Showing posts with label SBPA. Show all posts
Showing posts with label SBPA. Show all posts

Thursday, March 8, 2012

SBPA Batal, SSM Yang Ditambah Baik Kembali


PUTRAJAYA, 8 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.


Perdana Menteri turut mengumumkan pelarasan gaji 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional dan Kumpulan Pelaksana di Gred 1 hingga Gred 54, di samping pelarasan gaji sembilan peratus untuk gred Utama dan Khas C, B serta A.


Pelarasan gaji untuk Kumpulan Turus III serta Turus II pula sebanyak lapan peratus, dan Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara sebanyak tujuh peratus.


Dalam pengumuman beliau pada satu perhimpunan khas dengan penjawat awam di sini, Najib turut menyatakan persetujuan kerajaan supaya Bantuan Sara Hidup (COLA) bagi kawasan B dinaikkan daripada RM200 sebulan kepada RM250, dan bagi kawasan C, dinaikkan daripada RM100 sebulan kepada RM150.


Katanya struktur gaji SSM akan diubah suai daripada jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga 54 ditetapkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred.


Kadar KGT bagi JUSA dan ke atas pula kekal menggunakan Kenaikan Gaji Tahunan SSM dengan diberikan pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan.


Najib berkata kerajaan juga bersetuju supaya Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Bayaran Insentif Wilayah (BIW), Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP), dikekal pelaksanaannya mengikut peraturan sedia ada di bawah SSM.


Bagi guru-guru pula, menurutnya, kerajaan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya berasaskan prinsip "time-based" Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti yang diumum dalam Bajet 2012.


Semakan gaji yang terakhir dilakukan pada 2007, yang menyaksikan penjawat awam menikmati kenaikan gaji antara 7.5 dan 35 peratus.

Saturday, February 25, 2012

KEPUTUSAN SBPA DIJANGKA 12 MAC DEPAN


MELAKA, 24 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan keputusan kerajaan berhubung isu skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) pada perhimpunan yang dianjurkan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pada 12 Mac depan.


"Tunggulah masa, kalau saya umum hari ini tak jadi (tidak seronok), tak ada surprise (kejutan).


"Mungkin tunggulah bila kita ada majlis, CUEPACS setuju untuk mengatur satu perhimpunan besar-besaran di mana dalam perhimpunan itu nanti saya akan menyampaikan keputusan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di bandar Melaka di sini, Jumaat.


Sementara itu, Najib berkata mesyuarat yang diadakan dengan CUEPACS semalam berlangsung dalam suasana baik dan mereka (CUEPACS) bersikap positif dalam isu penyelesaian SBPA.


Semalam, Najib mengadakan pertemuan dengan Cuepacs selama 45 minit dengan sembilan pemimpin tertinggi CUEPACS yang turut disertai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan di Pejabat Perdana Menteri.


Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman pada pertemuan itu dilaporkan berkata pihaknya akan mengadakan perhimpunan besar-besaran yang mengumpul 15,000 penjawat awam di Bukit Jalil pada 12 Mac depan yang dijangka dihadiri Perdana Menteri.


-- BERNAMA

Monday, February 20, 2012

CUEPACS - SBPA DIKEKALKAN PADA 1 JAN DAN DIBAYAR TUNGGAKAN

PUTRAJAYA, 20 Feb (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu tarikh kuat kuasa Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dikekalkan pada 1 Jan lepas, dan tunggakan gaji dibayar kepada semua penjawat awam dari tarikh itu.


Presidennya Datuk Omar Osman berkata permintaan itu adalah wajar memandangkan kerajaan sebelum ini menetapkan tarikh kuat kuasa SBPA bermula 1 Jan tetapi pelaksanaan sahaja ditangguhkan berikutan semakan semula beberapa perkara dalam skim baru itu.


"Jadi permintaan Cuepacs ialah supaya tarikh kuat kuasa SBPA pada 1 Jan itu dikekalkan. Itu yang kita mahu.


"Ia juga adalah satu perbincangan sewaktu saya bertemu dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) tempoh hari. Jadi kekalkan tarikh kuat kuasa itu, tangguh pelaksanaan, semak semula dan sehingga dapat penyelesaian dalam tempoh tiga bulan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Beliau yakin lima tuntutan Cuepacs dapat diterima selepas pembentangan kertas cadangannya kepada pasukan petugas khas semakan semula SBPA pada mesyuarat ketiganya yang dijadualkan Rabu ini.


Lima tuntutan Cuepacs itu ialah mengkaji semula prinsip pemindahan gaji penjawat Gred 54 ke bawah; mengekalkan status kekananan penjawat dalam Skim Saraan Malaysia (SSM); mengkaji semula tangga gaji maksimum; menyenaraikan penjawat yang layak memperoleh kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak semula penstrukturan kenaikan gaji bagi semua gred.


Omar berkata satu perhimpunan besar membabitkan penjawat awam dari semua gred akan diadakan pada akhir bulan depan bagi memberi penerangan secara terperinci mengenai intipati SBPA.


--BERNAMA

Thursday, January 12, 2012

SBPA DITANGGUH, PM AKAN UMUM BUTIRAN

CYBERJAYA - Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengesahkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu, ditangguhkan bagi membolehkan kajian semula yang lebih mendalam dijalankan.


Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut sambil berkata, maklumat lanjut akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelak.


"Perdana Menteri akan membuat pengumuman mengenai perkara tersebut," katanya kepada media di sini hari ini.


Dalam pada itu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengalu-alukan keputusan kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan SBPA bagi memastikan semua penjawat awam berpuas hati.


Timbalan Presiden Cuepacs, Azih Muda berkata, Cupeacs faham akan keprihatinan Perdana Menteri dalam menuntut hak sama rata bagi semua penjawat awam supaya tidak timbul ketidakseimbangan dalam kenaikan gaji.


“Cuepacs faham apa yang kerajaan cuba lakukan, dan itu resolusi terbaik supaya penjawat awam tidak merasa tersisih dalam menerima insentif dan saraan baru kerajaan itu,” katanya.


Kabinet memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem SBPA, yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu, dipercayai ekoran rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.


Sinar Harian Online difahamkan keputusan mengejutkan ini diputuskan dalam mesyuarat mingguan Kabinet, semalam.


Isnin lalu, kenyataan Kementerian Kewangan menyebut pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Januari yang akan dilakukan pada 16 Januari ini sempena perayaan Tahun Baru Cina, adalah berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia manakala perbezaan gaji penjawat awam yang memilih opsyen SBPA akan dibayar pada 31 Januari.


Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada 16 Januari berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA dari 31 Disember 2011 kepada 15 Januari.


Menurut sumber, Kabinet mempertimbangkan tiga sebab utama dalam memutuskan penangguhan SBPA, yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia.


"Antaranya tiadanya perundingan secukupnya dengan wakil pekerja (kesatuan sekerja) dan peratusan kenaikan gaji yang tidak seimbang antara kumpulan kakitangan rendah dan tertinggi," kata sumber.

_______________________________________________________

Klik untuk baca lain-lain berita berkaitan:

Wednesday, December 28, 2011

BEBERAPA PINDAAN SEGERA TAMBAH BAIK SBPA

PUTRAJAYA, 27 Dis (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bersetuju melaksanakan beberapa pindaan segera untuk menambah baik Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).


Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman berkata JPA bersetuju membuat pindaan segera dalam taklimat dan rundingan lebih empat jam yang turut dihadiri Ketua Pengarah JPA Tan Sri Abu Bakar Abdullah.


Beliau berkata antara pindaan itu ialah markah Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) dikurangkan daripada 75 peratus kepada 65 peratus untuk kenaikan gaji.


Selain itu, markah 'Exit Policy' turut dikurangkan daripada 70 peratus kepada 60 peratus, dan tempohnya dilanjutkan daripada enam bulan kepada 12 bulan.


"Taklimat ini melihat cadangan CUEPACS ada yang diterima dan ada yang dikaji semula. Kami berasa lega kerana berjaya mencapai satu keputusan bersama dalam SBPA," katanya kepada pemberita di lobi pejabat JPA.


Terdahulu, Omar bersama pemimpin dan ahli majlis CUEPACS menghadiri taklimat yang memberi gambaran terperinci berhubung pelaksanaan SBPA yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Jan ini.


Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan CUEPACS dan JPA segera berunding bagi menyelesaikan isu itu.


Omar berkata CUEPACS menerima SBPA dan menyarankan penjawat awam menandatangani surat tawaran JPA.


Beliau juga berkata JPA dan CUEPACS setuju mengadakan rundingan bersama setiap tiga bulan bagi membuat semakan dan kajian menyeluruh untuk menambah baik SBPA.


Jumaat lepas, JPA bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Jan depan, bagaimanapun, tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun kekal pada 30 Dis ini.


-- BERNAMA

Friday, December 23, 2011

OPSYEN SBPA DILANJUTKAN KE 15 JAN, OPSYEN PERSARAAN 60 TAHUN KEKAL 30 DIS


PUTRAJAYA, 23 Dis (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Jumaat bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi penjawat awam sehingga 15 Jan depan.

Tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun bagaimanapun kekal pada 30 Dis ini, demikian diumumkan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Dr Ismail Alias di sini.

Sebelum ini, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Dis lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.

Dr Ismail berkata pada keseluruhannya, rundingan tersebut mendapat kata sepakat untuk melaksanakan SBPA dan lima isu termasuk 'Exit Policy' yang dibangkitkan oleh Cuepacs turut dibincangkan.

"Jadi dalam konteks ini, pendekatan kita ialah melihat kepada beberapa isu yang telah dikemukakan oleh Cuepacs, berbincang dan akhirnya mendapat persetujuan tertentu," katanya.

Beliau berkata bagi penjawat awam yang telah pun menandatangani surat tawaran opsyen SBPA, mereka tidak perlu bimbang kerana JPA telah memaklumkan bahawa opsyen SBPA masih berjalan seperti yang ditetapkan cuma tempohnya akan dilanjutkan.

Sementara itu, Omar pada sidang media sama berkata rundingan hari ini mencapai kata sepakat yang amat baik dan persetujuan bersama hari ini merupakan jaminan kepada penjawat awam untuk menandatanganinya.

-- BERNAMA

Monday, December 19, 2011

SBPA - CUEPACS MINTA TANGGUH


Omar Osman (dua dari kanan) menunjukkan siaran akhbar mengenai bantahan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam kepada sebahagian penjawat awam di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Timbalan Presiden CUEPACS, Azih Muda (kanan). - BERNAMA
 
KUALA LUMPUR 18 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan berkuat kuasa 1 Januari depan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya mahu CUEPACS diberi hak untuk turut sama dalam perundingan mengenai pelaksanaan skim tersebut.

"Kami sangat kecewa kerana kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak langsung mengadakan rundingan dengan CUEPACS sebelum menggubal dan melaksanakan SBPA.

"Tidak seperti sebelum ini, kami sentiasa diberi peluang untuk turut terlibat dalam rundingan sebelum sesuatu skim untuk kakitangan awam dilaksanakan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Bantahan SPBA di sini, hari ini.

Omar menegaskan kerajaan seharusnya memastikan setiap kakitangan perkhidmatan awam yang berjumlah 1.4 juta orang menerima maklumat tepat dan mendalam sebelum menerima opsyen pelaksanaan SBPA.

"Ini kerana, pegawai JPA yang membuat taklimat mengenai SPBA kepada kakitangan awam memberi maklumat berbeza-berbeza mengenai skim tersebut.

"Oleh itu, CUEPACS akan mengutarakan beberapa perkara mengenai SPBA yang dilihat mengelirukan kakitangan awam pada pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 22 Disember ini," katanya.

Jelas Omar, pada pertemuan itu nanti, CUEPACS juga akan membawa isu mengapa kesatuan itu tidak diberi peluang untuk turut sama dalam perundingan bersama-sama JPA sebelum skim itu dilaksanakan.

"Selain itu, tempoh opsyen yang singkat dan kenaikan gred gaji yang berbeza-beza akan dibincangkan pada pertemuan tersebut," katanya.

Omar sekali lagi menasihatkan penjawat awam agar menunggu keputusan pihaknya pada perbincangan yang akan diadakan bersama Najib sebelum menerima SBPA.

Sumber: Utusan Online

Saturday, December 17, 2011

SBPA – MAKLUMAN OLEH KPM

Klik gambar atau link yang telah diberi di bawah untuk akses ke Sistem Opsyen SBPA

Kementerian Pelajaran Malaysia  (KPM) memaklumkan bahawa sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) boleh dicapai mulai 16 Disember 2011 hingga 31 Disember 2011, melalui laman web KPM iaitu www.moe.gov.my  ataupun melalui :

Untuk memasuki Sistem Opsyen SBPA, hanya perlu memasukkan:        
ID Pengguna: Masukkan No Kp anda                                   
Katalaluan    : Masukkan katalaluan sama seperti katalaluan HRMIS

Sekiranya tidak pernah menggunakan aplikasi HRMIS, bolehlah menggunakan No. KP sebagai  menggantikan ID Pengguna dan katalaluan untuk memasuki sistem SBPA. Surat tawaran opsyen SBPA boleh dicetak setelah maklumat perkhidmatan disahkan oleh pengurus sumber manusia di agensi masing-masing.

Sebarang pertanyaan mengenai maklumbalas SBPA bolehlah menghubungi talian seperti di bawah:-

Talian Helpdesk Hotline SBPA
Tel     : 03-8884 7137/7189/7038

Hotline Teknikal
Pasukan Aplikasi : 03-8316 4134/4135
Pasukan Server    : 03-8316 4119/4120/4105
Emel Teknikal      : helpdesk_sbpa@jpa.gov.my                           

Sumber: Kementerian Pelajaran Malaysia

Friday, December 16, 2011

CUEPACS MAHU TEMUI NAJIB ISNIN INI BERHUBUNG OPSYEN SBPA


KANGAR, 15 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin ini bagi membincangkan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Presidennya Datuk Omar Osman berkata langkah itu susulan keputusan mesyuarat khas Cuepacs yang sebulat suara membantah opsyen dalam SBPA, yang disifatkan tidak begitu adil.

Cuepacs berharap 1.4 juta penjawat awam tidak menandatangani opsyen itu sebelum beberapa perkara berbangkit dalam pelaksanaan SBPA dapat dibincangkan dengan Perdana Menteri, katanya kepada pemberita, di sini Khamis.

Omar ditemui selepas berakhirnya mesyuarat khas dua hari Cuepacs yang disertai 125 perwakilan dari seluruh negara.

Antara perkara yang akan dibangkit ialah pelarasan gaji antara tujuh dan 13 peratus seperti yang diumumkan sebelum ini, memandangkan perkara itu dibuat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tanpa berbincang dengan Cuepacs, katanya.

Katanya Cuepacs berkeyakinan segala perkara berbangkit dapat diselesaikan menerusi pertemuan itu memandangkan Perdana Menteri prihatin dengan kebajikan penjawat awam.

Beliau juga menyifatkan tempoh dua minggu bermula hari ini yang diberi JPA kepada penjawat awam untuk membuat pilihan sebagai terlalu pendek dan kurang adil.

-- BERNAMA


Klik untuk baca lain-lain artikel SBPA:

Thursday, December 15, 2011

SBPA - TOPIK BERSARA UMUR 60 TAHUN


Program Bual Bicara Dialog TV1 14 Disember 2011 bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia (Tan Sri Abu Bakar bin Haji Abdullah)
SBPA – BERSARA UMUR 60 TAHUN




Wednesday, December 14, 2011

SBPA - BUAL BICARA BERSAMA KPPA DI TV1


Satu Program Bual Bicara Bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia akan sekali lagi diadakan bagi memberi penjelasan berkaitan SISTEM SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM (SBPA) melalui TV1 seperti mana berikut:


Klik Program @ Gambar untuk melihat Siaran TV1


Siaran : RTM - TV1

Program: Dialog@TV1 (Bual Bicara Bersama KPPA- SBPA)

Tarikh: 14 Disember 2011 (Rabu)

Masa: 10:00 malam


TELITI TAWARAN SBPA

IPOH 13 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggulangi gesaan supaya kakitangan awam tidak terburu-buru menandatangani surat tawaran skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).


Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, langkah itu perlu bagi memastikan kakitangan awam tidak teraniaya dengan tawaran SBPA.


"Kalau kakitangan awam terima surat tawaran SBPA dalam tempoh terdekat ini, mereka perlu membaca dengan teliti dalam tempoh dua minggu sebelum membuat keputusan," katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis Penerangan SBPA di Dewan Bandaran Ipoh di sini hari ini.


Omar berkata, jika ada ketua jabatan yang membuat ugutan terhadap kakitangan awam utnuk memaksa mereka menandatangani tawaran SBPS, mereka boleh membuat aduan kepada CUEPACS.


Kira-kira 1.4 juta kakitangan awam di seluruh negara akan diberikan tempoh dua minggu bermula 15 Disember ini untuk berfikir sebelum menandatangani tawaran SBPA.


Sumber: Utusan Online

Monday, December 12, 2011

PELAKSANAAN GAJI BARU SBPA 2012


PRINSIP DAN KAEDAH PEMINDAHAN GAJI SBPA

Bagi menambah pemahaman tentang prinsip dan kaedah pemindahan gaji bagi pelaksanaan skim SBPA, di sini disertakan slide penerangan Taklimat Pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang telah diadakan di Dewan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun Terengganu pada 11 Disember 2011 baru-baru ini.
Sbpa gaji guru

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi