Showing posts with label Kementerian Pendidikan Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Kementerian Pendidikan Malaysia. Show all posts

Monday, June 22, 2015

KURSUS I-THINK SECARA LUAR TALIAN 2015

Bahan kursus luar talian bagi i-THINK 2015 telah boleh dimuat turun untuk digunakan. Pengguna harus juga mempunyai pelayan web IE (Inernet Explorer‎) versi 10 dan ke atas apabila menggunakan bahan ini. Sila klik di pautan ini untuk proses muat turun: http://www.moe.gov.my/v/ithink.

http://www.moe.gov.my/v/ithink
Senarai bahan kursus I-Think Secara Luar Talian 2015
(Klik pada gambar untuk muat turun)



Sebelum memulakan instalasi, rujuk Panduan Instalasi Aplikasi Kursus I-ThinkLuar Talian terlebih dahulu.


- KPM
 

Monday, December 29, 2014

Sesi Persekolahan 2015 Di Seluruh Negara Ditangguh Seminggu

Kementerian Pendidikan bersetuju untuk menangguhkan permulaan sesi persekolahan 2015 di seluruh negara, selama seminggu, berikutan banjir yang melanda beberapa negeri di Semenanjung sekarang.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan berkata dengan penangguhan itu, tarikh baharu sesi permulaan persekolahan tahun depan bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Jan (Ahad), manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Jan (Isnin).

"Penangguhan itu dibuat dengan mengambil kira sekolah-sekolah yang terlibat sama ada sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau yang ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan.


KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
PENGUMUMAN PENANGGUHAN TARIKH BERMULA SESI
PERSEKOLAHAN TAHUN 2015 AKIBAT BANJIR
(klik pada gambar untuk kelihatan lebih besar)

"Keadaan guru-guru, ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa banjir serta serba kekurangan perlu mengambil masa untuk pemulihan dan membuat persiapan persekolahan mereka," kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata sehingga semalam, Kementerian Pendidikan mendapati sejumlah 340 buah sekolah daripada tujuh buah negeri terlibat dengan banjir.

Sebelum ini, sesi persekolahan bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor dijadual dibuka pada 4 Jan manakala bagi negeri-negeri lain adalah 5 Jan.

"Sebagai Menteri Pendidikan, saya amat memahami dan mengambil berat akan kesukaran yang bakal dihadapi oleh semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sekiranya persekolahan bagi tahun 2015 dibuka seperti dijadualkan," katanya.

Beliau turut menasihatkan pihak pengurusan sekolah agar apabila keadaan banjir kembali pulih, mereka harus menggunakan tempoh itu untuk bergotong royong membersihkan kawasan sekolah, bagi memastikan keselamatan dan keselesaan kepada murid-murid.

Setakat pagi ini, jumlah mangsa banjir di lima negeri yang terjejas adalah 225,722 orang.



- BERNAMA



P/S: Klik tajuk di bawah untuk melihat kenyataan media yang dikeluarkan oleh KPM > KENYATAAN MEDIA YAB MENTERIPENDIDIKAN MALAYSIA PENGUMUMAN PENANGGUHAN TARIKH BERMULA SESI PERSEKOLAHANTAHUN 2015 AKIBAT BANJIR

Wednesday, October 15, 2014

Perincian Takwim Persekolahan 2015

Klik Gambar Untuk Kelihatan Lebih Besar

Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan Takwim Persekolahan Sesi 2015 dengan perincian persekolahan mengikut penggal seperti mana berikut:

PERINCIAN PERSEKOLAHAN MENGIKUT PENGGAL
KUMPULAN A :
Sekolah-sekolah di Negeri Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu

PERINCIAN PERSEKOLAHAN MENGIKUT PENGGAL
KUMPULAN B :
Sekolah-sekolah di Negeri Perlis, Pulau Pinang, Perak,
Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak,
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan & Putrajaya

Muat turun: Takwim Persekolahan 2015



Wednesday, September 3, 2014

Kepemimpinan Sekolah Generasi Baru







Kepemimpinan tertinggi institusi persekolahan di seluruh negara akan menyaksikan pengurusan pendidikan yang lebih mantap melalui projek transisi bakal Pengetua/Guru Besar (PGB) dikenali sebagai Program Residency dan Immersion (PRIme).

Program selama 13 bulan ini mengetengahkan PGB Lantikan Baharu untuk menggantikan PGB yang akan bersara atau bertukar dengan hasrat melahirkan pemimpin berprestasi tinggi selaras anjakan kelima Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Selaku institusi yang terbabit secara langsung dalam pelaksanaan fasa ketiga PRIme, Institut Aminuddin Baki (IAB) komited dengan peranan memantapkan keupayaan serta kompetensi pemimpin sekolah menerusi penyediaan kepelbagaian modul.

Pengarahnya Datuk Khairil Awang berkata, PRIme mula diwajibkan dalam proses lantikan dan penempatan PGB pada 1 Julai lalu membabitkan tiga fasa.

Biarpun ia memfokuskan kepada PGB baru yang memohon dan bukannya lantikan mengikut kesesuaian seperti sebelum ini, pada dasarnya terdapat instrumen untuk menentukan kelayakan, malah tapisan dalam pemilihan termasuk temu duga untuk calon turut dikendalikan.


“Asalkan memenuhi syarat termasuk memiliki sijil Kelayakan Profesional Kebangsaan untuk Pemimpin Pendidikan (NPQEL), semua pegawai yang berkhidmat dengan Kementerian Pendidikan layak memohon.

“Dijangkakan hampir 8,000 pemimpin sekolah akan bersara bermula tahun ini hingga 2025. Ini secara tidak langsung mewujudkan kekosongan yang pastinya bakal diisi oleh PGB berprestasi tinggi lepasan PRIme,” katanya.

Menurut Khairil, dalam PRIme, setiap PGB Lantikan Baharu akan bermula dengan fasa program Residency selama sebulan di sekolah yang akan ditempatkan kelak. PGB yang bakal dilantik menerima bimbingan dan latihan daripada PGB yang akan bersara atau bertukar sebagai satu proses transisi.

Diikuti fasa kedua selama enam bulan di mana PGB Lantikan Baharu akan digandingkan dengan seorang Principal Coach (PC) bagi program Immersion sebaik menjawat jawatan sebagai pemimpin baru di sekolah berkenaan.

“PC terdiri daripada PGB cemerlang dan berpengalaman yang akan memberi bimbingan kepada PGB Lantikan Baharu dalam sembilan bidang pengurusan dan kepimpinan sekolah berdasarkan Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia (SKKSM).

“Bagaimanapun menjelang 2016 tugas PC akan dikendalikan Rakan Peningkatan Sekolah (SIPartner+) Daerah,”katanya.

Manakala fasa terakhir membabitkan tindakan susulan oleh IAB yang bertujuan memantapkan lagi keupayaan dan kecekapan pemimpin baru ini. Pelbagai instrumen digunakan IAB antaranya pertemuan berkala antara PGB dengan pensyarah IAB termasuk secara dalam talian bertujuan meningkatkan kemahiran komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) mereka.

Tambah Khairil, bergantung kepada keperluan sesuatu sekolah seperti sekolah kurang murid, sekolah pedalaman dan sebagainya, kemahiran berbeza perlu diterapkan, justeru, PC juga akan mengikut pengkhususan berkenaan.

Pelancaran PRIme disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap, semalam mewakili Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Ke-21 di IAB cawangan Genting Highlands.


- Hmetro



Wednesday, February 26, 2014

KENYATAAN MEDIA ISU PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)





- Kementerian Pendidikan Malaysia
 

Saturday, February 15, 2014

Saturday, February 8, 2014

KPM Memperkenalkan Buku Teks Versi Digital

Kementerian Pendidikan hari ini memperkenalkan buku teks versi digital yang boleh diakses secara dalam talian sebagai alternatif kepada buku teks bercetak.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata penggunaan buku teks digital itu yang mengandungi teks, grafik serta ciri flip (selak helaian) akan dilaksanakan secara berperingkat di semua sekolah di seluruh negara mulai tahun ini.

"Ini adalah proses pembangunan dan peningkatan sistem pendidikan bagi pastikan kita mencapai tahap yang baik dalam dunia. Kita merupakan antara satu per empat negara yang terawal di dunia yang melaksanakan perkara ini.

"Kita memberi penekanan kepada pembelajaran kendiri di mana pelajar boleh merujuk buku teks digital ini pada bila-bila masa dan di mana-mana mengikut tahap kemampuan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku teks digital di sini.

Beliau berkata dalam gelombang pertama (2013-2015), kementerian telah memuat naik 313 judul buku teks yang boleh diakses secara percuma melalui portal 1BestariNet menggunakan ID yang telah dibekalkan kepada semua guru dan murid.

Bagaimanapun, kata Idris, penggunaan buku teks bercetak masih dikekalkan buat masa ini.

Pendigitalan buku teks dilakukan dalam tiga gelombang seperti yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) bermula tahun 2013 hingga 2025.

Bagi gelombang kedua (2016-2020), kementerian merancang untuk menghasilkan buku teks dalam bentuk interaktif bagi mata pelajaran terpilih, yang mengandungi elemen teks, grafik, audio, video dan animasi untuk membantu pemahaman murid dalam pengajaran dan pembelajaran.

Gelombang ketiga (2021-2025) pula bakal menyaksikan penerbitan buku teks digital bagi semua mata pelajaran termasuk bagi murid berkeperluan khas.

Idris berkata para pelajar juga dibenarkan membawa peranti masing-masing (tablet, iPad) ke sekolah bagi tujuan mengakses buku teks digital untuk menggantikan buku teks bercetak.


- BERNAMA

Wednesday, January 1, 2014

Tiada Lagi Facebook Di Sekolah

Bermula tahun 2014, didapati laman Facebook tidak lagi dibenarkan akses melalui talian 1BestariNet.

Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia telah menutuskan bahawa pengguna 1BestariNet tidak lagi dibenarkan untuk menggunakan laman sosial seperti Facebook untuk tujuan kolaborasi antara guru-guru dan murid-murid.

Kementerian Pendidikan Malaysia memaklumkan bahawa setiap murid, guru dan ibu bapa telah disediakan ID pengguna untuk mengakses Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE).

Bagi kolaborasi untuk tujuan pendidikan, pengguna 1BestariNet boleh menggunakan kemudahan Frog Pond dan Frog Community yang disediakan dalam VLE.

Paparan Mesej Apabila Melayari Facebook 
Menggunakan 1BestariNet

 

Portal Kementerian Pendidikan Digodam


Ketibaan tahun baharu pagi ini dikejutkan dengan insiden serangan ke atas beberapa laman web di negara ini oleh penggodam.

Sekurang-kurangnya dua laman web milik kerajaan dipercayai turut menjadi mangsa mereka.

Menurut gambar-gambar yang dimuatnaik orang ramai, halaman utama portal Kementerian Pendidikan telah digantikan dengan skrin hitam kosong  dengan perkataan" hacked "(digodam) bersama paparan kumpulan "Team EvilSha0w " yang mendakwa mereka bertanggungjawab.

Sehingga pukul 2.30 petang tadi, laman web MOE itu masih tidak boleh diakses.

https://twitter.com/syawal/status/418067795776004096/photo/1

Tahun lepas, kumpulan yang menamakan diri mereka  “Evil Shadow Team”, dipercayai dari China , dilaporkan telah berjaya menggodam laman web milik Microsoft India. Walau bagaimanapun, adalah tidak dapat dipastikan samada kumpulan yang sama bertanggungjawab dalam serangan terbaharu ini.

Selain itu, terdapat perbezaan antara penggodaman laman web MOE dengan beberapa laman web lain yang dipercayai turut diserang semalam.

Pengguna yang melayari laman web rasmi Program Malaysia Sebagai Rumah Kedua, disambut dengan paparan ‘pop –up’ yang tertera "Greetz Marhaen".

Laman itu juga memaparkan paparan yang menyuarakan bantahan kenaikan harga dan peningkatan kos sara hidup, termasuk mempromosi perhimpunan TURUN di Dataran Merdeka malam tadi.

Penggodaman yang hampir sama juga berlaku di hampir 30 laman web yang dimiliki oleh syarikat-syarikat tempatan.

Senarai laman web ini, termasuk laman web Stamford College, dapat dilihat dalam beberapa laman blog tempatan yang mendakwa mereka telah dimaklumkan mengenai serangan itu.

Laman web yang digodam semua mempunyai kenyataan yang sama, dengan lagu anti-kerajaan 'Janji Dicapati' digunakan sebagai latar belakang.

Mesej di bahagian bawah paparan, antara lain, tertulis mesej-mesej yang berkaitan dengan propaganda, rasuah, isu perkauman dan agama.

Ketika dihubungi , Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan bahawa mereka telah menerima laporan mengenainya dan sedang menyiasat serangan tersebut.

"Kami telah dimaklumkan tentang beberapa aktiviti menggodam kel atas pelbagai portal termasuk beberapa laman web kerajaan," Pengerusi SKMM Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi memberitahu Astro Awani .

Beliau berkata pada masa ini, pentadbir laman web terbabit sedang berusaha mengembalikan laman web masing-masing ke asalnya.

Tetapi pada masa yang sama, SKMM berkata pihaknya akan membantu dan memberikan sokongan sekiranya diperlukan.

"Pada masa ini, kami sedang menyiasat kejadian itu. Nampaknya dalam serangan penggodaman ini ada cubaan mengubah laman-laman web terbabit. Kami sedang mengenalpasti samada sesuatu yang lebih memudaratkan telah berlaku, "kata Sharil .

Tambahnya, SKMM akan mengkaji sama ada sebarang kesalahan telah dilakukan dan wujudnya penyalahgunaan rangkaian internet atau apa-apa kesalahan yang boleh disiasat di bawah Akta Jenayah Komputer (1997).

"Kita perlu menilai sejauh manakah kesannya dan membuat keputusan seterusnya. Jangan membuat spekulasi atau tanggapan melulu buat masa ini.”


Monday, December 23, 2013

Pelaksanaan KSSR Tahap II Secara Berperingkat Mulai Tahun 2014

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2 Tahun 2013 yang dikeluarkan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian ini bertujuan memaklumkan tentang pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Tahap II iaitu Tahun 4, 5 dan secara berperingkat-peringkat disemua jenis sekolah rendah termasuk Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas.

KSSR Tahap I telah dilaksanakan secara berperingkat-peringkat  bermula Tahun 1 pada tahun 2011 dengan menggunakan Dokumen Standard Kurikulum. Mulai tahun 2014, KSSR Tahap II akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat  bermula di Tahun 4 dengan menggunakan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).

Pihak sekolah hendaklah menggunakan DSKP bagi semua mata pelajaran KSSR Tahap II arus perdana dan pendidikan khas yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

  Peruntukan Masa Kurikulum Standard Sekolah Rendah Tahap II



- Kementerian Pendidikan Malaysia

Wednesday, December 18, 2013

Proses Data PBS Lebih Laju

Kementerian Pendidikan membangunkan modul Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang baru menggunakan teknologi Java dan HTML 5 yang lebih cekap dan ringan berbanding teknologi sebelumnya.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh memberitahu persidangan Dewan Negara semalam, pendekatan baru dalam pengurusan kapasiti pemprosesan di pusat data secara ‘on-demand’ itu diambil bagi membolehkan keupayaan pemprosesan ditingkatkan mengikut keperluan.

“Ini memastikan pengguna tidak menghadapi isu ‘auto log out’ atau server perlahan dan tidak dapat mencapai aplikasi itu,” katanya semasa menjawab soalan Senator Datuk Muhammad Olian Abdullah mengenai langkah kerajaan untuk menaik taraf PBS di setiap sekolah yang disediakan kemudahan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi.

Kementerian juga melaksanakan beberapa penambahbaikan dalam modul PBS baru dengan menyediakan keupayaan ‘cache’ bagi membolehkan PBS terus beroperasi walaupun secara ‘off-line’.

Selain itu, Idris berkata, terdapat beberapa kelemahan dalam penggunaan infrastruktur ICT khususnya keupayaan server komputer bagi Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) dan semak dalam talian.

Beberapa penyelesaian dikenal pasti termasuk isu kapasiti pemprosesan yang ditetapkan pusat data, aplikasi SPPBS sedia ada memerlukan keupayaan pemprosesan yang tinggi kesan daripada penggunaan teknologi lama serta jadual kemasukan data yang sangat fleksible menyebabkan pengguna memasukkan data pada penghujung tahun mengakibatkan kesesakan pusat data.

Mengenai usaha mengurangkan beban tugas guru, beliau berkata, modul PBS diintegrasikan dalam Sistem Pengurusan Sekolah sebagai ‘single window’ ,” katanya.


- BERNAMA

Wednesday, November 13, 2013

Visi Dan Misi Kementerian Pendidikan Malaysia Yang Baru


Mesyuarat Susulan Jemaah Menteri Bil.7 / 2013 yang diadakan pada 27 September 2013 telah membuat pemilihan visi dan misi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang baru.

Visi dan misi KPM yang baru adalah seperti berikut:-

VISI

"Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera"

MISI

"Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara"



- Kementerian Pendidikan Malaysia

Tuesday, November 12, 2013

Surat Siaran: Pemakluman Mengenai Status Pelaksanaan BISP

Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) diberikan kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) selaras dengan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). PPP yang mengajar subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris serta mengajar subjek Bahasa Inggeris dan PPP yang menggunakan kelayakan dalam bidang tersebut dalam tugas rasmi layak diberi BISP berdasarkan Surat Pekeliling Perkhidmatan KPM Bilangan 3 Tahun 2003.

Berikutan pemansuhan PPSMI dan pengenalan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), kerajaan memutuskan supaya pemberian BISP diberhentikan mulai 1 Januari 2014.

Sebagaimana yang dinyatakan dalam intri sebelum ini (Cadangan Ganti Bayaran BISP Bagi GuruSains, Matematik dan Bahasa Inggeris); Pada masa ini, kementerian sedang menimbangkan insentif baharu dan akan dimajukan untuk persetujuan Agensi Pusat.



- Kementerian Pendidikan Malaysia

Sunday, November 10, 2013

Cadangan Ganti Bayaran BISP Bagi Guru Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris

Kerajaan menimbang memberikan insentif baru kepada guru mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris berikutan pemansuhan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) mulai 1 Januari tahun depan.

Mengikut Surat Pekeliling Perkhidmatan KPM Bilangan 3 Tahun 2003 (SPP KPM 3/2003), yang ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Madinah Mohamad, cadangan insentif baru itu akan dimajukan bagi persetujuan agensi pusat.


Pembayaran Sehingga Akhir Tahun

“Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) yang menerima BISP akan terus menerima pembayaran itu sehingga akhir tahun 2013,” katanya dalam pekeliling terbaru kementerian itu.

Madinah berkata, kelulusan pembayaran BISP hendaklah dilakukan sebelum tarikh penutupan akaun pada akhir 2013 dan direkodkan dalam buku perkhidmatan pegawai kerajaan.

Katanya, tuntutan BISP yang diterima selepas 1 Januari 2014 tidak akan pertimbangkan.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, jumlah elaun BISP berdasarkan kelayakan dan gred gaji PPP.

PPP bukan siswazah menerima 10 peratus daripada gaji bersih, manakala siswazah lima peratus daripada gaji bersih.

Dasar PPSMI dimansuhkan mulai 2010 dan digantikan dengan dasar baru iaitu Memartabat Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) melalui keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009.


Gesa Teruskan Elaun BISP

Ketika ditanya langkah kementerian itu, Hashim berkata, pembayaran elaun BISP patut diteruskan kerana masih ada guru Tingkatan Enam yang perlu mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

“Sekiranya kerajaan mahu menggantikan BISP kepada insentif lain, kita harap ia lebih baik berbanding yang terdahulu. Bagaimanapun, kita masih berharap pembayaran elaun seumpama BISP diteruskan kepada guru yang terbabit,” katanya, semalam.

Kerajaan memperkenalkan BISP di bawah PPSMI mulai 2003 berdasarkan keputusan Kabinet 29 Mei 2002.


Layak Dipertimbang

Bagi menyokong pelaksanaan dasar itu, PPP yang mengajar mata pelajaran Sains atau Matematik dalam Bahasa Inggeris atau mengajar subjek Bahasa Inggeris dan PPP yang menggunakan kelayakan dalam tugas rasmi, layak dipertimbangkan BISP berdasarkan SPP KPM 3/2003.



Thursday, November 7, 2013

Logo Baharu Kementerian Pendidikan Malaysia

Rasional: Logo ini direka mengunakan huruf ‘Alif’ sebagai konsep teras. Pendekatan mengunakan huruf atau typography adalah berdasarkan pengertian bahawa manusia yang pada masa hidupnya, berada pada jalan yang lurus sebagaimana huruf ‘Alif’ itu. Alif juga membawa pengertian ILMU kerana Allah mengangkat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu dengan beberapa darjat. Ilmu juga diklasifikasikan sebagai pengetahuan atau kepandaian yang merangkumi semua bidang yakni duniawi mahupun ukhrawi. Ilmu juga di takrifkan sebagai pemindahan roh atau jiwa daripada kegelapan kepada kecerahan dan sebagai suatu kebenaran dan keyakinan. Logo ini menggunakan dua ‘P’ dan dua ‘Alif’ melambangkan dua peringkat pendidikan iaitu Sistem Sekolah dan Sistem Pengajian Tinggi. Hurup ‘P’ yang bertingkat ke arah Alif melambangkan tahap-tahap kecemerlangan pendidikan Malaysia. Bentuk Bulat melambangkan Malaysia sebagai pusat pendidikan yang bersifat global. Dari segi warna, biru bermaksud profesionalisma dalam sistem pendidikan negara. Kuning keemasan melambangkan kecemerlangan. Putih melambangkan sistem pendidikan yang bermutu tinggi dan membentuk insan yang berkualiti dan berilmu mulia.

Rekabentuk oleh Prof. Dato’ Dr Ahmad Zainuddin & Mohd Faizal Ahmad (Majlis Rekabentuk Malaysia).

Muat Turun: Logo Baharu KPM


- Portal KPM

Saturday, October 19, 2013

Takwim Penggal Persekolahan 2014

Bahagian pengurusan sekolah harian telah mengeluarkan Takwim Persekolahan Sesi 2014 dengan perincian persekolahan mengikut penggal seperti mana berikut:

PERINCIAN PERSEKOLAHAN MENGIKUT PENGGAL
KUMPULAN A :
Sekolah-sekolah di Negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu


PERINCIAN PERSEKOLAHAN MENGIKUT PENGGAL
KUMPULAN B :
Sekolah-sekolah di Negeri Perlis, Pulau Pinang, Perak,
Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak,
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan & Putrajaya
  
  Muat turun: Takwim Persekolahan 2014

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi