Showing posts with label Sekolah. Show all posts
Showing posts with label Sekolah. Show all posts

Tuesday, January 13, 2015

500 Guru Bantu Pulihkan Psikologi Murid Mangsa Banjir Di Terengganu

Bantuan untuk murid sekolah yang menjadi mangsa banjir tidak hanya setakat pemberian pakaian dan peralatan sekolah, malah mereka turut diberi bimbingan kaunseling untuk mengurangkan tekanan dan trauma disebabkan bencana itu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Zakaria Hussin berkata sebanyak 500 sukarelawan terdiri daripada guru bimbingan dan kaunseling telah memberi bantuan pemulihan psikologi dan kaunseling kepada murid yang menjadi mangsa banjir untuk mengurangkan kesedihan mereka.

"Pasukan ini telah pun bergerak di semua daerah yang dilanda banjir dengan mengadakan aktiviti pengurusan emosi di pusat pemindahan banjir, malah pasukan sama juga membantu mangsa banjir di Tumpat, Kelantan pada 3 Jan lalu.

"Program prihatin kaunseling perdana pasca banjir pula akan diadakan secara serentak pada Khamis ini melibatkan 500 guru kaunseling dan 5,000 murid terlibat banjir di 60 buah sekolah seluruh Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan bantuan barang persekolahan kepada 5,000 mangsa banjir oleh Kumpulan Perbankan RHB di sini Selasa.

Turut hadir Pengurus RHB Bank Wilayah Timur, Shaharuddin Ming dan Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan JPNT, Ngah Bidin.

Zakaria berkata melalui program perdana itu, aktiviti yang akan dijalankan ialah sesi kaunseling perkongsian musibah banjir oleh murid, permainan kecil dan pelan tindakan pengurusan diri pasca banjir.

"Seorang guru kaunseling akan membimbing 10 orang murid dan sumbangan kelengkapan sekolah iaitu beg dan alat tulis oleh Kumpulan Perbankan RHB akan diberi kepada mereka selepas program itu selesai.

"Diharap kaunseling ini akan meningkatkan semula keyakinan mangsa banjir untuk terus bersemangat dan ceria meneruskan pembelajaran mereka," katanya.



- BERNAMA

Sunday, January 5, 2014

Kementerian Pendidikan Akan Siasat Kenaikan Harga Di Kantin Sekolah

Kementerian Pendidikan akan menyiasat dan menyemak harga makanan dan minuman di kantin sekolah di seluruh negara bagi memastikan tiada kenaikan melampau dilakukan pengusaha kantin yang boleh membebankan ibu bapa mahupun pelajar.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata siasatan itu akan dilakukan satu jawatankuasa yang akan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Abd Ghaffar Mahmud.

Bagaimanapun setakat ini, katanya pihak kementerian tidak menerima sebarang aduan atau laporan rasmi daripada pentadbir sekolah mahupun ibu bapa mengenai perkara itu.

 "Pengusaha kantin sekolah tidak sepatutnya menaikkan harga makanan dan minuman yang dijual atas alasan kenaikan harga beberapa jenis barangan terutamanya gula hingga membebankan pelajar," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Tok Has di Besut hari ini.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata kementerian akan berusaha mencari jalan terbaik bagi meringankan beban para guru yang tidak berjaya mendapat kelulusan pertukaran balik ke negeri masing-masing sebagaimana keputusan dikeluarkan oleh kementerian baru-baru ini.

Katanya, pihak kementerian tidak dapat memenuhi permintaan mereka kerana tiada kekosongan dengan memberikan contoh di Kelantan yang mempunyai kelebihan
30,000 guru manakala di Terengganu dan Kedah pula masing-masing mempunyai kelebihan 10,000 orang.

Antara masalah lain ialah ialah mereka yang memohon balik ke negeri-negeri berkenaan tidak memenuhi kekosongan opsyen (aliran) yang diperlukan di negeri berkenaan, katanya.

"Mereka memang wajar dibantu tetapi kena ingat kerana masih ramai memohon dari aliran Bahasa Melayu manakala keperluan ialah untuk mengajar Bahasa Inggeris dan dari kalangan yang mengajar Sejarah tetapi keperluan pula untuk mata pelajaran Sains," katanya.

Idris berkata satu mesyuarat peringkat kementerian akan diadakan pada pertengahan bulan ini bagi membantu guru yang mempunyai alasan kukuh untuk bertukar seperti ibu atau ayah yang sakit, hendak bersama isteri atau suami yang telah lama tinggal berasingan dan berjauhan dan juga kerana masalah keselamatan atau sakit.

Sementara itu, beliau meminta semua Anggota Parlimen, Anggota Dewan Undangan Negeri, Pentadbiran Daerah maupun Pengetua dan Guru Besar memastikan tiada pelajar yang tercicir dari persekolahan kerana faktor miskin.

"Sekiranya ada, saya minta pentadbir sekolah segera membuat laporan kepada KPM di samping memaklumkan juga kepada Ahli Parlimen, Adun, Pegawai Daerah dan Pegawai Pendidikan Daerah supaya ia dapat diatasi segera," katanya.


- Bernama

Wednesday, February 13, 2013

Trauma Akibat Dirotan Dan Dihalau Guru

BUTTERWORTH: Seorang bapa mendakwa anaknya kini mengalami tekanan emosi setelah seorang guru wanita merotan dan mengusirnya dari sekolah kerana gagal menyiapkan kerja sekolah.

Syahrul Asmawi Rashid, 35, berkata akibat kejadian Jumaat lepas itu, anaknya Nur Emilia, 12, murid Tahun Enam sebuah sekolah rendah di sini, kini trauma dan tidak lagi mahu ke sekolah.

Bercakap kepada pemberita di sini Rabu, katanya anaknya memaklumkan guru itu turut mengarahkannya mengambil borang tukar sekolah dan berpindah sekolah.

Syahrul yang berkerja sendiri berkata dia mengetahui kejadian itu pada kira-kira 9.30 pagi Jumaat apabila dihubungi guru terbabit yang memaklumkan anaknya telah pulang ke rumah kerana gagal menyiapkan kerja sekolah.

"Saya terkejut dan terus keluar mencari Emilia kerana dia tidak pulang ke rumah sedangkan rumah kami terletak tidak sampai 100 meter sahaja dari sekolah tetap kemudiannya berjaya menemui anak sulungnya itu sedang menangis di kawasan kampung," katanya.

Syahrul berkata anaknya tidak menceritakan insiden yang menimpa dirinya itu sehingga rakannya datang pada sebelah petang dan memaklumkan kejadian sebenar.

Katanya dia membuat laporan polis semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang Tarmizi Kamaruddin ketika dihubungi berkata guru besar sekolah itu diarah menyiasat dakwaan itu.


Thursday, January 3, 2013

Sekolah Hanya Empat Orang Murid

Empat murid, lima guru termasuk Muhaini (tiga kiri, belakang) dan seorang kakitangan sokongan tetap meneruskan sesi persekolahan.


BAGAN DATOH: Sekolah Kebangsaan (SK) Tebing Rebak, di sini, merupakan salah satu antara 113 sekolah rendah yang mempunyai bilangan murid paling sedikit dan paling mengejutkan, hanya empat murid didaftar di sekolah tersebut.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tebing Rebak, Hajar Abdul Samad berkata, sekolah itu hanya mempunyai seorang murid dalam tahun satu, tiga, lima dan enam.

Menurutnya, masalah kekurangan murid di sekolah tersebut bermula sejak 10 tahun lalu, yang mana hanya tinggal 12 murid pada ketika itu dan bilangan murid semakin susut dari setahun ke setahun.

"Kampung Tebing Rebak mempunyai 120 penduduk sahaja, yang mana terdapat 40 rumah. Kebanyakan penduduk terdiri daripada mereka yang sudah berusia, manakala remaja lepasan sekolah berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki. Ia antara punca masalah kekurangan murid di sekolah ini.

"Sebelum ini, PIBG ada mempelawa murid dari sekolah lain sebagai salah satu cara menambah bilangan murid, namun gagal," katanya ketika ditemui, semalam.

Beliau turut memaklumkan bahawa SK Tebing Rebak telah dibina sejak 1950 dan kini dikendalikan Guru Besar, Muhaini Ibrahim dengan dibantu empat guru serta seorang kakitangan sokongan.

Menceritakan serba sedikit latar belakang sekolah, Hajar memaklumkan, pada awalnya SK Tebing Rebak menerima kehadiran 54 murid dan dikatakan meningkat setiap tahun sebelum bermulanya masalah kekurangan murid.

Katanya, masalah berkenaan bagaimanapun tidak menjadi halangan kepada ibu bapa dan penduduk Kampung Tebing Rebak untuk bersama-sama menjayakan pelbagai program anjuran pihak sekolah.

Lebih membanggakan, menurut Hajar, SK Tebing Rebak tetap diiktiraf mendapat pencapaian terbaik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di peringkat daerah dan negeri pada tahun lalu sungguh pun hanya mempunyai empat murid.

"Walaupun mempunyai bilangan murid sedikit, sekolah ini dilengkapi dengan kemudahan komputer serta internet, perpustakaan, program makanan tambahan (RMT) dan menerima pelbagai bantuan daripada Kementerian Pelajaran. Sama seperti sekolah lain.

"Pihak sekolah juga tetap menjalankan pelbagai aktiviti termasuk sukan tahunan sekolah dengan melibatkan penduduk kampung," jelasnya.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Pelajaran Negeri, Mohd Idris Ramli berkata, sesi pembelajaran di SK Tebing Rebak akan diteruskan selagi ada murid mendaftar dan belajar di situ.

Menurutnya, mana-mana murid yang belajar di sekolah dalam negeri Perak, termasuk SK Tebing Rebak mempunyai hak mendapat pendidikan walaupun hanya tinggal seorang murid sahaja dalam sesebuah sekolah.

"Bagaimanapun, kita akan meneliti keperluan guru mengikut waran ditetapkan dan satu penyelarasan akan dibuat mengikut jumlah murid serta kelas yang layak bagi SK Tebing Rebak," katanya.

Masalah kekurangan murid di SK Tebing Rebak secara tidak langsung beri kelebihan kepada muridnya mendapat layanan istimewa termasuk murid tahun satu, Ahmad Nursyarwani Ahmad Kamal yang baru mendaftar di sekolah itu, semalam.

Ahmad Nursyarwani bukan sahaja mendapat layanan istimewa, malah menjadi anak emas pada hari pertama persekolahannya.

Murid tahun satu SK Tebing Rebak itu menjalani persekolahan bersama tiga murid lain, iaitu Muhammad Zulkiflie Ikhmal Mohd Fauzie, 9, Muhammad Azrul Tarmizi, 11, dan Muhammad Azrol Amri Salim, 12.

Sungguhpun hanya seorang diri dalam kelasnya, Ahmad Nursyarwani tetap ceria dan bersemangat menempuh alam persekolahan.

“Seronok sekolah walaupun seorang diri dalam kelas tetapi saya ada kawan lain dari kelas lain,” katanya.

Ahmad Nursyarwani juga menyatakan tidak bosan belajar seorang diri, malah teruja dapat belajar pelbagai mata pelajaran pada hari pertama persekolahannya.

“Hari ini saya belajar macam-macam dari cikgu. Seronok sangat walaupun hanya ada tiga orang kawan di sekolah dan bila besar nanti, saya mahu menjadi seorang angkasawan,” katanya. 

Murid tahun enam, Muhammad Azrol Amri Salim, meneruskan sesi pembelajarannya bersama guru Pendidikan Agama Islam, Khairul Nizam Khamis.
 
Muhammad Zulkiflie Ikhmal Mohd Fauzie diajar oleh gurunya, Lee Choong Sing penggunaan komputer.

Murid tahun satu, Ahmad Nursyarwani Ahmad Kamal, seorang diri belajar bersama guru Bahasa Melayunnya, Idrus Baki ketika sesi pembelajaran.

- Sinar Harian


Friday, December 7, 2012

Pelajar Asrama Di Sarawak Tidur Macam Sardin


Ini bukan sekolah di Indonesia atau negara lain. 
Ini keadaan di sebuah sekolah di bumi Malaysia tercinta.

SIBU: Kurang sebulan lagi, sesi persekolahan 2013 akan bermula namun murid-murid yang tinggal di asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Punan Ba di Belaga, masih menanti sinar sejak koridor asrama mereka runtuh hampir setahun lalu.

Kelewatan pihak berkenaan mengambil langkah konkrit membela nasib mereka dikhuatiri memaksa murid-murid yang terjejas kembali tidur berhimpit-himpit antara satu sama lain apabila sesi persekolahan tahun depan bermula tidak lama lagi.

Kejadian yang berlaku pada jam 8.50 malam 31 Januari lalu sentiasa menjadi igauan murid-murid apabila lima murid patah tangan, tiga retak tulang kaki dan seorang kakitangan lelaki sekolah retak tulang belakang.

Menurut sumber, hampir setahun sudah berlalu namun keadaan masih tidak berubah, malah nasib yang menimpa murid-murid terbabit turut menjejaskan prestasi akademik sekolah itu.

“Rentetan kejadian itu, pihak sekolah terpaksa menempatkan murid-murid yang terjejas di rumah guru besar.

“Namun demikian, situasi tidak terkawal timbul ekoran kesesakan sehingga mempengaruhi pencapaian pelajaran dan kesihatan mereka,” katanya yang tidak sanggup melihat murid-murid kembali tidur dalam keadaan yang menyedihkan kelak.

Menurutnya lagi, lokasi rumah guru besar yang agak jauh turut menyebabkan murid-murid sering keletihan kerana terpaksa berjalan ulang-alik ke sekolah.

“Murid-murid juga sering basah kuyup terutamanya ketika hari hujan. Situasi ini menyebabkan murid-murid dalam keadaan kurang selesa dan tidak dapat memberi perhatian terhadap pembelajaran,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Billy Abit Joo yang prihatin dengan nasib sekolah dan murid-murid terbabit pernah memberi sumbangan bernilai RM10,000 selepas kejadian serta berjanji akan mendapatkan bantuan daripada Kementerian Pelajaran agar asrama baharu di-bina secepat mungkin.

Hasil bantuan Billy, katanya, sepasukan kakitangan Kementerian Pelajaran mengunjungi sekolah itu awal tahun ini untuk melihat lokasi tapak pembinaan asrama baharu.

“Projek pembinaan asrama baharu sekolah dijadual dilaksanakan pada pertengahan tahun ini.

“Namun, sehingga kini rancangan tersebut masih belum dilaksanakan lantas menimbulkan kegelisahan di kalangan pihak sekolah,” katanya.

Beliau menambah, masalah itu turut membawa kepada kemerosotan mendadak keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 sekolah itu berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Pada tahun 2010, sekolah memperolehi keputusan kelulusan 81.33 peratus diikuti 84.44 peratus pada 2011, namun tahun ini, hanya 47.62 peratus,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap pihak berkenaan menyelesaikan masalah itu dengan segera demi memasti-kan keselesaan murid terjamin dan prestasi sekolah dapat ditingkatkan semula.


Sunday, October 21, 2012

Pelajar Digalak Guna Fb Berkomunikasi Dengan Guru

KLANG, 20 Okt (Bernama) -- Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin D'Cruz meminta pelajar sekolah mengunakan media sosial seperti Facebook untuk mengekalkan hubungan baik dengan guru mereka.

Beliau berkata melalui cara ini, pelajar yang telah menamatkan persekolahan boleh sentiasa merujuk guru untuk mendapatkan pandangan mengenai sesuatu isu sekiranya mereka mempunyai masalah berinteraksi dengan kolej atau profesor universiti.

"Pelajar yang telah menanamatkan persekolahan dan menghadapi masalah kesukaran berinteraksi dengan profesor kolej mereka perlu menggunakan media sosial seperti Facebook untuk berkomunikasi dengan bekas guru mereka di sekolah bagi mendapatkan penjelasan mengenai sesuatu isu kerana mereka sudah bertahun-tahun mengenali antara satu sama lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian sijil tamat persekolahan di Sekolah Menengah Convent Klang di sini, hari ini.

Maglin menasihatkan semua sekolah di negara ini agar mencontohi Sekolah Menengah Convent Klang dalam menganjurkan majlis penyampaian sijil tamat persekolahan bagi pelajar mereka Supaya pelajar dapat merasai upacara sebenar sesuatu majlis penyampaian ijazah.

Kira-kira 290 pelajar Tingkatan Lima sekolah berkenaan yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bulan depan, menerima sijil masing-masing yang disampaikan Maglin pada majlis tersebut.

-- BERNAMA

Sunday, June 24, 2012

Murid prasekolah patah kaki

BANDAR TEMERLOH - Seorang bapa kesal dengan pengurusan sebuah sekolah di daerah ini kerana membiarkan kenderaan luar masuk ke pekarangan sekolah sehingga menimbulkan bahaya kepada murid.

Mohd Nizam Ismail, 36, mendakwa, anaknya, Jannatul Izzati, 5, menjadi mangsa kecuaian itu apabila dilanggar sebuah motosikal di pekarangan sekolah.

Menurutnya, kejadian berlaku 12 Jun lalu, kira-kira jam 12.10 tengah hari ketika anaknya mahu pulang selepas tamat kelas prasekolah.

“Saya kesal kerana tidak sepatutnya pihak sekolah membiarkan kenderaan ibu bapa masuk ke kawasan sekolah.

“Semasa kejadian, seorang remaja lelaki mahu mengambil adiknya yang juga murid prasekolah pulang. Dia meletakkan adiknya duduk dalam raga motosikal sambil enjin kenderaan itu masih hidup,” katanya.

Mohd Nizam berkata, secara tidak sengaja kanak-kanak terbabit telah memulas minyak motosikal berkenaan lalu melanggar Jannatul Izzati yang berada berdekatan kawasan itu.

“Pada hari itu saya tidak mengambil anak saya kerana terpaksa bekerja dan saya minta tolong jiran untuk ambilnya di sekolah.

“Akibat kemalangan itu anak saya patah kaki kiri. Nasib baik ada pengusaha kantin yang sudi hulurkan bantuan dan segera bawa anak saya ke hospital,” katanya.

Berikutan kejadian itu, dia berharap pihak pengurusan sekolah dapat mengetatkan kawalan dengan tidak membenarkan kenderaan ibu bapa atau penjaga yang menghantar dan mengambil anak masuk ke kawasan sekolah bagi mengelakkan perkara sama berulang.

Tuesday, June 19, 2012

Syor rekod disiplin syarat ke SBP


KUALA LUMPUR: Rekod disiplin dan sahsiah pelajar wajar dijadikan kriteria dalam mempertimbangkan permohonan biasiswa atau kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP) dan universiti.

Bagi tujuan itu, Kementerian Pelajaran dicadang memperkenalkan mekanisme untuk memantau dan merekod secara berterusan melalui penilaian di sekolah untuk mengenal pasti perkembangan sahsiah dan disiplin setiap pelajar bermula dari Tahun Satu.

Cadangan itu adalah sebahagian daripada kandungan memorandum dikemukakan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) kepada kerajaan sebagai input kepada transformasi sistem pendidikan negara yang sedang dirangka.

Yang Dipertua MPSM, Muhamad Khailani Abdul Jalil, berkata kriteria itu dapat mendidik dan memupuk pelajar supaya sentiasa peka kepada kepentingan sahsiah, sekali gus membantu mengatasi masalah disiplin di sekolah.

“Antara komponen penilaian boleh diambil kira dalam pemantauan terhadap sahsiah dan disiplin pelajar ialah sikap, tingkah laku dan kehadiran ke sekolah. Malah, boleh diperkenalkan sistem merit dan demerit untuk menilai disiplin pelajar.

“Sudah sampai masanya aspek sahsiah dan disiplin tidak lagi hanya diajar sebagai mata pelajaran, tetapi diberi penekanan lebih berat melalui penilaian terhadap amalan sebenar supaya ia dapat dihayati dengan berkesan oleh pelajar di sekolah dan ibu bapa.
“Ukuran kecemerlangan seseorang pelajar tidak harus terbatas kepada pencapaian akademik semata-mata, tetapi perlu holistik meliputi kokurikulum, kepemimpinan dan kemasyarakatan, sahsiah serta disiplin yang dilihat penting untuk pembinaan karakter generasi muda negara.

“Semua pembaharuan ini mesti berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk masa depan. Falsafah sedia ada sudah bagus dan tidak perlu digugurkan, cuma pelaksanaannya boleh ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Dalam pada itu, Muhamad Khailani, berkata dalam memorandumnya, MPSM turut meminta kerajaan terus mengekalkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara.

“Ini berikutan melalui Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) 2012 yang sedang berlangsung, dilihat ada kecenderungan sesetengah peserta yang mahu supaya diwujudkan semula sekolah aliran Inggeris sebagai pilihan dalam sistem pendidikan negara.

“Kita tak setuju. MPSM akan bergabung usaha dengan pejuang bahasa untuk memastikan bahasa Melayu kekal sebagai bahasa pengantar tunggal dalam sistem pen-didikan negara seperti termaktub dalam Dasar Bahasa Kebangsaan dan Penyata Razak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata hasil perbincangan siri DNPN 2012 yang kini memasuki fasa pertengahan akan diserahkan kepada Pengerusi Panel Penilai Bebas Kajian Semula Sistem Pendidikan Negara, Profesor Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak, Ogos depan.

Panel itu sudah menjelajahi lima tempat setakat ini, iaitu Putrajaya, Labuan, Miri, Shah Alam dan Pulau Pinang, manakala yang terakhir di Johor Bharu akan diadakan bulan depan.

- BERITA HARIAN

Tuesday, April 24, 2012

CADANGAN WUJUDKAN JAWATAN PENGAWAL LINTASAN SEKOLAH



KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Kementerian Pelajaran telah menyediakan satu kertas cadangan bagi mewujudkan jawatan Pengawal Lintasan Sekolah (PLS) bagi melaksanakan kawalan lalu lintas di sekolah yang berisiko kemalangan jalan raya.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong memberitahu sidang Dewan Negara Selasa, kementerian telah mengadakan perbincangan dengan semua pihak bagi mendapatkan pandangan berhubung cadangan itu.

"Kita berbincang dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Kementerian Dalam Negeri serta pihak berkuasa tempatan.

"Kertas cadangan tersebut sedang diteliti oleh pihak berkaitan sebelum dihantar ke Mesyuarat Jemaah Menteri bagi tujuan kelulusan pelaksanaan di sekolah-sekolah," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Paul Kong Sing Chu.

Menjawab soalan tambahan Kong mengenai perancangan kementerian untuk menambah jumlah PLS bagi mengawasi keselamatan pelajar sekolah, Wee berkata kertas cadangan tersebut merupakan satu tindakan tepat bagi mengatasi masalah lalu lintas yang semakin teruk di kawasan sekolah.

-- BERNAMA

Friday, April 20, 2012

GURU SASARAN LEPAS GERAM

JIKA disoroti kisah guru dan pelajar dulu, wujud persoalan mengapa kedua-dua golongan itu ibarat bermusuhan kini.


Biarpun terkenal tegas dan garang, rasa hormat pelajar pada guru masih tinggi dan tidak tergamak bersengketa hanya kerana dihukum.


Malangnya, zaman kini berbeza kerana pantang dicuit, kedua-dua pihak pasti berbalah dan bertegang urat mempertahankan pandangan serta hak masing-masing.


Guru juga dikatakan sudah berani bertindak di luar batas profesionalisme manakala pelajar semakin galak mengambil tindakan sendiri ‘memalukan’ guru.


Persoalannya, di manakah nilai kedudukan guru di mata pelajar juga hak pelajar di sisi guru?


Adakah pelajar sengaja mencipta masalah dan masihkah guru menjadi golongan dihormati atau sebaliknya?


Mantan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan Kedah, Zuraidi Rahim, berkata sukar mentafsirkan taraf kedudukan guru hari ini kerana pelajar tidak mempunyai rasa hormat kepada golongan itu.


Malah, lebih mendukacitakan apabila mereka menjadikan guru sebagai musuh yang perlu diperangi.


“Inilah hakikat terpaksa ditelan guru hari ini. Mereka terpaksa berdepan pelajar yang tidak langsung mahu mengiktiraf jasa dan pengorbanan guru.


“Malah, ada yang menjadikan guru sebagai golongan sasaran untuk melepaskan dendam.


“Semakin moden cara berfikir, semakin kecil peranan guru di mata pelajar hingga hilang rasa hormat,” katanya.


Akuinya, pelajar hari ini sudah semakin berani dan nekad mengambil tindakan sendiri sekiranya dihukum.


“Dulu, rasa takut dan hormat pelajar pada guru menggunung tinggi. Sekarang mereka lihat guru semakin kecil dengan peranan yang terbatas.


“Kuasa guru juga semakin terikat seperti tidak boleh merotan sesuka hati dan ibu bapa juga mudah melenting jika anak mereka ‘disentuh’,” katanya.


Beliau berkata, pelajar hari ini tidak memahami hasrat murni guru apabila dikenakan hukuman dan menganggapnya mencabul hak asasi individu.


Manakala guru pula dianggap menggunakan status dan kuasa untuk ‘mengikat’ pelajar bagi menurut perintah.


“Keadaan ini menimbulkan kerumitan kerana masing-masing ada hujah untuk menegakkan pendirian. Isu kecil menjadi besar terutama jika membabitkan penggunaan fizikal.


“Ditambah lagi sikap kedua-dua pihak yang tidak sebulu menjadikan pertelingkahan semakin serius dan meletakkan nilai murni di tangga paling bawah,” katanya.


“Keadaan ini menunjukkan betapa kroniknya konflik hubungan kedua-dua pihak biarpun berada di bawah satu bumbung.


“Guru mahupun pelajar seharusnya perlu bijak menilai dan jangan babitkan emosi kerana tidak menyelesaikan masalah.


“Juga, usah menyalahkan antara satu sama lain kerana masing-masing ada kelemahan dan berhak menerima teguran demi kebaikan bersama,” katanya.


Deretan isu panas membabitkan guru dan pelajar kini mengundang pelbagai persepsi kerana kedua-duanya tidak pernah berhenti bertingkah, sekali gus menggugat keharmonian dunia pendidikan negara.


Pertelingkahan itu turut menimbulkan pertanyaan mengapa mereka ibarat seteru dan begitu kontras hingga dihambat kontroversi.


Sikap saling tidak memahami juga penggunaan simbolik ‘perintah dan menurut’, katanya, menjadi punca mereka bermusuhan walaupun hanya isu kecil.


“Ada segelintir guru atau pelajar lebih suka ia menjadi sensasi supaya boleh diketahui ramai.


“Sepatutnya kedua-dua pihak perlu hormat antara satu sama lain, bukan merendahkan maruah masing-masing,” katanya.


Beliau bagaimanapun bersetuju tindakan guru yang merotan, menghukum atau melakukan perkara di luar batas kemanusiaan wajar dikenakan tindakan tegas.


“Jika guru memang bersalah wajar tindakan tegas diambil. Status disandang bukan bermaksud boleh menghukum atau menganiaya pelajar sesuka hati.


“Pelajar yang melanggar peraturan dan tidak berdisiplin juga wajar dikenakan hukuman. Jangan ada sikap pilih kasih,” katanya.


Katanya, bukan mahu menyalahkan, namun ramai ibu bapa lebih mementingkan kerjaya berbanding mengambil tahu persekolahan anak sebaliknya menyerahkan tanggungjawab itu pada guru.


“Apabila anak mengadu, mereka drastik mengambil tindakan tanpa menyelidik lebih lanjut,” katanya.


Beliau yakin insiden buruk membabitkan guru-pelajar hanya kes terpencil yang boleh diperbaiki.


“Guru, ibu bapa dan pelajar juga perlu bersikap lebih terbuka, realistik, saling mempercayai dan menyokong antara satu sama lain. Pendidikan perlu berlangsung secara harmoni bagi menjamin hak semua.


“Jangan kerana persengketaan, hubungan renggang. Kita akan rugi dan menanggung sesalan kelak,” katanya.


Sumber: myMetro

Wednesday, April 18, 2012

SEMUA SEKOLAH DAPAT BEKALAN AIR BERSIH, ELEKTRIK TAHUN DEPAN

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Semua sekolah di seluruh negara akan mendapat bekalan air bersih dan elektrik yang sempurna serta mencukupi pada tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata buat masa ini sebanyak 46 projek bekalan air masih belum beroperasi kerana pelaksanaan projek bekalan elektrik belum siap sepenuhnya.


"Di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kementerian merancang untuk melaksanakan projek bekalan air bersih bagi memastikan semua sekolah di seluruh negara dibekalkan dengan air bersih," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.


Katanya sebanyak 570 buah projek bekalan elektrik di seluruh negara telah dilaksanakan di bawah RMK-9 dan RMK-10 membabitkan 42 projek di Semenanjung, Sabah (179) dan Sarawak (427).


Beliau berkata kementerian juga merancang untuk melaksanakan 1,605 projek penyelenggaraan di bawah program Pakej Ransangan Khas (PRK) 2012 di seluruh negara di bawah skop penyelenggaraan bangunan dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM435 juta.


-- BERNAMA

Sunday, April 15, 2012

PERKHEMAHAN BADAN UNIFORM SK UNDANG 2012

SK Undang, K.Terengganu (SKU) telah mengadakan aktiviti Perkhemahan Badan Beruniform bermula pada 12 hingga 14 Sept. 2012 bertempat di padang SKU. Gambar aktiviti tersebut boleh dilihat dalam ruangan ALBUM SK UNDANG.

Friday, April 6, 2012

ULASAN ISU: PENTADBIR SEKOLAH WAJIB MAHIR ICT

Iklan pemangkuan DGA32 ke DGA34 bagi mengisi jawatan Guru Besar dan Pengelola di Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan Bahagian untuk tahun 2012 akan ditutup pada 12 April 2012 nanti setelah hampir dua minggu diklankan sama ada secara langsung ke sekolah atau melalui web dan blog. Iklan berkenaan mencapai hit tertinggi di blog ini .Pelbagai bidang keperluan akan dinilai oleh panel nanti sama ada pengalaman, pengetahuan, sumbangan, anugerah dan juga kemahiran bagi memilih calon Guru Besar yang memenuhi tuntutan keperluan masa kini.


Dalam ulasan isu pada kali ini saya ingin menyentuh salah satu aspek penting penilaian ialah berkaitan "tahap kebolehan ICT" calon. Tahap yang diukur sebagaimana sedutan borang seperti di bawah:-


Sesungguhnya realiti dalam kerjabuat pengurusan harian masa kini kemahiran ICT adalah satu keperluan dan kemestian. Dalam bahasa paling mudah jika seseorang Guru Besar jahil ICT maka dia tidak layak jadi Guru Besar. Sepatutnya syarat kemahiran ICT ini menjadi "mandatori". Saya percaya panel mesti memerlukan aviden yang konkrit untuk menilai calon pada bahagian ini.

Saya berpendirian bahawa pengurus sekolah WAJIB menguasai ICT bagi menambah kecekapan pengurusan mereka. Terdapat segelintir pengurus sekolah yang "geli geleman" dengan komputer hingga kadangnya "mewali" dan "mewakafkan" termasuk kerja-kerja "sulit" kepada orang lain. Antaranya seperti menyerahkan kepada Guru Data untuk urusan pengesahan e-gtukar. Id dan password Guru Besar bukan menjadi sesuatu yang sulit lagi bila setiap tahun diminta kepada admistrator negeri oleh Guru Data. Bagaimana Guru Besar yang tidak mahir ICT untuk menyembunyikan digri sulit Nilaian Prestasi Tahunan kalau rumusan dan sebagainya diserahkan kepada orang lain.

Sewajarnya kita tidak memandang remeh perkara ini kerana ia melibatkan soal integriri dan respektasi orang kepada kita selaku Guru Besar. Kita bimbang kelak nanti kelemahan kita itu menjadi senjata menikam kita sendiri. Justru mempelajari kemahiran ICT sangat mustahak kepada Pengurus Sekolah. Selain tahu menggunakan perisian asas kita juga perlu tahu dan mahir untuk menggunakan email dan capaian internet atau online kerana stail pengurusan sekarang menjadikan ICT sebagai medium utama. Banyak capaian online yang KPM laksanakan seperti e-operasi, e-gtukar, aplikasi data murid, pendaftaran murid tahun 1, hrmis, emis online dan sebagainya.

Sebagai Guru Besar kita mesti tahu sama ada melaksanakan sendiri atau kerja pemantauan agar pengurusan dan sekolah kita sentiasa up date dan kemaskini. Dalam blog ini ada banyak perkara untuk dimuat turun seperti borang pertukaran GPK, Guru Cemerlang dan sebagainya. Ada setengah bahan khas untuk Guru Besar download. Kami ada cara memantaunya. Jika Guru Besar peka dan tahu ICT, banyak perkara yang mereka boleh bantu guru dengan pantas dan mudah. Mereka akan dilihat sebagai "Pemimpin Rujukan" bukannya sebagai "Pemimpin Siaran atau Pemimpin Sialan" seperti mana yang diperkatakan berkaitan jenis pemimpin oleh Prof Dr. Syed Muhamad Naquib Al-Atas.


Sumber: unitrendahspsjpnt.blogspot.com

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi