SHAH
ALAM, 6 Sept (Bernama) -- Kaedah temuduga mungkin dilaksanakan secara meluas
bagi pemilihan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA)
apabila persaingan menjadi sengit berikutan peningkatan jumlah pelajar
cemerlang, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Pemilihan kemasukan pelajar ke IPTA kini dibuat menerusi komputer dengan 90
peratus berdasarkan pencapaian akademik sementara baki 10 peratus berdasarkan
aktiviti ko-kurikulum, katanya.
Menurut
Mohamed Khaled setakat ini, hanya dua IPTA menggunakan kaedah temuduga iaitu
Universiti Sains Malaysia manakala Universiti Malaya menemuduga pelajar bagi
kursus-kursus tertentu.
"Kemungkinan
kita lakukan perkara yang sama, ketika ini, untuk secara meluas saya belum
nampak, tetapi mungkin satu hari kelak bila persaingan menjadi semakin sengit
pencapaian pelajar cemerlang semakin banyak," katanya kepada pemberita
selepas majlis pertemuan dengan pelajar baru Universiti Teknologi MARA (UiTM)
di sini.
-- BERNAMA
KUALA
LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Borang permohonan memasuki politeknik Kementerian
Pengajian Tinggi bagi sesi Disember tahun ini akan mula dijual pada 13 Ogos
ini.
Ketua
Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik Mejar (K) Md Nor Yusof berkata sebanyak
20,500 tempat ditawarkan di 30 politeknik seluruh negara bagi pelajar lulusan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan
sijil politeknik kementerian itu.
Tarikh
tutup permohonan ialah pada 23 Sept, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau
berkata para pelajar boleh memperoleh nombor pin di mana-mana cawangan Bank
Simpanan Nasional dengan harga RM10.60 dan membuat permohonan secara online di
www.politeknik.edu.my.
"Pelajar
yang telah membeli nombor pin untuk kemasukan sesi Jun 2012 tetapi gagal untuk
mendapat tempat di politeknik, boleh menggunakan nombor pin yang sama untuk
memohon semula bagi sesi Disember ini," katanya.
--
BERNAMA
KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Pelajar institusi pengajian tinggi akan dibenarkan menyertai dan menganggotai mana-mana parti politik apabila pindaan pada tiga akta berkaitan dengan peruntukan itu diluluskan Dewan Rakyat kelak.
Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan), Rang Undang-undang Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) dan Rang Undang-undang Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) (Pindaan) dibentang buat kali pertama oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di persidangan Dewan Rakyat Isnin.
Pindaan itu bagi menggantikan peruntukan sedia ada yang melarang pelajar universiti menjadi anggota parti politik.
Namun, pindaan itu mencadangkan sekatan terhadap penglibatan pelajar dalam aktiviti parti politik di dalam kampus bagi mengekalkan keberkecualian di dalam kampus.
Antaranya ialah subseksyen 15(2) Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti, subseksyen 47(2) Rang Undang-undang Institusi Pendidikan Tinggi Swasta dan subseksyen 10(2) Rang Undang-undang Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) yang mencadangkan pelajar universiti tidak dibenar bertanding dalam pilihan raya kampus bagi atau memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana persatuan universiti jika pelajar itu memegang jawatan dalam parti politik.
-- BERNAMA
Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.