Showing posts with label Cuepacs. Show all posts
Showing posts with label Cuepacs. Show all posts

Thursday, October 31, 2013

CUEPACS Mahu Penambahbaikan Skim Pada Semua, Bukan Hanya 81 Skim

CUEPACS mahu penambahbaikan skim perkhidmatan kakitangan awam tidak terhad kepada 81 skim sahaja sebaliknya meliputi kesemua lebih 200 skim.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata penambahbaikan skim perkhidmatan awam perlu dibuat secara menyeluruh bagi mengelak produktiviti dalam kalangan 1.3 juta penjawat awam terjejas jika 81 skim sahaja ditambah baik.

"Kita berharap bukan hanya untuk 81 skim sahaja, kita ada lebih 200 skim. Kita mahu sebelum 31 Dis ini, kalau boleh semua skim dapat penyelesaian," katanya semasa melawat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Padang Jawa Khamis.

Sebelum ini, beliau berkata kesatuan sekerja yang terlibat dalam penguatkuasaan seperti JPJ, Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta pihak berkuasa tempatan mengemukakan memorandum penambahbaikan skim perkhidmatan masing-masing kepada kerajaan.

Begitu juga dengan kumpulan pentadbiran sistem maklumat dan kewangan serta kumpulan pengurusan dan profesional, katanya.

Omar berkata CUEPACS akan mendengar taklimat Jabatan Perkhidmatan Awam di Putrajaya Jumaat berkaitan skim yang akan ditambah baik dan pihaknya dijangka membangkitkan keperluan penambahbaikan kepada semua skim.

Beliau juga berkata gred gaji permulaan bagi anggota penguatkuasa masih rendah iaitu kira-kira RM800 sebulan berbanding gaji minimum yang ditetapkan kerajaan sebanyak RM900 sebulan.

- BERNAMA

Monday, April 8, 2013

CUEPACS Cadang Sistem Saraan Transformatif Menyeluruh

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan Sistem Saraan Transformatif (SST) yang lebih menyeluruh dilaksanakan bagi meningkatkan prestasi penjawat awam.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata CUEPACS berharap proses penyediaan SST yang meliputi 81 skim perkhidmatan sahaja setakat ini, akan turut meliputi kesemua 289 skim perkhidmatan apabila siap kelak.

"Sebelum ini kita ada cadangan untuk meningkatkan sistem saraan melalui SSBP (Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam), namun tak jadi kita balik kepada SSM (Sistem Saraan Malaysia) yang ditambah baik. Apa yang diperlukan sekarang adalah sistem pengganti SSM bagi membolehkan penjawat awam berkhidmat dengan baik.

"SST (Sistem Saraan Transformatif) yang baru diumumkan merupakan langkah pertama yang baik ke arah ini, namun ia belum merangkumi semua skim perkhidmatan awam. Kita harap pelaksanaan sebuah skim menyeluruh dapat dimuktamadkan dalam tahun ini," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas manifesto BN, antara lain, menyentuh rancangan kerajaan hendak memperkenalkan Skim Gaji Transformatif (SGT) di bawah SST.

Di bawah SGT, ia termasuk menyemak semula elaun dan menyediakan pergerakan gaji khas sebanyak tiga peratus kepada mereka yang mencapai gaji maksimum jika pada waktu itu tiada semakan gaji dilakukan.

Ketika ini, kerajaan BN telah memperkenalkan dan memperkemaskan gred skim penggajian untuk penjawat awam termasuk kenaikan gaji secara keseluruhan dan beberapa inisiatif baharu yang berjumlah RM2 bilion.

Selain itu, kerajaan turut menyediakan tambahan tiga kali kenaikan gaji tahunan selepas mata gaji mencecah paras maksimum dalam jadual gaji berkuat kuasa 1 Jan 2013.

Omar berkata semakan terhadap setiap gred, nama jawatan dan tangga gaji dalam perhidmatan awam merupakan perkara penting yang memerlukan kajian mendalam bagi membentuk sebuah sistem saraan mampan yang mampu memastikan perkhidmatan awam berada pada tahap tertinggi selain menjaga kebajikan penjawat awam.

Mengulas mengenai prospek lebih cerah untuk kenaikan pangkat dan pembangunan bakat penjawat awam dalam manifesto itu, Omar berkata perkara ini bakal memberi peluang yang lebih luas kepada penjawat awam yang berbakat untuk naik pangkat.

- BERNAMA

Saturday, December 29, 2012

Cuepacs mahu kerajaan umum segera jadual gaji

KUALA LUMPUR - Cuepacs hari ini mahu kerajaan mengumumkan jadual gaji yang lengkap untuk pekerja sektor awam secepat mungkin bagi memastikan mereka dapat menikmati pergerakan gaji yang mantap.
  
Setiausaha Agungnya, Loke Yim Pheng berkata, dengan adanya jadual gaji yang baru, ia juga dapat mengatasi masalah pekerja yang akan menghadapi masalah mencapai tahap gaji maksimum atau 'gaji mati' tahun depan.
  
"Awal tahun depan, dianggarkan hampir 50,000 penjawat awam akan menikmati gaji maksimum, kalau mereka tidak ada jadual gaji yang lengkap, bermakna mereka tidak dapat pergerakan gaji," katanya kepada Bernama di sini.
  
Sementara itu, Loke yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkata, cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengambil guru dari India yang mahir dalam Bahasa Inggeris mengajar di sini merupakan cadangan yang baik.
  
Beliau berkata kemasukan guru dari negara luar dapat berkongsi kepakaran dan idea serta amalan baik dengan guru di negara ini bagi melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif.
  
"Tetapi, untuk jangka panjang, kita perlu membina dan membentuk satu kumpulan guru yang betul-betul berkualiti dan bertaraf antarabangsa, justeru mereka juga boleh berkongsi idea, kefasihan dalam Bahasa Inggeris dengan negara luar," katanya.

- Bernama

Sunday, September 23, 2012

Cuepacs Harap Kerajaan Tambah ITP Penjawat Awam


KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan menambah Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) kepada penjawat awam dalam belanjawan yang akan dibentangkan di Parlimen 28 September ini.

Setiausaha Agungnya Lok Yim Pheng berkata ini perlu kerana kos perumahan kini khususnya di bandar raya amat tinggi.

"Di kawasan bandar raya apabila wujudnya projek perumahan baharu, timbul masalah di mana orang yang berkemampuan sahaja yang dapat membeli rumah," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berharap bahagian cukai pendapatan tidak memotong cukai penjawat awam untuk satu jumlah yang besar sekali gus.

Sebagai contoh, katanya ketika penjawat awam mendapat kenaikan gaji 13 peratus baru-baru ini, cukai pendapatan dipotong antara RM600 hingga RM1,000 dan ini amat membebankan penjawat awam seolah-olah mereka tidak mendapat pelarasan gaji.

Lok berkata menerusi belanjawan itu juga penjawat awam bagi kumpulan yang berpendapatan kurang RM100,000 setahun berharap dapat diberi pelepasan cukai.

-- BERNAMA

Friday, August 3, 2012

Cuepacs cadang imbuhan tetap perumahan diselaras

PUTRAJAYA - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mencadangkan penyelarasan imbuhan tetap perumahan kepada RM450 sebulan untuk semua penjawat awam dan penurunan kadar faedah pinjaman perumahan daripada 4 peratus kepada 1 peratus.

Timbalan Presiden Cuepacs Aziz Muda berkata cadangan tersebut antara 23 syor yang dikemukakan Cuepacs kepada Suruhanjaya Khas Mengenai Transformasi Perkhidmatan Awam.

"Satu perkara yang kita beri penekanan kepada suruhanjaya adalah isu perumahan. Ini kerana dengan lonjakan harga rumah, dengan gaji yang diterima penjawat awam pada hari ini menyebabkan mereka tidak mampu memiliki rumah.

"Jadi kita minta suruhanjaya dan kerajaan melihat perkara ini secara komprehensif," katanya kepada pemberita selepas sesi pembentangan penambahbaikan perkhidmatan awam di bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini hari ini.

Turut dicadangkan ialah pelarasan elaun bantuan sara hidup (COLA) kepada RM400 sebulan berbanding RM150 dan RM300 pada masa ini serta cadangan menaikkan elaun tetap keraian.

Beliau berkata semua cadangan itu diharap dapat dilaksanakan tahun depan.

"Kita juga minta 22 klasifikasi perkhidmatan yang telah diberi persetujuan untuk dinaik taraf (dalam Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)) daripada gred 17 kepada gred 27 seperti juruteknik, renjer hutan, pembantu pertanian berkuatkuasa 1 Januari 2012," katanya.

Aziz berkata selain 23 syor itu, Cuepacs turut membentangkan 23 isu penjawat awam pada masa ini serta 24 cadangan penambahbaikan untuk memberi pengiktirafan kepada penjawat awam.

Katanya Cuepacs komited mengubah persepsi rakyat mengenai kualiti perkhidmatan awam demi kepuasan rakyat.

"Kami komited untuk memberi jaminan kepada kerajaan bahawa Cuepacs menyokong penuh supaya perubahan drastik dibuat untuk memperbaiki sistem penyampaian yang ada sekarang ini," katanya.

- Bernama

Tuesday, July 24, 2012

Cuepacs Cadang Pekeliling Perkhidmatan Awam Disemak Semula



GEORGE TOWN, 23 Julai (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan supaya menyemak semula pekeliling perkhidmatan awam yang dilihat tidak relevan dengan keadaan semasa.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata terdapat beberapa pekeliling perkhidmatan awam yang diamalkan sehingga kini tidak melambangkan perkhidmatan awam yang baik dan mendatangkan kesukaran kepada penjawat awam.

"Banyak dasar yang lama dulu dah tak relevan lagi, pekeliling-pekeliling lama dah tak sesuai lagi...perlu dibuat penambahbaikan seperti yang disebut Ketua Setiausaha Negara (Datuk Seri Dr Ali Hamsa) iaitu merakyatkan perkhidmatan awam.

"Contohnya, kalau penjawat awam ditawar satu jawatan awam dan dia tidak terima dia kena senarai hitam selama setahun. Ini semua tidak menggambarkan perkhidmatan awam. Ini semua perkara yang sedang kita lihat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama Ketua Menteri Lim Guan Eng di sini pada Isnin.

Omar berkata pekeliling yang ada sekarang seharusnya selaras dengan dasar semasa kerajaan supaya perkhidmatan awam dapat bergerak seiring dengan perkembangan semasa dan tidak ketinggalan.

- BERNAMA

Monday, March 26, 2012

ANGGOTA SURUHANJAYA PERLU DIUMUM SEBELUM 31 MAC

KOTA BAHARU, 25 Mac (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu kerajaan mengumumkan individu yang akan menganggotai suruhanjaya bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam negara ini selewat-lewatnya penghujung bulan ini.


Presidennya Datuk Omar Osman berkata kongres itu mendapat banyak pertanyaan daripada anggota gabungannya yang mahu mengetahui individu yang akan dilantik menganggotai suruhanjaya itu.


"Kita mahu tahu siapa pengerusi suruhanjaya dan siapa lagi di pihak kerajaan yang berada dalam suruhanjaya itu kerana sehingga kini kita tidak mendapat sebarang maklumat.


"Sebab itu kita berharap kerajaan dapat mengumumkan nama-nama anggota suruhanjaya ini selewat-lewatnya sebelum 31 Mac ini," katanya kepada pemberita selepas seminar Pengurusan Kewangan Penjawat Awam serta Taklimat Penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia di sini, hari ini.


Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada perjumpaan khas penjawat awam di Putrajaya pada 8 Mac lepas.


Mengulas perkara itu, Omar berkata Cuepacs juga telah bersetuju untuk meletakkan sembilan pegawainya menganggotai suruhanjaya berkenaan yang mampu memberikan cadangan dan pendapat bagi penambahbaikan penjawat awam itu.


"Cuepacs harap penubuhan suruhanjaya ini dapat dilakukan segera dan esok akan diadakan mesyuarat penambahbaikan SSM ini dan jawatankuasa mesyuarat itu akan membuat laporan kepada pihak kerajaan selepas itu," katanya.


Omar berkata draf pekeliling mengenai SSM yang ditambah baik itu akan diteliti di peringkat akhir sebelum diserahkan kepada 1.4 juta penjawat awam seluruh negara secepat mungkin.


Beliau berkata Kelantan adalah negeri yang pertama diberikan taklimat oleh Cuepacs berhubung penambahbaikan SSM itu sebelum ke seluruh negara secara berperingkat.

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi