Sunday, March 31, 2013

Penandaarasan: Hari Pertama Di SK Sultan Sulaiman II, Kuala Terengganu

Alhamdulillah, hari ini Ahad 31 Mac 2013 adalah hari pertama saya menjalani Program Penandaarasan di SK Sultan Sulaiman II, Kuala Terengganu di bawah Kursus Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL). Program Penandaarasan ini mengambil masa selama dua minggu yang akan berakhir pada 11 April 2013. Terima kasih diucapkan kepada pihak sekolah terutama Tuan Guru Besar iaitu En. Mohd Kaman bin Awang, dimana penerimaan dan sikap positif yang ditunjukkan  atas kedatangan saya ke sekolah tersebut. Terima kasih juga kepada seluruh warga SK Sultan Sulaiman II atas kerjasama yang diberikan.

Di hari pertama ini saya telah menyertai perhimpunan mingguan yang diadakan di dewan sekolah. Antara petikan ucapan Tuan Guru Besar dalam perhimpunan tersebut, beliau menyatakan bahawa SK Sultan Sulaiman II adalah antara sekolah yang tercalon sebagai sekolah kluster. Dalam perbincangan saya dengan Tuan Guru Besar seterusnya, beliau sendiri menyatakan bahawa gaya kepimpinan yang menjadi amalan adalah berlandaskan kepimpinan instruksional. Di samping itu beliau menyatakan amalan kolektif, demokratis menjadi sandaran dan berperanan dalam mengurus organisasi yang  beliau pimpin. Beliau juga berharap warga SK Sultan Sulaiman II dapat menginjak pemikiran dan budaya kearah yang lebih cemerlang dan dapat menerima konsep-konsep baru dalam menjana laluan sebagai sekolah kluster dengan slogan “Bersama Menggenggam  Laluan Kluster”.

  Murid-murid berhimpun di dewan sekolah

 
  Guru Besar berucap semasa perhimpunan

  Guru Besar menyampaikan taklimat kepada guru-guru
selepas sesi perhimpunan

Friday, March 29, 2013

Renungan: Adakah Kita Orang Mukmin Atau Orang Islam

Istilah Islam, mukmin dan taqwa ini sering atau kerap kita dengar. Walaupun secara umumnya ia berkaitan dengan orang yang beragama Islam, namun maksudnya tidak sama. Terdapat perbezaan di antara orang Islam, orang mukmin dan orang bertaqwa.

Orang yang masuk agama Islam tidak dikatakan masuk iman atau dikatakan orang mukmin. Orang yang masuk Islam tidak diistilahkan sebagai orang beriman.

Lebih-lebih lagi dia tidak dikatakan orang yang bertaqwa. Istilah yang dipakai ialah dia orang Islam atau muslim. Secara umumnya, itulah umat Islam. Mereka tidak dikaitkan dengan iman dan taqwa. Iman dan taqwa adalah perkara yang berbeza.

Iman dan taqwa sangat mahal. Tidak mudah untuk mendapat iman dan taqwa. Untuk menjadi orang Islam, mudah. Cukup dengan bersyahadah sahaja. Namun dengan sekadar bersyahadah, seseorang itu tidak boleh dikatakan orang mukmin atau orang bertaqwa. Dia baru Islam. Bagaimana pun seorang yang bersyahadah tidak boleh dikatakan kafir. Kalau dia sembahyang, puasa, naik haji dan berjuang, tentulah dia orang Islam.

Untuk menjadi orang Islam, itu mudah tetapi untuk menjadi orang mukmin, susah. Untuk menjadi orang bertaqwa lebih lagi susah. Sebab itu masuk sahaja agama Islam, dia dikatakan Islam atau muslim tetapi tidak dikatakan mukmin atau taqwa.

Di antara orang mukmin dengan orang Islam sangat jauh bezanya.

1.       Kalau kita hendak buat misalan, bolehlah kita kata Islam itu ibarat sebuah taman yang indah, yang di dalam taman itu ada pokok buah-buahan, bunga-bungaan dan sayur-sayuran.

Orang yang masuk Islam itu sebenarnya baru masuk dan berada di pintu taman itu. Dia baru ambil tiket untuk membolehkan dia menjelajah taman. Syahadah itu ibarat tiket semata-mata. Dia masih belum tahu apa lagi yang ada di dalam taman itu. Sedangkan dalam taman itu ada bermacam-macam keindahan. Ada keindahan rasa, keindahan akal, keindahan pandangan dan pendengaran dan lain-lain.

Orang mukmin itu, dia sudah menjelajah taman. Dia sudah melihat keindahan taman. Orang bertaqwa pula, dia sudah makan dan merasa semua buah-buahan dan sayur-sayuran dalam taman itu. Maka orang bertaqwalah yang paling tinggi.

2.       Kalau hendak dicontohkan lagi, Islam adalah ibarat kulit buah iaitu benda luar, benda lahir atau benda yang nampak. Iman adalah isinya manakala rasa isi itu adalah taqwa. Soal isi dan rasa, itu soal batin atau soal rohaniah. Kulit buah itu ibarat Islam, seperti syahadah, sembahyang, puasa, zakat dan haji. Mungkin tambah lagi dengan sedekah, belajar dan lain-lain. Ia adalah kulit.

Kalau kita hendak beli buah, adakah kita hendak makan kulit atau isi? Tentulah isi. Tetapi perlu ingat, kalau kulit cacat kita tidak akan beli buah itu walaupun bukan kulit yang hendak dimakan. Kalau kulit tidak elok, kita tidak beli. Tetapi ada juga buah yang kulitnya cantik dan elok tetapi di dalamnya ada ulat. Kalau kulit baik, belum tentu isinya baik, tetapi kalau kulit rosak sudah tentu, confirm yang di dalamnya rosak. Tidak semestinya kulit yang elok menggambarkan isi yang elok. Begitu juga tidak semestinya kulit yang elok menggambarkan rasa isi yang sedap. Katalah isi elok, namun belum tentu rasanya sedap. Kalau isi elok, boleh dimakan tetapi belum tentu rasanya sedap. Isi elok, itu tafsiran orang mukmin. Rasa sedap, itu tafsiran orang bertaqwa.

Beza antara orang Islam dan orang mukmin terlalu jauh. Kalau wujud ciri mukmin maka secara automatik ciri Islam itu wujud. Namum, kalau ciri Islam wujud pada seseorang, belum tentu ciri mukmin juga ada. Kerana itu iman perlu dicari. Iman itulah taqwa. Tidak cukup jadi orang Islam sahaja tetapi mesti menjadi orang mukmin (bertaqwa).

Iman adalah hakikat dan Islam adalah syariat. Iman bersifat rohaniah dan Islam bersifat lahiriah. Yang Tuhan akan nilai di Akhirat nanti ialah iman. Yang Tuhan akan nilai adalah hakikatnya. Hakikat bertapak pada roh atau hati. Hatilah yang Tuhan akan nilai, bukan soal-soal lahir. Namum, kedua-duanya mesti  dibuat. Tetapi keutamaannya adalah pada hati. Orang mukmin dijamin masuk Syurga sedangkan orang Islam tidak dijamin sedemikian.

Ada satu cerita di zaman Rasulullah SAW. Seorang Arab Badwi masuk Islam. Apabila bertemu dengan Rasulullah, dia berkata kepada baginda,”Wahai Rasulullah, saya sudah beriman.” Terus Rasulullah menegur,” Jangan katakan kamu sudah beriman. Katakanlah sahaja kamu sudah Islam.”

Ertinya untuk dapat iman adalah susah. Untuk menjadi Islam, itu mudah. Syahadah sahaja, sudah Islam. Di sinilah kita lihat mengapa umat Islam masih jahat walaupun ibadah banyak. Ibadah banyak menggambarkan kulit atau syariat Islam. Ibadah tidak semestinya menggambarkan iman dan taqwa.

Katalah seseorang itu sembahyangnya banyak, puasa sunatnya banyak, rajin mengaji dan berjuang tetapi dalam masa yang sama dia berbohong, rasuah, hasad dengki, tidak ada kasih sayang dan tidak pedulikan orang. Islamnya hebat. Syariatnya pun hebat. Tetapi cacatnya terlalu banyak. Itu petanda hatinya belum benar-benar beriman dan bertaqwa.

Wallahu a'lam.

Wednesday, March 27, 2013

Perkongsian Pintar Bersama Zoom-A

Bertugas di daerah Kuala Terengganu tapi atas rasa ingin menambah pengetahuan dan komited sebagai Fasilitator Pembelajaran Interaktif Melalui Internet Zoom-A, saya telah menghadiri taklimat Perkongsian Pintar Bersama Zoom-A anjuran oleh PPD Marang kepada guru-guru sekolah daerah Marang, pada 27 Mac 2013 bertempat di Institut Latihan Perindustrian Marang,  Bukit Parit, Marang, Terengganu.


Bermula 2004 sehingga kini, saya melihat laman Program Pembelajaran Interaktif Melalui Internet Zoom-A telah melalui pelbagai penambahbaikan untuk digunakan dalam menjana kecemerlangan proses pengajaran dan pembelajaran selaras kemajuan ICT sekarang ini.

Saya melihat sekiranya program ini digunapakai secara maksimum ia dapat memberi tambah nilai dalam memperkasakan pendidikan khususnya kepada pendidikan negeri Terengganu, memandangkan kebanyakan murid-murid negeri Terengganu telah dibekalkan e-book mereka masing-masing.

Di dalam program ini terdapat 350 000 pelbagai aras soalan topikal dari Tahun 1 hingga Tahun 6 dan UPSR. Malah program ini juga membekal instrumen PBS untuk Tahun 1 hingga Tahun 3 bagi mempermudahkan guru-guru menjana pembelajaran murid-murid. Di samping itu, program ini juga membekalkan perpustakaan digital, laman web dan emel bagi setiap guru dan murid yang berdaftar.



Semoga platform yang tersedia ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh guru dan murid kearah kecemerlangan selari dengan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia yang hendak memartabatkan pendidikan melalui penggunaan ICT.

Info berkaitan Pembelajaran Interaktif Melalui Internet Zoom-A juga boleh dibaca dengan mengklik intri berikut: Pembelajaran Interaktif Zoom-A




Monday, March 25, 2013

Kerajaan Terus Beri E-Book Kepada Pelajar Seluruh Terengganu

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan terus memberikan bantuan pembelajaran berupa E-Book kepada pelajar sekolah kebangsaan di negeri ini selain mempertingkatkan keupayaan program tersebut dalam kalangan murid.

Menegaskan demikian, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata pada masa ini syarikat Top-IT, sebuah pengeluar e-Book dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sedang berbincang untuk menyediakan program pembelajaran sains dalam bentuk animasi.

"Kita akan masukkan program pendekatan baharu dalam E-Book itu membabitkan pembelajaran sains dalam bentuk animasi bagi memudahkan murid sekolah rendah lebih memahami dan sekali gus pembelajaran lebih menyeronokkan.

"Ini kerana program animasi lebih mudah difahami dan jika semuanya berjalan lancar, program animasi itu akan diprogram dalam E-Book pada akhir tahun ini atau awal tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan E-Book kepada 741 murid tahun 4 Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Buruk di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Razali Ismail di sini Ahad.

- BERNAMA

Friday, March 22, 2013

Gambar: Peserta Kursus NPQEL Kumpulan SRU3 Ambilan Pertama 2013

Klik pada gambar untuk kelihatan lebih jelas.

Kursus NPQEL (Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan) banyak memberi input baru dalam melahirkan pemimpin sekolah yang hebat dalam mengurus organisasi mereka. Tentunya input-input yang diperolehi ini lebih mudah dilaksanakan atau lebih berkesan andai mereka yang ikhlas dan komited dengan amanah, diberi ruang dan peluang menjawat jawatan yang bersesuaian. Buat rakan-rakan peserta kursus yang kebanyakan berjawatan Penolong Kanan, kalian berpeluang cerah membuktikan input-input dari kursus NPQEL ini dilaksanakan kerana kalian mempunyai mandat dan integriti menjayakannya. Namun bagi saya, kursus yang dihadiri tidak menjanjikan kenaikan pangkat, hanya sekadar menimba ilmu dan memantapkan lagi amalan bidang pendidikan saya.

Buat rakan yang sedang menjana laluan sebagai pemimpin sekolah, seorang pengetua atau guru besar perlu mempunyai cita-cita dan sentiasa mencari idea-idea baru untuk meningkat proses pengurusan dengan lebih bekesan. Sekolah perlu kepada seorang pemimpin yang berjiwa besar, semangat dan cita-cita tinggi kerana kepemimpinan sekolah adalah begitu kompleks. Sebahagian besar inputnya adalah manusia. Manakala outputnya juga adalah manusia, tidak seperti firma atau kilang-kilang yang mengeluarkan produk yang berupa barangan. Pemimpin sekolah terpaksa berhadapan dengan kerenah guru-guru pimpinannya dan pelajar-pelajar sebagai sasarannya. Disekelilingnya adalah masyarakat yang sentiasa melihat pekembangan pengajaran dan pembelajaran di sekolah melalui anak-anak mereka. Maka, sebagai seorang pemimpin sekolah, terpaksa berhadapan dengan tiga dimensi, guru dan kakitangan sokongan, murid dan masyarakat.

Semoga kalian semua dapat merealisasikan amalan-amalan dan ilmu yang diperolehi untuk manfaat di sekolah khususnya dan seterusnya membangunkan amalan pendidikan Malaysia ke peringkat yang cemerlang dan mampu untuk dibanggakan. Jadilah pemimpin sekolah yang mempunyai sikap yang baik/positif, berkemahiran dan berilmu.

 

Renungan: Kenali Diri Siapa Sebenarnya Kita


Siapa sebenarnya kita? Mengakukah kita ini sebagai hamba bagi Tuhan Yang Maha Mencipta. Seseorang hamba itu mesti pula merasakan dirinya hamba yang sifatnya mesti dibawa ke mana-mana. Apakah rasa sifat kehambaan itu?  Sifat-sifat hamba itu terlalu banyak. Antaranya ialah rasa malu, rasa takut, rasa hebat kepada ALLAH, rasa kurang, rasa lemah, rasa harap, rasa bersalah, rasa hina dan rasa diri selalu diawasi. Bila sifat ini dapat menjadi pakaian hati maka dengan sendirinya akan terkikislah rasa ketuanan, lebih-lebih lagi rasa ketuhanan. Sebab manusia yang berjuang dan berjihad, berkuasa, berpangkat besar dan pandai, kalau rasa kehambaan ini tiada, maka dia akan rasa dirinya tuan. Bila ada rasa ketuanan, dirinya akan rasa angkuh, sombong dan ego. Dia akan merempuh siapa saja yang hendak dirempuh; menyalahgunakan kuasa, berani melakukan bermacam-macam lagi keangkuhan, keingkaran, kedurjanaan dan kemungkaran di atas muka bumi ini. Tetapi sebaliknya kalau rasa kehambaan ini bertapak di hatinya, dia tidak akan melakukan kesalahan dan kesilapan kerana dia mendapat pimpinan dari ALLAH SWT. Maka kuasa yang ada di tangannya dijadikan alat untuk berbakti kepada ALLAH, harta yang banyak dijadikan alat untuk dikorbankan pada perintah ALLAH. Begitu juga dengan tenaga, ilmu pengetahuan  dan ftkiran akan dihalakan atau digunakan untuk ALLAH SWT.

Semuanya ini akan menyelamatkannya di dunia dan di akhirat. Rasa kehambaan ini boleh membentuk keperibadian kita selaras dengan kehendak Al-Quran dan Sunnah. Rasa malu, jika dapat dibawa ke mana-mana, akan dapat menjadi perisai diri daripada melakukan dosa. Rasa malu juga akan menghalang manusia daripada menyalahgunakan nikmat ALLAH, dan bertindak sewenang-wenangnya. Malah dengan rasa malu kita  akan redha dengan ketentuan Allah dan akan bersabar bila berhadapan dengan ujian-ujianNya. Rasa takut dan hebat kepada ALLAH jika diresapkan ke dalam jiwa akan menghindarkan seseorang hamba (manusia) daripada melakukan dosa. Ini akan menjadi pendorong kuat bagi seseorang untuk melakukan kebaikan dan sekaligus menghilangkan rasa hebat dengan diri sendiri. Rasa lemah diri jika ada pada seseorang hamba pula akan mengikis rasa diri lebih dari orang lain, rasa diri berkuasa, lebih kuat, lebih gagah yang dengan itu akan menimbulkan sifat takbur dalam pergaulan kerana dia sering memandang rendah  pada orang lain. Dirasakan orang lain bodoh dan dia sahaja yang bijak, dia sahaja yang mampu melaksanakan apa jua kerja atau tugas. Rasa harap yang  ada di dalam hati seorang hamba akan menghilangkan perasaan putus asa dan kecewa dalam hidup. Dia akan sentiasa yakin bahawa suatu ketika nanti ALLAH pasti membantunya.

Firman ALLAH:  Jangan engkau termasuk orang- orang yang putus harapan (dari   rahmat   ALLAH). Firman Allah : Orang  yang putus harapan dari rahmat Allah  itu hanya orang yang  sesat. (Al  Hijr:  56)

Rasa diri serba kekurangan akan dapat menghilangkan rasa ujub, takbur, sombong, ego, rasa luar biasa pada kebolehan dan kemampuan diri sendiri serta rasa diri ada kuasa. Sedangkan walau bagaimana besar sekalipun kuasanya, hakikatnya dia tidak berkuasa. Kerana kuasa itu ALLAH yang beri. Bila-bila masa saja ALLAH boleh  menghapuskan sifat ‘keakuan’ yang menjadi punca kepada persengketaan dalam  masyarakat. Rasa bersalah jika sentiasa beitapak dalam jiwa dan dibawa ke mana-mana akan menghilangkan  rasa diri suci atau diri bersih dari dosa. Sebaliknya akan timbul rasa ingin bertaubat kepada ALLAH SWT. Sedangkan sebagai manusia biasa, kita tidak dapat tidak mesti terlibat dengan dosa. Sama ada dosa besar atau kecil, dosa lahir mahupun batin, secara sedar atau tidak. Oleh itu rasa diri bersih daripada dosa adalah sikap yang bahaya kerana ini akan menjerumuskan kita ke dalam Neraka. Jangan anggap orang lain sahaja yang kotor, yang berdosa dan yang bersalah sebaliknya kita tidak. Kita tidak boleh mengaku diri kjta sahaja yang bersih, tidak berdosa dan tidak bersalah. Ini bukan sifat seorang hamba. ALLAH mengingatkan kita dalam Al-Quran:Apakah kamu tidak dapati orang yang menganggap diri bersih? Bahkan sebenamya ALLAH yang membersihkan sesiapa yang Ia kehendaki. (An Nisa’: 49)

Ayat ini jelas menunjukkan hanya ALLAH yang layak membersihkan diri kita dan siapa yang Ia kehendaki. Kita tidak boleh sekali-kali mengaku diri sudah bersih dan tidak berdosa.

Rasa hina jika dimiliki boleh menghilangkan sifat-sifat kibir, sombong, ego atau angkuh. Sombong dan angkuh boleh merenggangkan rasa ukhuwah dan persaudaraan. Ia juga akan berani melakukan penyelewengan dengan nikmat yang ALLAH telah kurniakan kepadanya. Dia akan menyalahgunakan kuasa dan harta, tidak boleh ditegur, tidak boleh  menerima kebenaran kerana terasa dirinya ada kelebihan. Satu lagi rasa kehambaan yang mesti ada dalam hati manusia ialah merasa diri sentiasa diawasi oleh ALLAH. Firman ALLAH:  Sesungguhnya ALLAH S.W.T itu atas tiap-tiap sesuatu sentiasa  memerhati. (Al Haj: 17)

Sifat ini juga jika dapat ditanam di dalam jiwa akan dapat melahirkan rasa takut untuk membuat kesalahan, takut berlaku cuai, takut melakukan dosa dan takut untuk derhaka kepada ALLAH S.W.T. Inilah antara rasa-rasa kehambaan yang patut bertapak dalam hati seorang hamba. Rasa-rasa kehambaan ini mesti selalu disuburkan kerana dengan itu sahajalah kita dapat berbakti dan tunduk kepada ALLAH  S.W.T dalam ertikata  yang sebenarnya.  Inilah yang dikehendaki oleh Rasulullah dalam Sabdanya: Hendaklah kamu takut kepada ALLAH dimana sahaja kamu berada. (Riwayat  Ahmad, At  tarmizi  dan Al Baihaqi)

Firman   ALLAH:  Orang-orang  yang sentiasa  mengingati ALLAH ketika berdiri,  duduk dan berbaring. (Ali Imran: 191) Rasulullah SAW telah bersabda:  Hendaklah kamu menyembah ALLAH seolah-olah kamu melihat-Nya, tetapi jikalau kamu tidak dapat melihat ALLAH maka hendaklah kamu rasakan bahawa ALLAH sedang melihat kamu. (Muslim)

Wassalam.

Monday, March 18, 2013

KENYATAAN AKHBAR KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SPM TAHUN 2012

Majlis Pengumuman Analisis Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 akan diadakan pada hari Khamis, 21 Mac 2013 pada jam 9.00 pagi di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya.

Peperiksaan bertulis SPM 2012 telah diadakan dari 5 November hingga 6 Disember 2012. Seramai 472,541 orang calon telah menduduki SPM di 3,590 buah pusat peperiksaan di seluruh negara. Seramai 30,239 orang petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar dan keputusan dapat diumumkan seperti dijadualkan.

Butiran calon adalah seperti jadual di bawah:
 Calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas jam 10.00 pagi pada hari yang sama, manakala calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos.

Calon-calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan SPM 2012 melalui mySMS 15888. Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula jam 10 pagi, 21 Mac 2013 dan akan ditamatkan pada 11.59 malam, 27 Mac 2013.

- Lembaga Peperiksaan KPM

Friday, March 15, 2013

Pekeliling Penambahbaikan Jadual Gaji Minimum - Maksimum


Selaras dengan hasrat bagi meningkatkan produktiviti kerja penjawat awam, Kerajaan bersetuju menambah baik struktur JGMM bagi Kumpulan Pelaksana, Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pengurusan Tertinggi di bawah SSM 2012.

Pekeliling perkhidmatan ini bertujuan melaksanakan keputusan Kerajaan mengenai penambahbaikan struktur Jadual Gaji Minimum - Maksimum (JGMM) bagi pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM).
 
Muat turun pekeliling berkaitan di sini : PekelilingPerkhidmatan Bil. 2/2013

Monday, March 11, 2013

Kakitangan Awam Dapat Satu Kenaikan Gaji Tahunan

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini bersetuju untuk memberi semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak satu kenaikan gaji tahunan (KGT) yang diawalkan pada 1 Julai 2013, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata ini bermakna setiap penjawat awam akan mendapat kenaikan antara RM80 hingga RM320.

"Langkah itu akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion," katanya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-13 bertemakan 'Transformasi Perkhidmatan Awam, Merealisasikan Wawasan 2020', di sini.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa serta menteri-menteri Kabinet.

Najib berkata semua inisiatif yang diumumkan merupakan sebahagian daripada sistem saraan baru yang akan dikenali sebagai Sistem Saraan Transformatif (STI).

Perdana Menteri juga berkata berkuatkuasa 1 Januari 2013 semua struktur gaji maksimum dalam jadual Gaji Minimum-Maksimum akan diperuntukkan tambahan kenaikan gaji tahunan sebanyak tiga KGT.

"Ini bagi membolehkan seramai 182,434 pegawai yang berada di gaji maksimum mendapat faedah pergerakan gaji tahunan mulai tahun ini (2013) tertakluk kepada peraturan yang berkuatkuasa.

"Semoga inisiatif itu dimanfaatkan penjawat awam bagi meningkatkan motivasi mereka untuk terus memberi sumbangan kepada negara," katanya.

Najib berkata sekiranya tiada pelarasan gaji atau semakan dibuat, dalam memastikan penjawat awam sentiasa berprestasi tinggi dan berproduktiviti, kerajaan turut bersetuju Pergerakan Gaji Khas sebanyak tiga peratus diberikan kepada pegawai yang mencapai dan berada di gaji maksimum tertakluk memenuhi syarat pergerakan gaji tahunan termasuk syarat prestasi yang ditetapkan.

Perdana Menteri turut menyampaikan berita gembira kepada pegawai kontrak yang berjumlah hampir 50,000 orang yang tamat kontrak pada 31 Disember 2013 bakal disambung setahun lagi sementara kajian secara menyeluruh dilaksanakan.

- Bernama

Dulu Guru Bebas Corak Pelajar

Dulu guru ibarat nadi dan penyambung kehidupan masyarakat hingga profesyen itu diiktirafkan mempunyai kedudukan paling tinggi dan mulia.

Besarnya peranan dan jasa guru menyebabkan masyarakat tidak pernah mempersoalkan tindak tanduk guru dan mempercayai tindakan itu bertujuan demi kebaikan.

Malangnya, di tengah masyarakat hari ini yang menggelarkan diri mereka berfikiran terbuka, maju dan moden, peranan guru se­olah-olah semakin diperkecil dan dipertikaikan.

Guru kini bukan saja tidak diibaratkan lagi sebagai lilin yang menerangi kehidupan malah pelajar, ibu bapa mahupun masyarakat seperti galak menghentam dan menghukum golongan berkenaan.

Dilema guru yang semakin terikat dikhuatiri akan menimbulkan tekanan sekali gus mengganggu urusan perjalanan sistem pendidikan dan ilmu.

Pengetua Kirkby International College, Bismillah Abdul Kader berkata, guru perlu menganggap tekanan dihadapi sebagai satu cabaran kerjaya untuk mempertingkatkan lagi kualiti diri.

Beliau berkata, tekanan bukan saja akan berlaku dalam kalangan guru malah mana-mana kerjaya juga mempunyai cabarannya sendiri.

“Mereka yang berada dalam bidang perguruan cabarannya lain, yang berada dalam kerjaya lain cabarannya juga berbeza.

“Kita tidak boleh elak namun sebagai guru, mereka perlu akur dan sematkan dalam diri bahawa inilah cabaran seorang guru yang mahu mendidik anak bangsa.

“Bukan senang kerana kita mendidik mereka yang bakal bergelar pemimpin. Tapi inilah bakti guru yang tidak pernah berubah biarpun zaman semakin jauh ke depan,” katanya.

Mengakui bahawa cabaran guru dulu dan kini berbeza namun dari segi tanggungjawab tetap sama.

“Tugas hakiki guru adalah memberi ilmu dan mendidik, inilah tanggung jawab mereka.

“Bezanya, cabaran dan sistem yang perlu berubah selari perubahan zaman, komposisi pelajar, permintaan dan piawaian dunia moden.

“Memang tidak adil jika kita membandingkan mereka kerana kedua-duanya hidup dalam zaman tidak sama,” katanya yang tidak menafikan guru dulu mempunyai kekentalan semangat yang tinggi untuk mendidik anak bangsa.

“Hasilnya, lihatlah bagaimana pelajar yang datang dari keluarga miskin atau tidak berpendidikan boleh berjaya,” katanya.

Guru hari ini, akuinya, semakin hebat berdepan tekanan kerana ada ibu bapa suka mencari sebab me­nyalahkan guru walaupun perkara remeh-temeh.

“Guru dulu biarpun keadaan prasarana kurang namun mereka mempunyai kebebasan mencorakkan pelajar. Ibu bapa pula beri sokongan ting­gi dan tidak ambil hati sekiranya anak dihukum.

“Sekarang, ibu bapa pula yang berlebihan mempertahankan tindakan anak (pelajar) apabila dihukum.

“Sudahlah tangan terikat dengan pelbagai peraturan dan kekangan, campur tangan ibu bapa menambah ‘kesengsaraan guru,” kata­nya.

Malah anggapan mengatakan kerjaya guru mudah, gaji menarik, banyak masa santai dan dianugerahkan cuti banyak sudah tidak relevan pada masa kini.

Katanya, bidang tugas guru hari ini terlalu banyak sehingga merangkumi kerja-kerja perkeranian selain senarai kursus perlu dihadiri.

“Jadi bagaimana mereka mahu fokus sedangkan lambakan tugasan lain juga banyak.

“ Percaya atau tidak, masa bagi guru sebenarnya tidak cukup 24 jam sehari apatah lagi dengan pengenalan pelbagai sistem sekarang malah ada berjaga hingga jam 2 pagi menyelesaikan tugasan,” katanya.

Beliau turut memuji lang­kah pelbagai pihak membantu menaikkan imej guru, sekali gus memperkasakan lagi sektor serta sistem pendidikan negara.

Menurutnya, penawaran pelbagai inisiatif sebagai mekanisme penghargaan kepada golongan itu.

“Kita tidak boleh membeli nilai bakti mereka tapi inisiatif ini boleh menjadi penawar atas bebanan ditanggung itu.

“Pada masa sama, berikan ruang kebebasan dan kepercayaan untuk guru mencorakkan idea bagi mendidik pelajar. Percayalah, mereka ada banyak idea tapi kerana kekangan, ia tersekat,” katanya.

Guru moden juga disarankan bijak menggabung­kan pelbagai idea untuk menjadikan sistem pembelajaran lebih seronok.

“Mereka perlu menjadikan konsep pembelajaran lebih menarik, efektif, kreatif dan kritis, bukannya statik.

“Guru juga perlu me­ngambil kira faktor perubahan persekitaran seperti sains dan teknologi kerana proses pendidikan bukan melalui buku semata-mata.

“Rugi jika tidak menggunakannya bagi meningkatkan lagi mutu pembelajaran dan pengajaran,” katanya.

Usaha melahirkan guru berkualiti juga katanya perlu dilaksanakan tanpa kompromi bagi memastikan ­pelajar dan sistem pendidikan memperoleh impak paling maksimum.

“Bagaimanapun, ini bukan bermakna mahu memperlekeh atau mempertikaikan kemampuan guru sedia ada. Mereka tetap yang terbaik.

“Cuma pastikan, mereka yang benar-benar mahu menjadi guru mempunyai azam tinggi serta mampu memberi komitmen terhadap tugas,” katanya.


Saturday, March 9, 2013

Kerajaan Tidak Bercadang Benarkan Calon SPM Ambil Lebih 10 Subjek

Pelajaran Malaysia (SPM) mengambil lebih daripada 10 subjek kerana ia tidak menepati matlamat sebenar Kementerian Pelajaran.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata matlamat sebenar adalah supaya pelajar lebih fokus pada subjek utama dan ia juga akan memudahkan guru membimbing mereka.

"Sebelum ini memang ada pelajar yang ambil sehingga 15 dan 20 subjek, tetapi sejak dua tahun lepas kita tidak benarkan lagi kerana mahu pelajar lebih fokus pada subjek utama. Setakat ini kita lihat okay (ambil 10 subjek sahaja)," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian pada Multaqa Guru Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Zon Utara di Universiti Sains Malaysia di sini Sabtu yang dihadiri kira-kira 2,300 guru agama.

Terdahulu, seorang guru mencadangkan kerajaan membenarkan calon SPM terutama dalam bidang Agama Islam mengambil lebih daripada 10 subjek supaya mereka boleh mengambil mata pelajaran dalam bidang Sains agar dapat membuat lebih pilihan untuk melanjutkan pelajaran.

Muhyiddin berkata perkara itu perlu dikaji secara terperinci kerana bimbang ia akan membebankan pelajar terutama untuk mendapatkan pendidikan bagi subjek tambahan.

"Kalau 10 subjek, mudah untuk guru kita membimbing dan mereka (pelajar) juga tidak perlu belajar di luar untuk mendapatkan pendidikan tambahan bagi subjek lain.

"Mungkin pelajar dalam bidang Agama Islam lebih terbatas kerana tidak boleh ambil subjek lain, ini kita akan teliti secara mendalam," katanya.

Kepada soalan mengenai kekurangan guru subjek Pendidikan Islam di sekolah sejak kebelakangan ini, Muhyiddin berkata beliau memang mengambil perhatian perkara itu dan ia turut dibincangkan di peringkat Kabinet bagi mencari jalan penyelesaian.

Katanya satu daripada usaha kementerian bagi mengatasi masalah itu bagi memastikan proses pembelajaran tidak terjejas ialah menghantar Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) berkursus dan mengisi kekosongan dengan segera..

"Bukan hanya guru Pendidikan Islam tetapi subjek lain juga, ini kadang-kadang berlaku kerana masalah guru-guru bersara," katanya.

- BERNAMA

Friday, March 1, 2013

Gambar: Kursus NPQEL 2013 di Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara

Bermula 17 Februari 2013 bermulalah Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) Ambilan Pertama 2013. Kursus telah dijalankan di tiga tempat iaitu di IAB Induk Pahang, IAB Cawangan Utara, Kedah dan IAB Cawangan Serawak.

Gambar-gambar berkaitan kursus NPQEL di IAB Cawangan Utara ini terutamanya bagi Kumpulan SRU3 boleh dilihat melalui RUANGAN GALERI yang terdapat di dalam blog ini atau mengklik tajuk berikut: GAMBAR AKTIVITI PESERTA KUSUS NPQEL 2013

Friday, February 22, 2013

Renungan: Cara Membaiki Diri

Tiada siapa yang dapat melepaskan diri dari musibah atau malapetaka atau kesusahan. Tidak kira samada manusia itu mukmin atau kufur. Itu juga merupakan bukti yang sangat jelas dan nyata bahawa Allah SWT itu Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu. Bagi manusia kufur sepatutnya mereka insaf dan sedar bahawa Allah SWT itu wujud dan berkuasa ke atas sekelian alam ini. Bagi orang beriman pula akan bertambah keimanannya kerana menyedari bahawa manusia ini lemah dan mesti tunduk kepada Allah SWT samada secara terpaksa mahupun sukarela.

Musibah atau malapetaka akan menambah dan meningkatkan iman orang mukmin kerana mereka semakin dapat melihat dengan hatinya betapa Allah SWT telah menzahirkan kekuasaanNya yang tidak mampu ditolak oleh sebarang makhluk termasuk manusia. Bertambah keinsafan, bertambah sabar, bertambah redha terhadap ketentuan Allah SWT dan akan bertambah pula rasa kehambaan seperti rasa takut, rasa malu, rasa lemah, rasa hina, rasa dhaif, rasa camas, rasa bimbang, dan rasa harap. Para mukmin juga akan menyedari bahawa musibah yang Allah SWT datangkan itu merupakan peringatan langsung daripada Allah SWT. Peringatan kepada manusia bahawa mereka sudah terlalu derhaka, lalai, banyak dosa, maksiat dan berbuat mungkar. Peringatan itu agar segera membaiki diri, bertaubat dan membuat perubahan. Itu baru kesengsaraan di dunia sernentara, betapalah andainya dihadapkan dengan azab hakiki iaitu neraka di akhirat.

Ujian dan musibah yang Allah SWT timpakan kepada para mukmin ada dua maksud:

Pertama:
Sebagai penghapusan dosa sekiranya dihadapi dengan sabar.

Kedua:
Bagi golongan yang tidak berdosa, ujian dan musibah itu sebagai meninggikan darjat di sisi Allah SWT. Hanya sebagai beradab dan menepati sebagai hamba walaupun tidak melakukan dosa, maka perlu dirasakan berdosa juga.

Setelah jelas kepada kita bahawa tiada siapa yang dapat menghindari dari ditimpa musibah, bukankah lebih baik menjadi orang mukmin yang ditimpa musibah berbanding menjadi kafir yang juga tidak dapat lari dari musibah. Banyak keterangan dari hadis-hadis Rasulullah SAW yang membawa erti iaitu musibah biar kecil sekalipun berpunca dari dosa yang dilakukan manusia. Ertinya setiap dosa, maksiat dan kemungkaran merupakan anak kunci terbukanya pintu musibah dan bencana yang Allah turunkan kepada manusia itu sendiri.

Umpama Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Tiada seseorang itu ditimpa musibah di hadapannya, di belakangnya, di kanannya, di kirinya, di atasnya dan di bawahnya melainkan berpunca dari dosa yang dilakukannnya.”

Apabila sesuatu musibah, bencana atau malapetaka itu didatangkan oleh Allah SWT yang sifatnya terlalu berat, menggerunkan, menyakit dan amat menyukarkan manusia, berpanjangan dan buntu dari penyelesaian, itu tandanya penduduk sesuatu tempat itu sudah terlalu melupai Allah SWT, banyak kezaliman, penindasan, dosa, maksiat dan kemungkaran sudah berlaku tanpa kawalan. Malah mereka berbangga pula dengan kemungkaran. Maksiat tidak disekat malah dipromosi dan digalakkan. Terutama sekali apabila pemimpinnya sangat zalim dan menindas, para ulamanya jahat dan mabuk dunia, orang kayanya bakhil dan perampas, orang miskinnya tidak sabar dan laiai, maka kemurkaan Allah SWT akan turun secara merata yang dirasai oleh semua golongan. Inilah punca sebenar mengapa kini tidak putus-putus umat Islam mengalami kesenosaraan dari berbagai bencana. Silih berganti, berpanjangan dan ada yang menggerunkan seperti kebuluran, peperangan, kemarau dan wabak penyakit. Bukan sahaja musibah itu menimbulkan berbagai-bagai kesusahan kepada manusia, tetapi juga buntu dalam mendapatkan jalan penyelesaiannya. Berbagai kaedah dicuba dan diiringi oleh kegagalan.

Ambil satu contoh, di negara kita yang dilanda gejala negatif. Bukan sahaja yang terlibat, semua pihak turut merasa bahangnya dirundung kegelisahan dan keresahan. Berbagai kaedah pula telah dicuba yang berakhir dengan kegagalan. Sepatutnya umat Islam kembali kepada kaedah yang tepat iatu ajaran Islam itu sendiri. Tidak usah `mengimpot` kaedah dari sumber lain terutamanya barat yang terbukti masyarakatnya telah rosak dan hancur. Sebagaimana musibah itu sendiri berpunca dari dosa dan maksiat. Maka untuk menghindari musibah berpanjangan dan terlalu mencengkam kehidupan maka hendaklah bersungguh-sungguh membaiki did. Membaiki diri itu hendaklah dalam beberapa aspek penting.

Di antaranya:

1. Hendaklah benar-benar merasai diri itu adalah hamba Allah SWT. Rasa hamba itu mestilah tidak lekang dari jiwa sehingga dengan itu dapat pula merasai bahawa Allah SWT itu Maha Agung, Maha Besar, Maha Hebat, Maha Mendengar, Maha Melihat dan memiliki segaia sifat-sifat kesempumaan. Segala rasa-rasa itu hendaklah sampai ke tahap merasai takut hendak berbuat maksiat dan mungkar. Umpamanya seseorang itu merasai Allah SWT Maha mengetahui lubuk hatinya. Ertinya dia akan sedar bahawa bukan sahaja perkara lahiriah, malah bisikan atau lintasan hatinyapun Allah SWT mengetahui. Orang seumpama ini bukan sahaja gerak geri lahirnya dikawal dari dosa malah lintasan hatinya pun diawasi agar tidak terdorong kepada perkara jahat

2. Rasa kehambaan yang mendalam,yang dijiwai dan dihayati itu sangat penting yang sekaligus akan menjiwai pula rasa keTuhanan yang tinggi,ini akan menjadikan seseorang itu bersih dari dosa terutamanya dosa batin atau penyakit-penyakit hati yang berupa mazmumah. Mazmumah itu ibarat racun yang sangat merosakkan. Mazmumah itulah yang paling utama membawa berbagai angkara, kerosakan, krisis, peperangan, penindasan di dalam kehidupan manusia. Sifat-sfat mazmumah ini tidak akan hilang atau padam atau terbakar musnah kecuali seseorang itu memiliki rasa kehambaan yang mendalam dan menjiwai rasa keTuhanan.

Ini adalah agenda utama dan penting bagi seluruh umat Islam; Aspek inilah yang sangat terabai dan dipinggirkan oleh umat Islam. Natijahnya umat Islam sentiasa dalam kemurkaan Allah SWT. Yakni bukan sahaja jauh dari bantuan dan pertolongan Allah SWT malah sebaliknya kemurkaan Allah SWT yang ditimpakan kepada umat Islam. Bukan sahaja tidak memperolehi kejayaan dan kemenangan, sebaliknya kehinaan di mana saja dan berpanjangan silih berganti.

3. Perbaiki sembahyang dan sempurnakan lahir dan batin. Sembahyang itu sendiri mestilah berperanan. Memanglah menunaikan sembahyang itu adalah wajib. Namun ianya mestilah berkesan dan berperanan bagi seorang hamba itu benar-benar menghadap Allah SWT dengan sepenuh hati. Tempat di mana seorang hamba itu benar-benar meletakkan dirinya sebagai sehina-hina makhuk. Menghina diri di hadapan Allah SWT yang Maha Agung. Penuh dengan rasa malu, menyerah dan mengharap sehingga dengan itu terbakar segala mazmumah.

Kalau seseorang itu di saat di mana dia benar-benar sepenuhnya menghadapkan hatinya kepada Allah SWT, pun lalai dan leka tidak dapat merasai kehambaan dan membakar mazmumah maka di luar sembahyang lebih sukar lagi. Maka di luar sembahyang dalam mengendalikan urusan kehidupan sudah tentulah penuh didorong oleh nafsu rakus dan jahat. Sembahyang yang sempuma lahir batin itu ialah yang dapat memahami dan menghayati setiap lafaz atau bacaan. Yang dengan itu apa yang difahami dari sembahyang itu dapat membina dan membentuk peribadi yang benar-benar mulia. Kedudukan mereka dekat dengan Allah SWT, dan layak mendapat bantuan dan pertolongan Allah SWT.

Di dalam sembahyang, mereka sangat membesar dan mengagungkan Allah SWT. Di luar sembahyang juga tidak lekang dari membesarkan Allah SWT, dengan hidup bersyariat, menjauhi mungkar dan maksiat, akhlak dan disiplinnya tinggi dan luhur. Allah SWT menaungi mereka. Dan semua orang merasa puas dan seronok, selamat dan sejahtera bernaung di bawah mereka. Orang yang mencapai taraf ini saja yang layak memimpin umat kerana mereka adil kepada diri mereka sendiri iaitu berjaya mengembalikan rohnya kenal dan takut kepada Allah SWT, mengembalikan dirinya, mengabdikan dirinya kepada Allah SWT.

Keadilan mereka itu pula akan melimpah dan merata kepada umat yang lain. Mereka inilah yang dikatakan orang soleh, orang Ashabul Yamin (golongan kanan), Al Muflihun (yang mendapat kemenangan). Mereka yang dimaksudkan oleh Allah SWT dengan firmanNya yang bermaksud,“Sesungguhnya bumi ini diwariskan kepada hamba hambaNya yang soleh” ‘ Siapakah orang soleh itu? Salah satu cirinya ialah dalam firman Allah bermaksud “Beruntunglah (menanglah/berjayalah) orang mukmin, iaitu mereka yang di dalam sembahyangnya khusyuk.” (Al Mukminun: 1-2)

Mereka jugalah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud: “Barangsiapa memperbaiki hubungannya dengan Allah maka Allah akan menyempurnakan hubungannya dengan manusia. Barangsiapa memperbaiki apa yang dirahsiakannya maka Allah akan memperbaiki apa yang dilahirkannya.”. (Riwayat AI Hakim)

Bagi umat Islam yang ditimpa musibah silih berganti dan berpanjangan tiada pilihan lain untuk mengatasinya kecuali kembali menhambakan harapan kepada Allah SWT. Caranya pula ialah memperbaiki diri dalam hubungan dengan Allah SWT.,Sungguh-sungguh bertaubat dan membersihkan dosa, kemungkaran, maksiat serta lebih-lebih lagi dosa batin iaitu mazmumah Selagi Allah SWT tidak sudi memandang kita lebih-lebih lagi berada dalam kemurkaan Allah SWT, biar berbuih mulut meminta melalui doa, atau hitam dahi kerana sujud sembahyang hajat, Allah SWT tidak akan tunaikan permintaan itu.

Wassalam.

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi