sedangkan beribu-ribu lambakan graduan IPT masih
menganggur dan menanti untuk mendapat tempat di alam pekerjaan.
Yakin
terhadap keupayaan diri untuk berjaya mendorong remaja lelaki melakukan apa
yang difikirkan tepat untuk masa depan. Jika dia memilih untuk berniaga, usaha
keras diteruskan tanpa perlu segulung ijazah untuk meraih kejayaan.
Tahu kemahuan
Berbeza
dengan lelaki, perempuan lebih mengutamakan pelajaran kerana saingan di alam
pekerjaan lebih tinggi dan tidak keterlaluan juga dikatakan wanita tidak
berilmu mudah terjebak dalam kancah penipuan. Disebabkan itu, kesedaran
pentingnya ilmu memungkinkan perempuan memilih untuk sambung belajar demi
menjamin kehidupan yang tidak menentu pada masa depan. Dalam hal ini, pelajaran
dilihat sebagai aset wajib perlu ada bagi si gadis.
Jejaka
juga sedar akan kepentingan ilmu untuk menjamin masa depan lebih baik. Namun
cara pemikiran berbeza menjadikan mereka berfikir lebih kritis dan siap sedia
dalam segala kemungkinan. Keputusan untuk tidak menghadap buku dan digantikan
dengan peralatan elektronik atau cara kerja kemahiran menjadi pemangkin untuk
lelaki berjaya dalam memburu kerjaya diimpikan.
-
hmetro
0 comments:
Post a Comment