Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts

Friday, December 25, 2020

PEMUPUKAN PERPADUAN


Alhamdulillah, dikesempatan ini dapat saya mengulas berkaitan isu perpaduan susulan kursus ePerpaduan yang saya ikuti anjuran Institut Aminuddin Baki melalui forum, kuiz dan tugasan bertulis secara maya. Penulisan ini adalah pandangan dan pendapat peribadi saya yang difokuskan secara umum berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya sendiri.

 

Perkataan PERPADUAN itu sendiri amat mudah untuk disebut dan tidak sukar rasanya diaspirasikan antara kaum di Malaysia. Tapi sejauh manakah kata PADU itu dapat menyerap ke dalam jiwa masyarakat majmuk Malaysia?

 

Perpaduan mungkin boleh dilihat menyentuh kulit masyarakat namun untuk menjadi padu dan disebatikan agak sukar, ibarat minyak dengan air; boleh bersentuhan tapi sukar bagi kedua-duanya sebati dan menyerap satu sama lain.

 

Tapi seperti yang saya nyatakan perpaduan itu tidak sukar untuk disebatikan sekiranya cara dan kaedah yang digunakan berkekalan disemua peringkat masyarakat di dalam negara kita. Tidak sukar untuk mencapai aspirasi dan memupuk perpaduan seperti mana yang ditekan oleh sistem pendidikan negara kita dengan sama-sama meraikan dan menghargai kepelbagaian yang terdapat dalam masyarakat kita. Namum untuk ianya terus berkembang dan menghijau dalam jiwa nurani di luar dari sistem pendidikan terutama dalam pelbagai bidang masyarakat majmuk itu sendiri agak sukar jika tiada usaha yang tekal dilakukan.

 

Pepaduan Melalui Pendidikan

Melalui sistem pendidikan seawal kanak-kanak itu lagi mungkin tiada masalah besar yang perlu dihadapi dalam menerapkan perpaduan. Apa yang perlu adalah peranan pihak kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah perlu bergerak dan sama-sama memainkan peranan. Kita sedia maklum, terutamanya sekolah-sekolah di kampung atau pendalaman khususnya, sudah pasti organisasi tersebut dipenuhi oleh satu-satu kaum sahaja. Kita juga sedia maklum, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang memberi penekanan untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan murid telah digerakkan melalui proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah, malah di dalam kegiatan Kokurikulum juga telah dilaksanakan.  Tapi sejauh mana ianya menyerap dengan sekadar teori semata-mata perlu diberi perhatian. Justeru itu program yang melibatkan pendekatan melalui aktiviti luar bilik darjah berkonsepkan experiential learning dan menekankan amali dipercayai lebih berkesan berbanding pembelajaran di dalam bilik darjah. Di sinilah peranan JPN dan PPD bagi membantu pihak sekolah dalam merangka program yang bersifat inklusif dan kolaboratif melalui unit khas diperingkat jabatan itu sendiri.

 

Perpaduan Melalui Demografi Kaum

Kita sedia maklum, demografi kaum di Malaysia adalah berbeza. Malah sosial ekonomi dan politik juga adalah berbeda. Di sinilah peranan pemimpin dipelbagai peringkat perlu mempunyai kesedaran tinggi dan ikhlas dalam membentuk perpaduan di Malaysia.

 

Menyedari kedudukan ketidakseimbangan sosial ekonomi, kita sedia maklum bahawa kerajaan telah mengusahakan supaya satu pendekatan baru dalam rancangan pembangunan negara yang dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan seterusnya Dasar Pembangunan Negara (DPN) telah diperkenalkan yang antara matalamat dasarnya adalah bagi mewujudkan perpaduan itu sendiri.

Sejauh manakah dasar-dasar ini telah berjaya dan apakah altenatif baharu yang telah diambil atau diberi penekanan oleh kerajaan perlulah diberi perhatian sejajar dengan matlamat perpaduan disegenap peringkat.

 

Dari segi penglibatan kaum dalam sesuatu pekerjaan, tidak perlu kita lihat jauh, lihatlah disekeliling kita. Siapakah kawan-kawan ditempat kerja kita, dari kaum manakah kawan-kawan kita? Disesetengah jabatan atau bidang, kebanyakkannya hanya dimonopoli oleh sesuatu kaum sahaja.

 

Di sinilah peranan kerajaan amat besar dalam memastikan perpaduan itu terus mekar dan berkembang dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. Jika ia tidak diberi perhatian dan diurus dengan baik, ia boleh menjadi virus yang boleh memudaratkan perpaduan itu sendiri.

 

Perpaduan Melalui Sukan

Tanpa kita sedari, sukan sejak sekian lama telah menjadi ejen perpaduan paling berjaya dalam menyatukan rakyat sesuatu negara tidak terkecuali masyarakat majmuk di Malaysia.

 

Lihat sahaja bagaimana apabila kejayaan ahli sukan diiringi dengan berkibarnya Jalur Gemilang, berdendangnya lagu Negaraku dan lebih hebat seluruh stadium bergema dengan sorakan pelbagai lapisan kaum.

 

Mengambil contoh sukan bola sepak Malaysia suatu masa dahulu, siapa yang pernah lupa dengan skuad bola sepak generasi emas 1980 yang layak ke Olimpik? Diketuai Soh Chin Aun, maruah Malaysia ketika itu turut digalas beberapa bintang seperti Santokh Singh, Hassan Sani, R. Arumugam, James Wong dan Bakri Ibni. Kepelbagaian kaum yang terdapat dalam pasukan Malaysia pada masa itu amat membanggakan.

 

Dalam pasukan bola sepak itu sendiri terdiri daripada pemain pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan India. Kemudian masyarakat berbilang bangsa hadir ke stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan bola sepak setiap kali perlawanan.

 

Misalnya ketika Malaysia bertemu Thailand pada kejohanan AFF dan Sukan SEA di negara ini dahulu. Pelbagai bangsa dan kaum datang ke stadium yang secara langsung menunjukkan kehadiran semangat kenegaraan yang tinggi.

 

Berbanding sekarang ini, pemain naturalisasi hadir selepas Malaysia berada dalam fasa merudum selama hampir 30 tahun susulan prestasi buruk sehingga kedudukan skuad negara dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

 

Justeru itu sudah pastinya kemasukan pemain naturalisasi ini hanya bermatlamat untuk mencapai kemenangan semata-mata tanpa memikir elemen perpaduan itu sendiri.

 

Melihat kepada senarai pemain-pemain bola sepak utama sekarang ini, agak kekurangan pemain-pemain berbilang kaum, malah pada sesuatu masa tiada langsung pemain berbilang bangsa dalam satu-satu pasukan negara.

 

Kita berharap pihak yang bertanggungjawab dalam pembangunan sukan bola sepak khususnya atau lain-lain sukan dapat berfikir dan mengembalikan semula perpaduan masyarakat pelbagai kaum  melalui sukan di negara kita tercinta ini.

 

Perpaduan Melalui Politik

Politik perpaduan sangat penting kepada negara untuk memastikan proses pembinaan negara dapat dilakukan dengan lebih baik tanpa hambatan dan gangguan sosial. Negara yang harmoni dapat memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dan kemajuan yang diidamkan tercapai. Dalam konteks negara dan negeri, perpaduan yang utuh akan memberikan limpahan nikmat pembangunan  kepada semua etnik atau kaum yang ada di negara ini.

 

Perkauman boleh tercetus akibat politik kebencian yang ditimbulkan oleh ahli politik dan ini menyebabkan  ancaman kepada perpaduan kaum. Isu nasional seharusnya dilihat dalam acuan dan agenda nasional, namun ada ahli politik dan NGO yang bersekutu menggunakan isu tersebut dan dikaitkan dengan perkauman. Hal ini dilihat dapat dilihat dengan ucapan-ucapan ahli politik dan pihak NGO sendiri.

 

Kita faham, tujuannya adalah untuk mendapat sokongan bagi etnik atau kaum tertentu. Sudah pasti ucapan yang diberikan berunsur provokatif, membakar semangat perpaduan, menyakiti hati  orang lain atau etnik tertentu. Inilah yang boleh menyebabkan konflik dan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

 

Kita ditekankan dengan perpaduan seawal pendidikan kanak-kanak tapi bila kanak-kanak itu membesar dan menjadi dewasa tanpa disedari atau memang sengaja kita lupa tentang penerapan nilai perpaduan yang telah diterapkan di sekolah disebabkan kekangan atau atas pengaruh dan penglibatan politik, perpaduan yang dijana sedikit tergugat demi mengejar kepentingan politik masing-masing. Lebih-lebih lagi kepada parti politik yang mengamalkan perpisahan kaum atau agama sudah semestinya mempengaruhi pemikiran rakyat sesebuah negara itu sendiri.  Inilah yang dikatakan perpaduan di Malaysia ibarat minyak dengan air, walaupun bertautan tapi sukar untuk berpadu.

 

Justeru itu dari penulisan ringkas ini semoga ia dapat sedikit sebanyak memberi ingatan dan renungan kepada kita maupun dipihak kerajaan agar dapat berfikir kemanakah hendak dibawa masyarakat majmuk di negara Malaysia tercinta ini. Dimanakah peranan dan tanggungjawab yang dimainkan oleh pihak tertentu atau organisasi-organisasi yang telah dipertanggungjawabkan. Akhir kata marilah kita sama-sama berdoa agar negara kita terus makmur, aman, maju dan harmoni bersama dalam memupuk perpaduan negara bangsa kita Malaysia.

 

 

Wednesday, November 5, 2014

Al-Fatihah: Bekas Adun Gual Periok Meninggal Dunia


Bekas Adun Gual Periok, Abdul Rahman Awang, 76, meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Pasir Mas malam ini.
   
Adik ipar kepada Allahyarham Fauziah Che Wook berkata, Abdul Rahman meninggal dunia jam 7.45 malam ketika menerima rawatan.
   
"Petang tadi, Allahyarham mengadu sakit di bahagian belakang badan dihantar ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang yang kemudiannya dihantar ke Hospital Pasir Mas," katanya ketika dihubungi di rumah Allahyarham di Rantau Panjang.
   
Allahyarham Abdul Rahman yang juga bekas timbalan ketua Umno bahagian Rantau Panjang, menjadi Adun Gual Periok selama satu penggal dari 1986 hingga 1990.
   
Fauziah yang juga Ketua Wanita Umno bahagian Rantau Panjang berkata, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang pagi esok.



P/S: Saya dan dua orang rakan iaitu Cg. Aziz (Pulau Pinang) dan Cg. Nadarajah (Selangor) pernah tinggal berjiran dengan Allahyarham Abe Man semasa bertugas di Rantau Panjang, Kelantan (1989-1993). Semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Aaamiin

Monday, September 22, 2014

AWAS!!! Taktik Terbaru Untuk Mencuri Kereta

Sedarlah semua! Tolong sebar-sebarkan. Kita berjalan menghampiri tempat parking, membuka kereta dan masuk ke dalamnya. Kita start engine kereta dan bersedia untuk berundur.

Bila kita melihat cermin belakang untuk melihat kawasan belakang, kita dapati ada kertas yg melekat ditengah-tengah cermin belakang menghalang pandangan kita. Jadi kita parking balik kereta, buka pintu dan keluar untuk menanggalkan kertas atau apa jua benda yang menghalang penglihatan kita tadi.

Bila anda sampai dibahagian belakang kereta, pada masa itulah pencuri akan keluar dari tempat sembunyinya, masuk ke dalam kereta dan memecut pergi.Dia mungkin akan merempuh anda dengan laju semasa mereka melarikan kereta anda.

Perasan tak kaum hawa? Saya pasti beg duit kita masih di dalam kereta. Jadi sekarang pencuri memperolehi kereta kita, alamat rumah kita, duit kita, dan segala kunci kita. Rumah kita dan kesemua identiti kita telah diperolehi!

BERHATI-HATI DENGAN CARA BARU YANG DIGUNAKAN

Jika kita melihat ada kertas melekat pada cermin belakang kita, teruskan memandu. Tanggalkan kertas itu kemudian. Bersyukur kerana anda membaca email ini.

Saya harap anda akan hantar email ini kepada kawan2 dan keluarga, terutama wanita. Kesemua maklumat peribadi dan pengenalan diri yang berada di beg tangan anda sudah tentu tidak mahu jatuh ke tangan orang lain.

Zaman sekarang macam-macam boleh jadi. Kena banyak beringat.

p/s: Semoga kita dijauhi dari perbuatan jahat manusia.




Sunday, September 7, 2014

NUTP Kutuk Penyebaran Kertas Jawapan Murid Dijadikan Bahan Jenaka

Antara jawapan pelajar yang menjadi ‘viral’di laman sosial

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengutuk tindakan penyebaran kertas jawapan soalan murid sekolah rendah yang dijadikan bahan jenaka sehingga ia menjadi ‘viral’ yang dipercayai dilakukan segelintir guru sekolah rendah di negara ini.

Presidennya Hashim Adnan berkata, tindakan itu bukan saja melanggar etika profesion perguruan, malah lebih buruk mengikis perasaan hormat terhadap guru berkenaan apabila tindakannya diketahui murid yang menjadi ‘mangsa’ guru terbabit.

“Kebelakangan ini, saya menerima banyak gambar seperti itu yang menjadi ‘viral’ melalui pelbagai aplikasi sosial terutama WhatsApp dan saya percaya gambar itu dirakam dan disebarkan guru yang menyemak soalan murid berkenaan.

“Guru tidak sepatutnya merakamkan gambar soalan dan jawapan menggunakan telefon bimbit dan berkongsi dengan rakan sebagai bahan jenaka kerana ia mungkin boleh mendatangkan kesan buruk kepada murid terbabit.

“Bayangkan jika perkara ini berlarutan, pasti lama-kelamaan murid akan hilang perasaan hormat kepada guru yang mengaibkannya di seluruh dunia,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.



Friday, September 5, 2014

10 Masjid Tercantik Di Dunia

1) Masjidil Haram, Makkah, Arab Saudi
Masjidil Haram, Makkah, Arab Saudi adalah masjid terbesar di dunia terletak di kota suci Makkah dan berada di sekitar Kaabah. Masjid ini merupakan tempat paling suci bagi umat Islam dan sebagai penunjuk arah kiblat. Ketika ini, luas Masjidil Haram ialah 39.6 hektar termasuk ruang solat luar dan dalam. Ketika musim Haji, ia mampu menampung sehingga 4 juta Jemaah.



2) Masjid Nabawi
Masjid kedua terbesar di dunia selepas Masjidil Haram dan kedua paling suci bagi umat Islam. Salah satu tempat paling penting pada masjid ini adalah Kubah Hijau di mana ia menempatkan makam Nabi Muhammad SAW.



3) Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis, Palestin
Majid Al-Aqsa bermaksud masjid paling jauh, dan ia merupakan tempat suci bagi kota lama Baitulmaqdis. Bagi umat Islam, masjid ini adalah masjid ketiga paling suci selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.



4) Majid Zahir, Kedah, Malaysia
Dibina pada 1912 dan dibiayai Tunku Mahmud iaitu anak Sultan Tajuddin Mukarram Shah. Di sini juga terletaknya makam pahlawan Kedah yang maut ketika mempertahankan negeri itu dari Siam pada 1981. Seni binanya diilhamkan dari Masjid Azizi di Langkat, utara Sumatera di Indonesia. Terdapat lima kubah melambangkan rukun Islam.



5) Masjid Sultan Omar Ali Saifudin, Brunei
Masjid Sultan Omar Ali Saifudin, Brunei adalah masjid diraja Kesultanan Brunei terletak di Bandar Seri Begawan. Masjid ini diklasifikasikan sebagai masjid paling hebat di rantau Asia Pasifik dan menjadi antara tarikan utama pelancong. Bagi masyarakat tempatan, masjid ini adalah mercu tanda negara mereka.



6) Masjid Taj’ul, Bhopal, India
Terletak di Bhopal, India, masjid ini adalah salah satu masjid terbesar di Asia. Pada sebelah petang, ia digunakan sebagai sekolah agama.



7) Masjid Baiturrahman, Banda Aceh, Indonesia
Dahulu, masjid ini adalah masjid Kesultanan Aceh. Apabila Belanda menyerang Banda Aceh pada 1873, masjid ini dibakar dan Belanda membina sebuah masjid baharu sebagai pengganti. Kubah pertama masjid disiapkan pada 27 Disember 1883, dan tiga lagi kubah ditambah pada 1935. Kini, ia dikembangkan kepada lima kubah pada 1959 hingga 1968.



8) Masjid Sultan, Singapura
Terletak di Muscat Street dan North Bridge Road di Kampung Glam Rochor. Sejak ia dibina, masjid ini tidak banyak berubah. Hanya penambahbaikan kecil sahaja dilakukan di ruang utama pada 1960 dan ruang tambahan dibina pada 1993. Pada 14 Mac 1975, ia diiktiraf sebagai monumen kebangsaan.



9) Masjid Faisal, Islamabad, Pakistan
Ia masjid terbesar di selatan timur dan selatan Asia serta keempat terbesar di dunia. Pada 1986 hingga 1993, ia merupakan masjid terbesar di dunia sebelum selesainya pembinaan Masjid Hassan II di Casablanca, Maghribi dan pembesaran Masjidil Haram serta Masjid Nabawi pada 1990-an.



10) Masjid Qol Shariff, Rusia
Ia adalah salah satu masjid terkenal di Rusia. Nama masjid ini diambil sempena nama Imam Qol Shariff pada abad keenam.





Tuesday, March 11, 2014

MH370 Hilang Mengelirukan Dan Sesuatu Yang Ajaib

Disamping penggunaan teknologi moden, usaha pencarian pesawat MAS MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu perlu juga menggunakan kaedah spritual yang diajar oleh Islam.

Bekas Ketua Juruterbang B777 Fleet MAS, Kapten Norudin Abd Majid berkata, sebagai seorang Islam yang beriman, kehilangan pesawat ini perlu juga dilihat dari luar sudut sains dengan kembali kepada ajaran agama.

"Ia hilang, 100 peratus hilang...fullstop!

"Sebagai orang beriman, ini adalah ketentuan. Allah SWT menetukan segala-galanya. (Kehilangan) ini mengelirukan dan menjadi perkara ajaib yang kita dan dunia kena terima," kata beliau dalam temubual Buletin Utama malam tadi.

Beliau juga berkata bahawa Allah memberi cara dan kunci untuk temui apa sahaja dan manusia harus menggunakan segala usaha termasuk menggunakan kepakaran orang tertentu untuk mengesan pesawat MH370 itu.

Ditanya, siapakan orang itu, beliau berkata, "Doa daripada orang-orang yang soleh yang dekat dengan Allah dan keluarga (yang terlibat), kerana mereka sedang beremosi dan Allah sedang melihat mereka".

Beliau menegaskan, penggunaan kaedah sain dan spritual perlu seiring dalam usaha pencarian ini.

"InsyaAllah akan ditemui, akan ditemui.

"Gabungkan sains dan juga yang mencipta sains (Allah).

Pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing yang membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal, hilang daripada radar, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang, pada pukul 12.41 pagi Sabtu, 8 Mac lalu.



Monday, January 13, 2014

Rasuah: Guru Besar Dihukum Penjara

Guru Besar SK Kajang Utama, Kajang dihukum penjara 3 tahun dan didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan, meminta serta memperoleh suapan RM3,000, tiga tahun lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim, M. Bakri Abdul Majid terhadap Abdul Samad Abdul Ghani, 50.

M. Bakri dalam penghakimannya berkata, pembelaan Abdul Samad adalah rekaan semata-mata supaya disesuaikan bagi menyatakan wang rasuah tersebut untuk sumbangan sekolah.

"Mahkamah tidak terima pembelaan tersebut berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan termasuklah keterangan pakar yang mengesahkan terdapat pindaan pada borang permintaan sumbangan,"katanya.

Lelaki itu didakwa meminta dan memperoleh rasuah RM3,000 daripada pengusaha kantin, Zainun Hussain bagi menyambung kontrak kantin sekolah bagi sesi 2013.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di  SK Kajang Utama, Kajang, jam 11 pagi pada 8 dan 14 November 2011.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaan Raya, Mukhriz Mat Rus mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Peguam, Hazman Harun  yang mewakili anak guamnya memohon penangguhan hukuman penjara untuk memfailkan rayuan.

Hakim membenarkan penangguhan hukuman penjara dengan jaminan RM8,000.



Tuesday, December 10, 2013

Tips Jika Kenderaan Ditenggelami Banjir

Musibah seperti banjir memang akan merugikan banyak pihak.  Bukan sahaja harta benda boleh rosak, bahkan nyawa juga turut boleh terancam.  Dari segi harta benda, kenderaan adalah antara yang besar nilainya di sisi kita.  Bukan sahaja pada nilai harganya, bahkan pada nilai jasanya.  Tentu banyak kos perlu dikeluarkan untuk membaikinya semula jika kenderaan ditenggelami banjir.  Bagaimana hendak menyelamatkannya dan mengurangkan kos pembaikan tersebut?

Sebelum masuk kepada cadangan jawapan kepada soalan tersebut, saya sekadar hendak ingatkan kepada tuan/puan mangsa-mangsa banjir agar jangan berkalau-kalau lagi.  Contohnya:

“Kalaulah aku sempat bawa kereta ni ke tempat lebih tinggi, tentu tak tenggelam.”

“Kalau aku tak parking kat sini, tentu tak jadi begini.”

“Kalaulah aku tak datang bermalam kat sini, tentu selamat dari ditimpa musibah ini.”

Sikap berkalau-kalau begini memang akan menyerbu ke dalam qalbu kita saat musibah begini.  Rasulullah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam pernah menasihatkan agar jangan bersikap seperti itu kerana sikap tersebut akan mengundang Syaitan merosakkan iman dan qalbu kita.

“Jika kamu tertimpa sesuatu, janganlah mengucapkan:  “Seandainya/kalaulah saya berbuat begini dan begitu” tetapi katakanlah, “ALLAH telah mentaqdirkannya, apa yang telah dikehendakiNYA pasti akan terjadi”, kerana sesungguhnya kata-kata ‘seandainya/kalaulah’ itu membuka jalan bagi Syaitan.” (HR Muslim)

Semoga iman kita kukuh dan berjaya berhadapan dengan gangguan Syaitan atas ujian besar ini.  Dan semoga dengan kesabaran dan sifat redha tuan/puan, ALLAH Ta`ala kurniakan pahala, penebusan dosa dan kebaikan yang banyak buat tuan/puan mangsa-mangsa banjir, amin…

Baik, sekarang kita masuk kepada apa yang perlu kita buat jika kenderaan ditenggelami banjir.  Berikut adalah beberapa nasihat yang saya perolehi semasa tempat saya ditenggelami banjir sehingga menyebabkan kenderaan saya tenggelam hingga hampir ke paras bumbung.


Sebelum Tenggelam:

1.  Jika kenderaan memang tidak boleh dilarikan ke tempat yang lebih tinggi dan ekzos kenderaan masih belum ditenggelami banjir, maka sumbatlah lubang ekzos tersebut dengan sesuatu yang padat dan kalis air.  Contohnya menutupnya dengan plastik.

2.  Cabut terminal bateri kerana kita tidak tahu berapa lama kenderaan kita akan dibiarkan tanpa dihidupkan kerana musibah banjir bermacam-macam peringkat.

3.  Selamatkan barang-barang yang dirasakan penting terutama yang mudah rosak akibat air.  Pendek kata, selamatkan semua yang boleh diselamatkan kerana banjir bukanlah air biasa, tetapi air berlumpur.


Ketika Tenggelam:

1.  Kenderaan yang sedang ditenggelami banjir jangan dihidupkan enjinnya terutama apabila air banjir mulai menutup ekzos kenderaan dan bahagian enjin .  Apatah lagi cuba untuk memandunya meredah banjir.


Setelah Banjir Surut:

1.  Selepas banjir telah surut, jangan hidupkan enjin!  Jangan hidupkan enjin!  Jangan hidupkan enjin!  Inilah pantang besar jika kenderaan anda ditenggelami banjir besar, iaitu jangan hidupkan enjin!

2.  Panggil lori tunda untuk ditunda ke bengkel yang dipercayai. Komponen utama seperti enjin dan transmission mungkin akan rosak.  Samada rosak banyak atau rosak sikit.  Enjin mungkin tak perlu overhaul, sekadar flush minyak enjin beberapa kali.  In shaa’ ALLAH enjin OK.  Kalau enjin dihidupkan semasa atau selepas banjir surut, maka enjin akan mengalami kerosakan yang lebih parah.

3.  Sistem transmisi pula kalau jenis manual, maka prosesnya sama macam enjin.  Flush minyaknya beberapa kali sampai tiada air di dalamnya.  Hal ini mekanik akan nasihat.  Mungkin 3 hingga 5 kali flush.  Atau mungkin lebih.  Tapi kalau sistem transmisi jenis auto, mungkin ada masalah yang lebih besar.  Kemungkinan kena overhaul atau lebih teruk dari itu iaitu tak dapat diselamatkan.  Terpaksa tukar gear box baru.  Harap-harap tidaklah sampai macam itu.

4.  Sistem elektornik boleh selamat in shaa’ ALLAH.  Cuma dalam masa yang panjang, mungkin baru nampak kesannya.

5.  Kusyen pula memang kotor dan berbau habislah.  Kena cuci samada upah atau sendiri.  Kadang-kadang pihak bengkel ada tawarkan juga khidmat cuci kenderaan dan kusyen khas akibat banjir.  Khidmat cuci kenderaan akibat banjir ni memang mahal harganya sebab mereka akan buka habis kerusi dalam kereta dan cuci dengan teliti.  Selepas siap dicuci, bau tidak menyenangkan tetap juga wujud selama beberapa tempoh.  Terpaksa bersabarlah dengan bau tersebut tu dalam lebih kurang sebulan.  Lama-lama OK, in shaa’ ALLAH.

Itulah setakat yang saya tahu dan mampu berkongsi.  Ini pun tahu sebab dulu kereta pernah tenggelam banjir.  Kalau tuan/puan ada nasihat-nasihat lain, silakanlah kongsi.  Dan kalau maklumat di atas tidak tepat, silalah betulkan.  In shaa’ ALLAH kita sama-sama berkongsi untuk kebaikan bersama.

Mengenai kos pembaikan, ia sangat subjektif.  Bergantung kepada kita samada ada hidupkan enjin atau tidak.  Jika hidupkan enjin, maka kos pembaikan akan menjadi tinggi kerana komponen enjin boleh banyak rosak.  Jika tidak hidupkan enjin, maka mungkin kosnya tidak tinggi sangat.  Lagi satu faktor ialah jenis kenderaan.  Pihak bengkel akan nasihatkan proses semuanya.  Jadi pemilihan bengkel yang dipercayai juga merupakan faktor yang penting.

Semoga ALLAH Ta`ala mempermudahkan urusan semua saudara-saudara kita yang mengalami musibah banjir, dikuatkan kesabaran, dikurniakan kebaikan dari sisiNYA, diberikan keselamatan dan dikeluarkan dari musibah tersebut dengan segera. Amin.




Wednesday, May 15, 2013

KABINET MALAYSIA 2013

PERDANA MENTERI:
Datuk Seri Najib Tun Razak

TIMBALAN PERDANA MENTERI:
Tan Sri Muhyiddin Yassin

JABATAN PERDANA MENTERI:
Menteri:
1. Datuk Seri Jamil Khir Baharom (UMNO)
2. Datuk Seri Abdul Wahid Omar (akan dilantik sebagai Senator)
3. Datuk Seri Idris Jala (SEnator)
4. Tan Sri Joseph Kurup PBRS)
5. Datuk Seri Shahidan Kassim (UMNO)
6. Nancy Shukri (PBB)
7. Datuk Entulu Belaun (PRS)
8. Datuk Paul Low Seng Kwan (Senator)

Timbalan Menteri:
1. Datuk Razali Ibrahim (UMNO)
2. Waythamoorthy Ponnusamy (akan dilantik sebagai Senator)

KEMENTERIAN KEWANGAN
Menteri: Datuk Seri Najib Tun Razak (UMNO)
Menteri II: Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (UMNO)

Timbalan Menteri:
1. Datuk Ahmad Maslan (UMNO)

KEMENTERIAN PELAJARAN (digabung bersama Kementerian Pengajian Tinggi)
Menteri: Tan Sri Muhyiddin Yassin (UMNO)
Menteri II : Datuk Seri Idris Jusoh (UMNO)

Timbalan Menteri:
1. Mary Yap Kain Ching (PBS)
2. P. Kamalanathan (MIC)

KEMENTERIAN PERTAHANAN
Menteri: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (UMNO)
Timbalan Menteri: Datuk Abdul Rahman Bakri (UMNO)

KEMENTERIAN DALAM NEGERI
Menteri: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (UMNO)
Timbalan Menteri: Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (PBB)

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN
Menteri: Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein (UMNO) (MEMANGKU)
Timbalan Menteri: Ab Aziz Kaparawi (UMNO)

KEMENTERIAN INDUSTRI DAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA
Menteri: Datuk Seri Mustapa Mohamed (UMNO)
Timbalan Menteri: Hamim Samuri (UMNO)

KEMENTERIAN LUAR
Menteri: Datuk Seri Anifah Aman (UMNO)
Timbalan Menteri: Datuk Seri Hamzah Zainuddin (UMNO)

KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA
Menteri: Datuk Hasan Malek (UMNO)
Timbalan Menteri: Datuk Ahmad Bashar Md. Hanipah (Senator)

KEMENTERIAN KERJA RAYA
Menteri: Datuk Fadillah Yusof (PBB)
Timbalan Menteri: Datuk Rosnah Rashid Shirlin (UMNO)

KEMENTERIAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA
Menteri: Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (UMNO)
Timbalan Menteri: Jailani Johari (UMNO)

KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA
Menteri: Richard Riot Jaem (SUPP)
Timbalan Menteri: Datuk Ismail Abdul Muttalib (UMNO)

KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH
Menteri: Datuk Seri Shafie Apdal (UMNO)
Timbalan Menteri: Alexander Nanta Linggi (PBB)

KEMENTERIAN KESEJAHTERAAN BANDAR DAN KERAJAAN TEMPATAN
Menteri: Datuk Abdul Rahman Dahlan (UMNO)
Timbalan Menteri: Datuk Halimah MOhamad Saddique (UMNO)

KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN
Menteri: KHairy Jamaluddin (UMNO)
Timbalan Menteri: M. Saravanan (MIC)

KEMENTERIAN KESIHATAN
Menteri: Datuk Seri Dr. S Subramaniam (MIC)
Timbalan Menteri: Datuk Seri Hilmi Yahya (UMNO)

KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN
Menteri: Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (UMNO)
Timbalan Menteri: J. Loga Bala Mohan (Senator)

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Menteri: Datuk Seri Douglas Uggah Embas (PBB)
Timbalan Menteri: Datuk Noriah Kasnon (UMNO)

KEMENTERIAN TENAGA, TEKNOLOGI DAN AIR
Menteri: Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili (PBS)
Timbalan Menteri: Datuk Seri Mahdzir Khalid (UMNO)

KEMENTERIAN ASAS TANI
Menteri: Datuk Seri Ismail Sabri Yakop (UMNO)
Timbalan Menteri: Datuk Tajudin Rahman (UMNO)

KEMENTERIAN PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN
Menteri: Datuk Seri Nazri Aziz (UMNO)
Timbalan Menteri: Joseph Salang Anak Gandum (PRS)

KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
Menteri: Datuk Dr.Ewon Ebin (UPKO)
Timbalan Menteri: Datuk Dr. ABu Bakar Mohamad Diah (UMNO)

KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR
Menteri: Datuk Seri G.Palanivel (MIC)
Timbalan Menteri: Janes Dawos Mamit PBB)

- ABN News

Friday, February 15, 2013

Meteor besar terhempas di Rusia

MOSCOW: Sebuah meteor besar menjunam dan meletup di wilayah tengah Rusia hari ini dan mencetuskan gelombang kuat yang memecahkan tingkap dan mencederakan sekitar 950 orang dalam kejadian yang belum pernah berlaku di zaman moden ini.

Kejadian luar biasa itu mengakibatkan lalulintas terhenti di bandaraya Chelyabinsk apabila orang ramai yang terkejut, berhenti memandu untuk melihat meteor yang menyala bergerak melintasi ruang udara.

Para pakar berkata hentaman meteor sebesar itu yang dianggarkan seberat puluhan tan, amat jarang berlaku, begitu juga dengan jumlah mangsa di tempat kejadian.

Kementerian kecemasan pada awalnya menganggarkan lebih 500 orang cedera, 112 dimasukkan ke hospital.

Tingkap hancur dilanda gelombang tersebut di wilayah bandaraya itu, dengan pihak kementerian menganggarkan hampir 300 bangunan rosak termasuk, sekolah, hospital, sebuah kilang zink dan sebuah stadium hoki ais.

Dalam perkembangan terkini, gabenor wilayah tersebut, Mikhail Yurevich berkata angka kecederaan telah meningkat kepada sekitar 950 orang.

Mikhail yang dipetik oleh agensi berita RIA Novosti, berkata dua pertiga daripada mereka cedera ringan terkena pecahan kaca dan bahan-bahan lain.

Di bandaraya Chelyabinsk sahaja, 758 orang memerlukan bantuan perubatan.

Berikut adalah gambar dan video kejadian:


- dailymail

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi