Thursday, November 24, 2022

INDAHNYA PERPADUAN

 'Mereka mungkin jiran terbaik di dunia'

Berkongsi makanan halal, sanggup menunggu sehingga selesai solat Maghrib untuk keluar makan bersama dan tidak pernah lokek menghulur bantuan.

 

Itu keprihatinan ditunjukkan suami isteri berbangsa Cina tinggal di Taman Tehel Impian, Bemban di sini yang membuatkan jirannya berbangsa Melayu berasa 'istimewa' biarpun berbeza agama dan bangsa.

 

Hubungan akrab Gan Tiong Guey, 43, dan isterinya, Goh Pei Chen, 40, dengan Noor Faiezah Mohd Ali, 31, dan suami, Nur Shahariz Abdul Rais, 31 diibaratkan seperti aur dengan tebing apabila mereka menjalani kehidupan berjiran dengan muafakat dan saling membantu.

 

Noor Faiezah berkata, hubungan erat itu terjalin sejak hampir dua tahun lalu dan mereka selalu membantu satu sama lain, keluar makan dan bercuti bersama.

 

Malah katanya, keluarga sahabat baiknya itu juga pernah mengikutnya pulang ke kampung di Kota Tinggi, Johor untuk merasai suasana kampung.

 

"Hubungan baik ini terjalin selepas Tiong Guey membantu menyelesaikan kerja mengubahsuai dan pemasangan jubin di tempat parkir kereta yang ditinggalkan kontraktor lama biarpun sudah selesai membuat pembayaran.

 

"Ketika itu kami terkilan melihat hasil kerja tukang lama yang tidak kemas dan ada yang tidak betul. Tiong Guey kemudiannya dan menawarkan bantuan untuk menyelesaikan kerja yang masih berbaki kira-kira 20 peratus itu.

 

"Apabila kami mahu membayar upah kerjanya, Tiong Guey tidak mahu dan cakap dia mahu membantu saja sebab kami jirannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

 

Ibu kepada seorang anak itu berkata, dia terharu dengan bantuan itu biarpun ketika itu mereka tidak saling mengenali kerana pasangan terbabit baru berpindah ke kawasan perumahan itu.

 

Katanya, kejiranan berkenaan berbilang kaum dan semua penduduknya hidup harmoni dan bermuafakat serta saling bertegur sapa.

 

"Tiong Guey dan isterinya, Pei Chen selalu ajak kami makan bersama dan dia selalu periksa dulu kalau restoran itu ada sijil halal kerana katanya dia bawa kawan Muslim.

 

"Kalau dia yang ajak pergi makan, mesti dia akan tunggu kami sehingga selesai solat Maghrib dan kami menaiki keretanya. Dia faham orang Muslim perlu solat dulu.

 

"Jika suami bekerja di luar kawasan, mereka akan membantu dan tengokkan kami dan selalu cakap kita hidup berjiran sudah seperti keluarga perlu saling bantu-membantu," katanya yang berniaga aiskrim.

 

Noor Faiezah berkata, dia tidak menyangka bermula dengan bantuan itu (pasang jubin), membuka ruang untuk dua keluarga menjalin hubungan erat seperti keluarga biarpun berbeza agama dan bangsa.

 

"Mereka melayan kami dengan baik dan itu buat saya rasa 'special' terutama apabila dia sangat bersungguh-sungguh memastikan restoran yang kami singgah itu halal. Saya sudah menganggap mereka seperti abang dan kakak sendiri," katanya

 

Sementara itu, Pei Chen berkata, mereka tidak menganggap agama dan bangsa sebagai pengukur untuk menjalinkan persahabatan kerana apa yang diutamakan adalah saling hormat menghormati dan budi yang baik.

 

Katanya, setiap kaum perlu ada sikap hormat menghormati dan menjaga sensitiviti agama masing-masing supaya dapat hidup harmoni.

 

"Setiap hari saya berjumpa dengan Noor Faiezah kerana rumahnya di hadapan rumah saya saja dan menyukainya sebab dia baik serta peramah.

 

"Setiap kali jumpa kedai makan yang sedap, kami mesti ajak mereka tetapi pastikan ia halal dulu kerana mereka Muslim," katanya sambil memberitahu suaminya berkerja sebagai kontraktor membina rumah.

 

Terdahulu, video mengenai hubungan baik dua keluarga yang bersahabat baik itu mendapat perhatian netizen apabila dikongsikan Noor Faiezah di akaun TikToknya.

 

 

 

Sumber: https://www.hmetro.com.my

Disiarkan pada: November 23, 2022 @ 7:09pm



Thursday, August 25, 2022

BENGKEL PENINGKATAN PROFESIONALISME GURU BESAR

 

Alhamdulillah hari ini selesai saya dan rakan-rakan Guru Besar dari daerah Kuala Terengganu menghadiri Bengkel Peningkatan Profesionalisme Guru Besar Daerah Kuala Terengganu yang dijalankan selama 2 hari bermula 24 hingga 25 Ogos 2022.

 

Bengkel tersebut telah  dijalankan di Dewan SMK Sultan Sulaiman dengan kerjasama Institut Aminuddin Baki Cawangan Genting Highlands, dimana pensyarahnya adalah;

1.     Pn. Rohani binti Sadan (Ketua Jabatan Pembangunan Profesional Berterusan)

2.     En. Mohd Zaidi bin Basir  (Pensyarah Kanan)

3.     Pn. Nurfatimah binti Awangda (Pensyarah Kanan)

4.     Sapinah binti Zakaria  (Pensyarah Kanan)

Selamat datang ke Negeri Terengganu;, Negeri Cantik, Budaya Menarik, Orangnya Baik-baik dan terima kasih diucapkan di atas perkongsian ilmu yang diberikan.

 

Sudah lama, saya tidak membuat coretan atau sebarang `posting’ diblog ini. Dikesempatan ini, saya ingin berkongsi pandangan dan buah fikiran dengan mengaitkan konsep SekolahKu Sejahtera dalam penampilan dan kemenjadian seorang pemimpin sekolah atau pemimpin dalam sesebuah organisasi.

 

Seperti yang kita sedia maklum 14 elemen dalam SekolahKu Sejahtera, saya cuba kait dan terapkan dalam diri seseorang pemimpin iaitu;

 

S – sihat, seronok, selamat

Sebagai seorang pemimpin sudah pasti perlu menjaga kesihatan dan sihat untuk membolehkan kita mengurus organisasi dengan baik dan lancar. Keberadaan kita di sekolah atau organisasi perlu menimbulkan rasa seronok dan selamat  dengan erti kata lain mempunyai hubungan baik dalam kalangan warga organisasi kita.

 

E – etika, empati

Seorang pemimpin perlu mempunyai etika yang tinggi sebagai seorang penjawat awam yang boleh diikuti oleh warga organisasi dan perlu ada rasa empati dan kecaknaan bagi membangkitkan rasa hormat dikalangan warga organisasi yang dipimpin.

 

J – jati diri

Tonjolkan jati diri sebagai penjawat awam yang baik dan menjadi contoh kepada warga organisasi yang dipimpin atau menjadi sanjungan pihak luar,

 

A – adab sopan

Adap sopan perlu diberi perhatian supaya warga organisasi yang dipimpin  atau orang yang berhubungan  dengan kita, rasa diri mereka dihormati dan dihargai.

 

H – Harmoni

Pemimpin perlu wujudkan suasana dan emosi harmoni dalam warga organisasi yang dipimpin supaya warga atau pihak luar rasa selesa berada bersama kita atau berurusan dengan organisasi yang kita pimpin

 

T – tekun, teliti, terampil

Seorang pemimpin yang baik sudah pasti mempunyai ketekunan yang tinggi dalam mengurus pengoperasian organisasi serta tidak mudah kecewa atau putus asa dalam menghadapi sesuatu kesulitan. Ketelitian dan keterampilan perlu diberi keutamaan supaya organisasi yang dipimpin bergerak mengikut lunas-lunas yang betul.

 

E – eksplorasi

Eksplorasi perlu diberi perhatian supaya organisasi yang dipimpin terus cemerlang dan dapat bersaing dengan organisasi lain. Di sini sebagai seorang pemimpin perlu berani dan kreatif bagi membuat perubahan kearah kemajuan organisasi yang dipimpin.

 

R – rasional

Ibarat mengukur baju di badan sendiri, segala tindakan dan keputusan yang diambil perlu rasional mengikut nilai, pengetahuan, persekitaran dan budaya organisasi yang dipimpin. Ia juga dapat menghindarkan rasa `stress’ dalam kalangan warga organisasi sekiranya segala tindakan dan keputusan yang rasional dapat dibuat.

 

A – artikulasi

Pemimpin perlu mempunyai daya pemikiran yang baik dan dapat  membuat keputusan dengan baik dan berkesan. Komunikasi yang berkesan, hujahan yang baik dapat mengangkat martabat seseorang pemimpin. Justeru, pemimpin perlu mendalami ilmu bagi mengikuti sebarang arus perubahan dalam mencemerlangkan organisasi.

 

Semoga perkongsian ini memberi manafaat buat seluruh pemimpin organisasi.

Friday, December 25, 2020

PEMUPUKAN PERPADUAN


Alhamdulillah, dikesempatan ini dapat saya mengulas berkaitan isu perpaduan susulan kursus ePerpaduan yang saya ikuti anjuran Institut Aminuddin Baki melalui forum, kuiz dan tugasan bertulis secara maya. Penulisan ini adalah pandangan dan pendapat peribadi saya yang difokuskan secara umum berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya sendiri.

 

Perkataan PERPADUAN itu sendiri amat mudah untuk disebut dan tidak sukar rasanya diaspirasikan antara kaum di Malaysia. Tapi sejauh manakah kata PADU itu dapat menyerap ke dalam jiwa masyarakat majmuk Malaysia?

 

Perpaduan mungkin boleh dilihat menyentuh kulit masyarakat namun untuk menjadi padu dan disebatikan agak sukar, ibarat minyak dengan air; boleh bersentuhan tapi sukar bagi kedua-duanya sebati dan menyerap satu sama lain.

 

Tapi seperti yang saya nyatakan perpaduan itu tidak sukar untuk disebatikan sekiranya cara dan kaedah yang digunakan berkekalan disemua peringkat masyarakat di dalam negara kita. Tidak sukar untuk mencapai aspirasi dan memupuk perpaduan seperti mana yang ditekan oleh sistem pendidikan negara kita dengan sama-sama meraikan dan menghargai kepelbagaian yang terdapat dalam masyarakat kita. Namum untuk ianya terus berkembang dan menghijau dalam jiwa nurani di luar dari sistem pendidikan terutama dalam pelbagai bidang masyarakat majmuk itu sendiri agak sukar jika tiada usaha yang tekal dilakukan.

 

Pepaduan Melalui Pendidikan

Melalui sistem pendidikan seawal kanak-kanak itu lagi mungkin tiada masalah besar yang perlu dihadapi dalam menerapkan perpaduan. Apa yang perlu adalah peranan pihak kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah perlu bergerak dan sama-sama memainkan peranan. Kita sedia maklum, terutamanya sekolah-sekolah di kampung atau pendalaman khususnya, sudah pasti organisasi tersebut dipenuhi oleh satu-satu kaum sahaja. Kita juga sedia maklum, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang memberi penekanan untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan murid telah digerakkan melalui proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah, malah di dalam kegiatan Kokurikulum juga telah dilaksanakan.  Tapi sejauh mana ianya menyerap dengan sekadar teori semata-mata perlu diberi perhatian. Justeru itu program yang melibatkan pendekatan melalui aktiviti luar bilik darjah berkonsepkan experiential learning dan menekankan amali dipercayai lebih berkesan berbanding pembelajaran di dalam bilik darjah. Di sinilah peranan JPN dan PPD bagi membantu pihak sekolah dalam merangka program yang bersifat inklusif dan kolaboratif melalui unit khas diperingkat jabatan itu sendiri.

 

Perpaduan Melalui Demografi Kaum

Kita sedia maklum, demografi kaum di Malaysia adalah berbeza. Malah sosial ekonomi dan politik juga adalah berbeda. Di sinilah peranan pemimpin dipelbagai peringkat perlu mempunyai kesedaran tinggi dan ikhlas dalam membentuk perpaduan di Malaysia.

 

Menyedari kedudukan ketidakseimbangan sosial ekonomi, kita sedia maklum bahawa kerajaan telah mengusahakan supaya satu pendekatan baru dalam rancangan pembangunan negara yang dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan seterusnya Dasar Pembangunan Negara (DPN) telah diperkenalkan yang antara matalamat dasarnya adalah bagi mewujudkan perpaduan itu sendiri.

Sejauh manakah dasar-dasar ini telah berjaya dan apakah altenatif baharu yang telah diambil atau diberi penekanan oleh kerajaan perlulah diberi perhatian sejajar dengan matlamat perpaduan disegenap peringkat.

 

Dari segi penglibatan kaum dalam sesuatu pekerjaan, tidak perlu kita lihat jauh, lihatlah disekeliling kita. Siapakah kawan-kawan ditempat kerja kita, dari kaum manakah kawan-kawan kita? Disesetengah jabatan atau bidang, kebanyakkannya hanya dimonopoli oleh sesuatu kaum sahaja.

 

Di sinilah peranan kerajaan amat besar dalam memastikan perpaduan itu terus mekar dan berkembang dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. Jika ia tidak diberi perhatian dan diurus dengan baik, ia boleh menjadi virus yang boleh memudaratkan perpaduan itu sendiri.

 

Perpaduan Melalui Sukan

Tanpa kita sedari, sukan sejak sekian lama telah menjadi ejen perpaduan paling berjaya dalam menyatukan rakyat sesuatu negara tidak terkecuali masyarakat majmuk di Malaysia.

 

Lihat sahaja bagaimana apabila kejayaan ahli sukan diiringi dengan berkibarnya Jalur Gemilang, berdendangnya lagu Negaraku dan lebih hebat seluruh stadium bergema dengan sorakan pelbagai lapisan kaum.

 

Mengambil contoh sukan bola sepak Malaysia suatu masa dahulu, siapa yang pernah lupa dengan skuad bola sepak generasi emas 1980 yang layak ke Olimpik? Diketuai Soh Chin Aun, maruah Malaysia ketika itu turut digalas beberapa bintang seperti Santokh Singh, Hassan Sani, R. Arumugam, James Wong dan Bakri Ibni. Kepelbagaian kaum yang terdapat dalam pasukan Malaysia pada masa itu amat membanggakan.

 

Dalam pasukan bola sepak itu sendiri terdiri daripada pemain pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan India. Kemudian masyarakat berbilang bangsa hadir ke stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan bola sepak setiap kali perlawanan.

 

Misalnya ketika Malaysia bertemu Thailand pada kejohanan AFF dan Sukan SEA di negara ini dahulu. Pelbagai bangsa dan kaum datang ke stadium yang secara langsung menunjukkan kehadiran semangat kenegaraan yang tinggi.

 

Berbanding sekarang ini, pemain naturalisasi hadir selepas Malaysia berada dalam fasa merudum selama hampir 30 tahun susulan prestasi buruk sehingga kedudukan skuad negara dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

 

Justeru itu sudah pastinya kemasukan pemain naturalisasi ini hanya bermatlamat untuk mencapai kemenangan semata-mata tanpa memikir elemen perpaduan itu sendiri.

 

Melihat kepada senarai pemain-pemain bola sepak utama sekarang ini, agak kekurangan pemain-pemain berbilang kaum, malah pada sesuatu masa tiada langsung pemain berbilang bangsa dalam satu-satu pasukan negara.

 

Kita berharap pihak yang bertanggungjawab dalam pembangunan sukan bola sepak khususnya atau lain-lain sukan dapat berfikir dan mengembalikan semula perpaduan masyarakat pelbagai kaum  melalui sukan di negara kita tercinta ini.

 

Perpaduan Melalui Politik

Politik perpaduan sangat penting kepada negara untuk memastikan proses pembinaan negara dapat dilakukan dengan lebih baik tanpa hambatan dan gangguan sosial. Negara yang harmoni dapat memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dan kemajuan yang diidamkan tercapai. Dalam konteks negara dan negeri, perpaduan yang utuh akan memberikan limpahan nikmat pembangunan  kepada semua etnik atau kaum yang ada di negara ini.

 

Perkauman boleh tercetus akibat politik kebencian yang ditimbulkan oleh ahli politik dan ini menyebabkan  ancaman kepada perpaduan kaum. Isu nasional seharusnya dilihat dalam acuan dan agenda nasional, namun ada ahli politik dan NGO yang bersekutu menggunakan isu tersebut dan dikaitkan dengan perkauman. Hal ini dilihat dapat dilihat dengan ucapan-ucapan ahli politik dan pihak NGO sendiri.

 

Kita faham, tujuannya adalah untuk mendapat sokongan bagi etnik atau kaum tertentu. Sudah pasti ucapan yang diberikan berunsur provokatif, membakar semangat perpaduan, menyakiti hati  orang lain atau etnik tertentu. Inilah yang boleh menyebabkan konflik dan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

 

Kita ditekankan dengan perpaduan seawal pendidikan kanak-kanak tapi bila kanak-kanak itu membesar dan menjadi dewasa tanpa disedari atau memang sengaja kita lupa tentang penerapan nilai perpaduan yang telah diterapkan di sekolah disebabkan kekangan atau atas pengaruh dan penglibatan politik, perpaduan yang dijana sedikit tergugat demi mengejar kepentingan politik masing-masing. Lebih-lebih lagi kepada parti politik yang mengamalkan perpisahan kaum atau agama sudah semestinya mempengaruhi pemikiran rakyat sesebuah negara itu sendiri.  Inilah yang dikatakan perpaduan di Malaysia ibarat minyak dengan air, walaupun bertautan tapi sukar untuk berpadu.

 

Justeru itu dari penulisan ringkas ini semoga ia dapat sedikit sebanyak memberi ingatan dan renungan kepada kita maupun dipihak kerajaan agar dapat berfikir kemanakah hendak dibawa masyarakat majmuk di negara Malaysia tercinta ini. Dimanakah peranan dan tanggungjawab yang dimainkan oleh pihak tertentu atau organisasi-organisasi yang telah dipertanggungjawabkan. Akhir kata marilah kita sama-sama berdoa agar negara kita terus makmur, aman, maju dan harmoni bersama dalam memupuk perpaduan negara bangsa kita Malaysia.

 

 

Tuesday, May 5, 2020

LAMAN KUIZ PEMBELAJARAN DIGITAL SEKOLAH RENDAH

Bagi membantu murid-murid mendapatkan Kuiz Pembelajaran Digital yang dibina melalui Google Form, pihak admin telah membina Laman Kuiz Pembelajaran Digital Sekolah Rendah. Laman ini dibina bagi menempatkan bahan-bahan kuiz yang dibina oleh admin secara tersusun khususnya bagi murid Tahap 2 yang menumpukan pada Mata Pelajaran Matematik, Sains Bahasa Inggeris dan Bahasa Inggeris.

Pada peringkat permulaan, laman ini akan disertakan soalan-soalan kuiz mengikut susunan dengan tajuk-tajuk yang terdapat dalam sukatan pelajaran Kementerian Pendidikan Malaysia. Laman ini juga dari semasa kesemasa akan dikemaskini dan ditambah soalan-soalan kuiz untuk murid menggunakannya sebagai bahan pengukuhan pembelajaran mereka.

Semoga terbinanya laman ini dapat memberi manfaat buat murid mengulangkaji pelajaran masing-masing. Laman tersebut boleh dilayari melalui link di bawah atau ditempatkan dalam Ruangan MATERIALS dalam blog ini.

Klik Link berikut:
 

Sunday, April 12, 2020

Kisah Wanita Bekerja Di Kilang Daging

Suatu hari, semasa dia hendak menyelesaikan tugasan harian, dia masuk ke bilik daging sejuk beku untuk memeriksa baki stok bekalan daging, akan tetapi nasib nya tidak baik, tiba-tiba pintu bilik sejuk itu tertutup dan dia terkunci dari dalam tanpa apa-apa alat untuk membantunya.

Dia berusaha menolak pintu bilik sejuk namun tidak berganjak, pintu setebal 10 inci itu terlalu utuh baginya. Walaupun dia menjerit dan mengetuk pintu sekuat hati, tiada seorang pun yang dapat mendengarnya. Dia mulai panik. Kebanyakan pekerja sudah lama pulang, dan adalah mustahil untuk mendengar apa-apa di dalam bilik sejuk pada kawasan di luar bilik sejuk.

Satu jam berlalu dia mencari apa-apa alat yang dapat membantunya keluar namun sia-sia, dalam bilik itu hanya terdapat daging semata-mata, badannya semakin lemah kerana kesejukan.

Tiga jam kemudian dia semakin hampa, badannya semakin lemah dan suhu badannya turun mendadak. Muka semakin pucat, tangan menggeletar nak berdiri pun tak mampu.

Lima jam kemudian, dia mula berfikir akan mati kesejukan dalam bilik sejuk itu, air matanya menitis memikirkan nasibnya, adakah begini cara kematiannya? Nafasnya mula tercungap-cungap, sedang dia dalam helaan nafas kematian, tiba-tiba tuppp.....terdengar pintu bilik terbuka, seorang security guard di kilang tersebut membuka pintu bilik sejuk itu. Nasib nya baik kerana dia terselamat dari kematian pada hari itu.

Pak guard terkejut melihat wanita itu terbaring kaku kesejukan, lantas membawanya keluar dan menyelimutinya.

Beberapa ketika, setelah itu, perempuan itu pun bertanya pada pak guard itu bagaimana dia boleh membuka pintu bilik sejuk itu walaupun ia bukan rutin pekerjaan hariannya.

Pakcik itu menjawab : "Saya telah bekerja di kilang ini selama 35 tahun, dan terdapat ratusan pekerja keluar dan masuk setiap hari, tetapi kamu adalah segelintir yang akan menyapa saya pada sebelah pagi dan akan menyapa selamat tinggal kepada saya pada sebelah malam setiap hari kamu meninggalkan kerja. Kebanyakan dari mereka melayan saya seperti saya tidak pernah wujud.

Hari ini, sebagaimana kamu bila masuk ke kerja dan juga hari-hari sebelumnya menyapa saya dengan sapaan ringkas "Assalamualaikum". Tetapi malam ini selepas waktu kerja, saya berasa pelik kerana saya tidak mendengar sapaan "Bye. Jumpa lagi esok". Jadi, saya merasakan saya perlu check di sekitar kilang.

Setiap hari saya akan mengharap sapaan "salam" dan "bye" dari kamu kerana kamu mengingatkan bahawa saya masih seorang insan dan saya masih rasa dihargai oleh seseorang. Dengan tidak mendengar ucapan selamat tinggal hari ini, saya dapat mengagak mungkin ada sesuatu yang telah terjadi.

Sebab itu, saya mencari kamu di merata tempat. Syukurlah Allah telah menggerakkan hati saya untuk memeriksa bilik sejuk itu, sebab saya pernah melihat kamu di situ, dan saya bertindak dengan naluri yang Allah cetuskan, kalau ikutkan logik memang tidak masuk akal, tambah lagi tengah malam begini.

Wanita itu sujud syukur kerana Allah masih meminjamkn nyawa padanya.

Pengajaran untuk diri:
Jadilah seorang yang merendah diri, penyayang dan hormat pada setiap individu di sekeliling. Cubalah untuk memberi kesan kepada setiap orang yang melalui perjalanan hidup dengan anda, kerana anda tidak tahu apa akan terjadi di masa depan. Biarlah cerita ini menjadi satu inspirasi. Tak hilang bisa ular yg menyusuri akar!!!




Monday, March 23, 2020

LATIH TUBI MATEMATIK

Susulan penutupan  sekolah berikutan Arahan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung Covid-19, di sini disertakan bahan latih-tubi Matematik bagi membantu murid-murid Tahun 6 mengulangkaji pelajaran masing-masing terutamanya yang akan menghadapi UPSR 2020.

Semoga latihan ini sedikit sebanyak dapat membantu murid-murid mengisi masa terluang mereka dengan aktiviti berfaedah.


Bahan boleh di muat turun di sini:






Tuesday, July 30, 2019

APA ITU SABAR?

Apa itu SABAR?

Okay. Sabar tu ialah....

Ia hanya perkataan yang ringkas yang memberi impak yang besar pada diri manusia. Sifat ini berjaya "memandu" tindakan manusia dalam kehidupan seharian..

Nak tahu tak apa bukti orang yang ada sifat sabar ni?

Okay.

Bayangkan, seorang guru mampu terus menjadi guru walaupun berhadapan dengan berbagai karenah pelajar.

Ibubapa, mampu besarkan anak-anak yang ramai.. Walaupun masa kecil, anak-anak sangat nakal dan tak dengar cakap ibubapa mereka.. Allahu.

Dengan sifat sabar juga, hubungan persahabatan terus berkekalan walaupun kita selalu diuji dengan sikap kawan yang membuat kita sakit hati.

Dengan sabar, ramai manusia mampu berjaya menjadi orang hebat kerana berjaya lalui pelbagai kesusahan ketika menuntut ilmu.

OK,

Cuba bayangkan kalau sifat sabar ni dah langsung takde dalam diri manusia, apa akan jadi? Persoalannya bagaimana??

:-) Tanpa sifat sabar, bilangan guru pasti akan berkurangan betul tak?

Sebab ramai tak sanggup jadi cikgu terpaksa melayan pelbagai ragam anak murid mereka.

Anak-anak kecil juga pasti akan terbiar kerana kurangnya kasih sayang ibubapa yang takde sifat sabar.

Persahabatan? Hubungan persahabatan juga pasti akan porak peranda kerana dah takde kawan yang mampu bersabar dgn sikap kita.

P/s : Hargailah sahabat anda sebelum mereka meninggalkan kita. Bimbinglah sahabat ke jalan Allah. Sekiranya sahabat anda berada di neraka tarik mereka. Tarik mereka supaya sama-sama masuk syurga

Kalau takde sifat sabar juga, pasti tiada orang yang lebih hebat, sebab tak sanggup menghadapi kesukaran ketika kita belajar.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :-

"Maka bersabarlah ( Wahai Muhammad terhadap ejekan yang kafir itu ) , dengan cara kesabaran yang sebaik-baiknya. (Surah Al Ma'arij ayat 5)

Ayat yang sering kita lempar bila sedih atau marah ia juga boleh memberikan motivasi pada kita. Memang, kita rasa sabar ini sesuatu yang sangat perit hingga kadang-kadang tu kita asyik mengeluh " asyik sabarrrr jeeee, penat lahhh !! " .

Tahu tak kamu semua, apabila kita bersabar, kita dianugerahkan rasa yang tak semua dapat rasa, iaitu ketenangan. Percayalah, dengan adanya sifat sabar dalam keadaan tak sedar, kita telah selamatkan banyak hubungan persahabatan daripada terputus, dengan sifat sabar kita boleh hidup aman damai sehingga sekarang dan dengan sifat sabar ni juga kita menjadi seorang yang matang dan lebih dewasa. Nampak tak? Betapa besarnya impak sabar dalam kehidupan kita kan?


- facebook ustaz

Friday, November 16, 2018

Jauhi Dari Fitnah

Saya terbaca kisah seseorang yang memfitnah, lalu dia menyesal dan bertemu dengan orang tersebut dan ingin memohon maaf.

Lalu orang kena fitnah itu berkata... "dengan syarat, esok kamu datanglah ke rumahku dan bawalah penyapu bulu ayam".

"Dalam perjalananmu datang itu, kamu cabutlah bulu-bulu ayam itu sampai habis". Si Fitnah itu merasa pelik untuk apa perbuatan itu tapi tetap melakukannya kerana niat ingin memohon maaf. Lalu dia melakukannya hingga sampai ke rumah orang yang dia fitnah tersebut.

"Wahai tuan….aku telah buat seperti yang tuan suruh. Hanya tinggal rotan saja, bulu-bulu ayam itu aku cabut dan buang sepanjang perjalanan datang tadi. Apakah tuan telah memaafkan saya?"

Orang yang kena fitnah itu berkata..."nanti bila kamu balik...kutip kembali bulu-bulu ayam yang kamu buang tadi dan bawa pada ku esok". Si Fitnah itu bertambah pelik. Tadi suruh buang, kini suruh diambil kembali. Tapi kerana ingin memohon maaf lalu dia melakukannya.

Keesokan hari dia berjumpa dengan orang yang kena fitnah itu. "Tuan...saya hanya mampu kutip 2..3 helai saja daripada banyak yang aku telah buang. Semua telah di terbangkan angin entah ke mana".

Lalu orang yang kena fitnah itu berkata.... "BEGITULAH DENGAN FITNAH yang kamu lakukan pada ku. Orang yang mendengar akan menyebarkan hingga ia sampai entah kemana. Jika kamu ingin menarik kembali kamu tidak akan berdaya...ia tersebar dan terus tersebar".

"Aku maafkan kamu. Bertaubatlah...lakukanlah apa yang harus kamu lakukan.
Nah.... itulah DOSA JARIAH ....dosa fitnah terus berjalan disaat ia tersebar dan tersebar. Hingga tunggulah bala dunia atau azab akhirat yang akan menimpa".

Pada si pelaku... USAHALAH... temuilah orang-orang yang kau sebarkan fitnah untuk membetulkan kembali maruah orang yang difitnah.

Wallahua’lam...renungkanlah sebelum ajal datang menjemput, bertaubatlah sebelum kamu meninnggal..ingat siksa neraka..kalau ALLAH tak balas balasan kamu di dunia, di akhirat pasti ada balasanya.

Tuesday, April 4, 2017

Berjalan Kaki 2 Jam Setiap Pagi Untuk Ke Sekolah

Seperti pelajar-pelajar lain di Pulau Banggi, Kudat, Sabah, Nawi mengambil keseluruhan masa perjalanan sebanyak 4 jam sehari untuk pergi dan pulang sekolah.

Sudah menjadi kebiasaan pelajar di sini merentas belantara seorang diri.

Kenapa dia tidak berkasut? (berkaki ayam seperti di dalam gambar)

Kasut adalah satu kemewahan untuk pelajar di sini. Ia sukar didapati melainkan dengan bantuan sekolah.

Jadi untuk memanjangkan hayat kasut tersebut, kebanyakan pelajar di sini akan menanggalkan kasut dan berkaki ayam sepanjang perjalanan pergi dan pulang.

Bagi mereka, kasut hanya layak dipakai di sekolah.

Saya rasa tiada semangat anak-anak di bandar yang dapat dibandingkan dengan semangat anak-anak di sini.

Kemiskinan dan kesukaran perjalanan tidak pernah melunturkan semangat mereka untuk menuntut ilmu.

Boleh anda bayangkan berjalan kaki dalam kegelapan seawal jam 5 pagi untuk ke sekolah?



Sumber -  borneodihati

Monday, December 19, 2016

Perlunya Membersihkan Fikiran

Mungkinkah selembar daun yang kecil dapat menutupi bumi yang luas ini?

Menutupi telapak tangan saja mungkin juga sulit.

Tapi kalau daun kecil ini menempel atau melekat di mata kita, maka tertutuplah bumi.

Begitu juga bila diri kita ditutupi pikiran buruk sekecil apapun, maka kita akan melihat keburukan di mana-mana.

Bahkan bumi ini pun akan tampak buruk.

Jangan pernah menutup mata kita, walau hanya dengan daun yang kecil.

Jangan menutupi diri kita dengan sebuah fikiran buruk, walau hanya seujung kuku.

Bila diri kita tertutup, maka tertutuplah semua.

Air yang banyak di lautan luas yang dalam takkan pernah menenggelamkan sebuah perahu kecil yang ada di atasnya, kecuali kalau air itu mulai masuk ke dalam perahu.

Demikian juga dengan hidup ini; gosip, fitnah dan segala penilaian negatif akan selalu ada di sekeliling kita.

Namun semuanya itu takkan sanggup menenggelamkan kita, kecuali kita membiarkan semua itu masuk ke dalam fikiran kita.

Menjaga fikiran itu bukanlah tanggung jawab orang lain, melainkan adalah tanggung jawab kita masing-masing.

Kita tidak boleh menyalahkan orang lain untuk setiap masalah yang hadir dalam hidup kita bila kita sendiri tidak bertanggung jawab, karena sudah membiarkan “sampah” masuk dan mengotori hidup kita.

Kita harus menyaring apapun yang masuk melalui fikiran kita sebagai pintu gerbangnya. Bila fikiran kita BAIK, maka akan terasa nyaman hidup kita. Insyaallah semoga kita sentiasa diberikan kebaikan olehNya.

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi