Showing posts with label Jabatan Perkhidmatan Awam. Show all posts
Showing posts with label Jabatan Perkhidmatan Awam. Show all posts

Tuesday, December 24, 2013

Penggabungan Skim Perkhidmatan PPPS Dan PPPLD


TUJUAN
Pekeliling ini bertujuan untuk memaklum dan melaksanakan keputusan kerajaan mengenai penggabungan skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) kepada skim perkhidmatan bersepadu iaitu skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP).

LATAR BELAKANG
Selaras dengan hasrat kerajaan yang menyasarkan peningkatan kelayakan guru ke peringkat ijazah sarjana muda melalui Program Pensiswazahan Guru, kesinambungan perkhidmatan dan penambahbaikan laluan kemajuan kerjaya profesion keguruan, kerajaan telah bersetuju untuk menggabungkan skim perkhidmatan PPPS dan PPPLD menjadi skim perkhidmatan bersepadu PPP yang merangkumi Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

SKIM PERKHIDMATAN PPP
Skim perkhidmatan bersepadu PPP melibatkan pindaan-pindaan kepada perbekalan skim perkhidmatan PPPS dan PPPLD sedia ada seperti berikut:

a)  Gred jawatan/gred gaji skim perkhidmatan ini ialah Gred DG29, DG32, DG34, DG38, DG41/42, DG44, DG48, DG52, DG54;

b)  Pemansuhan Kelayakan Masuk Pelbagai (KMP) bidang di peringkat ijazah dan diploma dalam syarat lantikan skim perkhidmatan sedia ada;

c)  Penambahan syarat kelayakan masuk di peringkat ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD); dan

d)  Peningkatan pegawai di Kumpulan Pelaksana Gred DG29, DG32, DG34 dan DG38 ke Kumpulan Pengurusan dan Profesional melalui kaedah kenaikan pangkat ke Gred DG42 tertakluk memenuhi syarat kenaikan pangkat yang ditetapkan.

Berdasarkan pindaan seperti di atas, syarat lantikan skim perkhidmatan PPP adalah seperti berikut:

a) Kelayakan Untuk Lantikan ke Gred DG29
i) diploma dalam bidang perguruan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi perguruan tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
(Gaji permulaan ialah pada Gred DG29: RM1,589.00); atau

ii) diploma dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan serta Sijil Kursus Perguruan Lepas Diploma atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. (Gaji permulaan ialah pada Gred DG29: RM1,735.44).

b) Kelayakan Untuk Lantikan ke Gred DG41
i)  ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan serta Diploma Pendidikan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. (Gaji permulaan ialah pada Gred DG41: RM2,018.52); atau

ii)  ijazah sarjana muda kepujian dalam bidang pendidikan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. (Gaji permulaan ialah pada Gred DG41: RM2,222.94); atau

iii)  ijazah sarjana muda kepujian dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan serta Diploma Pendidikan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. (Gaji permulaan ialah pada Gred DG41: RM2,222.94); atau

iv) ijazah sarjana dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan serta Diploma Pendidikan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. (Gaji permulaan ialah pada Gred DG41: RM2,733.98).

v) ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan serta Diploma Pendidikan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. (Gaji permulaan ialah pada Gred DG41: RM3,040.60).

Selain itu, melalui skim perkhidmatan bersepadu ini, kenaikan pangkat pegawai ke Gred DG38 tidak lagi dikhususkan kepada jawatan Guru Besar Cemerlang Sekolah Rendah dan Guru Besar Sekolah Kluster (Sekolah Rendah) sahaja. Keputusan ini adalah selaras dengan keputusan kerajaan berhubung kaedah kenaikan pangkat secara time-based berasaskan kecemerlangan kepada PPPS dan PPPLD yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012 melalui Surat JPA rujukan JPA.BK(S)255/4/5 Jld.5 (56) bertarikh 13 April 2012 – Penetapan Kaedah Pelaksanaan Kenaikan Pangkat Secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan bagi PPPS dan PPPLD di KPM.

Skim perkhidmatan bersepadu PPP adalah seperti di LampiranA. Format iklan jawatan adalah seperti di Lampiran B. Jadual Gaji Minimum-Maksimum (JGMM) bagi skim perkhidmatan ini adalah seperti di LampiranC

  Jadual Gaji Minimum-Maksimum Bagi Perkhidmatan Pendidikan 
Kumpulan Pengurusan Dan Profesional Mulai 1 Januari 2014 
(Klik untuk kelihatan jelas)

Jadual Gaji Minimum-Maksimum Bagi Perkhidmatan
 Pendidikan Kumpulan Pelaksana Mulai 1 Januari 2014
(Klik untuk kelihatan jelas)

PELAKSANAAN
Semua PPPS dan PPPLD dilantik secara tetap termasuk mereka yang dalam tempoh percubaan serta memilih opsyen Sistem Saraan Malaysia akan dipindahkan secara gred ke gred ke skim perkhidmatan PPP seperti berikut: 

Perbandingan Skim Perkhidmatan


PPPS Gred Utama/Khas masing-masing akan dipindahkan ke gred yang sama dalam skim perkhidmatan PPP.

Jabatan ini (Bahagian Pembangunan Organisasi [BPO]) akan melaksanakan perubahan jawatan dalam Senarai Perjawatan sedia ada. Mulai tarikh kuat kuasa skim perkhidmatan ini, semua lantikan sebagai PPP hendaklah menggunakan skim perkhidmatan yang baharu dan syarat lantikan yang ditetapkan hendaklah dipatuhi.

KAEDAH PENETAPAN GAJI PERMULAAN
Pegawai akan ditawarkan penetapan gaji permulaan di jawatan baharu seperti berikut:

a) Pada gaji minimum di gred jawatan baharu sekiranya gaji akhir di gred jawatan asal adalah sama atau lebih rendah daripada gaji minimum di gred jawatan baharu; atau

b)  Pada amaun gaji yang sama dengan amaun gaji akhir di gred jawatan asal jika gaji akhir di gred jawatan asal lebih tinggi daripada gaji minimum di gred jawatan baharu; atau

c) Pada gaji permulaan kelayakan ijazah sarjana atau PhD bagi pegawai yang memiliki kelayakan berkenaan jika amaun gaji di gred jawatan asal adalah lebih rendah daripada gaji permulaan kelayakan ijazah sarjana atau PhD.

Pegawai yang gaji akhirnya tidak dapat ditampung oleh amaun gaji dalam JGMM mengikut kaedah di atas, maka jadual gaji Khas Untuk Penyandang (KUP) hendaklah dipohon daripada jabatan ini (Bahagian Saraan) dengan mengemukakan salinan Kenyataan Perkhidmatan pegawai terlibat yang telah dikemas kini dan disahkan.

ELAUN DAN KEMUDAHAN
Urusan ini tidak melibatkan sebarang perubahan elaun dan kemudahan yang sedang diterima oleh pegawai mengikut pekeliling perkhidmatan/surat pekeliling perkhidmatan/surat edaran yang berkuat kuasa, termasuk Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal. Walau bagaimanapun, penetapan kadar elaun dan kemudahan tersebut adalah tertakluk kepada penetapan gred jawatan pegawai.

TARIKH KUAT KUASA
Pekeliling perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2014.

PEMBATALAN
Dengan berkuat kuasanya pekeliling perkhidmatan ini, maka skim perkhidmatan PPPS dan PPPLD sedia ada dibatalkan seperti berikut:

a) Skim Perkhidmatan PPPS di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002; dan

b) Skim Perkhidmatan PPPLD di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2007.




- Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia

Thursday, November 7, 2013

Penambahbaikan Jadual Gaji Minimum-Maksimum Gred 1-Gred 54 Di Bawah SSM

Pekeliling perkhidmatan ini (Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 36 Tahun 2013) bertujuan melaksanakan keputusan Kerajaan mengenai penambahbaikan struktur Jadual Gaji Minimum - Maksimum (JGMM) bagi Gred 1 hingga Gred 54 di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Seiring dengan transformasi Perkhidmatan Awam yang memberi penekanan kepada mendayakan kompetensi dan produktiviti penjawat awam, merekayasa organisasi, merakyatkan Perkhidmatan Awam dalam keterangkuman memperluaskan jaringan kerja serta mewujudkan nilai bersama dan integriti, maka Kerajaan mendapati skim-skim perkhidmatan yang berkuat kuasa dan landasan kemajuan kerjaya pegawai beserta struktur JGMM di bawah SSM wajar dikaji dan ditambah baik.

Kajian dan penambahbaikan ini secara keseluruhannya adalah bagi memastikan:
1. Perolehan modal insan yang menepati keperluan negara dan perkhidmatan melalui syarat-syarat kelayakan yang diiktiraf dalam melaksanakan skop fungsi tugas jawatan yang ditetapkan.
2. Pembentukan kepegawaian yang berkualiti dari segi kemahiran, pengetahuan dan sikap melalui landasan kerjaya yang terancang.
3. Penggajian yang berlandaskan prinsip kadar upah mengikut kerja dan kelayakan yang diperlukan, serta prinsip relativiti dan pariti dalam menarik dan mengekalkan bakat-bakat terbaik.

Justeru, di atas keperluan-keperluan yang dijelaskan di perenggan 3, maka Kerajaan bersetuju struktur JGMM bagi Gred 1 hingga Gred 54 di bawah SSM ditambah baik.



- Portal JPA

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi