Showing posts with label Kementerian Pelajaran Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Kementerian Pelajaran Malaysia. Show all posts

Thursday, September 19, 2013

24 Buah Sekolah Lagi Diiktiraf SBT

Sejumlah 24 lagi sekolah diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), membabitkan 14 sekolah rendah dan sepuluh sekolah menengah di bawah kohort keempat tahun ini.

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan SBT di seluruh negara sebanyak 115.

"Sehubungan itu, sasaran kementerian bagi membangunkan dan mewujudkan sepuluh buah SBT setiap tahun dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 telah tercapai serta melepasi sasaran," katanya pada majlis penyerahan sijil pengiktirafan SBT di sini Rabu.

Beliau berkata pengiktirafan itu membolehkan setiap sekolah berkenaan menerima peruntukan khas berjumlah RM700,000 untuk tahun pertama, RM500,000 tahun kedua dan RM300,000 tahun ketiga.

Senarai kali ini katanya, turut menyaksikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) Ladang Rem, Kota Tinggi Johor menjadi SKJT pertama menerima pengiktirafan sebagai SBT.

Sekolah-sekolah lain yang terpilih ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mariam dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Penggawa Barat di Johor; Sekolah Menengah (SM) Sains Kubang Pasu Kedah, SM Sains Machang Kelantan; SK Convent Pahang, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Jempol Negeri Sembilan; dan SK Putrajaya Presint 11 (1), Putrajaya.

SK Convent Of The Infant Jesus 1 (M) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah di Melaka; SK Sultan Idris II, SK Marian Convent, SM Sains Raja Tun Azlan Shah dan SBP Integrasi Gopeng di Perak; dan SK Convent Green Lane, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Han Chiang dan SMKA Al-Irshad di Pulau Pinang.

SK Taman Megah, SK Bukit Jelutong, SK Sri Petaling, Sekolah Menengah Agama (SMA) Persekutuan Kajang dan SBP Integrasi Rawang di Selangor; serta SK Convent Bukit Nanas (1) dan SJKC Kuen Cheng 2 di Kuala Lumpur.

Menurut Idris lagi, kementerian sangat berpuas hati dengan pelaksanaan dan pencapaian cemerlang 91 SBT terdahulu yang telah diiktiraf pada tahun 2010, sehubungan itu kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan SBT sehingga 2015.

Selain itu katanya, dalam usaha merapatkan jurang antara sekolah, SBT perlu menjadi aspirasi dan rujukan kepada sekolah lain untuk membangunkan kecemerlangan ke tahap yang lebih tinggi melalui penanda aras, bimbingan dan jaringan dengan SBT.

- BERNAMA

Saturday, September 7, 2013

PPPM, Pelan Holistik Transformasi Pendidikan Negara Ke Taraf Global

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) yang dilancar hari ini dilihat sebagai pelan holistik yang mampu mentransformasi pendidikan negara ke peringkat global.

Pelbagai pihak berpendapat ia satu anjakan bestari kerajaan dalam usaha membangunkan sistem pendidikan negara bagi melahirkan pelajar dan guru yang mampu menghadapi cabaran abad ke-21.

Ini terutama usaha kerajaan memperketat pengambilan guru yang diharapkan dapat menjadikan profesion itu sebagai kerjaya yang dipandang tinggi dan berprestij, khususnya pengambilan yang akan dibuat dalam kalangan graduan 30 peratus terbaik negara, menurut Presiden Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (Page) Datin Noor Azimah Abdul Rahim.

Beliau berkata peraturan itu juga dapat mengelak berlakunya profesion perguruan dijadikan tempat pilihan terakhir bagi mereka yang sukar mencari pekerjaan hingga menyebabkan terdapat pihak yang memandang rendah profesion itu.

"Ini berbeza dengan masa dahulu. Profesion sebagai guru amat disanjungi kerana tugas mereka mendidik anak bangsa," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Jumaat.

Noor Azimah berkata peraturan yang ketat dalam pengambilan guru dapat memastikan beberapa masalah akibat pengambilan guru secara 'tangkap muat', iaitu tanpa mengambil berat mengenai kelayakan atau kemahiran mengajar, dapat diselesaikan.

Sementara itu Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Wan Marzuki Wan Jaafar optimis pelan pembangunan pendidikan itu dapat membantu melahirkan golongan berpengetahuan luas serta melahirkan golongan pelajar berdaya saing, sesuai dengan keperluan negara pada masa hadapan.

Beliau bagaimanapun berkata dalam memilih graduan berkelayakan untuk menjadi guru, pihak Kementerian Pendidikan juga perlu mengambil mereka yang berminat kerana bidang pendidikan menuntut komitmen yang amat tinggi.

"Bukan mudah untuk mendidik anak bangsa terutama pada zaman teknologi tinggi ini kerana mereka lebih terdedah, menyebabkan kesabaran yang sangat tinggi diperlukan, dan mereka yang benar-benar berminat dan mempunyai komitmen yang dapat melakukan tugasan itu dengan sepenuh hati," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Lok Yim Peng berkata dari segi dasar, pelan pembangunan pendidikan itu sangat baik secara keseluruhannya, namun beliau sedikit bimbang dengan pelaksanaannya yang perlu diberi perhatian oleh kepimpinan sekolah.

Katanya kepimpinan sekolah perlu mantap dari segi persediaan guru dan kemudahan infrastruktur supaya pengajaran dan pembelajaran berlangsung dengan efektif.

"Di sini guru-guru bukan hanya perlu memahami pelan pendidikan ini tetapi sanggup melaksanakan serta menggembleng tenaga untuk menjayakan aspirasi kerajaan," katanya.

PPPM mempunyai 11 anjakan untuk transformasi sistem pendidikan negara antaranya mentransformasi profesion perguruan menjadi profesion pilihan dan memastikan setiap murid menguasai kemahiran dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris serta digalakkan mempelajari bahasa tambahan lain.

- BERNAMA

Klik Bahan Di Bawah Untuk Muat Turun Dokumen Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM):
·      PPPM
·      Broshur PPPM

Monday, September 2, 2013

Prosedur Saringan Mental Calon Guru Diperbaiki

Kementerian Pendidikan akan menambah baik prosedur saringan kesihatan mental calon guru dari Institut Pendidikan Guru (IPG) dengan memperkenalkan ujian psikometrik.

Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan berkata ujian psikometrik yang meliputi ujian psikologi termasuk tahap pengetahuan, kemampuan, sikap dan keperibadian dijadual dilaksanakan tahun depan.

Beliau berkata ujian psikometrik perlu dalam pengambilan guru baharu dalam usaha kementerian untuk menangani masalah guru-guru yang mungkin bermasalah daripada segi mental.

"Kementerian Pendidikan menerusi Bahagian Psikologi dan Kaunseling (BPsK) sebenarnya sebelum ini telahpun melaksanakan ujian kesihatan mental terhadap semua calon-calon guru baharu dari IPG yang dinamakan Indeks Pengesanan Kendiri (IPK).

"Ujian psikometrik ini merupakan penambahbaikan kepada ujian IPK dan ia telah diamalkan di negara-negara maju seperti di Amerika Syarikat dan United Kingdom," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Psikologi dan Kaunseling bertema "Kenali Psikologi Terokai Potensi Diri" anjuran BPsK di sini hari ini.

Kamalanathan berkata seorang guru harus mempunyai kesihatan mental yang baik dan tahap kesabaran yang tinggi selain kelulusan akademik.

Selain itu, katanya kementerian juga akan mempertimbangkan untuk melaksanakan ujian itu dalam prosedur kenaikan pangkat untuk jawatan Guru Besar dalam memastikan calon benar-benar layak memegang jawatan tersebut.

Sementara itu, Setiausaha BPsK Dr Ruziati Mior Ahamad berkata BPsK mempunyai 340 kaunselor di seluruh negara yang dapat memberi nasihat dan kaedah terbaik menyelesaikan masalah berkaitan kesihatan mental kepada semua jabatan dan bahagian di kementerian.

Mengenai ujian psikometrik, katanya ujian itu akan menggunakan alat khas dan sangat berkesan kerana ia berupaya mengesan calon yang diuji itu bercakap benar atau sebaliknya.

Ujian itu penting untuk memastikan kesihatan guru berada dalam keadaan baik, katanya.

Bernama

Friday, May 3, 2013

Anjakan: Buletin Bulanan Transformasi Kementerian Pelajaran Malaysia

Anjakan - buletin bulanan untuk memastikan semua warga pendidik mendapat maklumat status terkini pencapaian Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Dalam buletin ini terdapat tiga isu iaitu:

1. Sekapur sirih: Tan Sri Abd Ghafar bin Mahmud



2. Memahami kandungan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia: Aspirasi Sistem



3. 100 Hari Pertama Pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan


Anjakan: Buletin Bulanan Transformasi Kementerian Pelajaran Malaysia boleh dimuat turun dengan mengklik tajuk berikut: AnjakanIsu #1 [Muat turun]

- Kementerian Pelajaran Malaysia

Thursday, April 11, 2013

Enam Inisiatif PPPM Berjaya Dicapai Dalam Tempoh 100 Hari Pelaksanaan

BANGI: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata enam daripada 25 inisiatif yang disasarkan tahun ini menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, sudah mencapai kejayaan membanggakan dalam tempoh 100 hari pertama pelaksanaannya.

Inisiatif tersebut merangkumi pelancaran 1Agenda KPM, penubuhan Unit Prestasi dan Penyampaian Pendidikan (PADU) dan PADU Corporation, pelancaran dan pengagihan saranan ibu bapa, pengujian guru bahasa Inggeris dalam Ujian Penempatan Cambridge (CPT), pelaksanaan Program Rintis Program Transformasi Daerah dan penyediaan video e-guru.

Selain enam inisiatif itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata 19 inisiatif lagi akan diberikan keutamaan dan tumpuan tahun ini dalam menjayakan Pelan Transformasi Pendidikan Negara.

"Kita telah menyaksikan 100 hari pertama yang diwarnai pelbagai onak dan duri. Namun, berbekalan kesedaran akan pentingnya merealisasikan agenda modal insan negara in, KPM berjaya dan membuahkan hasil yang dibanggakan.

"Namun, kita tidak seharusnya lalai dan leka memandangkan transformasi ini masih panjang dan mencabar. Sesungguhnya, laporan pencapaian 100 hari pertama ini adalah langkah pertama daripada seribu langkah yang bakal dijejak," kata Muhyiddin ketika berucap pada majlis Pencapaian 100 Hari Pertama PPPM 2013-2025, di Sekolah Menengah Jalan 4, Bandar Baru Bangi, Rabu.

Muhyiddin berkata inisiatif 1Agenda KPM berjaya menyatupadukan semua bahagian di kementerian itu di bawah satu matlamat iaitu melaksanakan agenda PPPM secara efisyen dan telus, manakala unit PADU dan PADU Corporation pula melaporkan status pelaksanaan PPP kepada beliau selaku menteri.

Menerusi kefasihan guru Bahasa Inggeris (BI), beliau berkata seramai 61,000 guru menjalani ujian kefasihan melalui CPT dan mereka akan terus diberikan latihan dan sokongan ke arah penambahbaikan tahap kompetensi dan profesionalisme sebagai persediaan ke arah merealisasikan syarat wajib lulus BI di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjelang 2016.

Menerusi inisiatif saranan ibu bapa, katanya sarana pembangunan dibekalkan kepada ibu bapa supaya menjadi rakan aktif pembelajaran anak masing-masing dalam usaha membantu meningkatkan prestasi dan pencapaian anak mereka.

Katanya inisiatif program transformasi daerah pula dirintis di Sabah dan Kedah, dengan seramai 352 jurulatih mengikuti program Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC) serta Rakan Pembimbing Pembangunan (SIPartner+) dalam kalangan pensyarah Institut Pendidikan Guru, Institut Aminuddin Baki manakala guru cemerlang pula ditempatkan secara sepenuh masa di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memberi sokongan kepada pengetua, guru besar dan guru sekolah.

Video e-guru yang merupakan inisiatif keenam, meliputi himpunan video terbaik dalam pelbagai aspek pengajaran dan pembelajaran yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran di bilik darjah.

Muhyiddin berkata kerajaan telah mengorak langkah untuk berada dalam kelompok teratas negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia.

"Transformasi pendidikan ini adalah legasi negara yang bukan sahaja melibatkan 5.5 juta pelajar hari ini, malah seluruh anak bangsa pada masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu Muhyiddin juga bangga terhadap peningkatan peratusan bilangan prasekolah iaitu daripada 67 peratus pada 2009 kepada 80.5 peratus atau 24,737 prasekolah sehingga 2012.

Selain itu katanya, program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) turut diperkenalkan kepada semua murid Tahun 1, dengan sasaran 100 peratus murid tiada masalah pembelajaran boleh membaca, menulis dan mengira apabila melangkah ke Tahap 2.

"Kementerian juga menyediakan bayaran insentif khas kepada semua pengetua dan guru besar sebagai menghargai usaha kepimpinan sekolah yang berjaya mencapai kecemerlangan yang ditetapkan atau menunjukkan lonjakan dalam prestasi sekolah," kata Muhyiddin.

- BERNAMA

Tuesday, April 9, 2013

PPD Perlu Main Peranan Lebih Besar Merealisasikan Aspirasi Pendidikan Negara

KUALA LUMPUR: Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) perlu bersedia memainkan peranan lebih besar dan secara langsung bagi memastikan pengurusan dan pengoperasian sekolah dilaksana dengan teratur.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini memandangkan PPD adalah entiti Kementerian Pelajaran yang paling dekat dengan sekolah dan ia dapat memastikan aspirasi pendidikan negara dilaksanakan dengan lebih berkesan.

"Hubungan erat antara PPD dengan pihak pentadbir dan guru-guru di sekolah juga membolehkan setiap dasar, aspirasi dan inisiatif baharu yang dilaksanakan kerajaan dapat dihayati dan direalisasikan dengan berjaya," katanya pada majlis Anugerah Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2012 di sini Selasa.

Penganugerahan tahun ini menyaksikan buat pertama kalinya beberapa PPD yang mempamerkan prestasi cemerlang dalam membantu sekolah meningkatkan prestasi masing-masing, diiktiraf.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata pengiktirafan ini amat kena pada masanya dan selari dengan agenda Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk menyusun semula dan memperkasa PPD. Muhyiddin berkata bagi merapatkan lagi jurang pencapaian dan meluaskan akses kepada pendidikan untuk golongan berkeperluan khas termasuk kaum pribumi dan minoriti, PPD juga akan diberi keluwesan operasi.

Ini, katanya, supaya dasar serta program dapat disesuaikan bagi menepati keperluan mereka.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Muhyiddin berkata penyusunan semula PPD akan memastikannya berfungsi dengan lebih berkesan dalam jangka panjang.

Penyusunan semula PPD antaranya melibatkan perluasan bidang tugas dan kedudukan pegawai PPD serta penyediaan infrastruktur supaya mereka boleh memantau dan membantu pengurusan sekolah meningkatkan pencapaian.

Katanya, setakat ini Kedah dan Sabah telah memulakan usaha penstrukturan semula PPD.

- BERNAMA

Saturday, April 6, 2013

Sasar 500 Sekolah Kluster Menjelang 2015

PUTRAJAYA 5 April - Kementerian Pelajaran akan meningkatkan jumlah Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) daripada 300 kepada 500 buah menjelang 2015.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud berkata, kini terdapat lebih daripada 500 sekolah yang telah dikenal pasti berpotensi untuk mendapat pengiktirafan tersebut.

Katanya, pihak kementerian mempunyai matlamat untuk meningkatkan bilangan SKK supaya dapat dijadikan penanda aras kepada sekolah lain.

"Sehingga kini sejumlah 213 sekolah telah dinobatkan sebagai SKK. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 60 SKK telah diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

"Pada hari ini, saya bersyukur 50 buah sekolah lagi mendapat pengiktirafan untuk SKK bagi fasa ketujuh," katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Pengiktirafan SKK fasa ketujuh di sini hari ini.

Pada majlis tersebut seramai 29 guru besar dan 21 pengetua menerima sijil pengiktirafan SKK serta wang insentif bernilai RM250,000.

Abd. Ghafar berkata, 50 sekolah yang mendapat pengiktirafan SKK itu terdiri daripada 29 sekolah rendah dan 21 sekolah menengah.

Katanya, menerusi SKK, setiap sekolah yang mempunyai pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum akan diberi pengiktirafan, bantuan dan peluang pendidikan terbaik daripada kerajaan.

"Pengiktirafan tersebut juga memberikan peluang kepada sekolah yang dipilih untuk meningkatkan jaringan kerjasama dua hala yang berterusan dengan sekolah lain dari dalam dan luar negara," katanya.

Antara sekolah rendah yang mendapat pengiktirafan SKK ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tebrau, dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Ladang Rem, Johor; SK Kubang Kerian, Kelantan; SK Subang Jaya, Selangor; serta SK Agama Bintulu, Sarawak.

Sekolah menengah pula, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kenangan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat, Johor; SMKA Kedah; Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling Pulau Pinang dan SMKA Tok Jiring, Terengganu.

- Utusan

Monday, March 18, 2013

KENYATAAN AKHBAR KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SPM TAHUN 2012

Majlis Pengumuman Analisis Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 akan diadakan pada hari Khamis, 21 Mac 2013 pada jam 9.00 pagi di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya.

Peperiksaan bertulis SPM 2012 telah diadakan dari 5 November hingga 6 Disember 2012. Seramai 472,541 orang calon telah menduduki SPM di 3,590 buah pusat peperiksaan di seluruh negara. Seramai 30,239 orang petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar dan keputusan dapat diumumkan seperti dijadualkan.

Butiran calon adalah seperti jadual di bawah:
 Calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas jam 10.00 pagi pada hari yang sama, manakala calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos.

Calon-calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan SPM 2012 melalui mySMS 15888. Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula jam 10 pagi, 21 Mac 2013 dan akan ditamatkan pada 11.59 malam, 27 Mac 2013.

- Lembaga Peperiksaan KPM

Wednesday, February 6, 2013

Kemaskini Maklumat Peminjam Pelajaran KPM

Bahagian Tajaan Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia sedang dalam proses pengemaskinian maklumat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah menerima pinjaman pelajaran Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pinjaman yang telah diberikan adalah meliputi program-program berikut:
  1. Program Ijazah Pertama Berintegrasikan Pendidikan di universiti tempatan.
  2. Program Ijazah Pertama Berintegrasikan Pendidikan di luar Negara.
  3. Program Ijazah Pertama Bahasa Antarabangsa (Bahasa Jerman).
  4. Program Khas Pensiswazahan Guru (PKPG).
  5. Program Khas Pensiswazahan Guru Besar (PPGB).
  6. Program Pendidikan Jarak Jauh dengan kerjasama Universiti Terbuka Malaysia (PJJ-OUM).

Keratan Surat Siaran Kemaskini Maklumat Peminjam Pelajaran KPM 
(Klik gambar untuk kelihatan lebih jelas)

Oleh itu, sesiapa berkenaan perlu mengisi Borang Kemaskini Maklumat Peminjam KPM (Borang A/PP 2013) khusus bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang bertugas di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Bahagian-Bahagian Kementerian Pelajaran Malaysia, kecuali sekolah. Borang tersebut perlu dihantar selewat-lewatnya 1 Mac 2013.

Surat siaran dan borang boleh dimuat turun dengan mengklik link berikut: Surat dan Borang Kemaskini Maklumat Peminjam KPM (Borang A/PP 2013)

- Kementerian Pelajaran Malaysia

Tuesday, February 5, 2013

Menangani Kes Murid Tanpa Dokumen

Setiap kali bermulanya pembukaan sesi persekolahan baharu setiap tahun, Kementerian Pelajaran pasti berdepan senario pendaftaran murid tanpa dokumen sama ada di kalangan ibu bapa warga tempatan mahupun rakyat asing yang bermastautin di negara ini.

Namun begitu, menurut Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran, Datuk Mazlan Mohamad, halangan itu tidak pernah dipandang ringan dan sentiasa diperbaiki pihaknya bagi memastikan kanak-kanak dan remaja di negara ini mendapat pendidikan sewajarnya, tanpa mengira agama, bangsa atau latar belakang keluarga.

Beliau memberitahu, terdapat banyak kategori berkaitan masalah pendaftaran murid atau pelajar dari peringkat prasekolah hingga tingkatan enam seperti ibu bapa warga tempatan yang tidak mempunyai dokumen yang mengesahkan kelahiran anak.

"Kes seperti ini berlaku disebabkan banyak faktor antaranya termasuklah ibu bapa bernikah di luar negara dan tidak mendaftarkan perkahwinan tersebut, yang menyebabkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak dapat mengeluarkan sijil kelahiran anak.

"Namun, murid berkenaan masih boleh memasuki sekolah dengan syarat ibu bapa mengisi dua borang yang disediakan Unit Perhubungan dan Pendaftaran Jabatan Pendidikan negeri di samping perlu mendapat pengesahan daripada ketua kampung di kediaman masing-masing,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Putrajaya, baru-baru ini.

Menurutnya, kesulitan pendaftaran masuk murid yang tidak mempunyai dokumen diri berlaku apabila ibu bapa membuat tafsiran tiada halangan mendaftarkan anak mereka ke sekolah walaupun tidak mempunyai sijil kelahiran.

"Ramai yang masih persoalkan pihak sekolah tentang perkara ini yang mana kenapa anak tidak boleh masuk sekolah walaupun ibu bapanya rakyat tempatan tetapi kita mahukan kepastian tentang status anak, mungkin anak angkat sebab itu perlu ada pengesahan ketua kampung,'' katanya.

Senario tersebut, katanya, walaupun hanya melibatkan segelintir kecil ibu bapa namun kementerian tetap memandang serius perkembangan itu kerana membuktikan masih wujud kekeliruan berhubung garis panduan tersebut.

Katanya, kesulitan juga berlaku apabila ibu bapa tidak mempunyai dokumen diri dan senario tersebut sering berlaku di kalangan masyarakat Orang Asli dan pedalaman namun melalui proses pendaftaran JPN, persekolahan murid tetap diteruskan.

Senario lain yang turut berlaku adalah di kalangan ibu bapa rakyat asing yang bekerja secara sementara dengan agensi kerajaan atau badan berkanun.

Kelompok ini dikehendaki membayar yuran pendaftaran RM120 setahun per murid untuk sekolah rendah manakala RM240 setahun per murid pula bagi sekolah menengah dan tanpa sebarang kemudahan pendidikan seperti bantuan buku teks, bantuan makanan atau wang khas RM100.

"Selain boleh ke sekolah antarabangsa, kita juga menyediakan pusat pembelajaran setempat misalnya untuk pekerja ladang Indonesia di Sabah dan kita pastikan pembelajaran mempunyai konsep 3M (Membaca, Menulis dan Mengira),'' katanya.

Sementara itu, kata beliau, ibu bapa warga asing yang mahu mendaftarkan anak mereka perlu membayar yuran persekolahan sama ada RM120 atau RM240 beserta pas belajar.

Menurut Mazlan, kesulitan seperti itu boleh diatasi sekiranya ibu bapa memainkan peranan dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan dan tidak menunggu saat-saat akhir untuk mendaftarkan anak mereka memasuki sekolah.

"Paling utama, kerajaan sentiasa menitik beratkan kepentingan pendidikan untuk semua, tidak kira latar belakang keluarga murid terlibat, apa yang penting, dia tetap mendapat pendidikan sewajarnya namun bagi warga negara asing, mereka harus mematuhi peraturan yang ditetapkan,'' tegasnya.

Setakat Julai tahun lalu, terdapat kira-kira 2,261 murid bukan warga negara bersekolah rendah di negara ini termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil di seluruh negara dengan bilangan paling ramai dikenal pasti di Sarawak iaitu seramai 830 orang.

- Utusan

Sunday, February 3, 2013

Kementerian Pelajaran Galak Sekolah Kurang Murid Sertai Program G7


SEGAMAT: Kementerian Pelajaran menggalakkan sekolah-sekolah kurang murid supaya bergabung dan menyertai Program Gemilang 7 (G7) bagi meningkatkan pencapaian murid dalam pelbagai bidang.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pendekatan tersebut membolehkan sekolah-sekolah terbabit berkongsi pengalaman dan berbincang cara memperbaiki kelemahan yang dihadapi.

"Sejak gabungan sekolah kurang murid diperkenalkan, pencapaian murid di sekolah-sekolah terbabit amat memberangsangkan dan ada yang sudah terkeluar daripada kategori Sekolah Berprestasi Rendah atau kategori Band Enam atau Tujuh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Secara Berkelompok Bagi Sekolah-sekolah G7 Sesi 2013 di Sekolah Kebangsaan Kemedak, Batu Anam, Segamat di sini Sabtu.

Sehingga kini, katanya, terdapat 2,071 sekolah kurang murid di seluruh negara dengan 1,318 daripadanya adalah sekolah kebangsaan dan selebihnya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

- BERNAMA

Tuesday, January 29, 2013

Semakan Tawaran Ke Tingkatan Satu Sekolah Berasrama Penuh Ambilan Kedua 2013


Merujuk kepada laman Kementerian Pelajaran Malaysia, dimaklumkan kepada pelajar yang ingin membuat Semakan Tawaran Ke Tingkatan Satu (1) Ambilan Kedua di Sekolah Berasrama Penuh Tahun 2013 boleh dibuat di Laman Web Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia bermula 29 Januari 2013 (Selasa).


- Kementerian Pelajaran Malaysia

Monday, January 21, 2013

Kementerian Pelajaran Terima Enam Permohonan Guru Untuk Berpolitik

JOHOR BAHARU: Kementerian Pelajaran hanya menerima enam permohonan dari pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk melibatkan diri dalam politik.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata permohonan kurang memberangsangkan itu berkemungkinan disebabkan mereka bimbang dikenakan tindakan sekiranya terlibat dengan aktiviti sedemikian.

"Mungkin mereka (guru) takut dedahkan identiti sedangkan mereka tidak perlu ragu-ragu kerana kerajaan tidak akan mengambil tindakan.

"Contohnya, tiada tindakan diambil terhadap pelajar yang aktif berpolitik selepas pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dilakukan. Jadi, sebaik-baiknya, minta kebenaran jika hendak berpolitik dan jangan bawa hal politik ke dalam sekolah," katanya kepada pemberita selepas menutup Forum Bual Bicara Strategik Penyatuan Umat Islam Bersama Pesara Guru Negeri Johor, di sini, Ahad.

Mulai 1 Ogos 2010, kerajaan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 membabitkan diri dalam politik dengan syarat kebenaran rasmi perlu dibuat terlebih dahulu.

Beliau berkata kebenaran berpolitik dengan syarat tidak memegang jawatan penting seperti pengetua dan pegawai pelajaran itu bertujuan melahirkan lebih ramai pelapis pemimpin selain melambangkan tugas guru sebagai pemimpin bukan sekadar di bilik darjah tetapi di peringkat masyarakat.

- BERNAMA

Saturday, January 19, 2013

Mata Pelajaran Tahfiz Sebagai Mata Pelajaran Kebangsaan

BATU PAHAT: Kementerian Pelajaran kini dalam peringkat akhir kajian untuk menjadikan mata pelajaran tahfiz sebagai mata pelajaran kebangsaan, kata Timbalan Menterinya Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata kerajaan sedar banyak Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang enggan mendaftar dengan kementerian kerana khuatir kurikulum mereka termasuk mata pelajaran tahfiz disekat oleh kementerian.

"Sehubungan itu kajian untuk menyelaras kuriukulum tahfiz sebagai mata pelajaran kebangsaan telah dijalankan dan kini dalam peringkat akhir dan akan selesai tidak lama lagi," katanya kepada pemberita Jumaat.

Beliau menyampaikan bantuan khas awal persekolahan kepada 1,165 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bentara Luar di sini.

Mohd Puad meminta pihak SAR supaya mendaftar dengan Kementerian Pelajaran bagi membolehkan kerajaan menyalur lebih banyak bantuan seperti bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 bagi setiap pelajar.

"Bukan sahaja bantuan persekolahan, tetapi guru-guru mereka juga kita akan latih menjadi guru kementerian bagi membolehkan laluan kerjaya mereka lebih baik, mendapat gaji yang tetap dan berpencen," katanya.

Beliau berkata banyak SAR di Pulau Pinang dan Kedah telah mendaftar menjadikannya sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

- BERNAMA

Monday, January 14, 2013

RM540 Juta Untuk Bantuan Persekolahan

BATU PAHAT: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM540 juta bagi diagihkan kepada 4.98 juta pelajar menerusi Bantuan Persekolahan RM100 yang akan mula dilaksanakan Selasa ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, jumlah yang akan diagihkan kepada pelajar di sekolah kerajaan adalah RM498 juta manakala selebihnya adalah untuk pelajar sekolah swasta, sekolah agama rakyat dan sekolah agama kerajaan negeri.

Seramai 4.98 juta pelajar di seluruh negara akan menerima bantuan persekolahan RM100 yang akan diagihkan mulai Selasa ini dan dijangka berakhir pada 15 Februari depan.

“Pada masa sama, Kementerian Pelajaran masih menunggu baki nama pelajar sekolah-sekolah swasta dan agama yang masih belum diserahkan," katanya di sini hari ini.

Beliau memberitahu, bagi memastikan kesemua pelajar menikmati bantuan tersebut, semua sekolah telah diberi arahan supaya tidak membuat sebarang potongan terhadap hutang atau yuran Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) tanpa persetujuan ibu bapa.

- Utusan

Anda minat barangan berikut:

Saturday, January 12, 2013

Tarikh Baru Cuti Berganti

Untuk makluman, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengeluarkan surat siaran bertarikh 7 Januari 2013 yang meminda tarikh baru cuti berganti pada 26 Januari 2013 ke tarikh 9 Mac 2013.

Di bawah ini adalah keratan surat siaran untuk rujukan:

 
Keratan surat siaran Pindaan Tarikh Cuti Berganti Sempena Perayaan
Tahun Baru Cina 2013 (Klik pada gambar untuk kelihatan lebih jelas)

Keratan surat siaran Cadangan Cuti Peristiwa dan Cuti Berganti 2013
 Perayaan Tahun Baru Cina (Klik pada gambar untuk kelihatan lebih jelas)

Keratan surat siaran Cadangan Cuti Peristiwa dan Cuti Berganti 2013
 Perayaan Hari Deepavali (Klik pada gambar untuk kelihatan lebih jelas)



- Kementerian Pelajaran Malaysia 

 
Anda minat barangan berikut:
 

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi